BAB 39

Mystery Series 6301

Suasana kamar itu masih diselubungi bayangan kelam petang, hanya ditembusi samar cahaya mendung dari luar jendela kaca yang luas. Laut di kejauhan tampak bergelora kecil, seiring angin yang terus membadai masuk melalui celahan balkoni. Langsir putih beralun lembut, kadangkala menutupi sosok Syifa yang berdiri tegak di situ dingin, diam, namun tajam.

"Tak sangka tubuh tua kau dah tak boleh pakai lama," ujar Syifa datar, nada suaranya bagai pisau dingin yang menikam ruang.

Adrik yang baru sahaja menyarungkan jubah mandi hanya mencebik, gelak kecil meniti bibirnya. Kaca mata yang digenggam disarungkan perlahan ke batang hidung mancungnya. Matanya sempat mengamati wanita itu dengan keliru, dia tidak menyangka Syifa begitu cepat menyedari luka di sisi perutnya, meskipun cahaya di bilik itu begitu malap.

"Saya bertahan sehingga kerja saya selesai," balasnya, suaranya tenang namun jelas sarat tekad. Pandangannya tidak lari, sebaliknya mengikuti setiap gerak langkah Syifa yang kini mula melangkah mendekatinya. Tatapan dingin gadis itu dibalas dengan renungan sama dinginnya.

"Aku sudah siap menghadap takdir aku. Aku datang untuk ubat kau."

Nada Syifa kedengaran datar, matanya langsung menikam ke dalam pandangan lelaki itu. Adrik sedikit terkejut, walau hanya sekejap, sebelum wajahnya kembali kaku seperti biasa.

"Laju sangat Mikael info dengan awak," Adrik menggumam, mencapai telefon bimbitnya di atas tilam, meneliti skrin seolah-olah mencari pesanan yang mungkin terlepas pandang. "Sepatutnya dia beritahu saya dulu. Jadi saya boleh siapkan segalanya tadi malam."

"Aku dengar semuanya…" balas Syifa, suaranya tetap tenang, tapi maksudnya berat dan sarat dengan sesuatu yang tersirat.

Tatapan Adrik akhirnya jatuh, enggan membalas pandangan itu lebih lama. Dia tahu, kata-kata gadis itu bukan mainan bibir kosong.

"Kau bersiaplah. Aku tunggu kau kat makmal."

Ucapan itu terlepas datar sebelum Syifa berpaling. Langkahnya tegas, tidak menunggu sebarang jawapan, tubuhnya segera hilang di sebalik dinding, hanya bayangan langsir yang masih berterbangan menandakan kehadirannya sebentar tadi.

Adrik masih terpinga, berdiri di tengah ruang kamar yang sunyi dengan bunyi angin dari luar. Cemberut sinis kembali menghiasi wajahnya. Seakan-akan dirinya ingin memandang rendah pada gadis itu, meremehkan kefahamannya tentang dunia yang mereka jejaki. Namun dalam-dalam, pada renungan dingin Syifa tadi, dia tahu wanita itu sudah mula mengetahui sesuatu. Sesuatu yang selama ini dia cuba simpan rapi.

Pintu makmal itu ditutup rapat oleh seorang lelaki yang membawa Syifa masuk sebentar tadi. Sunyi yang terbit dari ruang itu segera menyelubungi dirinya. Syifa berdiri tegak, matanya meneliti sekeliling. Makmal ini… sudah banyak berubah. Tidak lagi seperti pertama kali dia melihatnya dahulu. Segalanya tampak lebih canggih, lebih dingin, dan lebih menggerunkan.

Langkahnya perlahan membawa tubuh ke arah kaca besar yang berdiri megah di hadapannya. Pandangan matanya jatuh ke bawah ruang di sebalik kaca itu terbentang luas, menempatkan sebuah katil khas dengan pelbagai peralatan perubatan dan eksperimen yang tersusun rapi. Sebahagiannya asing di mata Syifa, seakan direka bukan untuk tubuh manusia biasa. Dia menelan liur, sebelum beralih meneliti skrin besar di hadapan meja kawalan, paparan data berderet dengan simbol dan angka yang tidak semuanya dia fahami.

Pintu kembali terbuka. Adrik melangkah masuk, kini lengkap dengan seragam gelapnya. Tangan kirinya menggenggam iPad yang biasa dibawa, wajahnya sedikit berkerut seperti menahan sesuatu. Lelaki itu tidak menunggu lama, menarik kerusi dan duduk, kemudian memperlawa Syifa dengan isyarat tangan agar turut mengambil tempat di hadapan.

"Mikael tak tahu awak datang sini?" soalnya sambil tersengih kecil.

Syifa menggeleng malas, riaknya datar.

"Saya tak sangka dia akan mengamuk sampai begitu sekali. Tak pernah saya dengar suara dia bengit terpekik tadi," sambung Adrik dengan sengihan nakal, mengingatkan panggilan yang baru diterimanya daripada Mikael.

"Keep the nonsense to yourself… I don’t need to hear it." balas Syifa datar, menyilangkan tangan ke dada. Tatapannya dingin, membunuh gurau tipis lelaki itu. "Aku nak tahu maklumat organisasi itu. Beritahu saya semuanya. Siapa mereka? Apa tujuan mereka?"

Adrik mengangkat kening, kelihatan benar-benar tertarik dengan perubahan mendadak gadis itu. Dia menyandar sedikit, senyumnya melebar.

"Baiklah. Saya akan beritahu semua maklumat itu."

Tangannya pantas menekan papan kekunci, dan skrin besar di hadapan memaparkan deretan gambar, tanda, dan catatan. Syifa terdiam, matanya membulat saat meneliti satu persatu maklumat itu terutamanya gambar tatu yang jelas ditunjukkan.

"Organisasi itu terdiri daripada empat puak," jelas Adrik, suaranya mendatar namun tegas. "Chess, tatu mereka terletak di tengkuk. Mereka pembekal utama ubat-ubatan. Magic Cards, tatu di tengah belakang badan. Mereka pengawal, memastikan kegiatan organisasi terus tersembunyi. Zodiac, tatu di nadi kanan. Mereka kebanyakannya monster. Dan terakhir, Number, golongan buangan, yang tubuhnya telah dijadikan bahan eksperimen."

Syifa terkebil, dadanya terasa sempit saat pandangannya jatuh pada menara hitam yang terpampang di skrin.

"Black Tower," sambung Adrik perlahan, seakan ada sesuatu pada nada suaranya. "Tempat semua kejahatan mereka berpusat. Hanya Tuan Ichiro pernah menjejakkan kaki ke sana, untuk mendapatkan ramuan khas yang mereka bekalkan." Ujar sebelum membuang pandangan pada Syifa.
"Tapi aku.. tinggal disana" monolognya dalam hati

Syifa sempat melirik Adrik sejenak, namun cepat membuang pandangan kembali ke skrin. Pandangan itu membawa ingatan lama yang cuba dikuburnya, latihan beberapa tahun lalu yang menyebabkan dia masuk dalam dunia itu, tidak pernah dikongsikan kepada sesiapa. Dia sendiri pernah dibawa ke menara itu, meski sehingga kini tidak ada seorang pun yang tahu.

"Puak ini sudah berpecah," sambung Adrik lagi, jari-jemarinya menekan beberapa arahan hingga skrin memaparkan gambar-gambar pembunuhan, tubuh monster yang dipenjara, dan manusia yang diseksa untuk eksperimen. "Masih ada yang taat dengan tradisi lama, seperti yang saya terangkan tadi. Tapi ramai juga yang membelot. Kekuatan itu… membuatkan mereka semakin menggila."

Syifa menggenggam pergelangan tangannya erat, matanya kabur melihat paparan ngeri yang terus berganti di hadapan. Nafasnya berat, seakan ada sesuatu yang mula meresap masuk ke dadanya.

"Serum Mutasi. Projek VantaCell-09," suara Adrik memecah lamunannya, tajam dan jelas. "Itulah eksperimen terakhir Dr. Medeia Hill, pakar biologi dan pembekal virus. Dia sudah meninggal beberapa tahun lalu."

Wajah wanita itu terpampang di skrin. Syifa terkedu, matanya membulat, berkaca-kaca. Ada sesuatu yang menyesak di kerongkongnya. Bibirnya bergetar, ingin meluahkan, namun kata-kata itu tersekat.

Adrik memandangnya lama, sebelum menundukkan wajah sedikit. "Saya tak tahu apa yang akan berlaku kalau mereka tahu awak orang terakhir yang menguasai serum mutasi itu. Jadi… ubat yang saya akan berikan nanti akan ada kesan sampingan. Ia hanya untuk mengawal mutasi itu supaya tidak menelan tubuh awak."

"Kesan sampingan?" suara Syifa akhirnya pecah, kali ini nada dinginnya mengandungi amarah yang tertahan. Matanya menjeling tajam ke arah Adrik, menanti penjelasan yang lebih jelas.

Syifa berkerut, tatapannya tidak berganjak pada lelaki berkaca mata di hadapannya. Adrik sudah bersandar ke belakang kerusi, kerusi itu bergerak perlahan ke kiri lalu ke kanan, seolah mencari posisi yang selesa. Namun riak wajahnya tetap datar. Syifa menanti, sabar tapi tajam, menunggu lelaki itu menyambung ucapannya.

"Kesan sampingan itu akan membuat tubuh awak melemah dua atau tiga hari. Seperti orang yang tidak berdaya," ujar Adrik perlahan, nadanya dingin tetapi jelas. Dia menarik bajunya ke atas, memperlihatkan luka lebam kebiruan yang sudah memburuk di sisi perut. Luka itu nyata, meski tubuhnya masih kelihatan tegap dengan otot yang mengeras di balik kulit yang basah cahaya lampu makmal.

Syifa mengerutkan dahi, matanya meneliti luka itu. Dia tahu benar, Adrik sering menggunakan tubuhnya sendiri sebagai bahan uji kaji sebelum mempersembahkan hasil yang sempurna. Pandangan matanya kembali pada lelaki itu, dingin dan kaku.

"Tak perlu simpati," Adrik mencebik sinis. Bibirnya terherot dengan ketawa kecil yang hambar. "Kesan sampingan itu tak berkesan dengan saya sebab serum itu tak sesuai dengan tubuh saya. Ia memakan organ dalaman perlahan-lahan. Nasib baik saya ada penawar, sekurang-kurangnya mampu melambatkan kerosakan itu. Ini membuktikan ciptaan saya… sempurna untuk awak."

Bajunya kembali diturunkan, menutup luka itu seolah menutup rahsia yang tidak semua orang layak lihat.

"Serum yang akan saya berikan nanti membolehkan awak mengawal mutasi dalam tubuh awak sendiri. Awak tidak akan terkesan dengan ubatan mereka, sekalipun mereka cuba membangkitkan sisi gelap dalam diri awak. Dengan kata lain, awak hanyalah manusia biasa pada asalnya. Jadi, bertahanlah… sehingga kau mampu mengawal segalanya semula."

"Sampai macam tu sekali…" bisik Syifa perlahan, suaranya hampir tenggelam.

"Ia tak sakit pun. Awak cuma perlu bertahan dalam masa itu agar tidak terdedah kepada mereka…"

"Aku maksudkan kau."

Kata-kata itu memotong bicara Adrik. Lelaki itu terkedu, pandangannya bertembung dengan tatapan dingin Syifa.

"Sampai macam tu sekali kau buat pada diri kau sendiri. Datuk aku dah lama mati. Kenapa masih ada orang yang berusaha sedangkan arahan pada tuannya sudah lama berakhir?"

Adrik tersenyum kelat. Senyuman itu penuh pahit, lebih menyerupai luka lama yang tidak pernah sembuh.

"Saya tak dapat buat apa-apa ketika dia bersendirian menghadap maut," jawabnya, perlahan, sarat rasa bersalah.

Ingatan itu tiba-tiba menyergap. Beberapa tahun lalu… bayangan Tuan Ichiro masih jelas di mata. Czar Alexe berdiri di ambang pintu bersama dua pengawal setianya. Langkah Adrik terhenti di sebalik tembok, dadanya berdebar. Tuan Ichiro sempat melirik ke arahnya, memberi isyarat tangan supaya segera beredar. Tetapi tubuhnya kaku. Dan sekelip mata, pedang Alexe melibas kepala Tuan Ichiro terpisah, tubuhnya tumbang tanpa sempat bersuara. Nafas Adrik tercungap-cungap, dan hanya naluri pengecut membawanya melarikan diri dari situ.

"Berlari seperti pengecut…" Adrik tergelak sinis, seakan mengejek dirinya sendiri. "Sedang dia… telah memberi kehidupan pada orang buangan yang dia kutip dari Black Tower." Suaranya tenggelam, sarat dengan penyesalan.

Namun pandangannya kembali kepada Syifa, kali ini redup, penuh harapan yang cuba ditutupi dengan sinis. "Saya akan buat apa yang saya mampu. Hanya awak yang boleh mengubah syurga itu… menjadi neraka mereka."

Syifa tidak memberi sebarang reaksi. Tiada anggukan, tiada kata-kata. Dia hanya berdiri, cukup lama hingga hatinya sendiri mengerti.

"Bila nak mulakan?" soalnya datar, tekad terpantul pada suara yang dingin.

Mendengar ucapan itu, Adrik hanya mencebik. Pandangannya naik, menatap gadis itu dari hujung kaki ke wajah.

"Now." balasnya tenang.

Dia bangkit berdiri, mengangkat tangan dan mengisyaratkan ke arah lif yang dilihat Syifa tadi di hujung ruang. Tanpa menunggu, langkah mereka bergerak. Syifa mengikut dari belakang, langkahnya seiring dalam diam.

Butang di sisi pintu lif ditekan, pintu terbuka dengan bunyi mekanikal yang dingin. Adrik masuk tanpa menoleh, seolah yakin Syifa akan tetap mengekori. Gadis itu turut melangkah masuk, tubuhnya lenyap bersama lelaki itu di balik pintu besi yang perlahan-lahan tertutup.

Lif bergerak turun, membawa mereka ke ruang bawah yang entah apa menanti di sana.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience