Series
6301
Mikael akhirnya mengalihkan pandangan, menatap Adrik yang sedang bersilang tangan ke dada. Lelaki itu menarik nafas dalam, seakan menanggung beban yang terlalu berat.
"Semua yang aku lakukan selama ini… hanya sia-sia. Aku cuba untuk lindungi dia. Tapi tanpa aku sedar… dia tetap terjerat dalam kisah lampaunya." Suara Mikael kedengaran rendah, sarat dengan kesal. Kepalanya tunduk, hampir tidak mampu menatap wajah adiknya yang tidak berdaya.
Adrik mendengar dengan wajah yang tetap tenang, lalu berkata datar, "Sekarang yang boleh kita buat, hanya sembunyikan perubahan dia daripada pandangan organisasi itu."
Dia melangkah setapak lebih dekat, nada suaranya berubah, lebih mendesak, "Lepas dia sedar, minta dia jumpa saya. Dia perlukan ubat tu. Kau perlu ambil keputusan yang sewajarnya, Mikael. Dia bukan budak kecil yang dulu lagi. Kita tak boleh terus sembunyikan dia. Dia perlu berani hadapi takdir dia sendiri."
Kata-kata itu membuatkan Mikael mendongak, menatap tepat ke arah Adrik yang tidak jauh darinya. Sunyi kembali menyelubungi, hanya degup jantung masing-masing yang terdengar jelas di ruang yang samar itu.
Mikael mencebik sinis, sebelum membuang pandangan kembali ke arah Syifa yang masih terbaring di atas katil. Wajahnya tampak kosong, seolah tiada jiwa.
"Aku tak boleh bayangkan… kalau dia berubah seperti itu lagi." Ujarnya datar, namun nadanya mengandungi getir yang tersembunyi. Pandangannya perlahan-lahan terhanyut ke masa silam.
Ingatan itu menyerbu tanpa diundang. Sosok kecil Syifa berlumuran darah, tubuhnya dilingkari urat-urat hitam yang menjalar ke seluruh permukaan kulit. Matanya merah menyala, bukan lagi mata seorang gadis kecil, tetapi mata seorang pemangsa. Ruang itu kucar-kacir, bersepah dengan sisa perabot dan darah yang mengotori lantai. Dan di tengah kekacauan itu… terbaring tubuh seorang pembantu wanita yang malangnya menjadi mangsa.
Mikael, yang ketika itu masih muda, hanya mampu terduduk kaku. Seluruh tubuhnya menggigil menyaksikan pemandangan mengerikan itu. Nafasnya seakan terhenti saat Syifa kecil berpaling ke arahnya, senyuman sinis terukir di bibir merah yang ternoda darah. Perlahan, langkah kecil itu mendekatinya, namun dengan aura yang begitu asing, begitu menakutkan.
Mikael segera menggelengkan kepalanya kuat-kuat, seakan ingin mengusir bayangan itu jauh dari fikirannya. Nafasnya tertahan, dadanya berombak, cuba menolak ingatan yang masih menghantui dirinya hingga kini.
Adrik, yang sedari tadi hanya diam, menangkap setiap perubahan riak wajah Mikael. Dia menghela nafas perlahan, lalu suaranya bergema datar, tanpa riak simpati.
"Dia tetap perlu berdepan dengan takdirnya sekali lagi. Kita hanyalah penangguh, bukan penghalang. Sama ada dia mampu mengawal dirinya… atau tenggelam dalam hilang kewarasan."
Adrik kemudian meletakkan tangannya di bahu Mikael, genggamannya kukuh, seolah mahu menyalurkan keyakinan paksa kepada lelaki itu. "Kau tahu, Mikael… kita takkan mampu selamanya menutup mata. Kau boleh benci kenyataan ini, tapi lambat laun, dia sendiri yang perlu memilih."
Mikael terdiam. Rahangnya menegang, bibirnya diketap rapat hingga pucat. Detik itu, tiada lagi kata yang keluar darinya. Perlahan, hanya sebuah anggukan kecil yang lahir, tanda setuju atau mungkin sekadar pasrah kepada keputusan yang perlu mereka ambil.
Di dalam duplex penthouse yang sunyi, Haris kembali menutup pintu dengan perlahan, riak wajahnya murung dan tertahan. Kakinya berhenti seketika, langkahnya terhenti di tengah ruang, tetapi benaknya masih terngiang-ngiang dengan riak wajah dan arahan yang baru sahaja dilontarkan oleh Lucian Greyford, ayah angkatnya. Dia menghela nafas panjang, seakan menanggung beban yang tak kelihatan, dan setiap langkah terasa berat di bawah tekanan yang masih membekas di dadanya.
Fikirannya kembali memutar semua arahan lelaki itu, kata demi kata, nada sarkastik yang menusuk, dan harapan dingin yang disalurkan melalui tatapan Lucian.
Di ruang tamu yang luas, Lucian Greyford bersandar di kerusi kulitnya. Bayangannya memanjang di atas lantai marmar, tajam dan dingin. Matanya meneliti Haris setiap saat, setiap gerakan lelaki itu ditimbang seakan mainan yang halus dan rapuh. Suaranya tenang, namun setiap perkataan terasa menusuk, seperti jarum yang mencucuk tulang.
"Tell me, Haris… have you caught the little mutant yet?" Nadanya manis di permukaan, tetapi setiap kata seolah membawa racun yang lambat-lambat menular.
Haris menelan liur, menunduk sebentar sebelum menjawab perlahan, suaranya bergetar sedikit meskipun cuba dikawal. "Belum… Papa. Saya masih memerlukan strategi yang tepat untuk mengawal sepenuhnya keadaan."
Lucian meletakkan tangannya di atas meja, mengetuk-ngetuk jari dengan irama tenang sambil senyum sinis menguntum di bibirnya. "Strategy? Oh, Haris… I do not want your excuses. I want perfection. Everything you’ve handled before… executed flawlessly. And now… a little girl delays you?"
Haris tetap diam, matanya menunduk, membiarkan kata-kata itu meresap ke dalam dirinya. Ia seperti sudah biasa dengan sindiran dan tekanan yang datang dari lelaki itu.
Lucian mencondongkan tubuh, matanya menyala dengan nada manipulatif. "Do you realize, Haris… you were plucked from nothing. No name. No family. Only time, resources… and me. Yet here you are, stumbling over a child? I expected you to treat my instructions seriously. Every order, every task… executed as I command."
Dia bangkit perlahan, langkahnya memenuhi ruangan, seperti bayangan gelap yang menghimpit setiap inci ruang. "Do you feel the weight of opportunity slipping through your fingers? Every moment you hesitate… another organization circles, another predator smells weakness. And you… you linger on a trivial complication."
Lucian tersenyum, namun senyum itu tidak membawa kehangatan hanya dingin seperti besi. "I’m giving you a few more days. After that… if you fail, someone else will seize her first. Every organization knows the scientist’s last creation is dead. The opportunity is fleeting. Either we control her… or she becomes theirs to exploit. Time is slipping, Haris. And I… will not tolerate any delays."
Haris menunduk lebih dalam, membiarkan kata-kata itu menimpa dirinya. Diamnya bukan penentangan tetapi penerimaan. Ini sudah menjadi sebahagian dari dirinya, sebahagian dari takdir yang dibentuk Lucian Greyford.
Di luar jendela, hujan mulai menimpa batu hitam halaman rumah besar itu, menciptakan bunyi yang dingin dan ritmis. Haris mengangkat kepala sebentar, menatap bayangan Lucian yang memanjang di lantai, dan dalam hatinya, dia tahu… setiap arahan, setiap hinaan, adalah sebahagian dari rantai yang mengikatnya erat, tanpa jalan keluar.
Haris masih berusia sepuluh tahun ketika malam itu menjadi luka dalam ingatannya, sebentuk mimpi ngeri yang terus menghantui. Tidur yang lena terganggu oleh gonggongan anjing yang bergema dari ruang simpanan sayur-sayuran di bangunan penginapan pekerja. Hatinya tergerak, dan tanpa sedar dia melangkah ke tingkap, matanya menangkap bayang-bayang yang tak sepatutnya wujud pada jam seawal itu.
Sekumpulan manusia bertopeng, senyap namun mengerikan, sedang menuang sesuatu di sekeliling gudang kapas. Hati kecil Haris berdebar, naluri takut dan ingin tahu berperang di dadanya. Dan tiba-tiba… percikan api, peti api dilemparkan ke arah cecair yang disimbah itu. Dalam sekelip mata, api menjilat setiap sudut kayu dan kain kapas, membakar malam dengan kemarahan yang membara.
Haris menjerit memanggil ibunya, suaranya pecah, penuh panik. Ibu yang masih separuh lena terjaga, matanya yang sayu bertemu dengan panik dan ketakutan anaknya. Api marak dengan ganas, menelan bangunan tempat mereka berteduh. Di luar, para pekerja berlari menyelamatkan diri, tetapi di mata Haris, setiap langkah mereka penuh kekeliruan, tidak seorang pun yang menoleh kembali.
Haris menatap, beku, ketika melihat ibu dan ayahnya tetap berusaha menyelamatkan yang lain. Namun satu per satu, manusia di luar bangunan tidak lagi melihat kelibat mereka. Jantungnya seakan berhenti ketika api semakin menelan setiap inci kayu dan dinding. Suara jeritan, api yang meraung, dan asap yang menyelimuti malam… semuanya menyatu menjadi satu kepedihan yang menusuk sanubari.
Ketika akhirnya bangunan itu roboh dalam kobaran api yang menelan segalanya, tubuh Haris kaku. Hatinya tahu, dengan kepastian yang pahit, bahawa tiada siapa lagi yang mampu menyelamatkan ibu dan ayahnya. Mereka hilang, bukan sekadar dari pandangan, tetapi dari dunia yang pernah Haris kenali, meninggalkan hanya bayangan dan kepedihan yang membara di dalam jiwa seorang budak yang terlalu cepat dewasa.
Haris duduk di bangku keras balai polis, tangannya masih bergetar, matanya merah akibat menangis tanpa henti. Setiap kata yang cuba diluahkan tentang lelaki-lelaki bertopeng yang dia lihat malam itu, tentang api yang menelan segalanya, terhenti di bibir. Pegawai polis di depannya, dengan senyuman sinis yang hampir tak tersurat, hanya mengangguk-angguk malas, seolah-olah setiap perkataan Haris hanyalah bunyi angin yang berlalu tanpa makna. Akhirnya, dengan nada sarkastik, dia menutup buku catatannya yang kosong lebih daripada penuh.
"Baik, kamu sudah cakap. Pulanglah, biar kami uruskan," suara pegawai itu, dingin dan sarkastik, menutup ruang Haris untuk diterima serius. Perkataan itu menikam lebih dalam daripada bara api yang Haris saksikan malam itu. Tiada rasa tergesa untuk menyiasat, tiada percikan empati yang menembusi dinding sikap acuh tak acuh mereka.
Haris menahan nafas, menatap kosong ke lantai sejuk. Air mata yang seharusnya menitis, kini sudah kering, tinggal kekosongan yang membakar dalam dadanya. Dalam dadanya, jeritan masih bergema jeritan yang dia tahu tidak akan pernah sampai ke telinga sesiapa pun.
Dia tahu, tiada seorang pun di situ yang benar-benar mendengar suaranya. Walau dia menjerit, meraung memohon agar jenayah itu ditangani, suaranya hanyalah gema yang hilang di ruang besar itu. Dunia, dalam sekejap itu, tersingkap ke wajah sebenar tidak selalu memberikan penghargaan, tidak selalu menepati janji keadilan. Kebaikan orang lain, pengorbanan yang tulus, hanyalah debu yang mudah dilupakan.
Dia ingin meronta, ingin menjerit lebih kuat bahawa orang tuanya diragut, bahawa nyawa mereka tidak boleh diperlakukan seolah-olah cuma angka dalam laporan. Namun ruang itu terlalu dingin, terlalu pekak untuk suaranya yang kecil.
Saat Haris melangkah keluar dari balai itu, malam terasa lebih berat daripada sebelumnya. Dia sedar satu hakikat yang tidak lagi mampu dia tolak, dunia ini tidak selalu menghargai kebaikan, tidak selalu menyanjung pengorbanan. Ada yang mati dikenang, ada pula yang mati dilupakan seolah-olah tidak pernah wujud.
Haris menghela nafas, perlahan, menelan pahit yang tidak terucap. Sebuah tekad terbentuk di dadanya, jika dunia tidak akan mendengar, maka dia sendirilah yang harus menegakkan apa yang betul. Dan di hati kecilnya yang luka, lahirlah satu kesedaran yang membara kadang-kadang, keadilan bukan hadiah yang datang dengan mudah ia mesti dicari, dipertahankan, walau sendiri.
Cahaya pagi itu menyelinap masuk di celah langsir yang terbuka sedikit, memancar redup ke dalam kamar yang masih dibaluti keheningan. Haris membuka matanya perlahan, tubuhnya masih bertiarap di atas tilam yang bersepah dengan cadar putih. Di sepanjang garisan belakang badannya, terserlah jelas tatu berbentuk magic cards – Ace, direka khas dengan corak akar berduri yang melingkari kad tersebut, seolah melambangkan kekuatan dan ancaman yang tersembunyi di dalam dirinya.
Dengan sedikit malas, dia mengangkat diri lalu duduk di tepi katil, kakinya mencecah permaidani yang lembut. Sosok tubuhnya yang sasa kelihatan jelas, cahaya pagi menari di atas otot perutnya yang tegang. Kini tubuh itu hanya berbalut seluar panjang, sementara rambut depannya diraup ke belakang dengan gerakan acuh tak acuh.
Telefon bimbit di meja sisi bergetar, tertera nama pemanggil Prof. Yoo. Haris tidak tergesa-gesa, sebaliknya membiarkan deringan itu seketika sebelum menekan butang hijau.
"Aku dengar keadaan kau sangat buruk?" Suara lelaki di hujung talian kedengaran tenang, namun sarat dengan maksud tersirat.
Haris menghela nafas perlahan sebelum menjawab, suaranya tenang meski kepalanya masih terasa berat.
"Ya… tak perlu risau."
Tiada jawapan lanjut dari lelaki itu, hanya senyap yang berbaki. Haris segera menamatkan panggilan, pandangannya jatuh pada sebuah kapsul berisi ubat khas di atas meja lampu. Tangannya terulur, menekan penutup kapsul itu dan mengambil sebiji pil merah. Dengan wajah sedikit berkerut, ubat itu ditelan, sementara tangan kirinya sempat menekan perut yang masih terasa sakit akibat kecederaan semalam.
Dia bangkit berdiri, tubuhnya tegak namun sorot mata masih dingin. Dengan segera, Haris membuat panggilan lain. Kali ini disambut pantas oleh Edlen, orang kepercayaannya.
"Edlen, arahkan lelaki itu buat seperti yang kita sudah rancangkan. Aku akan segera ke sana selepas selesai." Suara Haris tegas, tiada ruang untuk persoalan.
"Baik, tuan. Saya akan atur seperti arahan tuan." Balas Edlen patuh.
Haris terdiam seketika, pandangannya melirik ke luar tingkap yang disimbah cahaya pagi. Nada suaranya kembali dingin, seolah mengukuhkan setiap kata.
"Perempuan itu tak boleh jatuh ke tangan mana-mana puak… melainkan puak Magic Cards."
"Baik, tuan. Saya faham." Edlen mengiyakan dengan segera sebelum talian dimatikan.
Haris tidak menunggu lama. Tubuhnya dilangkahkan ke bilik mandi, pintunya dibiarkan sedikit terkuak. Bunyi pancuran air mula bergema, memecah kesunyian kamar yang masih dibaluti sisa malam.
Share this novel