BAB 9

Horror & Thriller Completed 1998

REZA

Doktor masih lagi memeriksa keadaan kepala aku yang sudah dibalut. Dia seperti tidak puas. Aku memandang wajah jelitanya dengan tekun.

"Betul ke you tak rasa pening-pening?" soal Doktor perempuan bernama Juliana itu.

"Betullah doc, I ok je ni. Haa tengok ni tengok," balas aku sambil menggoyang-goyangkan kepala. Doktor Ju kelihatannya menahan senyuman.

"Ok I kasi you ubat you makan ikut masa tau!" katanya sambil menulis sesuatu pada buku. Aku memandangnya dengan sedikit sengihan.

"Kalau I rasa sakit lagi I jumpa you ke?" soal aku. Dokor Ju memandang aku sambil tersenyum.

"You sakit lagi, you jumpalah mana-mana doktor dalam klinik ni. Ada 3 orang doktor kat sini," terangnya tenang.

"Tapi kalau I sakit rasanya lagi elok I jumpa you je. Cepat baik ma..." balas aku sambil tersengih. Doktor Ju menahan tawa.

"You pergi ambil ubat you, ramai lagi pesakit kat luar tu," arahnya pada aku. Aku bangun daripada katil dan menuju ke arahnya.

"Ni tisu lap you punya muka banyak peluhlah," katanya sambil memberi sekeping tisu berwarna merah jambu. Comel betul doktor ini. Teringat pula budak perempuan bernama Hani hari itu.

Aku melangkah keluar daripada bilik rawatan. Aku labuhkan punggung di atas bangku disediakan untuk menunggu namaku dipanggil. Nurse di kaunter juga cantik.

"Encik Reza," panggil salah seorang nurse di kaunter. Dia tidak memanggil nama penuhku mungkin tidak ramai pesakit hari ini. Aku bangun dan menuju ke arahnya. Nurse tadi menunjukkan satu persatu ubat yang perlu aku makan ikut waktu. Lembut betul cara nurse ini.

Selepas membuat pembayaran, aku keluar daripada klinik. Dahi aku berbalut. Nasib baik tiada sebarang kecederaan yang serius pada wajah kacak ini!

"Reza?" sapa Zizi mendekati aku. Aku tersenyum lebar melihat Zizi dan dia juga.

"Zizi thanks teman aku tadi." Kata aku. Zizi mengajak aku untuk duduk sebentar di restoran melayu di sebelah klinik.

"Kau ok?" soal Zizi pada aku. Aku mengangguk bagai burung belatuk jadian.

"Kalau tak sihat jangan keluar," katanya lagi. Aku mengerutkan dahi.

"Sakit? Sakit apa ni?" soal aku pula. Zizi meletakkan tangannya pada dahi aku.

"Demam kau demam kan?"

"Mana ada aku demam, bila masa pula ni?"

"Bazli kata..."

Aku mula mendiamkan diri saat mendengar nama Bazli disebut. Aku tidak tahu Bazli menggunakan telefon aku siang tadi. Aku menjadi bingung seketika.

"Reza?"

"Umm ya?"

Zizi memandang aku. Kali ini pandangannya tajam menusuk anak mataku. Dia sedang memerhatikan gerak-geri wajah aku

"Ah! Pagi tadi je aku tak sihat..." balas aku untuk soalan tadi.

"Oh yeke? By the way, Myvi kat bengkel," Kata Zizi. Aku mula sedih mengenangkan nasib Myvi kesayangan. Kami gerak untuk pulang ke rumah masing-masing. Malam ini, ada perkara yang harus aku selesaikan di rumah nanti. Bazli.

**

Suis lampu ditekan. Rumah kembali terang seperti biasa. Aku meletakkan beg sandang di atas sofa lalu bergerak ke dapur. Aku ke sinki untuk membasuh muka yang berminyak. Selepas itu, aku ke ruang tamu untuk menonton televisyen.

Berita hari ini, sama seperti dua hari lepas. Seorang remaja perempuan hilang tanpa dapat dikesan oleh pihak berkuasa. Aku tertanya juga ke mana penculik itu membawa remaja-remaja perempuan tersebut? Adakah mereka dijual untuk dijadikan pelacur di negara lain?

Bunyi pintu ditolak, aku tersedar daripada lamunan. Bazli bergegas ke dapur tanpa menutup pintu. Aku bingkas bangun untuk menutup semula pintu kemudian duduk semula membuka siaran lain.

Televisyen ditutup. Aku bosan dan beredar ke bilik. Pintu ditolak dan mata aku terbeliak memandang keadaan bilikku yang bersih. Selalunya bersepah dengan seluar dalam dan sampah. Pasti lelaki itu yang masuk dan mengemas bilikku tadi. Harap dia tidak curiga dengan gambar-gambar kanak-kanak comel yang tertampal pada dinding.

Tangan aku mula meraba-raba poket jeans untuk mengeluarkan sisa sampah yang ada sebelum aku pergi mandi. Sekeping tisu berwarna merah jambu pemberian doktor Juliana tadi sudah renyuk. Aku lihat di atasnya terdapat nombor telefon. Aku tersengih tiba-tiba lalu mencapai telefon di atas meja untuk menyimpan nombor doktor Ju tadi. Aku diselubungi rasa bahagia pula.

"Reza aku ada beli makanan," suara Bazli muncul di muka pintu. Senyuman aku menjadi serius.

"Ah ok ok nanti aku makan," balas aku. Pintu ditutup. Aku segera menghantar Whatsapp pada doktor Ju sebelum beredar mandi.

**

Baju berwarna pudar aku sarungkan pada tubuh. Selesai memakai seluar aku keluar untuk menjamah makanan yang ada di atas meja. Maggi goreng mamak menjadi perhatian aku buat masa ini.

Mata aku mencari-cari keberadaan Bazli. Keadaan rumah sunyi seperti biasa walaupun kami menghuninya. Aku beredar mendekati pintu bilik Bazli. Nampaknya ia tidak berkunci lalu aku terus tolak tombol. Bazli tiada.

Aku kira dia sudah keluar ketika aku sedang khusyuk mandi sebentar tadi. Kaki aku melangkah mendekati meja makan untuk menyambung suapan.

Bunyi notifikasi masuk dalam telefon. Belum sempat aku melihatnya lampu diseluruh rumah terpadam. Aku masih duduk memerhatikan suasana sekeliling yang kelam. Tiada yang pelik apabila lampu terpadam akibat sistem elektrik terputus. Aku terus mendekati tingkap untuk melihat suasana gelap di bawah sana. Ternyata hanya rumahku saja yang tiada bekalan elektrik.  Ini menghairankan aku.

Kaki aku terus mendekati kabinet untuk mencari lampu suluh. Peluh mula membasahi dagu. Tiada satu pun lampu suluh yang aku jumpa. Hanyalah pil-pil daripada klinik yang tersimpan di situ.

KREKK...

Bunyi pelik bergema. Aku memandang kiri dan kanan untuk mencari dari manakah bunyi tersebut datang. Apa yang aku lihat adalah pintu hadapan terbuka sedikit. Aku melajukan langkah mendekati pintu hadapan dan sesuatu yang berat menghempap aku. Aku jatuh.

BAM!

Pintu tertutup dengan sendiri. Aku masih lagi dalam keadaan terbaring mencari posisi sesuai untuk bangkit. Lampu bernyala semula. Aku masih keliru.

"Kau kenapa?" soal Bazli tiba-tiba muncul dibelakangku.

"Kau pergi mana sial!" soal aku pula dengan nada cukup nyaring. Bazli menjengketkan kening sambil mendekati aku. Dia mencangkung di sisi aku.

"Apehal?" soal dia lagi. Aku buntu. Aku hanya bangun dan meneguk sebanyak mungkin air kosong yang ada di dalam botol. Bazli hanya memerhatikan aku. Selepas itu, aku terus meninggalkannya sendiri kembali ke bilik tidur.

Punggungku menyentuh katil. Aku mengusap peluh yang ada di pipi sambil memandang tepat ke arah pintu bilik yang tidak berkunci. Pintu itu seolah-olah ditolak daripada luar. Bazli muncul di muka pintu.

"Kenapa kau tak bagitahu aku yang kau eksiden?" tanyanya padaku. Aku mendiamkan diri. Bazli perlahan-lahan mendekati aku lalu duduk di sebelah.

"Aku tak sakit serius punlah." balas aku tanpa minat meneruskan topik. Aku dapat melihat anak matanya memandang dahiku yang berbalut kemas. Tangan Bazli mula menyentuh balutan putih ini. Kemudian, dia menanggalkan pembalut tersebut perlahan-lahan.

"Wei kau buat apa ni!? soal aku yang tidak tahu mahu marah atau tidak.

"Kau kena tukar bende ni..." balas Bazli. Pembalut tersebut selesai dibuka. Dahi aku menunjukkan kesan luka yang tidak berapa serius. Bazli mengusap-usap tempat luka itu.

"Ah sakitlah bodoh!" kata aku sambil menepis tangannya. Bazli menahan tangan aku. Dia merenung mata aku dalam-dalam. Aku akur.

Bazli keluar daripada bilik dan tidak sampai beberapa minit dia datang kembali membawa ubat sapu, kapas dan pembalut yang baru. Aku sekadar melihatnya saja. Bazli mendekati aku lagi dan duduk menghadap aku.

Dia mula menyapukan luka aku tadi dengan lembut. Aku rasa seperti dibelai dan berasa mengantuk. Aku dapat melihatnya leka membalut bahagian luka aku tadi dengan teliti.

Bunyi nafasnya kuat dapat aku dengarinya dengan jelas. Bazli mungkin sedar aku sedang memandangnya ketika ini. Tetapi entah mengapa aku rasa tenang bercampur ragu-ragu berhadapan dengan lelaki itu.

"Sudah..." kata Bazli sambil membuang pembalut lama tadi di bakul sampah. Aku memegang lengannya dengan spontan. Anak mata coklatnya memandang tepat padaku. Dia kembali duduk di hadapan aku.

"Baz...sorry marah-marah kau tadi tu," kata aku dengan rasa bersalah. Aku tidak tahu apa yang harus aku perkatakan saat ini selain itu. Bazli merenung mata aku dalam-dalam. Entah mengapa aku tidak sukakan renungan itu. Bazli bangun dan beredar ke biliknya.

**

Pagi itu, aku bangun seperti biasa. Aku lihat di atas meja ada roti canai bersama kuah dal. Aku tidak makan kari. Bazli sedang bermain telefon pintarnya di atas sofa. Aku berasa segan memandang Bazli. Hatinya menyedari aku memerhatikannya. Dia bangun dan beredar ke tandas tanpa menyapa aku.

"Dia marah kat aku ke?" soal aku pada diri sendiri. Aku terus berlari ke tandas. Tanpa melengahkan masa aku terus membuka pintu tandas. Bazli memandang aku dalam keadaan terkejut. Dia sedang melepas. Aku terus menutup pintu tersebut semula. Aku ketawa sendiri.

"Siallah kau Reza!" kata aku sendiri. Aku mencuci tangan dan terus mendekati meja makan untuk menjamah roti canai tadi.

Notifikasi masuk lagi. Aku terus unlock telefon pintar itu dan membaca ianya daripada Zizi.

Kau ok? Aku nak jumpa kau. - Zizi

"Ah pulak! Pasti mengenai Dina lagi," aku tiada mood untuk berjumpa sesiapa pada hari ini. Bunyi tapak kaki menuju ke arah aku. Aku berpaling dan memandang Bazli sedang membetulkan seluarnya.

"Hmm?" dahi Bazli berkerut memandang aku. Aku tersengih.

"Tak...tak ade ape..." kata aku lalu menyuap cebisan roti canai ke dalam mulut.

"Ape masalah kau ni?" soalnya pula.

Kenapa Bazli seperti mahu marah kepada aku? Apa salah aku pula hari ini? Adakah disebabkan aku terbuka pintu tandas tadi? Itu salahnya kerana tidak mengunci pintu daripada dalam.

"Aku nak keluar, jangan bagi sesapa masuk dalam rumah ni!" tegas Bazli. Aku faham maksudnya itu. Aku juga akan keluar petang nanti untuk mencari kasih sayang.

**

10 TAHUN LALU.

Kehidupan aku makin tenang selepas ibu tidak wujud lagi di dunia ini. Dendam aku masih ada lagi tinggal sisa yang perlu dihabiskan. Kamal pula sudah lama melarikan diri tanpa berita. Ini menyusahkan aku untuk mencarinya. Aku berjanji dengan nama ayah aku yang aku akan melenyapkan juga seperti mana aku melenyapkan ibu.

Roti kosong di dalam plastik high 5 aku habiskan dengan segera. Aku berasa kosong ketika ini. Aku lihat di balik tingkap rumahku seorang perempuan bernama Juliana, anak jiranku. Dia tua 2 tahun daripada aku. Wajahnya cantik dan nampak suci. Juliana sedang menyapu sampah di sekitar rumahnya. Juliana memakai baju t-shirt putih bersama kain corak bunga-bunga. Ada debar dalam hatiku.

Dia merupakan senior di sekolah aku dan Reza. Ramai yang meminatinya kerana perwatakannya yang sangat menarik. Aku rasa aku berasa tidak puas melihatnya daripada dalam rumah begini. Tanpa berlengah, aku terus keluar.

Aku menarik nafas dalam-dalam menghirup udara segar pada pagi ini. Aku dan Juliana saling berpandangan. Dia menghadiahkan senyuman manisnya padaku. Aku rasa lebih menarik lagi jika Juliana tidak memakai cermin matanya.

"Awak?" Panggil Juliana. Aku terus beredar ke arahnya dengan wajah kosong. "Awak ni budak form 3 kan?" tanyanya padaku. Aku mengangguk laju.

"Kenapa ye?" soal aku pula.

"Tak sangka kita berjiran," jawabnya lembut dan ada nada menggoda di situ. "Awak dah makan?" soalnya pada aku.

"Belum belum lagi..." balas aku menipu.

"Jomlah sarapan kat rumah saya, mak saya tak kisah pun," ajaknya. Aku terus keluar daripada pagar rumah dan masuk ke kawasan rumahnya pula. Aku rasa mahu tersenyum tetapi masih dalam kawalan. Aku mengikut rentaknya daripada belakang.

"Masuklah." Pelawanya. Aku masuk dari pintu belakang dan terus menarik kerusi. Juliana kelihatan biasa-biasa saja. "Sekejap ye saya ambilkan mee goreng," katanya. Aku mengangguk sambil memerhati susunan perabot di dapurnya.

"Kak? Mana ibu kak?" soalku bersahaja. Dia kembali membawa sepinggan mee goreng bersama telur mata. Aku terliur pula kerana sudah terlalu lama tidak menjamah makanan begitu.

  "Dia baru je keluar, eh janganlah panggil kak panggil je Ju," terangnya lalu duduk berhadapan dengan aku. Tanpa segan silu aku terus menjamah mee goreng di atas pinggan. Sungguh enak seperti masakan ibuku dahulu.

"Sedap?" tanya Juliana yang menyedarkan aku daripada lamunan. Aku mengangguk laju dan tersenyum. Juliana membetulkan cermin matanya dengan malu-malu. "Saya tengok rumah awak sunyi je mana ibu ayah awak?" tanyanya lagi. Aku berhenti makan.

"Ayah saya sudah meninggal, ibu saya lari," balas aku bersahaja lalu mencapai gelas berisi air kosong.

"Oww sorrylah Bazli saya tak tahu pula..." katanya lalu mengusap tangan aku. Aku merenung tangan gebunya itu. Aku tersenyum menandakan aku tidak kisah.

Hati aku dapat merasakan bahawa Juliana seperti menyukai aku walaupun kami baru saja bertentangan mata.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience