BAB 56

Mystery Series 6301

Malam turun perlahan, membungkus ruang makan itu dengan kehangatan lampu keemasan yang tergantung rendah, berkilau seperti gugusan bintang kecil di siling. Candelier kristal yang memayungi meja panjang itu memantulkan cahaya lembut ke permukaan marmar gelap, menjadikan setiap garis dan corak pada meja kelihatan hidup seperti alur cerita yang ingin dibaca, tetapi disimpan diam-diam.

Bunyi sudu dan pisau berlaga pada pinggan kaca bergema perlahan, mengisi ruang dengan kehadiran yang tenang. Suasana tampak damai, seolah-olah semua orang di meja itu sedang bercerita tentang hari mereka walaupun sebenarnya hanya dua insan yang benar-benar hanyut dalam keceriaan gadis itu. Isabella tertawa kecil apabila ibunya menegurnya kerana makan terlalu laju, wajahnya berseri-seri di bawah pantulan cahaya, dan Mikail hanya sempat melirik adiknya sekilas sebelum kembali ke dunianya sendiri.

Dia duduk bertentangan dengan ayahnya, tetapi rasanya seperti duduk di dua dunia yang tidak pernah bersentuhan. Isabella mempunyai tempatnya, ibunya pula tenggelam dalam percakapan ringan, ayahnya kelihatan tenang… sementara dia sendiri terpinggir dalam kesunyian yang hanya dia dapat dengar. Riak wajahnya kosong, bosan yang tidak mampu diselindung walaupun dia cuba mengunyah daging steak yang terhidang mewah di hadapannya. Entah kenapa, makanan yang biasanya menjadi kegemarannya terasa hambar malam itu. Seakan setiap suapan tidak mampu menutup rasa yang bersarang dalam dirinya.

Matanya akhirnya jatuh kepada ayahnya.

Lelaki itu sedang berbual dengan ibunya dengan senyuman santai, seolah-olah tiada apa yang berbahaya pernah berlaku, seolah-olah tiada apa yang dirahsiakan. Padahal, beberapa hari lalu apabila Mikael bertanya tentang keberadaan Syifa… ayahnya memberikan jawapan yang terburu-buru, kononnya gadis itu telah diculik oleh individu dari organisasi yang tidak dikenal pasti. Jawapan yang penuh misteri, namun disampaikan dengan ekspresi yang sedikit pun tidak menggambarkan kecemasan seorang manusia biasa.

Dan malam ini wajah ayahnya masih sama. Tenang. Terlampau tenang.

Terlalu licin untuk dipercayai.

Mikael menarik senyum nipis, sinis, tajam senyum yang tidak sampai ke mata. Senyum yang hanya lahir daripada ejekan halus kepada ayahnya, kepada cerita bohong itu. Lelaki itu memang pandai bermuka-muka, seakan yakin dia mampu memperbodohkan semua orang di meja ini.

Tetapi tidak Mikael.

Melihat ayahnya begitu tenang walaupun nama Syifa disebut walaupun segala alasan yang diberinya baru-baru ini jelas rapuh membuatkan Mikael semakin pasti, lelaki itu memandang rendah terhadapnya.

Dan malam yang kelihatan damai itu kini terasa seperti pentas besar, di mana senyuman keluarga hanyalah topeng, dan dia… satu-satunya yang melihat retak-retak yang cuba disembunyikan.

Suara ceria Isabella memecah kesunyian ruang makan yang hanya dipenuhi bunyi sudu dan pisau berlaga pada pinggan.

"Along, minggu depan birthday saya. Mama nak buat majlis mewah kat hotel. Along jemputlah kawan-kawan Along. Don’t forget to bring me a gift." Nada gadis itu bergema ringan, sesuai dengan wajahnya yang manis dan riang, gadis lima belas tahun yang merasakan setiap perkara indah wajar diwar-warkan kepada dunia.

Puan Marissa yang mendengar hanya ketawa kecil sambil menggeleng kepala, memandang anak bongsunya dengan kasih yang lembut. Mikael pula langsung tidak mengangkat wajah, matanya dibuang terus kepada Tuan Adrian. Lelaki itu sedang berkerut dahi memerhatikan sikap dingin anak sulungnya, namun tak sempat menegur sebelum Mikael kembali menurunkan pandangan.

Senyuman sinis terukir pada bibir Mikael tipis, pedih, dan sarat makna yang tak sesiapa cuba fahami.
Manusia memang sifatnya tak malu, bisiknya dalam hati. Hanya fikir tentang diri sendiri. Apa agaknya rasa bila mereka diberikan sesuatu yang mereka tak inginkan? Penderitaan? Atau kesakitan?

Tangannya mencapai gelas dan meneguk air putih itu perlahan.

"Along dengar tak Bella cakap tadi ni?" Suara Isabella kembali memecah renungan Mikael. Gadis itu memuncungkan bibir, tidak puas hati kerana ucapannya tadi tenggelam tanpa respon.

Kini Puan Marissa dan Tuan Adrian turut menoleh, menanti jawapan daripada anak sulung mereka.

"Gift? Bella nak gift saja, kan?" Mikael bersuara, tenang dan hambar.

Isabella berkerut seketika, kemudian mengangguk laju seperti anak kecil yang baru mendapat kepastian bahawa permintaannya diterima. Mikael mengerling jam tangannya sebelum memandang ibu dan ayahnya bersilih ganti.

Kemudian bibirnya melukis satu senyuman manis pada mata kasar, namun penuh makna yang tidak diketahui sesiapa.
"Along dah siapkan awal. Cuba Bella tengok mereka berdua."

Isabella mengerut dahi, pelik. Perlahan-lahan dia menoleh ke arah kedua orang tuanya.

Dan serta-merta dunia berdiri kaku.

Puan Marissa dan Tuan Adrian memegang leher mereka serentak. Nafas mereka tersekat-sekat, dada naik turun dalam panik. Mata mereka terbeliak luas, seolah-olah sesuatu sedang membakar organ dalam mereka hidup-hidup.

"Mama!! Papa!! Kenapa ni?!" raung Isabella, tubuhnya terhuyung sebelum dia bangun dan meluru ke arah ibunya. Tangannya menggoncang bahu wanita itu, namun semakin kuat dia menggoncang, semakin jelas kematian sedang merayap ke wajah kedua orang tuanya.

Isabella menoleh pantas ke arah Mikael.
"Along buatlah sesuatu! Kenapa Along diam saja?!" pekiknya, air mata mencurah tanpa henti.

Tetapi Mikael hanya menyandarkan siku di meja, kedua-dua tangannya terangkat menyokong dagu. Dia memerhati seperti sedang menonton babak kegemaran dalam sebuah drama. Tenang. Tidak terusik walau sedikit.

Beberapa saat kemudian, bibir kedua orang tuanya mula membiru. Nafas mereka tersangkut, kemudian terputus. Tubuh mereka rebah tersembam ke atas meja makan yang masih penuh hidangan mahal. Mata mereka terbeliak, tubuh kaku dalam posisi yang menjeritkan kesakitan terakhir yang mereka rasa. Cecair merah menitis di hujung bibir mereka sebelum menitis ke permukaan meja.

Isabella terduduk di lantai. Lututnya gagal menampung berat tubuh yang digoncang trauma. Raungnya memecah ruang makan, namun tidak ada apa-apa lagi yang boleh diselamatkan.

Mikael akhirnya berdiri. Langkahnya tenang, hampir mustahil untuk percaya dia baru menyaksikan kematian kedua orang tuanya. Perlahan-lahan dia menghampiri adiknya.

Isabella mendongak. Air mata masih deras membasahi pipi. Nafasnya tersedu-sedu.
"Along… kenapa… kenapa Along..."

Kata-katanya mati ketika Mikael mengangkat tangannya.

Di celah jari Mikael tergenggam sebuah picagari kaca berisi cecair hitam pekat, berkilau dingin di bawah cahaya malap candelier. Kilauan kaca itu seakan mengisyaratkan ancaman yang sudah menunggu masa untuk mengena.

Mikael tersenyum. Manis, namun kosong.
"Aku tak boleh jaga semua orang. Aku cuma akan jaga dia… yang lebih bernilai."

Mata Isabella terbeliak. Tubuhnya bergerak mengundur secara refleks, namun langkahnya terhenti apabila punggungnya bertemu sesuatu.

Seseorang.

Pak Jais berdiri tegak di belakangnya. Tatapan lelaki itu kosong, seperti satu roh telah direntap keluar dan diganti sesuatu yang lain. Kedua belah tangannya mencengkam bahu Isabella dengan kuat. Terlalu kuat hingga gadis itu kaku tidak mampu melarikan diri.

"Lepas—Pak Jais lepaskan Bella! Pak Jais!" jeritnya, meronta dengan sisa tenaga yang masih tinggal.

Namun genggaman lelaki itu tidak pernah longgar.

Mikael melangkah semakin dekat.

"Happy early birthday… my lovely little sister."
Jeritan Isabella meletus keluar daripada kerongkongnya.

Di luar banglo mewah itu, suara gadis itu bergema seketika sebelum tenggelam ditelan malam. Dunia di luar terus berjalan seperti biasa kereta berlalu, angin berhembus, anjing menyalak entah kenapa.

Tiada siapa ingin tahu.
Tiada siapa pun peduli.

Sama seperti mereka di meja makan tadi yang tertawa, bercerita, dan tidak sedar maut sedang duduk bersama mereka sejak awal.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience