Series
6301
Tapak kasut kulit Affendi bergema lantang di ruang parkir tingkat atas Kelab Malam Velour Eclipse. Setiap langkahnya memantulkan aura seorang lelaki yang tahu apa yang dia mahu. Matanya jatuh pada sosok lelaki yang menunggu di sisi sebuah jentera hitam berkilat, Muaz.
Lelaki itu menanggalkan helmetnya perlahan, rambut depannya diraup ke belakang sebelum tubuhnya bersandar santai pada Yamaha R7 yang garang. Dari cara dia berdiri, jelas dia bukan orang biasa.
"Ubat yang aku jumpa dalam beg Syifa itu…" Muaz memulakan, suaranya dalam, penuh kawalan. "…bukan ubat sembarangan. Nexorin-Diol. Sebatian sintetik yang bertindak balas mencetuskan perubahan drastik dalam tubuh. Aku sudah teliti setiap molekulnya."
Affendi mengangguk perlahan. Ingatannya segera menyorot ke malam yang tubuh Syifa menghumban Aisy dan Aqil seperti tiada daya.
"Dan kau sudah ambil sampel darahnya?" soal Affendi tenang tapi tajam. "Aku mahu kepastian, sama ada itu hanya kesan sementara, atau benar dia pembawa mutasi yang dikaitkan dengan Projek Y."
Muaz menatapnya lama sebelum menjawab, nadanya mantap.
"Darah yang aku ambil ketika itu hanyalah darah manusia biasa. Tiada sebarang tanda genetik asing, tiada campuran yang menunjukkan kewujudan mutasi. Setakat ini, dia bersih."
Dahi Affendi berkerut.
"Kalau begitu…" nadanya berubah lebih sinis, "…bagaimana dia mampu melepaskan kekuatan sebesar itu pada malam itu?"
Muaz menarik nafas pendek, suaranya tetap tenang.
"Nexorin-Diol. Jika dikonsumsi lebih daripada sekali, kesannya menghilangkan kawalan diri. Tubuh akan bertindak balas pada amarah semata-mata. Dan Syifa… dia orang terlatih. Tidak pelik jika ubat itu menjadikan dia sekuat itu."
Affendi menekan rahang, wajahnya merengus.
"Jadi semua ini hanya kerana sebotol ubat haram tu?" dia mendengus sarkastik, lalu menyeluk poket kotnya, mengeluarkan sekeping gambar. "Sekarang kita perlu dapatkan dia. Sebelum cerita ini merebak ke seluruh pihak."
Gambar Syifa ditunjukkan. Wajahnya sudah terpapar dalam laman gelap, bersama mesej jelas yang menawarkan dirinya kepada pembida.
Muaz menatap gambar itu. Seketika, dahinya berkerut seolah-olah mengenali sesuatu.
"Aku tahu lelaki yang buat pembelian ini. Reza Zafri. Seorang guru gantian."
Affendi berpaling tajam. "Guru gantian?"
Muaz mengangguk perlahan.
"Dia sudah menyusup dalam sekolah itu lebih sebulan. Aku yakin dia bukan sekadar guru. Dia orang yang dibawa masuk oleh puak lain."
Rahangan Affendi mengetap keras.
"Kalau begitu, semua puak sudah mula menghidu. Jangan berlembut lagi. Kita perlu cari kebenaran dari orangnya sendiri." Suaranya menurun dingin, sarat sarkasme. "Tangkap perempuan itu sebelum tubuhnya jatuh ke tangan mereka. Aku tak mahu sisa kekuatan aku hanya dibandingkan dengan hasil eksperimen cacat yang melemahkan."
Muaz hanya mengangguk ringkas. Helmetnya kembali disarung, cermin hitamnya menutup seluruh ekspresi. Dengan satu pulasan, enjin Yamaha R7 meraung, menggegarkan ruang parkir. Bunyi ekzosnya memecut keluar, bergema lama di dinding konkrit.
Tinggallah Affendi sendirian, wajahnya kaku, matanya bersinar tajam. Bibirnya berbisik rendah, penuh sindiran pahit.
"Kalau darah dia jatuh ke tangan puak lain… mereka akan jadi mutasi sempurna. Dan aku? Aku takkan biarkan diri aku kekal dengan tubuh yang dilemahkan oleh ubat-ubatan percubaan ini. Sial."
Rumah agam itu berdiri megah di atas lereng berbatu yang tinggi, dikelilingi hutan pinus yang tebal seakan menjadi pelindung semula jadi buat kediaman tersebut. Suasana damai yang biasanya hanya diwarnai oleh desiran angin dan suara hutan, kini pecah dengan bunyi kaca berderai dan hentakan barang yang jatuh ke lantai.
Seorang wanita lingkungan usia tiga puluhan berlari keluar dari dalam rumah. Pakaiannya sudah berlumuran darah, wajahnya dipenuhi garis cemas. Dialah Medeia Hill, wanita yang saat ini dadanya sesak dek panik dan luka yang masih mengalir di dahinya akibat hentakan kasar tadi. Meski tubuhnya lemah, langkahnya tidak pernah melambat. Riak wajahnya jelas menzahirkan keresahan bukan kerana sakit, tetapi kerana anaknya, Aurora, yang tidak kunjung pulang.
Di suatu perbukitan lapang yang memandang terus ke arah laut, hamparan bunga liar dan pokok-pokok besar menjadi latar tenang yang indah. Di sana, seorang gadis kecil berambut perang terbaring terlentang di atas rumput. Seekor arnab putih duduk di atas tubuhnya, dibelai lembut dengan matanya yang tertutup rapat, seolah menikmati damai alam. Tatkala angin menyapa wajahnya, kelopak matanya terbuka perlahan, menampakkan mata heterochromia yang menambah seri pada wajah mungilnya.
Arnab itu tiba-tiba melompat dari badannya. Aurora bangkit duduk, mengekori dengan pandangan hairan. Melihat arnabnya melompat semakin jauh seolah-olah cuba melarikan diri, Aurora merangkak seperti bayi, berusaha mengejar. Arnab itu sempat menghilang masuk ke dalam sebuah lubang tanah. Aurora membenamkan wajahnya, cuba menjenguk ke dalam, namun kelibat haiwan kesayangannya itu tidak lagi kelihatan.
Tiba-tiba..
Bak!!
Bunyi tembakan kuat bergema dari arah hutan. Aurora tersentak. Matanya membesar, jantungnya berdegup kencang. Riak wajah ibunya terbayang jelas di benaknya. Tanpa berfikir panjang, kakinya yang kecil mula berlari sekuat hati, menyusuri jalan masuk ke dalam hutan, mencari asal bunyi tembakan itu.
Namun yang ditemuinya hanyalah kesan darah pada dedaunan kering. Tiada jasad, tiada tanda pemburu. Nafasnya tercungap, tetapi dia tetap berlari, kali ini menuju pulang.
Tatkala tiba di halaman rumah, tubuhnya kaku berdiri. Pintu rumah terbuka luas. Aurora melangkah perlahan, tapak kakinya berat, derapnya penuh keraguan. Nafasnya semakin tidak terkawal, dadanya turun naik deras. Pandangan matanya liar, mencari-cari sosok ibunya di ruang rumah yang sudah kucar-kacir.
"...madre (...Ibu?)" panggilnya perlahan, namun tiada sahutan.
Langkahnya makin cepat, berlari dari satu sudut ke satu sudut lain. Namun tetap tiada bayangan Medeia. Tubuh kecilnya terasa panas, matanya mulai berair saat pandangannya jatuh pada kesan darah yang menodai lantai beranda.
Dupp... dupp... dupp...
Bunyi tapak kaki mula kedengaran dari pintu masuk. Aurora menoleh. Lima sosok lelaki bertopeng berdiri tegak, senjata tergenggam di tangan.
"Ya la encontramos. (Kami dah jumpa.)" suara berat lelaki itu kedengaran, dihantar terus ke alat komunikasi kecil yang terpasang di telinga kirinya.
Kelima-lima mereka menarik pedang khas yang tersandang di belakang, seakan tahu benar bahawa gadis kecil ini bukan lawan biasa.
Aurora berpusing, berdiri menghadap mereka. Wajahnya datar, tiada gentar. Lelaki bertopeng itu serentak terkejut apabila melihat urat hitam mula menjalar pada kulit halus tubuhnya. Sesuatu sedang bangkit dari dalam dirinya.
Aurora memiringkan kepalanya sedikit ke bawah, senyuman nipis terukir di hujung bibir mungilnya. Suaranya datar, dingin, tidak sesuai dengan usianya.
"¿Dónde está mi madre? Dime dónde está. (Di mana ibu saya? Beritahu saya... di mana dia.)"
Hening seketika. Lelaki bertopeng itu bersiap, genggaman pada pedang makin erat.
Dan di saat itu, hutan yang damai tadi seakan tahu pertarungan yang bakal berlangsung bukan lagi pertarungan biasa.
Suasana hening, hanya deru angin hutan yang berdesir. Lima lelaki bertopeng itu akhirnya meluru serentak, pedang khas mereka terhunus, sinarnya berkilau di bawah cahaya bulan. Mereka menyerbu Aurora, gadis kecil yang berdiri seorang diri di tengah ruang kucar-kacir itu.
Saat bilah pertama hampir membenamkan diri ke tubuhnya, Aurora hanya menoleh sekilas. Namun, dalam sekelip mata, sosoknya lenyap dari pandangan. Lelaki-lelaki itu tergamam, terhenti sejenak apabila mendapati tubuh gadis itu sudah tidak berada di hadapan mereka.
Aurora muncul di belakang mereka, berdiri tenang dengan tatapan dingin. Lelaki pertama menoleh pantas, pedangnya dihayun kembali. Aurora mengelak ke sisi, namun pedang yang lentur itu membengkok mengikuti gerakan tubuhnya, sempat menghiris lengannya. Darah segar menitis, namun tiada riak kesakitan dari wajah Aurora.
Lelaki kedua segera menyusul, hunusan pedang dari arah belakang. Aurora melompat ringan, tubuh kecilnya rapat ke dinding, lalu dalam kilatan pantas, tangannya menangkap leher lelaki pertama. Dengan kekuatan luar biasa, dia memaksa pedang lelaki itu membelah leher tuannya sendiri. Darah memancut, tubuh pertama rebah tidak bernyawa.
Empat yang lain saling berpandangan, terkejut melihat gadis kecil itu mampu menumbangkan seorang daripada mereka dengan begitu mudah.
Lelaki kedua masih cuba mendesak. Hunusan pedangnya membelah ruang, menutup arah lari Aurora. Namun, gadis itu lincah, setiap gerakan bagaikan bayangan. Lelaki ketiga dan keempat segera masuk, cuba mengepungnya dari sisi kiri dan kanan.
Aurora membiarkan diri hampir terdesak, lalu di saat bilah pedang jatuh dari atas, dia menangkap lengan lelaki kedua. Dengan sekali hentakan, tubuh lelaki itu dibenamkan ke lantai, dijadikan perisai. Dua bilah pedang dari rakan mereka sendiri menghunjam dalam ke tubuh lelaki malang itu.
Aurora mengambil kesempatan, meraih pedang yang terlepas dari genggaman lelaki kedua. Tanpa ragu, bilah tajam itu ditikam menembusi tengkorak, membenam terus ke kepalanya. Lelaki kedua terdiam kaku, nyawanya melayang.
Kini hanya tinggal tiga. Lelaki kelima tidak segera menyerang, sebaliknya berdiri di hujung ruang, seakan menunggu masa yang tepat. Dalam genggamannya, sebotol kecil berisi cecair merah pekat. Matanya tajam menilai keadaan.
Sementara itu, lelaki ketiga dan keempat menyerbu bersama. Aurora melawan dengan liar, pukulan dan tendangannya meluncur deras, tubuh kecilnya menyimpan kekuatan yang mustahil. Setiap hentaman terasa berkali ganda, memaksa dua lelaki itu mundur beberapa langkah.
Pedang-pedang mereka ditepis, tangan kecil itu merampas senjata dengan pantas. Aurora berpusing, menukar langkah menjadi serangan maut. Dalam kilatan pantas, dua kepala terpisah dari tubuh, bergolek di lantai, darah menyembur liar.
Aurora berdiri dengan tubuh berlumuran darah, nafasnya berat. Matanya tajam menikam ke arah lelaki terakhir yang masih berdiri teguh, lelaki yang sejak tadi hanya memerhati.
Aurora meluru, tangan kosongnya menghentam kuat ke leher lelaki itu. Tubuhnya bergoncang hebat, namun lelaki itu tetap tidak rebah. Aurora terkebil, matanya menangkap botol serum yang sudah kosong di lantai. Lelaki itu baru sahaja menyuntikkan cecair merah ke dalam tubuhnya.
Tubuhnya mula bergetar, otot-otot mengembang, urat-urat timbul kehitaman. Raungan garau keluar dari mulutnya, menandakan mutasi itu sudah menyatu dalam tubuhnya.
Pertarungan sengit pun tercetus.
Aurora menyerang dengan kelajuan kilat, pukulan bertubi-tubi hinggap ke tubuh musuh. Lelaki itu bergoyang, namun dengan kekuatan baharu, dia menepis dengan kasar, sekali gus menghumban Aurora ke dinding hingga retak kayunya. Gadis kecil itu bangun semula, darah menitis dari kening, namun matanya tetap menyala.
Serangan demi serangan bertukar. Ada masa Aurora mendominasi, setiap tendangannya menghentak hingga lelaki itu terundur beberapa langkah. Ada masa lelaki itu membalas, menghantam tubuh Aurora dengan kekuatan luar biasa hingga gadis itu terpelanting, tercungap-cungap mencari nafas.
Namun Aurora tidak menyerah. Nafasnya memburu, tubuhnya digerakkan sekali lagi. Kali ini dia mencapai dua pedang khas milik musuh-musuhnya tadi. Dengan kecepatan padu, dia meluru, dua bilah pedang meluncur deras ke arah leher lelaki itu.
Bilah itu sempat ditahan, besi bertemu besi dengan dentuman nyaring. Namun Aurora tidak berhenti. Dengan wajah dipenuhi amarah, dia menekan lebih keras, gerakannya tangkas bagaikan kilat. Lelaki itu berusaha menahan, namun kekuatan gadis kecil itu meledak di luar jangkaan.
Akhirnya, satu hayunan penuh bertenaga mengakhiri segalanya. Kepala lelaki itu terputus, jatuh bergolek ke lantai berlumuran darah. Tubuhnya tumbang dengan dentuman berat.
Aurora terhuyung-hayang, pedang terlepas dari genggaman kecilnya. Dia terbaring di lantai, nafasnya tercungap-cungap, matanya kabur.
Tiba-tiba..
Satu rasa panas menjalar di betisnya. Pandangannya jatuh ke bawah. Ada jarum kecil masih tertancap di kakinya, dengan sisa cecair hijah yang sudah disuntik masuk.
"Aa!!" jerit Aurora, tubuh kecilnya menggelepar.
Serum itu membakar dari dalam, membuatkan dia meronta di lantai. Pandangannya semakin kabur, tubuhnya menggigil hebat. Hingga akhirnya, perlahan-lahan, kesedaran meninggalkannya.
Aurora rebah, diam dalam genangan darah dan cahaya bulan yang membias di wajah kecilnya. Perlahan-lahan, rambut perangnya meresap gelap hingga berubah menjadi coklat pekat, menelan habis warna asalnya.
Beberapa minit kemudian, suasana ngeri itu disaksikan oleh dua sosok lelaki yang baru sahaja melangkah masuk melalui pintu utama. Derapan kasut kulit mereka memecah kesunyian, bergema di antara dinding-dinding rumah agam yang porak-peranda. Mayat-mayat bertopeng yang bergelimpangan di lantai seolah-olah tidak dipedulikan. Pandangan mereka hanya tertumpu pada tubuh kecil Aurora yang terbaring lemah, berlumuran darah, tidak sedarkan diri.
Kedua-duanya berhenti di sisi gadis itu. Tuan Ichiro berdiri tegak, siluetnya jelas dilimpahi cahaya bulan yang masuk dari tingkap pecah, penuh aura seorang yang berkuasa. Suaranya rendah namun tegas, bergema seperti arahan yang tidak boleh dibantah.
"Adrik, periksa keadaannya. Pastikan sama ada dia masih bernyawa atau tidak."
Share this novel