Bab 11

Fantasy Completed 7320

Ridwan membuka pintu bilik Raihana dengan susah payahnya kerana sebelah tangannya sedang memegang semangkuk yang berisi bubur ayam manakala tangannya yang sebelah lagi sedang memegang cawan yang berisi air suam.

Sebaik sahaja pintu itu terbuka, dia melihat adik perempuannya itu sedang lena tidur sambil tubuhnya berselubung berbungkus dengan selimut.

Ridwan berjalan menuju ke birai katil Raihana dan meletakkan mangkuk bubur bersama dengan cawan di atas meja belajarnya.

Dia menggerakkan sedikit kaki Raihana untuk mengejutkannya.

"Hana, bangun. Abang Ngah ada masak bubur. Makan sikit" kata Ridwan sambil mengejutkan Raihana.

Mata Raihana terbuka sedikit dek kerana mendengar suara abangnya di belakang. Dia berbaring mengiring membelakangkan Ridwan.

Dia merasakan kepalanya teramat pening sehingga dia tidak larat untuk membuka besar matanya.

"Hana tak nak makan" katanya sebelum dia batuk kerana tekaknya terasa gatal.

Ridwan sudah agak perkara sebegini akan berlaku. Bukan dia tidak kenal dengan Raihana.

Payah sungguh untuk disuruh makan kalau demam. Boleh bergaduh jadinya.

"Kau jangan nak mengada-ngada. Abang Long pesan dekat aku suruh kau makan. Kalau tak nanti macam mana kau nak makan ubat" kata Ridwan dengan sedikit tegas.

Raihana masih lagi tidak bergerak walaupun sedikit. Mata yang dibuka tadi ditutup semula.

Dia memang benar-benar tidak larat untuk bangun. Apatah lagi untuk mengunyah makanan.

"Aku tak nak makan lah. Tak ada selera. Abang Ngah je lah makan" Raihana berkata sambil masih membelakangkan Ridwan.

"Raihana, tolong lah makan. Bukan kau ke yang paling susah kalau nak cuti sekolah? Kalau kau tak makan, lagi lama nak kebah demam kau tu. Lagi lama lah kau cuti. Nanti banyak pelajaran kau tertinggal, Abang Ngah tak tahu" Ridwan cuba untuk menarik perhatian Raihana.

Dia tahu Raihana sangat mementingkan pelajaran. Disebabkan itulah dia kerap mendapat keputusan yang cemerlang walaupun dia dan Rafiqi tidaklah pandai mana.

Kata-kata Ridwan berjaya membuatkan Raihana memusingkan badannya. Dia memandang Ridwan dengan matanya yang kuyu.

"Kau suap boleh? Aku malas lah nak makan sendiri" kata Raihana.

Ridwan mengeluh perlahan. Orang dah masak, nak kena suap pulak. Nasiblah sakit kalau tidak memang dah kena.

"Kau ni kan. Ye lah, bangun cepat. Aku suap kau" Ridwan mencapai mangkuk bubur nasi yang terletak di atas meja.

Raihana tersenyum kecil dan lantas dia bangun dengan perlahan-lahan. Dia melihat Ridwan sudah siap memegang sudu yang sudah disudu bubur.

"Tiup sikit bubur tu. Nanti melecur pulak mulut aku, dah satu hal nanti" kata Raihana dengan suara yang perlahan.

Sengaja dia mengambil kesempatan ke atas abangnya itu. Bukan selalu.

Ridwan memandang Raihana tajam sebelum meniup perlahan sedikit bubur yang ada di sudu.

Selepas beberapa saat, Ridwan membawa sudu itu ke mulut Raihana.

Raihana menelan bubur itu dengan agak sukar kerana tekaknya yang sakit.

"Kau sakit tekak ke?" tanya Ridwan apabila melihat wajah Raihana seperti menahan kesakitan semasa ingin menelan bubur.

Raihana mengangguk kepala.

Dia menunjukkan cawan air yang berada di atas meja.

"Jangan minum dulu. Nanti kau kenyang sebab minum air je. Habiskan dulu bubur ni baru minum air" Ridwan menyuakan lagi sudu ke mulut Raihana.

Raihana mencebik bibir melihat Ridwan. Dah macam askar pencen jaga orang sakit.

"Macam mana kau boleh demam ni? Main hujan ke?" tanya Ridwan apabila melihat Raihana sedang termenung.

"Kau dah kenapa cakap aku main hujan? Tak tahu lah sebab apa. Mula-mula aku memang dah selsema dengan batuk. Itu yang demam tu kot" jawab Raihana, perlahan.

Selepas satu mangkuk bubur habis dimakan oleh Raihana walaupun sebenarnya Raihana tidak mahu habiskan kerana sudah tidak lalu tetapi dipaksa oleh Ridwan, Raihana meneguk air suam yang dibawa oleh Ridwan.

"Dah, kau rehat lah balik. Kalau nak apa-apa, call je aku. Phone kau aku letak sebelah ni" Ridwan menunjukkan telefon pintar Raihana yang berada di atas bantal sebelah kepala Raihana.

"Kau nak pergi mana?" tanya Ridwan apabila melihat Raihana ingin turun dari katil.

"Nak study sikit. Daripada semalam aku tak study lagi sebab pening kepala sangat"

Belumpun sempat Raihana ingin berdiri, Ridwan sudah menolak Raihana supaya duduk semula.

"Haih, kau ni. Nanti kalau aku maki, marah pulak. Kau tu sakit, Raihana. Daripada kepala kau pening sangat, terus tak rasa apa-apa nanti aku luku. Tidur je lah! Ada ke nak study pulak tengah-tengah badan panas. Nak makan pun susah, ada hati nak baca buku. Kerja kau sekarang ni rehat, minum air banyak-banyak lepas tu makan ubat. Kalau dah sihat, study lah sangat" bebel Ridwan.

Dia tidak sangka dalam keadaan itu, Raihana masih lagi ada hati ingin mengulang kaji.

"Tapi SPM dah dekat" jawab Raihana.

"Baik kau baring sekarang sebelum aku pelangkung kepala kau. Tak pun aku call Abang Long. Kau sabar aku ambik phone aku"

Ridwan berpura-pura keluar dari bilik Raihana dan ingin mengambil telefon pintarnya.

Sebaik sahaja dia masuk ke bilik itu, dia melihat Raihana sudah baring semula.

"Tahu pun takut dengan Abang Long" katanya perlahan sambil mengambil mangkuk dan cawan yang sudah kosong sebelum keluar dari bilik itu.

•

Skrin telefon pintar Iphone 15 ditenung oleh sepasang mata milik Syed Haq sedari tadi.

Sudah 30 minit berlalu sejak dia menghantar mesej kepada Raihana tetapi jangankan membalasnya, Raihana langsung tidak membaca mesej yang dihantar.

Kebingitan suasana kelas 5 Putra yang tidak ubah seperti suasana pasar malam itu tidak sedikit pun mengganggu Haq yang sedang menunggu balasan mesej daripada Raihana.

"Dia block aku ke?" kata Haq, perlahan.

Sesaat kemudian, guru subjek bahasa Melayu mereka iaitu Cikgu Kamila masuk ke dalam kelas.

Sepanjang tempoh subjek bahasa Melayu itu, Haq tidak dapat menumpukan perhatiannya terhadap apa yang dibacakan oleh rakan sekelasnya.

Dia seolah-olah seperti dalam dunianya sendiri. Sesekali dia akan melihat telefon pintarnya untuk melihat kalau-kalau Raihana ada membalas mesejnya.

Cikgu Kamila yang berada di meja guru tidak terlepas daripada melihat kelakuan Haq itu.

Pengalamannya menjadi guru selama 15 tahun membuatkan dia sudah tahu dengan tingkah laku anak muridnya.

"Syed Haq. Awak okey ke dekat belakang tu?" kata Cikgu Kamila yang membuatkan murid yang sedang membaca teks petikan dalam buku teks berhenti membaca.

Haq yang sedang melihat telefon pintarnya di bawah meja langsung tersentak mendengar namanya diseru oleh Cikgu Kamila.

Tangannya pantas memasukkan semula telefon pintarnya ke dalam meja dan memandang Cikgu Kamila di meja guru.

"Ya, cikgu?" jawab Haq dengan cemas. Dia tidak sangka pula Cikgu Kamila perasan yang dia tidak fokus.

"Awak sambung baca petikan yang Adam baca tadi" arah Cikgu Kamila.

Haq mula menyelak muka surat buku itu untuk mencari petikan yang Cikgu Kamila maksudkan.

"Aduh!" bisik hatinya.

"Muka surat 72, perenggan 4" bisik Iman yang berada di depan.

Mujur Iman menolongnya. Selepas menjumpai petikan tersebut, Haq bangun dari kerusi dan mula membacanya dengan kuat.

"Thank you, Man" bisik Haq kepada Iman, selepas dia membaca perenggan tersebut.

Iman tidak menjawab sebaliknya hanya mengangguk kepalanya.

Haq mula teringatkan Raihana kembali. Dia menghela nafas.

"Nanti dia balas lah tu" bisik hati Haq, cuba untuk menyedapkan hatinya sendiri.

terima kasih sebab sudi baca dan maaf atas kekurangan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience