BAB 7

Romance Completed 11774

Hujung minggu ini, Ainul Mardhiah menjalankan misinya untuk mengenakan Batrisya dan Qaireen. Tapi sebelum dia berbuat khianat, pastilah dia akan berbuat baik dahulu dengan musuhnya. Tidaklah terlalu nampak yang dia terlalu teruk.

Keretanya diberhentikan betul-betul dihadapan rumah sewa Batrisya. Matanya menilau ke arah rumah sewa satu tingkat itu. Rumah tak ada standard langsung. ‘Sesuai sangatlah dengan si Batrisya tuh!’

Deringan telefon bimbinya membuatkan wajahnya merekah dengan senyuman apabila terpandangakn pemanggil di talian. Terus dihalakan telefon ke cuping telinga.

“Sayang, jom keluar…” Tanpa salam dan pembuka kata, terus suara manja Haikal menusuk ke pendengarannya.

“Tak bolehlah sayang… kan I nak pergi kelas agama hari ni…” Ujar Ainul Mardhiah sambil tergelak-gelak. Dari cermin kereta, dia dapat melihat dirinya yang kelihatan sungguh anggun mengenakan sepasang baju kurung riau dan kepalanya ditutupi dengan tudung ala-ala Siti Nurhaliza. Serius cantik menawan kalbu kot…

“Really… You betul-betul serius ke dengan plan you tu?” Terkejut Haikal mendengarnya. Memanglah dia tahu Ainul Mardhiah merancang sesuatu tapi tak tahulah pula yang kekasihnya itu bertekad sampai sanggup ke kelas agama. Pergghh.. dasyat!

“Mestilah I serius… I tak akan biarkan makhluk-makhluk tu ganggu hidup I lagi. I nak kenakan dia orang sampai dia orang malu nak angkat muka!” Besar cita-citanya untuk menjatuhkan Qaireen dan Batrisya.

“Wow…!!! I memang salute You sangat-sangat… Tapi kalau dah dapat ilmu tu, jangan pulak You gatal-gatal nak kongsi dengan I…” Usik Haikal nakal. Ainul Mardhiah hanya ketawa mendengar kata-kata Haikal itu. Langsung tidak berbekas di hatinya.

“Hello,,, You ingat I ni ustazah ke nak bagi ceramah dekat orang?” Akhirnya mereka sama-sama ketawa. Ketawa yang mampu membunuh rasa hati. Ketawa yang terlalu mendambakan dunia dan lupa pada mati.

“Okay… I got to go… Makhluk tu dah datang dah…” Terus ditutup talian telefonya apabila terpandangkan susuk tubuh Batrisya yang sedang mengunci pintu pagar itu. Terus dia keluar dari kereta.

Mata Batrisya tidak berkelip memandang ke arah anak majikannya itu. Serius, Cantik sungguh! Teramat sesuai dengan nama yang disandang. Bukankah nama Ainul Mardhiah itu adalah nama bidadari di Syurga.

“Cik Dhia nampak cantik sangat bila bertudung.” Tidak tertahan rasa hatinya dari ingin memuji Ainul Mardhiah. Pujian itu memang ikhlas dari hatinya. Walaupun Ainul Mardhiah hanya mengenakan tudung ala-ala Siti Nurhaliza itu, namun keperibadiannya nyata terselah apatah lagi bila mengenakan baju kurung riau kain cotton itu.

“Aish… janganlah puji saya sampai macam tu sekali.. Malu saya dibuatnya. Tunggu apa lagi, jomlah kita pergi.” Baru sahaja dia ingin membuka pintu kereta, namun suara Batrisya mematikan perbuatanya.

“Eh tak payah naik kereta Cik Dhia… kita jalan kaki je..” Ainul buat pura-pura tersenyum sedangkan dalam hatinya menyumpah seranah Batrisya. Sudahlah panas terik, ingin berjalan kaki pula. Sudahlah dia memakai baju kurung. Sungguh, rasa ingin dicabut saat ini juga.

“Banyak pahalanya jika kita berjalan kaki ni.. bayangkan setiap langkah kita untuk berjalan ke majlis ilmu akan dikira sebagai pahala.” Batrisya berpaling sekilas ke belakang. Seperti mengira langkah kaki mereka.

“Terlalu senang untuk mengumpul pahala sebenarnya… Tapi kita sering kali lebih suka mencari dosa..” Ainul Mardhiah mengigit bibir. Sangat-sangat terasa dengan ayat Batrisya.

“Eh, saya bukan maksudkan Cik Dhia tau.. Saya hanya memberi satu perumpamaan sahaja.” Tutur Batrisya tiba-tiba. Ainul Mardhiah memaksakan diri untuk tersenyum sedangkan hatinya terkandung sejuta kemarahan yang tidak berbelah bahagi. Rasa hendak disepak Batrisya sekarang jugak!

“Saya tak terasa pun.. sebab saya sedar yang saya berada di jalan yang benar.. Err Sya, saya harap awak tak payah panggil saya Cik Dhia lagi.. Awak boleh panggil saya Dhia sahaja.. Kita kan dah jadi kawan sekarang. Saya tak mahu pangkat saya sebagai seorang bos memusnahkan benteng persahabatan kita.” Ini taktik awal. Dia mahu Batirisya senang dengan dirinya. Barulah senang dia ingin menjalankan sebarang plan.

“Err….” Batrisya terkedu seketika. Seakan-akan tidak percaya langsung yang Ainul Mardhiah yang sedang berkata-kata ini. Sejak kelmarin, Ainul Mardhiah ternyata berubah seratus-peratus.

“Terima kasih Dhia… Saya bersyukur kerana awak tak terlewat untuk menghadirkan diri di rumah Allah ini. Percayalah, jika kita sentiasa punya masa untuk Dia, Dia pun akan sentiasa letakkan kita di bawah perhatiannya.” Nasihat Batrisya tiba-tiba. Ainul Mardhiah tersenyum kelat sahaja. Malas hendak memanjangkan bicara. Makin panjang dia cakap, makin panjang pula tazkirah Batrisya nanti.

Namun apabila kaki kanannya melangkah ke dalam rumah Allah ini, dia mula terasakan kekosongan diri. Pandangannya menilau di sana sini. Kemarahannya tiba-tiba terasa hilang. Hatinya yang rawan terasa dibasuh dengan ketenangan yang pertama kali diperolehinya ini. Memang sudah terlalu lama dia meninggalkan tikar sejadah. Terlalu lama memuji keagungan Ilahi ini.

“Jom kita duduk kat situ.” Bicara Batrisya mematikan gelojak hatinya sendiri. Kakinya melangkah sambil matanya ditebarkan di seluruh masjid. Tidaklah terlalu ramai pelajar di kelas agama ini. Ada yang sudah terlalu berumur. Ada yang sebaya dan ada juga anak-anak kecil.

Tangannya mendarat di dada lantaran jantungnya terasa berdegup di luar kebiasaannya. Entah kenapa bulu romanya meremang. Badannya terasa seram sejuk. Dia terasa diperhatikan di sana sini. Ainul Mardhiah mula terasa ketakutan. Takut yang dia tidak pernah rasa untuk seumur hidupnya. Takut pada apa, dia sendiri tidak mengetahuinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience