Suhu dingin daripada alat pendingin hawa bilik disiplin menyebabkan Raihana bertambah takut walau hakikatnya dia tidak salah.
Tambahan pula dengan suasana tegang di dalam bilik itu apabila perlu berhadapan dengan ketua guru disiplin iaitu Cikgu Mustakim.
"Cikgu, saya tak curi duit tu cikgu. Saya tak tipu" kata Raihana dengan nada merayu.
Semasa dia dalam perjalanan pulang ke kelas dari kantin, dia ditarik oleh Zahra menuju ke bilik disiplin itu tanpa mengetahui sebab-sebab nya.
Rupanya dia dituduh mencuri duit kelas yang selama ini dia sendiri tidak tahu duit itu di mana.
"Tapi, Zahra cakap duit tu hilang masa rehat dan awak selalu duduk dalam kelas waktu rehat. Betul, Zahra?" Cikgu Mustakim bertanya kepada Zahra.
"Betul, cikgu. Saya selalu nampak yang Raihana duduk dalam kelas waktu rehat" jawab Zahra sambil memandang Raihana.
Ikutkan hati Raihana dia seperti ingin mencili cili mulut Zahra kerana sesuka hati menuduhnya.
"Memang saya selalu duduk dalam kelas tapi saya buat kerja sekolah. Lagipun hari ni saya keluar pergi kantin waktu rehat" Raihana mempertahankan dirinya.
"Tapi kau boleh je ambik duit tu masa rehat" balas Zahra, tidak puas hati.
"Kalau aku selalu duduk dalam kelas waktu rehat sebelum ni, kenapa tiba-tiba duit tu hilang hari ni? Padahal hari ni aku keluar pergi kantin. Masalahnya kau letak duit tu dekat mana pun aku tak tahu. Aku pun tak tahu selama ni kau yang pegang duit kelas. Kita bukan rapat pun sampai aku nak tahu kau simpan dekat mana" kata Raihana.
"Orang yang nak mencuri tak perlu rapat pun dengan orang untuk mencuri duit. Dia sendiri boleh cari duit tu dekat mana" Cikgu Mustakim mencelah. Dia cuba untuk tidak kelihatan berat sebelah.
"Ya Allah, cikgu. Tak ada guna pun saya ambik duit kelas. Saya bukan papa kedana, saya pun ada duit sendiri. Tak ada kerja saya nak makan duit yang bukan hak saya. Saya masih waras untuk tahu halal dengan haram" Raihana tegas dengan pendiriannya.
Duit yang diberikan oleh Abang Long setiap hari cukup untuk dia gunakan dan tidak perlulah sehingga dia mencuri duit.
Zahra menjeling tajam ke arah Raihana. Menyampah dia dengan Raihana yang pandai berkata-kata itu.
Sedangkan penunggang agama pun pandai bermain dengan kata apatah lagi insan lemah seperti Raihana.
Cikgu Mustakim terdiam. Dia menarik dalam nafasnya dan menghembusnya perlahan.
"Awak cakap tadi yang awak pergi kantin waktu rehat kan? Ada orang yang boleh yakinkan awak?" tanya Cikgu Mustakim.
Entah mengapa dia dapat rasakan yang Raihana tidak bersalah. Tetapi dia perlu juga berlaku adil bagi kedua-dua belah pihak.
"Ada" pantas Raihana menjawab.
Dia teringat yang Haq ada menegurnya dia kantin.
"Syed Haq ada nampak saya dekat kantin" kata Raihana.
Seolah-olah ada orang yang menyeru namanya, Syed Haq mengetuk pintu bilik itu dan wajahnya terpacul di muka pintu bilik disiplin.
Dia kelihatan seperti termengah-mengah akibat penat berlari dari jarak yang jauh.
"Cikgu. Saya nampak Raihana dekat kantin tadi cikgu. Dia ambik nasi goreng saya tadi" kata Haq dengan nafas yang tidak teratur kerana mengah.
Cikgu Mustakim cuba untuk menahan ketawa apabila mendengar kata-kata Haq. Dia mengekalkan wajah yang serius.
"Awak ke Syed Haq?" tanya Cikgu Mustakim.
Haq mengangguk kepalanya dengan laju.
"Masuk dalam. Tutup pintu tu dulu" arah Cikgu Mustakim.
Belum sempat apa-apa Haq sudah memberikan keterangan dengan tiba-tiba.
Haq berbuat seperti yang disuruh oleh Cikgu Mustakim. Dia menutup pintu bilik itu dan berjalan sedikit ke hadapan.
