Series
6301
Ruang bawah tanah itu seakan dunia asing yang tersembunyi dari pandangan manusia. Dindingnya hitam berkilat, seolah-olah menyerap cahaya, membuatkan ruangan luas itu tampak lebih sunyi dan dingin. Dari siling yang dilapisi panel putih, cahaya terang memancar rata, terlalu sempurna hingga bayangan tubuh sekalipun hilang dari lantai licin. Hanya beberapa peralatan berdiri kaku, sebuah katil khas dengan bingkai logam dingin, meja kawalan yang dipenuhi skrin biru, dan rak penyimpanan yang tersusun rapi, memberi gambaran bahawa tempat itu dibina khusus untuk ujian dan pengawasan yang bukan milik orang biasa.
Syifa duduk di atas katil yang disediakan, tubuhnya tegak namun jari-jemarinya sedikit menggenggam hujung tilam, tanda waspada yang tak pernah reda. Matanya meliar, meneliti setiap inci ruang itu garis simetri pada dinding, kilauan cahaya yang terlalu bersih, dan udara dingin yang menusuk seolah datang dari celah dinding. Suasana itu membuatkan jantungnya berdegup dalam diam, seperti sedang menunggu sesuatu yang tak terjangka.
Dari kejauhan, sosok Adrik muncul. Lelaki itu sebelumnya menghilang ke arah sebuah ruang simpanan berkunci, pintu logam berat yang perlahan-lahan ditutup kembali setelah dia keluar. Di tangannya tergenggam sebuah beg besi berkilat, memegangnya kukuh dan penuh makna. Tubuh tinggi itu melangkah mendekat, setiap derap kakinya bergema kecil pada lantai licin, menambah tebal rasa asing yang mengikat dada Syifa.
Pandangan Syifa tertancap pada beg besi itu, dadanya terasa berat seakan tahu di dalamnya tersimpan sesuatu yang akan mengubah hidupnya sama ada sebagai penyelamat, atau penghancur terakhir.
Adrik meletakkan beg besi itu di atas meja kecil di sisi katil, bunyi logam bergeser halus memecah kesunyian ruang bawah tanah itu. Dengan satu klik, penutup beg terbuka sepenuhnya, menyingkap barisan botol kaca yang tersusun kemas, cecair berwarna kehijauan yang berkilau di bawah cahaya biru steril, dan sebuah alat suntikan yang direka khas menyerupai pistol perubatan. Semua kelihatan terlalu rapi, seolah-olah setiap satunya diposisikan mengikut protokol makmal tentera.
Syifa menelan liur, pandangannya sempat terhenti pada serum hijau itu, cecair yang berputar perlahan di dalam tabung kaca kecil. Jantungnya berdetak kencang, namun tatapannya segera dibuang ke arah lain, enggan menzahirkan resah yang menyelubungi dirinya.
Adrik mengangkat serum itu dengan penuh berhati-hati, jari-jemarinya terlatih seakan sudah mengulangi prosedur ini ratusan kali. Senyuman tipis terukir di bibirnya, dingin, tetapi penuh keyakinan.
"Semua cecair sudah saya gabungkan dalam satu serum ini," ucapnya tenang, seolah menjelaskan perkara biasa, bukannya sesuatu yang bakal mengubah hidup seseorang.
Dia kemudian memasangkan serum hijau itu ke dalam alat suntikan khas, klik logam kedengaran saat tabung terkunci kemas. Pandangannya sejenak menyorot wajah Syifa, sebelum dia menunduk semula ke arah alat itu.
"Saya tak tahu bagaimana ia akan bertindak balas dalam tubuh awak," sambungnya, nada suaranya kekal profesional, meski ada bayangan berat yang tidak diucapkan. "Mungkin agak menyakitkan, jadi saya perlu pastikan tubuh awak tidak meronta. Saya akan pasang alat tahanan ini sekadar berjaga-jaga."
Tanpa menunggu persetujuan penuh, Adrik mengaktifkan sistem pengunci pada katil khas itu. Tali logam automatik dengan lapisan pelindung kulit perlahan-lahan keluar dari sisi katil, mengikat pergelangan tangan dan kaki Syifa. Bunyi mekanikal yang mendesis membuat dada Syifa semakin ketat, namun dia tidak melawan hanya memejam mata, cuba menenangkan degup jantungnya.
Adrik mencondongkan tubuh, memeriksa satu persatu ikatan itu, memastikan ia tidak terlalu longgar atau terlalu ketat. Setelah puas hati, dia menukar sarung tangan steril, bunyi getah meregang halus kedengaran saat ia melekap pada tangannya.
"Tarik nafas perlahan. Fokus pada satu titik saja." Suaranya teratur, tenang, hampir menyerupai seorang doktor yang sedang memberi arahan rutin.
Syifa menuruti, matanya kini terpaku pada cahaya siling putih di atas kepala. Nafasnya dihela panjang, dadanya naik turun dengan ritma yang cuba distabilkan.
Adrik kemudian mendekat, hujung alat suntikan perlahan-lahan diletakkan pada titik urat nadi di lengannya. Tangannya stabil, tidak ada getar meskipun saat itu adalah detik paling genting.
"Bersedia." Itu satu-satunya amaran yang diberinya.
Klik kecil kedengaran, dan jarum mikro menembusi kulit Syifa tanpa ragu. Cecair hijau itu mula mengalir masuk ke dalam tubuhnya. Pada saat itu, Syifa menggigit bibir, tubuhnya menegang hebat seketika, matanya terbeliak menahan kesakitan yang menusuk dari dalam, seolah ada api dingin yang meresap ke seluruh sarafnya.
Namun Adrik tetap tenang, matanya fokus pada skrin kawalan di sisi yang mula memaparkan reaksi tubuh Syifa secara langsung denyutan jantung, tekanan darah, aktiviti saraf, semuanya dipantau dengan teliti.
"Bertahan… hanya beberapa minit pertama." Suaranya rendah, tetapi cukup untuk Syifa dengar, sebagai tali tipis yang menahan dirinya daripada tenggelam dalam rasa sakit yang hampir melumpuhkan.
Adrik yang sebentar tadi duduk tenang kini pantas berdiri, tubuhnya condong ke arah Syifa. Skrin kawalan di sisi terus berkelip-kelip hitam, data terpadam seolah-olah keseluruhan sistem tidak lagi berfungsi. Namun suara pembantunya di talian jelas tiada gangguan elektrik, semua sistem utama berada dalam keadaan normal.
Dahi Adrik berkerut, jemarinya segera menyentuh nadi di pergelangan tangan Syifa. Kosong. Tiada denyut. Nafasnya tertahan seketika sebelum dia mengangkat sedikit tudung yang menutupi leher gadis itu. Jarinya bergerak ke sisi leher, namun hasilnya tetap sama—hampa.
"Damn it…" gumamnya rendah, wajahnya masih tampak terkawal walau debaran jelas mengetat di dadanya.
Tanpa membuang masa, dia membuka panel kecil di sisi katil, menekan butang kecemasan. Dari bawah meja logam, sebuah kit perubatan automatik terkeluar. Tangannya pantas mencapai defibrilator mudah alih yang sudah diprogramkan untuk kes-kes berhenti jantung.
Adrik memasang pad elektroda ke dada Syifa, memastikan kedudukannya tepat. Skala voltan segera ditetapkan, jari-jemarinya menari laju di atas panel kawalan.
"Clear," ucapnya tenang namun tegas, sebelum kejutan elektrik dilepaskan. Tubuh Syifa tersentak sedikit, tetapi mesin tetap menunjukkan garis mendatar.
Adrik tidak panik. Dia menukar taktik, jarinya segera mengambil jarum suntikan darurat berisi cecair adrenalin yang tersimpan dalam kit itu. Dengan gerakan pantas, jarum itu menembusi terus ke jantung melalui ruang di antara tulang rusuk.
"Bangun, Syifa… jangan mati di tangan saya." bisiknya perlahan, hampir menyerupai doa yang tak pernah terucap sebelum ini.
Jarum dikeluarkan, defibrilator sekali lagi dipasang. Voltan ditingkatkan, lebih tinggi daripada sebelumnya.
"Clear."
Sekali lagi tubuh Syifa tersentak, dan kali ini, bunyi bip halus mula muncul semula di skrin monitor yang seketika tadi gelap. Denyutan jantung perlahan-lahan kembali, sangat lemah, tetapi masih ada.
Adrik menghela nafas panjang, keringat dingin membasahi pelipisnya. Jemarinya kembali memeriksa nadi Syifa. Masih samar, tetapi cukup untuk memberinya keyakinan bahawa gadis itu belum hilang sepenuhnya.
"Good girl… bertahanlah. Kita belum selesai." gumamnya, sebelum dia menukar semula beberapa tetapan pada mesin untuk menstabilkan aliran oksigen dan darah dalam tubuh Syifa.
Skrin kawalan mula menyalakan semula data-data penting denyutan jantung lemah, tekanan darah rendah, tetapi aktif. Matanya terus fokus, seakan tidak mahu terlepas walau satu detik kecil perubahan pada tubuh Syifa.
Adrik mula menghela nafas lega tatkala skrin kawalan menunjukkan tanda-tanda stabil pada tubuh Syifa. Namun kelonggaran itu hanya seketika. Seorang pembantu lelaki tiba-tiba berlari masuk, tercungap-cungap sambil menjerit kuat.
"Run!! "
Pekikan itu bergema dalam ruang dingin tersebut. Adrik berkerut, cuba memahami maksud di sebalik riak wajah cemas pembantunya itu. Namun jawapan datang lebih pantas dari fikirannya.
Sosok tubuh Syifa tiba-tiba sahaja muncul di belakang lelaki itu. Matanya merah menyala, wajahnya dingin tanpa riak manusiawi. Adrik menoleh ke katil, kosong. Gadis itu sudah berdiri tegak di belakang mangsanya.
Belum sempat pembantu itu berpaling, Syifa memusingkan kepalanya dengan satu gerakan pantas. Bunyi tulang patah bergema, tubuh lelaki itu terkulai lalu jatuh menyembam ke lantai tanpa bernyawa.
Adrik terkaku, terkebil-kebil menyaksikan adegan ngeri itu. Tangannya segera mencapai sesuatu di atas meja kecil, botol cecair dari beg besi yang masih terbuka. Bunyi logam bergeser halus saat botol itu digenggam.
Pandangan Syifa kini tertumpu padanya. Dengan kecepatan luar biasa, tubuh kecil itu sudah berada di hadapannya. Tangannya melilit leher Adrik, mencekik kuat sehingga tubuh lelaki itu terangkat dari lantai. Nafasnya tersekat, matanya membuntang, namun dalam hatinya dia tahu, Syifa langsung tidak mampu mengawal dirinya sekarang.
Saat penglihatannya hampir kelam, satu tembakan elektrik meletup di udara, mengenai tubuh Syifa. Tubuh gadis itu mengejang, jeritan kesakitan meletus dari bibirnya sebelum genggaman di leher Adrik terlepas. Lelaki itu jatuh terhentak ke lantai, terbatuk-batuk mencari nafas.
"Pass ubat tu dekat aku, Adrik!" suara Mikael bergema, keras dan penuh desakan. Dia muncul dari sisi pintu, pistol canggih di tangannya masih berasap dari tembakan elektrik tadi.
Adrik tidak membuang masa. Botol serum yang digenggamnya dibaling ke arah Mikael. Lelaki itu menyambut dengan pantas, lalu memasangkannya ke dalam pistol suntikan berteknologi tinggi, senjata yang mampu menembak cecair terus ke dalam sistem tubuh mangsa.
Dengan gerakan cekap, Mikael menarik picu. Peluru serum hijau meluncur tepat ke betis Syifa. Cecair itu meresap pantas ke dalam tubuhnya, membuatkan seluruh tubuhnya bergetar hebat. Gadis itu meraung seketika sebelum akhirnya terkulai kaku di lantai.
Adrik yang masih terduduk di lantai mengangkat wajah, pandangannya berselisih dengan Mikael yang kini melangkah mendekat.
"Apakah ini berkesan?" suara Mikael datar, seolah tiada gentar, namun mata tajamnya jelas menunggu jawapan.
Adrik tidak segera menjawab. Dia memaksa tubuhnya berdiri, langkahnya terhuyung sedikit sebelum mendekati Syifa yang sudah terbaring tidak bergerak. Melutut di sisi, matanya meneliti urat-urat hitam yang kini mula timbul jelas di permukaan kulit gadis itu. Nafasnya berat, jari-jemarinya menyentuh perlahan urat itu seakan menilai setiap perubahan.
"I need to verify the reaction," ucapnya rendah, hampir seperti berbicara kepada dirinya sendiri, namun cukup jelas untuk didengar Mikael. "I’ll run another blood analysis to determine if the serum has stabilized in her system."
Mikael berkerut dahi, matanya masih tidak beralih daripada tubuh Syifa yang kaku. "So, we’re not sure if she’s going to make it yet?" soalnya, nadanya datar namun terpalit keresahan yang tersembunyi.
Adrik menghela nafas panjang, kemudian bangkit perlahan. Tangannya mencapai kit pengambilan sampel di meja berhampiran. "Not yet. But if her vitals hold for the next few minutes… this serum might be the only thing keeping her alive."
Dia menoleh sekali lagi pada Syifa, tatapannya penuh tekad, namun di sebalik itu ada kegusaran yang sukar disembunyikan.
Share this novel