BAB 40

Horror & Thriller Completed 1998

REZA

Aku di atas katil. Telinga dapat menangkap perbualan mereka di luar. Beberapa orang pegawai polis sedang berborak tentang kehilangan Bazli. Semalam aku kemalangan dan sungguh ajaib. Kereta aku bertembung dengan kereta Bazli. Pihak polis menjumpai mayat Dina di dalam but kereta. Aku tersenyum.

Pada waktu ini, pasti Zizi sedang menangis mengenangkan Dina. Dina sudah tiada lagi. Bayang-bayangnya telah pergi ke langit. Aku menarik nafas lega kerana aku tidak mengalami kecederaan yang teruk. Aku terdengar bahawa kaki Bazli patah.

Aku bangun dan cuba mengimbangi badan. Lantai dipijak lalu aku membuka almari kecil disebelah katil. T-shirt dan jeans semalam ada di dalamnya. Dengan pantas aku menyarung pakaian itu ke tubuh. Aku harus pergi dari sini dan mencari Bazli.

Selepas selesai menyarung pakaian ke tubuh, aku terus beredar. Mujur bangunan ini tidak sesibuk yang aku jangkakan.

Aku tekan butang pada lif. Beberapa minit kemudian, pintu lif terbuka dengan sendiri. Aku masuk ke dalamnya lalu turun ke bawah. Tiba di bawah, aku pantas keluar dan menuju ke arah jalan utama. Aku perlu beredar secepat mungkin sebelum mereka menyedari aku lari.

**

Selepas teksi menurunkan aku di hadapan apartment Suria Indah, aku terus meluru ke arah bangunan itu. Aku harus naik ke atas demi sesuatu.

Tiba di hadapan pintu rumah, aku terus membawa keluar kunci pendua. KLAK! Pintu terbuka. Aku tolak pintu lalu masuk ke dalam rumah. Bazli tiada di dalam. Keadaan rumah seperti biasa nampak kemas. Lelaki itu masih lagi tidak berubah.

Kaki aku melangkah laju ke arah bilik Bazli. Aku pulas tombol yang tidak berkunci. Aku tersenyum sinis.

Masuk ke dalam bilik, aku menarik nafas sedalam-dalamnya. Mata aku memerhati segenap ruang bilik Bazli. Ada set komputer di atas meja dan sebuah almari. Aku bergegas ke almari lalu membuka pintunya. Semuanya aku geledah demi mencari sesuatu yang boleh mengukuhkan bukti.

Ada satu fail berwarna hitam terselit di celah lipatan baju. Aku tarik. Aku selak perlahan-lahan agar kertas di dalamnya tidak tercampak keluar. Ada beberapa keping gambar. Kesemuanya gambar-gambar perempuan yang hilang dan ditemui mati bulan lepas. Tidak sangka Bazlilah punca segalanya. Kali ini, aku akan pastikan lebih ramai pihak polis memburu lelaki itu dan dalam masa yang sama aku akan singkirkan orang-orang yang aku rasakan semak!

Fail berwarna hitam itu aku bawa sekali turun. Aku kunci pintu rumah dan terus turun ke bawah. Aku harus beredar daripada sini.

Sebuah teksi aku tahan. Aku terus menyuruh orang tua itu membawa aku ke rumah Juliana. Di situ, ada sesuatu yang aku harus lakukan. Aku bencikan Bazli sama seperti aku bencikan abangku, Rafiq!

**

Aku ketuk pintu rumah Ju. Sudah 10 minit aku berada di luar ini. Masih tiada sesiapa yang membuka pintu. Mata aku menjeling ke arah kereta Toyota Vios di hadapan rumahnya. Pasti Ju ada di dalam!

Hati aku mula berasa membara. Aku mulakan langkah pergi daripada situ. Aku pulang ke rumah peninggalan keluarga aku. Kepala aku masih lagi berdenyut-denyut mungkin kesan daripada kemalangan semalam. Semua ini gara-gara lelaki bernama Bazli itu. Suka sangat sibuk akan hal aku selama ini.

Tiba di rumah aku, aku duduk di atas sofa mengenangkan wajah Dina. Dia sudah tiada lagi di bilik atas. Kosong.

Diari Juliana di atas meja aku jeling. Juliana dan Bazli. Tidak sangka mereka ada masa lalu berdua. Aku tidak sangka juga Batrisya adalah anak kepada Bazli.

Apakah Juliana mempunyai perasaan cinta lagi terhadap Bazli? Aku ingat dia lain dari yang lain. Ah! Selama inu aku juga berlakon di hadapannya yang kononnya aku sangat mengambil berat. Padahal aku tidak pernah mempunyai apa-apa perasaan terhadap Juliana. Doktor perempuan itu harus aku lenyapkan juga kerana dia ada kena mengena dengan Bazli walaupun hanya masa lalu. Selepas itu, aku akan bawa Batrisya pergi jauh dari sini. Aku harus memikirkan cara untuk aku masuk semula ke dalam rumah Ju.

Fail hitam di atas meja juga direnung oleh aku. Itu bukti kukuh aku. Aku akan simpan fail itu di sini buat sementara waktu. Kereta Rafiq masih lagi ada di garaj. Sudah lama kereta itu terbiar begitu. Mungkin aku boleh gunakannya buay masa sekarang untuk memudahkan urusan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience