BAB 13

Thriller Completed 545

Baru beberapa minit sahaja, kain selimut Mustapha terlurut semula membuatkan remaja itu menarik kembali selimutnya yang terlurut. Sebanyak mana Mustapha menarik kembali selimutnya, begitu jugalah selimutnya akan terlurut kembali sehingga hati Mustapha menjadi panas sepanas bahang. Dia sudah tidak boleh menahan lagi dengan gangguan seumpama itu. Lalu dia bangun dan duduk bersila di atas katilnya.

“Tak guna betul. Siapa yang main-main dengan aku ni? Kau orang ingat kelakar ke tarik-tarik selimut macam tu?” Suara garau Mustapha memecah suasana hening di tengah-tengah malam.

Namun, tiada siapa pun di antara rakan-rakan dormnya yang sedar akan jeritan yang melantun dari rengkung Mustapha . Mustapha berasa pelik kerana mereka semua sedang lena tidak terusik. Mustapha mengambil lampu suluh yang sentiasa ada dengannya lalu menyuluh di sekeliling. Semuanya sedang enak tidur dan tidak seorang pun yang bangun. Berkerut dahi Mustapha dengan situasi itu.

“Kalau semuanya sedang tidur lena, siapa pula yang main tarik-tarik selimut aku? Adakah Izzani atau Bahar ?” Mustapha tidak puas hati lalu menyuluh di katil Izzani , remaja itu sedang tidur tidak bergerak. Lampu suluh disuluh pula di bawah katilnya di mana terletaknya katil Bahar . Dia juga sedang tidur lena. Jadi, siapakah yang main-main dengannya jika semua sedang tidur lena?

Mustapha tidak mahu fikir lagi lalu dia kembali tidur. Mungkin mainan perasaannya sahaja. Mustapha menyedapkan rasa hatinya yang bercelaru tadi. Dia kembali memejam matanya semula. Dia harus tidur kerana esok pagi-pagi dia kena bangun awal. Di sini amat berbeza dengan rumah kerana di sini tidak boleh bangun lewat.

“Perasaan aku saja. Tidurlah Mustapha .” Mustapha kembali menarik selimutnya dan terus tidur.

Baru sahaja hendak terlena, kali ini selimut Mustapha ditarik dengan kasar membuatkan remaja itu tersentak lalu terus bangun dan kembali duduk bersila. Kali ini hati Mustapha benar-benar panas. Dia yakin rakan-rakannya yang sengaja ingin kenakannya kerana dia tidak percaya pada kewujudan hantu. Jadi, mereka ingat dengan cara ini, mereka dapat menakut-nakutkan Mustapha tetapi mereka silap kerana Mustapha bukan selemah yang disangka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience