BAB 46

Mystery Series 6301

Setelah selesai semua urusan di dalam masjid, Syifa diarahkan oleh Haris untuk masuk ke dalam kereta terlebih dahulu. Gadis itu menurut tanpa sepatah kata, melangkah perlahan ke arah McLaren hitam yang terparkir elok di hadapan. Dari balik pintu kaca masjid, Haris masih berdiri, tegap dan berwibawa. Hassan, Epol dan Kamarul berdiri memandangnya seakan menghantar seorang sosok asing yang baru saja menutup sebuah babak besar di rumah Allah.

Haris menyeluk kocek, lalu mengeluarkan sekeping cek. Hassan dan Epol serentak berkerut, pandangan mereka terpaku pada sehelai kertas kecil bernilai besar itu. Namun Kamarul tetap tenang, hanya menunggu langkah lelaki itu dengan sabar. Haris menghulurkan cek itu bersama tangannya yang disambut erat oleh Kamarul.

"Terima kasih, Tok, kerana permudahkan segalanya malam ini," ujar Haris dengan senyuman tipis, nadanya lembut namun berlapis rahsia. "Kecilnya saya rasa dalam dunia ini… hanya ini yang mampu saya lakukan untuk jasa Tok pada hari ini. Saya bersyukur, Allah masih temukan saya dengan orang baik."

Kamarul tidak terus melepaskan tangannya, bahkan menggenggam lebih erat sambil membawa satu lagi tangan menepuk belakang telapak Haris. Matanya menatap dalam, suaranya penuh hikmah.
"Semua yang baik datang dari Allah, nak. Yang buruk datang dari kelemahan diri kita sendiri. Semoga rumah tangga yang baru dibina ini sentiasa dalam redha Ilahi. Jadilah pelindung yang menenangkan, dan pasangan yang menguatkan. Ingatlah, perkahwinan bukan sekadar penyatuan dua jasad, tetapi ikatan dua jiwa yang menuju satu jalan. Dalam susah atau senang, biarlah cinta itu berpaut pada kasih Allah, kerana hanya Dia yang tidak akan berpaling."

Haris hanya mengangguk kecil, wajahnya kekal dengan senyuman tipis itu. Tanpa menunggu kata lain, dia menyerahkan cek tersebut ke dalam genggaman Kamarul. Sebelum imam tua itu sempat menuturkan apa-apa lagi, sosok lelaki tinggi itu sudah melangkah pergi dengan tenang. Haris sempat mengangkat tangan sebagai salam perpisahan, sebelum membuka pintu kereta dan membolos masuk ke dalamnya.

Kamarul masih berdiri di situ, cek di tangannya. Matanya melirik ke arah wanita yang kini sudah duduk di kerusi penumpang hadapan. Cermin gelap sedikit membatasi, tetapi wajah sayu itu jelas kelihatan dari sinar lampu jalan. Riak datar, mata yang redup dan pasrah, membuatkan Kamarul sedikit terkesima. Ada simpati halus menyusup ke hatinya, namun dia segera menepis sangka buruk kerana dia tahu, setiap orang punya kisah yang hanya Allah mengetahuinya.

"Tok… satu juta ni!" suara Epol terhambur tanpa ditapis, matanya membesar menatap angka yang tertera di atas cek itu.

Hassan pantas menoleh, turut memandang sekilas cek itu. Nafasnya seakan tertahan, namun bila melihat wajah Kamarul yang tidak menunjukkan sebarang reaksi keterlaluan, dia hanya menelan kembali kata-kata yang hampir terluah.

"Kenapa, Tok?" soal Hassan lembut, cuba membaca riak air muka lelaki tua itu.

Kamarul menarik nafas panjang, kemudian menggeleng kecil. "Setiap manusia ada takdirnya sendiri. Ada yang ditulis dengan jalan penuh bahagia, ada yang diuji dengan perjalanan penuh luka. Namun semuanya tetap takdir Allah. Kita ini hanya hamba, kadang hidup kita tertulis dalam kehidupan orang lain, dan begitu juga sebaliknya. Kita tak pernah tau seberapa kerasnya usaha orang lain untuk mencintai takdirnya, maka jangan kita rusak dengan lisan kita yang tidak bertanggungjawab."

Hassan terdiam, kata-kata itu meresap jauh ke dadanya. Epol pula hanya menunduk, seakan malu dengan keterusannya sebentar tadi. Kamarul masih memandang ke arah kereta hitam yang perlahan-lahan meluncur meninggalkan perkarangan masjid, membawa bersama dua jiwa yang kini terikat dalam sebuah ikatan suci namun tidak pasti apakah ia akan berlabuh pada kebahagiaan, atau hanyut dalam gelora yang tiada hujung.

Langkah Syifa terhuyung-hayang, mengikut perlahan jejak lelaki yang berjalan di hadapannya. Kaki kecilnya yang berkaki ayam terasa pedih setiap kali menyentuh lantai dingin, seolah-olah kesejukan itu meresap masuk hingga ke tulang. Dia tidak sempat menyarung kasutnya tadi, ketika lelaki itu menariknya kasar keluar dari kereta sebelum menggiringnya ke bawah tanah Villa.

Lorong panjang itu membentang di hadapannya, dinding konkrit kelabu dingin berdiri tegak kiri dan kanan. Lampu kalimantang berderet di siling memantulkan cahaya pucat, memberi suasana muram yang menekan dada. Bunyi dengung halus paip besi dan desiran udara seakan mengiringi langkah-langkah mereka. Setiap kali kakinya melangkah, Syifa terasa semakin lemah, nafasnya tercungap-cungap. Dia terpaksa berpaut pada dinding sejuk untuk menyeimbangkan tubuhnya yang kian membongkok.

Haris tiba-tiba menoleh apabila menyedari Syifa ketinggalan jauh di belakang. Wajahnya yang datar ditelengkan sedikit, riak geram jelas terukir. Kakinya membelok, melangkah semula menghampiri wanita itu.

Syifa mendongak, menatap wajah lelaki yang kini sah bergelar suaminya. Namun dalam hatinya, dia enggan mengingatkan diri tentang status itu. Sekadar memikirkan saja sudah cukup melemahkan tubuhnya, seakan tidak berdaya untuk menolak segala yang menghentam dirinya begitu tiba-tiba.

"Kenapa sejak tadi kau hanya memasang riak wajah menyedihkan itu?" suara Haris datar, namun tatapannya redup penuh amarah.
"Lakonan apa yang cuba kau tunjukkan? Aku mudah muak, tahu?" sambungnya lagi sebelum tangannya pantas menghentam dinding. Bunyi dentuman bergaung di lorong sempit itu, meninggalkan kesan kemek yang nyata.

Syifa mengangkat sedikit kening, kemudian mengerling lelaki itu dengan tatapan datar.
"Penat... saya tak dapat ikut langkah kau," ujarnya perlahan, menghela nafas berat. Tubuhnya sudah tidak mampu menahan lama, lalu dia membiarkan dirinya terduduk perlahan di lantai sambil bertahan pada dinding. Dia tidak peduli lagi pada amarah yang ditunjukkan Haris tadi.

Haris mencebik, sinis.
"Kau merepek apa ni? Kau tahu dari awal, niat aku bukan sekadar kahwin dengan kau. Apa yang aku nak... adalah apa yang ada pada kau."

Syifa mendongak semula, membalas tatapan lelaki itu dengan pandangan yang seolah-olah memburu jawapan. Bibirnya terukir senyum sinis.
"Apa yang ada pada aku?" dia ketawa kecil. "Bernilai sangatkah aku sampai kau sanggup bersusah-payah jalinkan hubungan ini?"

Wajah Haris tersentak sedikit, namun hanya seketika. Dia segera merapat, lalu berlutut dengan sebelah kaki ke hadapan. Pipi Syifa dicengkam kuat, kukunya menekan hingga meninggalkan bekas.
"Aku kahwin dengan kau bukan sebab sayang. Aku bawa kau lari untuk pekerjakan kau seperti hamba yang tak bernilai. Dan lebih jelas lagi, untuk pergunakan kau."

Cengkaman itu tidak terlerai, malah semakin kuat. Namun Syifa hanya mencebik sinis, seolah-olah ancaman itu langsung tidak meninggalkan gentar pada dirinya.
"Dari awal aku sudah tahu... lakonan kau sangat buruk. Tengoklah, kau sudah tak sabar nak ambil sesuatu dari aku sehingga kau tunjukkan diri sebenar."

"Bagus kalau kau sedar. Itu bermakna aku tak perlu berlembut lagi," balas Haris, senyumannya melorek sinis.

Tanpa memberi ruang, Haris mengangkat tubuh Syifa dengan kasar. Gadis itu tersentak, refleks kedua tangannya bersilang di dada, namun tubuhnya tetap terangkat tinggi tanpa upaya melawan. Riak wajah Haris tetap dingin, seolah-olah tidak terusik sedikit pun dengan tindakannya sendiri.

Tapak kasut lelaki itu kembali berdentum, bergema sepanjang lorong sempit dan dingin itu. Sosok tubuhnya yang tegap membawa Syifa terus ke destinasi yang hanya dia sendiri tahu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience