BAB 33

Mystery Series 6301

Dewan megah yang tadinya dihias indah untuk meraikan kemenangan kini bertukar menjadi medan pertempuran berdarah yang sungguh sadis. Setiap inci lantai dipenuhi dengan tubuh-tubuh yang tumbang, kesemuanya dari kalangan orang bawahan yang berpusu-pusu melawan seorang gadis yang usianya baru menginjak belasan tahun. Namun kesemua mereka dihabiskan tanpa belas, dengan setiap serangan dari pedang khas yang berada di tangannya, pedang yang tidak seperti senjata biasa.

Sebatang pedang panjang bersinar garang di bawah cahaya neon kelam, teknologi tinggi menjadikan bilahnya sesuatu yang menakjubkan dan menggerunkan. Bilah itu kelihatan seolah-olah ditempa dari logam hitam matte yang menyerap cahaya, menjadikannya hampir tidak kelihatan dalam gelap. Namun di sepanjang tepinya, terbenam jalur cahaya keemasan yang berdenyut perlahan seperti nadi hidup. Jalur ini bukan sekadar hiasan, ia mengalirkan tenaga aktif yang menyambung sistem kawalan pintar terus ke hujung bilahnya, menjadikan setiap gerakan pedang itu tepat dan mematikan. Seakan darah musuh yang ditebasnya menjadi bahan bakar kepada nafsu pemiliknya, makin banyak yang tumbang, makin ganas pemegangnya menagih lebih.

Edward, yang sejak awal hanya duduk bersilang kaki di takhta utamanya, menunjukkan ketertarikan yang jelas terhadap pertarungan itu. Matanya bersinar tenang tetapi tajam, mengamati setiap pergerakan dengan penuh minat. Dia tidak menyangka bahawa gadis itu mampu menewaskan kesemua mereka hanya dengan kemahiran berlawan tanpa berubah bentuk. Apakah maklumat yang sampai kepadanya sebelum ini salah? Jika benar budak itu manusia mutasi seperti yang didakwa, mengapa sehingga saat ini tiada satu pun tanda transformasi kelihatan?

Dan akhirnya, segala-galanya berakhir apabila lelaki terakhir tumbang dengan satu tusukan pedang ke dada. Tubuhnya jatuh menyembah lantai, nafas terakhirnya terhenti serta-merta. Namun pedang di tangan Syifa kekal kering, seolah-olah darah itu diserap atau dipadam sepenuhnya oleh sistem di dalamnya.

Syifa berdiri, dan dari jauh, mengangkat wajahnya ke arah Edward yang masih duduk di kerusinya yang tinggi di atas tangga besar bercabang dua. Tanpa berkata apa-apa, dia melepaskan topeng hitam licin yang menutup wajahnya, membiarkannya jatuh ke lantai marmar berdarah, sebelum dia memecut naik tangga menuju ke arah Edward.

Langkahnya pantas dan tajam, pedang masih erat dalam genggaman. Edward tetap duduk, tidak berganjak sedikit pun, seolah-olah kehadiran Syifa yang kini mengacukan bilah pedang ke lehernya hanyalah seperti angin lalu. Senyuman sinis terukir di bibirnya, dan matanya yang jernih mencerlung tenang ke arah gadis itu. Titisan darah mengalir dari hujung jari Syifa, menitis ke lantai, namun tangannya tetap kukuh, amarahnya tajam tertumpu pada satu titik, leher lelaki itu.

"¡Ya he ganado, mierda! ¡Ahora suéltame, o tu vida termina aquí! (Aku sudah menang, tak guna. Sekarang lepaskan aku, atau hayat kau sampai disini saja.)" Suara Syifa kedengaran datar, tanpa goyah. Tatapannya tajam dan keras menentang tenang Edward yang hanya membalas dengan tawa kecil dan nada memperlekeh.

"No tengo miedo de morir, si quien me arrebata la vida eres tĂş, (Aku tidak takut untuk mati, jika pencabut nyawa itu adalah kau.)" balas Edward, masih dengan wajah sinis yang tidak menunjukkan sebarang gentar. Dia perlahan-lahan berdiri, dan bilah pedang Syifa kini hampir menyentuh kulit lehernya. Namun lelaki itu tidak peduli. Malah dia sengaja mendekatkan dirinya sedikit lagi, membenarkan bilah itu menghiris kulitnya hingga menitik darah segar.

"Pero es una pena morir antes de ver el verdadero espectáculo. Te daré otra oportunidad. ¿Quieres? (Tapi sangat disayangkan aku mati sebelum sempat menonton persembahan yang sebenar. Aku akan beri kau peluang lagi. Nak?)" sambung Edward dengan nada menggoda, menyeringai sambil menatap wajah Syifa yang kini mula berkerut. Wajahnya yang selama ini tenang kini bersinar dengan keterdesakan yang pelik, seolah-olah benar-benar mahukan Syifa menerima tawarannya.

"If you think I’m some beast you can tame," Syifa membalas dengan suara dingin, "I’ll devour you just to feel full."

Dan tanpa amaran, Syifa menikam dada Edward dengan sepenuh tenaga. Pedang itu menembusi tubuhnya, terbenam tepat di jantung. Tubuh lelaki itu terhuyung dan akhirnya rebah melutut di hadapan Syifa. Darah mengalir laju, membasahi tubuh dan pakaian mahalnya. Namun apa yang lebih mengerikan, Edward masih ketawa. Ketawa yang perlahan-lahan berubah menjadi berbahak-bahak, nyaring dan menyakitkan jiwa.

Meskipun pedang masih terbenam di dadanya, wajah lelaki itu seakan tidak menunjukkan kesakitan. Dia mendongak, menatap Syifa yang berdiri megah di hadapannya dan hanya mencebik sinis.

"You wanna know what I find really interesting, Aurora?" katanya perlahan, matanya bersinar dengan sesuatu yang tak terjangka. Seakan tubuh itu masih belum ingin tumbang, dan nyawanya belum benar-benar padam.

Syifa menatap datar wajah lelaki yang semakin melemah itu, tiada riak simpati mahupun minat pada kata-kata terakhir Edward yang cuba diluah perlahan. Pedang di tangannya ditekan lebih dalam ke dada lelaki itu, seolah tiada ruang untuk belas kasihan lagi. Jika dia memilih untuk terus berdalih, maka lebih baik riwayatnya ditamatkan sekarang juga.

Jeritan tertahan mula bergema dari bibir Edward saat besi dingin itu semakin dalam merobek dadanya. Tubuhnya menggeletar, tangan terangkat menahan bilah yang kini menikam jauh ke dalam rusuk. Nafasnya sudah tidak terkawal. Syifa hanya menjongket kening, lalu melangkah sedikit hampir. Dengan selamba, dia duduk sambil satu kakinya disilangkan ke hadapan, matanya tidak lari dari lelaki itu.

"Pain, is it? Funny… this blade was crafted to make its master bleed." Ucap Syifa sinis sambil menyeringai. Tatapannya tajam mengawasi Edward yang kini menunduk sedikit, seperti sedang mencuri nafas terakhirnya. Darah mula membuak perlahan-lahan dari mulutnya, dan tubuhnya mulai menggigil.

Dalam sisa tenaganya, Edward mengangkat kepala, menatap Syifa yang hanya beberapa langkah di hadapannya. Tiada empati dalam pandangan gadis itu, hanya kekosongan yang dingin. Namun secara tiba-tiba, tangan Edward terangkat dan sekeping kad hitam dilemparkan ke lantai, meluncur berhenti tepat di kaki Syifa.

Syifa hanya melirik kad itu sebelum kembali menatap Edward, masih tidak berganjak.

"No puedes salir de esta torre sin eso, chica. Sal por la parte de atrás del salón… y llegarás directamente al portal, el Círculo del Elegido. (Kau tak boleh keluar dari menara ni tanpa itu, budak. Keluar dari belakang dewan ni… kau akan terus menuju ke portel, Lingkaran Pemilih.)" Ujar Edward sambil suara seraknya kian mengendur. Darah merah pekat mengalir dari sudut bibirnya, namun matanya tetap terbuka, masih sempat mengukir sengihan walau tubuhnya sedang nazak.

Syifa tetap diam. Tidak ada rasa kasihan di wajahnya, tetapi jauh di dasar fikirannya, dia terkejut bukan kerana keadaan Edward, tetapi kerana tindakan lelaki itu memberikan jalan keluar. Mengapa lelaki itu, yang sebentar tadi sanggup bermain dengan nyawanya, kini membuka laluan untuk dia melarikan diri?

"Aparte de mí, hay alguien más que viene aquí para conseguirte. Nadie más puede tenerte… excepto yo. Así que vete. (Selain aku, ada orang lain yang sedang menuju ke sini untuk dapatkan kau. Tak ada sesiapa boleh miliki kau… selain aku. Jadi pergi.)"

Nafas Edward makin berat, namun lidahnya masih sempat mengulang kata-kata itu dengan perlahan. Melihat Syifa sudah berdiri dan mengambil kad itu, matanya bersinar puas walau wajahnya jelas menahan perit.

Syifa tanpa berkata apa-apa, memusing tubuh dan mula melangkah menjauh dari lelaki itu. Namun belum sempat dia benar-benar hilang dari pandangan, satu suara memanggil.

"¡Oye...! (Hoi…)”

Langkahnya terhenti. Syifa menoleh sedikit, sekadar memberi peluang untuk mendengar apa yang mungkin merupakan kata-kata terakhir lelaki itu.

"Puedo leer la mente de los demás, (Aku boleh baca minda orang lain,)" ujar Edward lemah, "Pero no puedo obtener eso de ti. ¿Eh… será esa cosa lo que me impide controlarte…? (Tapi aku tak dapat itu dari kau. Hah… apakah benda itu yang menahan aku untuk mengawal kau…?)"

Syifa tidak membalas. Tatapannya tetap datar, tidak terjejas oleh kata-kata itu. Mungkin dia tidak sepenuhnya faham maksud tersirat Edward, tetapi dia tahu satu perkara, orang-orang pelik dalam menara ini semuanya menyimpan rahsia. Dan rahsia itu bukan miliknya untuk dihurai sekarang.

Latihan bersama datuknya akan tamat menjelang pagi. Dia perlu segera pulang, sebelum sesiapa yang disebut oleh Edward itu benar-benar muncul dan menutup peluangnya untuk keluar dari neraka ini.

Tanpa menoleh lagi, dia mula berlari, melintasi dewan berdarah yang kini sunyi dan penuh mayat, menuju ke pintu belakang. Ke arah Lingkaran Pemilih jalan keluar terakhir dari tempat ini.

Dalam senyap yang menggema, Syifa berdiri tegak di tengah-tengah bulatan besar yang terbina daripada batu hitam berkilau. Permukaannya licin, dingin dan memantulkan sisa-sisa cahaya yang menembusi ruang terbuka dari atas. Struktur itu tampak seperti pentas purba, dibina dari teknologi lama dan baru yang berpadu, mencipta satu aura yang sukar dijelaskan. Setiap lingkaran yang membentuk bulatan itu terukir halus, berlapis-lapis mengelilingi pusat seolah-olah gelombang masa yang terhenti, membeku di satu dimensi yang tidak terjangkau oleh masa nyata.

Langit di atasnya dilukis kelabu, berarak perlahan seperti kabus di atas bukit-bukit jauh yang menjadi latar belakang. Alam seolah-olah memerhati dari kejauhan, menjadi saksi senyap kepada sesuatu yang hanya berlaku sekali dalam satu kitaran. Bangunan separa terbuka mengelilingi kawasan itu, tingginya hampir menyamai dinding penjara zaman silam, tetapi rekaannya moden dan menggerunkan, seolah-olah gerbang masa yang tidak mengenal belas. Di atas, terdapat satu bukaan besar berbentuk bulat, membenarkan cahaya semula jadi mencurah turun, menyinari tepat ke titik tempat Syifa berdiri, pusat Lingkaran Pemilih.

Portal itu tidak seperti apa-apa yang pernah dilihatnya sebelum ini. Ia tidak berdengung, tidak bergetar tetapi cukup dengan keheningan dan aura yang membuatkan tubuhnya membeku. Sebaik kakinya melangkah masuk ke bulatan tengah, satu cahaya biru neon terpancar dari dasar batu, menyala perlahan. Ia berputar dalam gerakan spiral, berdenyut tenang seperti nadi yang hidup. Cahaya itu tidak menyilaukan, tetapi cukup kuat untuk menampakkan setiap inci tubuhnya diselimuti pancaran yang tidak berasal dari dunia ini.

Syifa terkedu. Matanya merenung cahaya di bawah kakinya seolah-olah tidak percaya apa yang sedang berlaku. Nafas ditarik dalam-dalam. Tangannya mengangkat kad hitam yang diberi Edward tadi, sebelum dia perlahan-lahan menyisipkannya ke dalam pancaran cahaya biru yang sedang berputar.

Detik itu, seolah-olah masa terhenti.

Kilauan biru yang pada mulanya tenang, kini membungkus seluruh tubuhnya semakin terang, semakin pekat. Seperti air yang menyedut jasadnya ke dalam, seperti tenaga yang menelan ruang dan waktu. Angin tiba-tiba menyapa, walau tiada badai. Pepohon yang berada jauh dari lingkaran mula menggoyangkan daunnya, melambai seakan mengucapkan selamat tinggal.

Dan kemudian, dia hilang.

Tubuh Syifa lenyap dalam cahaya, tanpa jejak. Tiada gema tapak kaki, tiada pantulan bayang. Hanya pancaran biru yang perlahan-lahan malap, sebelum menghilang sepenuhnya.

Tempat itu kembali sunyi. Angin berhenti. Cahaya suram kembali memeluk ruang sekeliling. Segalanya kembali seperti sedia kala… seolah-olah tiada sesiapa pernah berdiri di situ.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience