Series
6301
Langkah Haris ingin meninggalkan ruang tahanan itu, Syifa tetap kaku di tempatnya. Nafasnya perlahan, matanya menatap kosong pada dinding lembap yang memantulkan cahaya malap dari lampu kuning di atas kepala. Ada sesuatu dalam benaknya yang tiba-tiba menjadi nekad bukan kerana berani, tapi kerana akhirnya dia ingin berpegang pada sesuatu yang masih suci di dalam dirinya.
Haris berpaling. Pandangannya tajam, dingin, dan penuh sinis. Gadis itu langsung tidak berganjak seolah tidak gentar, seolah lupa siapa yang menguasai tempat itu. Bagi Haris, itu satu bentuk cabaran halus bagi Syifa, itu sekadar bentuk kepasrahan.
"Saya nak solat kejap," ujar Syifa, suaranya tenang, nyaris berbisik. Tiada getar ketakutan di situ hanya ketenangan yang aneh.
Haris berkerut dahi. Dari semua hal yang pernah diminta tahanannya sebelum ini air, makanan, kebebasan inilah kali pertama seseorang hanya meminta izin untuk bersujud. Dia diam lama, memerhati gadis itu seperti menilai sesuatu yang tak dapat difahaminya.
"Lima minit," balas Haris akhirnya, nada suaranya berat dan sombong, namun di hujungnya ada sesuatu yang lain samar, hampir seperti rasa hormat yang cuba disembunyikan. Dia berpaling, melangkah pergi.
"Terima kasih…" ucap Syifa perlahan, seperti hembusan angin yang singgah sebentar di dinding yang dingin itu.
Haris berhenti, senyum sinis terukir di bibirnya sebelum menoleh separuh wajah.
"Lima minit dan kau dah rasa bersyukur? Aku tak beri kau kebebasan," katanya, suaranya berbaur ejekan yang dingin.
Syifa hanya tunduk.
Tidak ada kata balas. Tidak ada amarah.
Dia hanya bergerak perlahan mencari arah, berpandukan naluri dan cahaya samar yang jatuh dari celah jeriji. Tangannya terangkat, dan dalam lirih suaranya yang kecil, dia melafazkan takbir pertama memutus segala tali yang mengikatnya pada dunia.
Ruang itu tiba-tiba menjadi sunyi.
Begitu sunyi hingga Haris boleh mendengar degupan jantungnya sendiri.
Dia memerhati dari jauh tubuh itu berdiri tegak, tenang, dan seolah-olah terpisah dari dunia kelam di sekitarnya. Dalam cahaya samar, wajah Syifa kelihatan seperti bukan lagi tahanan, dia kelihatan seperti seseorang yang bebas… lebih bebas daripada dirinya sendiri.
Haris mengalihkan pandangan. Cebikan sinisnya cuba menutupi sesuatu yang bergetar dalam dadanya.
Dia melangkah keluar, namun suara di dalam hatinya tidak mahu diam.
"Jika kau patuh pun… itu tidak akan mengubah takdir kau." gumamnya perlahan, seperti menegur dirinya sendiri.
Namun, saat dia menutup pintu besi itu di belakangnya, bayangan masa lalunya datang menyapa, malam-malam yang panjang ketika dia sendiri pernah berlutut, meminta pertolongan pada Tuhan yang akhirnya dia tinggalkan.
Haris terdiam di lorong gelap itu. Nafasnya berat.
"Dusta," bisiknya pada dirinya sendiri. "Kerana aku yang tak lagi tahu kepada siapa harus kembali."
Dan dari dalam ruang tahanan yang sepi, gema lembut bacaan Syifa terus beralun, mengiris perlahan dinding hati lelaki yang selama ini menyangka dirinya sudah mati.
Dunia ini tetap berjalan.
Ia tidak pernah berhenti meski ada yang tertinggal, meski ada yang meraung memohon ruang untuk bebas dari takdirnya sendiri. Tiada siapa yang akan berpaling, langkah manusia terlalu sibuk mengejar masa, membiarkan yang jatuh terkapar sendirian di belakang. Dan di saat itu, kau akan sedar satu-satunya pilihan hanyalah berjalan juga, walau dengan kaki yang luka, walau dengan jiwa yang sudah separuh mati.
Di puncak gunung yang sepi, bau busuk kematian menyingkap rahsia yang disembunyikan langit. Tubuh Ezhar ditemui membatu di celah batuan dingin, kaku tanpa suara. Sudah seminggu jasad itu menjadi rahsia alam, sebelum manusia kembali menemukannya. Di luar bilik mayat, tangisan seorang ibu dan jeritan seorang ayah bergema, mengoyak sunyi hospital yang dingin.
Uyaina hanya terduduk. Matanya kering, suaranya mati. Kerana di hatinya dia tahu, tiada jerit lagi yang mampu memanggil roh abangnya pulang. Dunia sudah memutus tali antara mereka.
Sedang di tempat lain, dua manusia yang berlumur dosa , Mirul dan kawannya masih ketawa, seolah darah yang melekat di tangan mereka hanyalah cat yang mudah dibasuh. Dunia mereka tidak dihantui penyesalan hanya tawa palsu yang menutup bangkai kesalahan.
Muaz pula, bersama Mirul, terus mencari jejak Syifa yang hilang entah ke mana. Mereka tidak tahu, dalam pencarian itu, yang mereka buru bukan hanya seorang gadis tetapi rahsia yang mampu menamatkan segalanya.
Di ruangan pejabat yang berbau wang dan dusta, Tuan Adrian bersandar di kerusinya, menatap kepingan cek dengan senyum puas.
"Sekarang aku tahu kenapa orang tua itu pencen awal dari tentera," ucapnya perlahan. "Kerja ini jauh lebih lumayan daripada menjaga keamanan orang awam."
Pak Jais di sisi hanya mengangguk, wajah datar tanpa jiwa. Dalam dunia seperti ini, moral adalah beban yang tidak mendatangkan keuntungan.
Dan jauh di bawah tanah Villa itu di ruang yang tidak pernah disentuh cahaya matahari , Syifa berjalan perlahan, langkahnya berhati-hati meniti lantai lembap yang berbau besi dan darah lama. Dia mula mengerti, ruang bawah tanah itu bukan sekadar penjara. Ia seperti dimensi lain, satu labirin yang menyimpan rahsia lebih gelap daripada dosa manusia. Setiap pintu yang ditempuh bagai membawa ke sisi lain realiti, satu ruang yang menelan cahaya dan memberi hanya ngeri.
Di hadapannya, Haris berjalan tenang, seolah dia tahu arah setiap dinding dan liku.
Syifa hanya memandang, kosong namun berani. Dalam matanya, ada kepasrahan yang perlahan-lahan membeku menjadi kekuatan. Dia tidak tahu permainan apa yang sedang menantinya tetapi dia tahu, ketakutan bukan lagi pilihan.
Kerana dalam hidup ini, orang lain hanya tahu menilai dari luar.
Mereka melihat kejatuhanmu, tetapi tidak pernah merasa bagaimana sakitnya menyentuh dasar. Mereka tahu kau menangis, tapi tidak pernah tahu apa yang membuat kau hancur. Mereka mendengar masalahmu, tapi tidak tahu cara menenangkanmu.
Jadi akhirnya, hanya ada satu jalan, kau harus kuat lebih dulu, sebelum dunia sempat tahu apa yang sedang kau lawan.
Haris menghentikan langkahnya di hadapan sebuah pintu logam besar. Di balik pintu itu tersimpan sesuatu yang hanya dia dan Tuhan tahu, sesuatu yang membuatnya bertahan selama ini. Tangannya menyentuh skrin di sisi pintu, mengimbas tapak tangannya untuk mengakses ruang terhad itu. Setelah pengesanan selesai, pintu terbuka secara automatik, dan seketika itu juga kabus mula merayap keluar dari dalam ruang tersebut.
Syifa berdiri di belakangnya tenang, namun matanya tajam, memerhati setiap gerak langkahnya. Dalam renungan itu, Haris melihat bayang dirinya sendiri seorang manusia yang terlalu banyak kehilangan, terlalu banyak berdosa, hingga terlupa bagaimana caranya untuk kembali percaya pada cahaya.
Haris menarik nafas dalam. Matanya sempat melirik ke arah Syifa yang berdiri di belakang.
"Beyond this door is the part of me that even I stopped believing exists."
Suaranya serak dingin, namun mengandungi sesuatu yang aneh, kesedihan yang sudah lama membusuk di dasar jiwanya.
Kabut tebal menyambut mereka sebaik langkah pertama Haris menjejak lantai keluli yang dingin itu. Udara di dalam ruang tersebut berbaur logam dan sepi, sepi yang menekan dada, seolah-olah setiap zarah di udara menyimpan rahsia yang menunggu untuk membunuh tenang dalam diri.
Kabut yang keluar dari celah-celah dinding menari perlahan, membaluti kaki mereka, lalu menjalar ke sekeliling hingga hanya kelihatan siluet tubuh mereka yang samar dalam cahaya kelam. Di hadapan, tanah seperti terputus hanya sebuah tebing panjang menjulur ke hadapan, terapung di antara kabut yang tidak berpenghujung.
Syifa berhenti di belakang Haris. Tubuh lelaki itu berdiri tegak di hujung tebing, bayangnya terbentuk samar di tengah keputihan kabus seperti figura yang hilang arah di dunia yang tak lagi mengenal realiti. Suasana sunyi. Tiada suara angin, tiada gema langkah. Hanya degup jantung dan hembusan nafas yang bersatu dalam kekosongan itu.
Syifa menelan liur, memandang sekeliling, dunia di hadapan mereka tampak seperti jurang antara mimpi dan neraka terlalu sunyi untuk disebut hidup, terlalu indah untuk dipanggil mati.
Haris berdiri di hujung tebing, pandangannya tajam menikam ke ruang kosong di hadapan. "This place," suaranya serak, hampir tenggelam dalam kabut, "Is where I buried what’s left of me."
Syifa mendekat, langkahnya perlahan, berwaspada. Setiap langkah mengeluarkan gema yang seakan tenggelam ke dasar kabus, hilang tanpa jejak. Dan ketika dia berdiri di sisi Haris, barulah dia sedar, dunia di hadapan mereka bukan dunia yang nyata. Ia seperti serpihan ingatan, hancur, melayang di udara, tergantung tanpa masa dan ruang.
Dari kejauhan, bunyi logam bergeser. Pintu besar di belakang mereka tertutup rapat dengan dentuman berat yang bergema panjang, menggoncang seluruh ruang.
Kabus makin tebal.
Dunia luar lenyap.
Yang tinggal hanyalah mereka berdua, berdiri di hujung dunia, di antara rahsia dan kebenaran, antara hidup dan sesuatu yang sudah lama mati dalam diri Haris.
Dalam diam, Syifa memandang lelaki itu. Dan dalam mata dingin Haris, dia nampak sesuatu yang lebih menakutkan daripada kematian, penyesalan yang masih hidup.
Syifa memandang lama ke arah lelaki itu, matanya penuh tanda tanya yang belum sempat terurai.
"Apa tempat ini?" soalnya akhirnya, suara lembutnya bergema perlahan dalam kabus tebal yang menyelimuti segenap ruang.
Haris hanya tersenyum nipis, namun senyum itu tidak pernah sampai ke matanya. Pandangannya kosong, seolah-olah melihat sesuatu yang jauh di luar jangkauan manusia biasa.
"Tempat di mana semua rahsia akhirnya berhenti menipu diri sendiri," ujarnya datar, nada suaranya tenggelam di antara gema langkahnya yang bergema di atas permukaan batu yang dingin.
Dia melangkah perlahan ke hadapan, ke arah tebing perbatuan yang memanjang tanpa penghujung. Di sekeliling mereka tiada apa selain kabus pekat yang berputar seperti hidup, menelan setiap bayang yang cuba melangkah terlalu jauh.
"Dunia ini dicipta untuk pemain," sambungnya lagi, tanpa menoleh. "Sebanyak mana trauma kau ada, kau akan lalui semuanya sehingga selesai… untuk menemui jalan keluar."
Dia berhenti sejenak, berpaling sedikit. "Peraturannya mudah, ikut arahan, kau akan hidup."
Share this novel