Haq berdiri di antara Zahra dan Raihana.
Raihana memandang Haq dengan perasaan tidak percaya. Baru sahaja dia menyebut nama Haq, tiba-tiba sahaja Haa muncul di hadapan muka pintu.
Terkebil-kebil dia memandang Haq.
Zahra pula semakin bertambah menyampah dengan Raihana apabila Haq tiba-tiba seperti menyelamatkannya. Dah macam drama Korea lah pulak.
"Betul ke awak nampak Raihana dekat kantin?" Cikgu Mustakim menyoal Haq pula.
"Ya, cikgu. Saya nampak dia masa dia tengah beratur nak beli makanan lepas tu saya tegur dia. Tiba-tiba dia ambik makanan saya" cerita Haq dengan penuh teliti.
Raihana mengetap kuat giginya.
"Yang pasal aku ambik makanan kau tu tak payah lah kot cerita. Hey, apa yang bendul sangat mamat ni" bisik hati Raihana.
"Kenapa awak ambil makanan dia?" Kali ini giliran Raihana pula disoal.
"Er.." Raihana kehilangan kata-kata.
"Tak apa cikgu. Saya memang nak belanja dia hari ni. Kiranya macam saya belanja dia lah tadi masa rehat" Haq mencelah. Dia tahu Raihana pasti tidak akan dapat menjawab.
Raihana memandang Haq selepas Haq menjawab bagi pihaknya. Begitu juga dengan Haq.
Dia memandang Raihana dan mengangkat sebelah keningnya.
Cikgu Mustakim hanya menggeleng kepalanya setelah mendengar jawapan Haq. Pelik-pelik sahaja remaja zaman sekarang.
"Awak jumpa Raihana waktu tu dalam pukul berapa?" tanya Cikgu Mustakim.
"Dalam pukul 10:55. Baru sepuluh minit rehat" kata Haq.
"Sempat lah tu kan cikgu kalau dia nak curi duit" Zahra bersuara setelah sedari tadi mendiamkan diri.
Raihana melihat Zahra dengan pandangan maut. Dia tidak faham mengapa Zahra berkeras menuduhnya mencuri duit kelas.
Tidak sempat Cikgu Mustakim membalas kata-kata Zahra, mereka berempat dikejutkan dengan bunti ketukan pintu bilik disiplin.
Sesaat kemudian wajah Miss Khadijah muncul di muka pintu. Di tangannya ada satu sampul duit raya.
"Eh, itu sampul duit kelas" kata Zahra sambil menunjuk ke arah sampul yang dipegang oleh Miss Khadijah.
"Betul. Ini sebenarnya duit kelas awak. Masa rehat tadi miss masuk kelas awak sekejap sebab tertinggal pencil case. Masa nak keluar tu, miss terpandang sampul duit ni atas lantai. Dekat dengan meja Zahra. Itu yang miss ambik sebab takut ada orang curi" cerita Miss Khadijah.
Seperti ada satu beban besar yang hilang, Raihana menghela nafas lega selepas mendengar cerita Miss Khadijah.
Akhirnya namanya dapat dibersihkan.
Haq juga turut tersenyum lebar mendengar cerita tersebut.
"Masa Miss Khadijah dekat dalam kelas tu, ada orang lain ke?" tanya Cikgu Mustakim.
"Tak ada orang. Kelas kosong waktu tu" jawab Miss Khadijah. Dia menghulurkan sampul duit itu kepada Zahra.
"Lain kali jaga elok-elok duit ni. Ini amanah awak. Jangan buat sambil lewa je" pesan Miss Khadijah sebelum dia meminta diri untuk keluar dari bilik disiplin itu.
Zahra menundukkan kepalanya ke lantai. Dia malu untuk memandang Cikgu Mustakim dan Haq.
Apatah lagi dengan Raihana yang dituduhnya mencuri duit sedangkan semuanya berpunca daripada kecuaian dia sendiri.
"Alhamdulillah, selesai dah. Saya harap perkara macam ni tak akan berulang kembali. Macam yang Miss Khadijah cakap dekat awak tadi Zahra, jaga amanah tu elok-elok. Jangan cuai. Saya tak akan suruh awak mintak maaf dekat sini tapi mintak lah maaf dalam perjalanan balik kelas nanti. Raihana, cikgu mintak maaf kalau cikgu ada terkasar bahasa sebab itu dah menjadi tugas cikgu. Haq, terima kasih sebab datang. Awak bertiga dah boleh naik kelas" kata Cikgu Mustakim kepada mereka bertiga.
Sebaik sahaja Cikgu Mustakim berkata begitu, Zahra terus keluar dari bilik disiplin itu dan berlalu pergi.
"Terima kasih, cikgu" ucap Raihana dan Haq dan kemudian mereka juga meninggalkan bilik itu.
ā¢
Sepanjang perjalanan Raihana dan Haq ke kelas, Raihana hanya mendiamkan diri sahaja.
Haq yang berjalan di sebelahnya pula yang berasa janggal apabila Raihana diam. Haq mencuri pandang ke arah Raihana.
Dia ingin bercakap sesuatu dengan Raihana tetapi dia bimbang angin Raihana tidak baik.
Iyalah, lepas kena tuduh mencuri. Tuduhan yang amat berat. Siapa sahaja yang akan okey?
Seminit kemudian, Raihana tiba-tiba bersuara.
"Haq. Terima kasih tau tadi sebab kau tolong aku walaupun aku tak mintak. Buat susah kau je datang bilik disiplin semata-mata nak yakinkan cikgu" kata Raihana dengan nada yang perlahan.
Bukan seperti nada Raihana yang bercakap sebelum-sebelum ini.
Haq terkesima mendengar kata-kata Raihana. Dia tidak sangka pula Raihana akan berterima kasih kepadanya sampai begitu sekali.
Tetapi dia tidak suka melihat Raihana seperti itu. Itu bukanlah Raihana yang dia kenal.
"Haih, itu lah. Banyak yang aku dah tolong kau hari ni. Bagi kau nasi goreng free, jadi saksi kau pun free. Kau dah macam boss aku pulak eh?" Haq cuba untuk menjadikan suasana antara mereka seperti biasa.
Usaha Haq berhasil. Raihana tergelak kecil apabila mendengar kata-kata Haq. Memang tak boleh pakai betul!
"Nasi goreng tadi kan aku cakap nanti aku bayar. Kau ni pun, itu pun berkira. Setakat 2 ringgit je pun. Tak habislah duit kau yang berkepuk kepuk tu" balas Raihana.
Wajahnya sudah bertukar. Ada senyuman di wajahnya yang menyebabkan Haq berasa lega melihat senyuman itu.
"Eleh, cakap orang. Kalau kau pun, 2 ringgit pun kau nak jugak kan?" tanya Haq sambil memandang Raihana.
"Diam lah kau. Kenapa kau pergi cerita dekat Cikgu Mustakim yang aku ambik nasi goreng kau? Kau ni boleh tahan bendul jugak sebab semua benda nak cerita" kata Raihana. Mereka berdua mula menaiki tangga.
"Aku cerita macam tu supaya cikgu percaya lah. Detail sesuatu cerita tu penting tau. Itu lah kau kerja asyik tengok drama je. Sesekali tengok lah cerita berilmiah" balas Haq.
"Kau nak cakap aku bodoh lah ni?" tanya Raihana.
"You're the one who said it. Not me"
Kata-kata Haq itu membuatkan dia mendapat satu pukulan ikhlas daripada Raihana di bahunya.
Haq tidak sempat ingin berkata apa-apa kerana di hadapan mereka ada Syazwan yang sedang melihat mereka berdua.
"Wan" panggil Raihana.
Haq perasan yang Raihana berubah saat berhadapan dengan Syazwan.
Raihana pasti akan menjadi perempuan yang lebih baik sedikit.
"Kau okey tak Hana? Aku dengar pasal duit kelas tu. Daripada tadi aku tunggu kau sebab risau. Tak tahu pulak kau elok berjalan dengan Syed Haq ni" Syazwan menekankan suaranya saat menyebut nama Syed Haq.
Matanya memandang tepat ke arah Haq.
Haq juga berbuat perkara yang sama. Lelaki itu pasti akan tiba-tiba muncul saat dia bersama dengan Raihana.
"Aku masuk kelas dulu lah, Raihana" Haq meminta diri.
Sakit pula hatinya melihat wajah Syazwan di situ. Haq melangkah pergi meninggalkan mereka berdua di belakang.
Dia ada mendengar sayup-sayup Syazwan bertanyakan keadaan Raihana. Dia rasa sangat menyampah dengan Syazwan yang rapat dengan Raihana.
Dia sedar yang Syazwan itu sudah lama kenal dengan Raihana tetapi dia tidak dapat menafikan yang dia agak tidak senang melihat Raihana bersama dengan Syazwan.
Mungkin kerana dia sudah menganggap Raihana ialah kawan baiknya atau ...
terima kasih sebab sudi baca dan maaf atas kekurangan.
Share this novel