BAB 50

Mystery Series 6301

Semakin dalam mereka menuruni ruang bawah tanah itu, semakin dingin dan sempit persekitarannya. Bau lembap bercampur karat besi menusuk hidung, membuatkan setiap langkah terasa berat. Syifa terus berjalan di hadapan, namun bahunya sentiasa diawasi Haris dari belakang. Lelaki itu menolak tubuhnya perlahan, memaksanya terus mara, hingga akhirnya mereka berhenti di hadapan sederet pintu berjeriji besi yang berdiri bisu di kiri kanan lorong.

Kaki Syifa mendadak terhenti. Matanya mengerling setiap pintu besi yang tertutup rapat. Tiada suara jeritan, tiada raungan manusia dari dalam. Hanya senyap yang mencekam. Hatinya bergetar, adakah mereka yang pernah dikurung di situ sudah tidak bernyawa, atau mungkin sudah terlalu lemah untuk menyambut penderitaan seterusnya?

Tiba-tiba, Syifa merasakan tangan besar melingkari tubuhnya dari belakang. Haris menariknya rapat, dada keras lelaki itu menekan belakangnya. Rambut panjang Syifa digenggam kasar sebelum dagu Haris jatuh berat di bahunya. Nafas lelaki itu hangat, berbisik dekat di telinga.

"Permainan di sini hanya untuk mereka yang tahan panas," ujarnya perlahan, cukup hanya untuk telinga Syifa.

Syifa terkebil, menggenggam erat kedua tangannya menahan amarah. Dadanya naik turun, mengekang perasaan yang hampir meledak. Dia tetap diam, enggan memberi reaksi seperti yang diinginkan lelaki itu.

Haris akhirnya melepaskan genggamannya, langkahnya berayun ke hadapan. Dia berdiri di depan sebuah pintu besi yang lebih kukuh berbanding yang lain. Kunci dimasukkan ke dalam lubang, bunyi geseran besi berkarat bergema, nyaring seolah-olah pintu itu menjerit kerana dibuka. Haris menolak daun pintu, senyum sinis terukir di bibirnya sebelum dia mengangkat tangan, mempersilakan Syifa masuk.

Tanpa menunggu paksaan, Syifa melangkah sendiri. Dia tahu, buat masa ini dia tidak punya pilihan lain. Namun sebelum masuk, matanya sempat mengerling tajam ke arah Haris, senyuman sinis penuh maksud tersirat terukir halus di bibir lelaki itu.

Saat kaki melangkah ke dalam, dingin menusuk tulang, menggigit hingga ke sumsum. Ruang itu gelap, berdinding batu simen sepenuhnya, kosong kecuali rantai besi panjang yang sedia untuk membelenggu tangan atau kakinya bila-bila masa. Di dinding atas, hanya ada sebuah tingkap kecil berjeriji, cukup untuk melihat samar-samar dunia di luar. Syifa mendongak menatapnya seketika, sebelum tubuhnya terdorong kasar dari belakang.

Dia terhuyung, tubuh jatuh tersembam ke lantai keras. Nafasnya terputus sesaat, namun cepat-cepat dia menoleh ke arah Haris, wajahnya berkerut dengan amarah yang jelas.

Haris tetap tenang. Senyuman itu masih ada, penuh angkuh, seolah menikmati detik Syifa jatuh. Dia berdiri tegak, keangkuhannya bagai menguasai ruang gelap itu.

"Penyiksaan kau bermula malam ini," katanya perlahan, namun setiap perkataan menusuk tajam. "Kita tengok sejauh mana kau mampu sembunyikan sesuatu, selepas semua penderitaan ini memaksa kau tunjukkan diri sebenar."

Dia kemudian melangkah perlahan, membongkok sedikit, satu kaki ke hadapan sambil menatap Syifa dari atas ke bawah. Senyumnya bertambah sinis.

Syifa diam, namun tatapan matanya balas dengan jijik. Tidak ada gentar, hanya benci yang jelas.

"Tak ada bulan madu, tak ada manisan suami isteri, dan tak akan pernah ada sebuah perkahwinan yang baik antara kita," Haris menyindir, nadanya sarkastik.
"Kau hanya alat aku... untuk sempurnakan segalanya."

Syifa mengangkat kening, bibirnya mencebik sinis. Hatinya berbisik, jika hanya menjadi ‘alat’, lebih baik begitu daripada sekadar diperlakukan sebagai pemuas lelaki itu.

"Bukankah kau sepatutnya melatih aku untuk sempurnakan segalanya? Penyiksaan ini hanya melambatkan." Suaranya datar, namun setiap perkataan mengandungi provokasi. Dia sengaja mendekatkan wajah, matanya menusuk dalam ke arah Haris. "Aku lebih berguna daripada orang-orang kau. Berikan aku misi."

Haris terhenti sejenak, dahi berkerut. Kata-kata gadis itu seperti menyentak egonya, mencabar kuasa yang cuba dia tonjolkan. Bibirnya terangkat, mencebik sinis. Mata mereka bertemu, tatapan Haris menyala dengan amarah yang berkobar, seakan api ingin membakar Syifa kerana berani memandang rendah ancamannya.

Namun Syifa tetap duduk diam di lantai, tatapannya datar, dingin, tidak berganjak sedikit pun.

Haris terasa tercabar. Gadis di hadapannya langsung tidak menunjukkan reaksi yang dia harapkan. Sepanjang hidupnya, belum pernah dia berjumpa dengan seseorang yang begitu berani membalas kata-katanya, apatah lagi memberikan pendapat yang jelas menolak penguasaannya. Syifa menatap dengan wajah datar, seolah mahu menegaskan bahawa dirinya tidak pernah gentar, walau diancam lelaki seganas Haris sekalipun.

Haris mencebik sinis, seakan menghina dirinya sendiri, sebelum menatap tajam ke dalam anak mata Syifa. Gadis itu seolah menanti menanti balasan, menanti tindak balas lelaki itu terhadap kata-katanya tadi.

Tanpa berdolak, Haris mengeluarkan sesuatu dari kocek seluarnya. Syifa berkerut apabila melihatnya, sepasang gari besi yang dingin berkilau samar dalam cahaya obor.

Belum sempat dia bertanya, Haris sudah melangkah pantas, berlutut di hadapan gadis itu. Syifa terpinga-pinga, cuba membaca apa yang bakal dilakukan lelaki itu. Namun belum sempat dia bersuara, kedua-dua tangannya sudah ditarik kasar ke belakang.

"Akhh!" Syifa tersentak, cuba merentap, namun cengkaman Haris terlalu kuat. Kulit halus pergelangan tangannya terasa perit dek genggaman besi lelaki itu. Dia menggeleng keras, tubuhnya meronta. Kepalanya menolak dada bidang lelaki itu, cuba melawan, tetapi tidak berguna dalam beberapa detik, gari itu sudah terpasang kemas pada kedua belah tangannya.

"Lepaskan aku!" desis Syifa, matanya membara.

Namun Haris hanya tersenyum nipis. Dengan rakus, jemarinya menyambar hujung dress gadis itu lalu merentapnya kasar. Bunyi kain terkoyak kedengaran jelas, membuat Syifa terpempan. Dia membenamkan tubuhnya, cuba menolak lelaki itu menjauh, menahan sisa pakaian agar tidak terus dirampas.

Namun segalanya tidak mampu dilawan. Dress putih itu akhirnya direntap habis-habisan, dilemparkan ke lantai batu yang dingin. Yang tinggal di tubuh Syifa kini hanyalah pakaian tipis, baju berlengan panjang dan seluar pendek yang hampir tidak mampu melindungi maruahnya seperti imej yang terpapar dalam dirinya kini.

Mata Syifa berkaca-kaca. Nafasnya turun naik menahan rasa hancur, sementara Haris tersenyum sinis terukir di hujung bibirnya. Pandangannya merayap dari atas ke bawah, sebelum berhenti pada sepasang mata heterochromia milik gadis itu.

"Kau makan apa yang aku beri. Kau pakai apa yang aku suruh. Dan kau hanya perlu tunduk saat aku berucap," ujar Haris dingin. Tangannya menyambar dagu Syifa, mengangkat wajah gadis itu kasar sehingga mereka bertentangan mata. "Jangan pernah lancang bila aku perintahkan sesuatu. I don’t like a bitch."

Syifa menahan nafasnya, bibirnya digigit rapat, matanya berkaca namun sarat dengan kebencian yang membuak-buak. Dia tidak menjawab, hanya menatap lelaki itu dengan benci yang menusuk.

"Aku tak minta pendapat kau, dan aku tak akan turuti kehendak kau," suara Haris kian dingin, jemarinya mencengkam pipi Syifa sehingga meninggalkan kesan kukunya. "Di sini aku yang berkuasa. Kau hanya alat untuk sempurnakan segalanya. Faham?!"

Syifa menahan sakit, namun tetap teguh. Matanya menatap terus ke dalam mata lelaki itu, tanpa goyah.
"Tak mahu," balasnya datar.

Haris terperanjat, matanya membulat seketika. Kata-kata itu menampar egonya. Namun sebelum dia sempat menghambur kata, Syifa melanjutkan dengan senyum sinis.

"Tuannya lebih suka anjing yang patuh... atau yang bijak?"

Wajah Haris berubah. Cengkamannya di pipi Syifa semakin kuat, meninggalkan parut merah. Urat di dahinya menonjol jelas.

"Sial! Kau cakap apa sebenarnya ni?!" bentaknya, mencebik sinis, cuba mengawal amarah yang hampir terlepas.

Syifa membalas dengan senyum tipis. "Sorry... you just look like the type of person I’d want to tease."

Kata-kata itu menikam, namun bukan dengan kebencian semata. Sesuatu yang asing meresap masuk dalam diri Haris, sesuatu yang tidak pernah dia rasa sebelumnya. Perasaan janggal seolah gadis itu berjaya menoreh sesuatu yang lebih dalam daripada sekadar egonya.

Dengan kasar, Haris menepis wajah Syifa, melepaskan cengkamannya. Dia bangun berdiri, cuba menenangkan diri.

Syifa, yang masih duduk dengan tangannya tergari di belakang, mendongak. Matanya tajam mencerlung, penuh amaran senyap.

Tanpa sepatah kata, Haris mula membuka butang bajunya. Syifa berkerut, jantungnya berdetak kencang, seketika menyangka lelaki itu akan bertindak lebih jauh. Namun sebaliknya, kemeja hitam yang sedikit basah itu dilucutkan, lalu dijatuhkan tepat ke wajah Syifa.

Terkebil gadis itu, pandangannya terhalang kain. Dalam samar, kedengaran bunyi kecil sesuatu jatuh ke lantai batu. Syifa menahan nafas, bunyi kunci.

Langkah kaki Haris menjauh, bergema perlahan hingga ke pintu besi. Suara besi bergeser nyaring tatkala pintu itu ditolak, lalu dikunci erat dari luar.

Kini ruang itu kembali tenggelam dalam kesunyian. Obor di luar sana hanya berkelip malap, cahaya samar yang masuk melalui jeriji besi langsung tidak memberi hangat, hanya menambah seram sejuk pada suasana. Syifa menggeleng perlahan, mengalihkan kemeja hitam yang masih menutupi wajahnya. Nafasnya tersekat-sekat, matanya segera mengerling ke arah kunci kecil yang terjatuh tidak jauh darinya. Sesaat, hatinya berdegup kencang seberkas harapan samar cuba menyelinap masuk ke dalam dadanya.

Namun tubuhnya akhirnya tewas, rebah ke lantai batu yang keras dan dingin. Nafasnya berat, dada turun naik menahan sebak yang kian membuak. Matanya kosong menatap kegelapan siling, seolah-olah tidak lagi punya kekuatan untuk bergerak.

“It’s okay, Syifa... but why always me?” bisiknya sendiri, suara bergetar, pecah dalam senyap. Mata yang tadi hanya berkaca akhirnya tak mampu lagi menahan. Butir air mata jatuh mengalir, membasahi pipi pucatnya. Biarlah, biarkan saja ia mengalir, membasahi kedua belah wajahnya hingga terasa panas yang berganti dingin.

Tubuhnya terdedah, hanya dilitupi pakaian dalam yang tersisa, sementara tangan masih tergari erat di belakang. Syifa menggigit bibir, menahan rasa yang menyesakkan dada. Tidak pernah dia sangka pengakhirannya akan begini. Sayu menjalar ketika fikirannya melayang pada segala yang pernah dilalui, semuanya seolah tidak pernah berakhir dengan baik. Tidak ada kebahagiaan, tidak ada tenang. Bolehkah hanya sedikit sahaja? Sekelumit detik yang membuatnya berasa lega untuk bernafas?

Air matanya kembali jatuh, bercampur dengan dingin lantai di bawah pipinya. "Apakah aku tidak layak, ya Rabb?" bisiknya lirih, hampir tidak terdengar, namun itulah satu-satunya doa yang mampu dia titipkan di tengah kesunyian yang membunuh itu.

Dalam gelap, hanya bunyi rantai besi yang bergeser perlahan menemani. Jiwanya terperangkap, tubuhnya terbelenggu, dan hatinya masih berperang antara pasrah dan sisa tekad yang belum sepenuhnya padam.

Ruang itu sunyi, hanya gema nafas yang kian berat menemani dirinya. Dinding batu yang lembap seakan menyerap setiap sisa harapan yang masih tertinggal. Tubuh Syifa terbaring lemah di lantai yang dingin, rambutnya kusut menutupi sebahagian wajah yang pucat. Dari celah jeriji besi, cahaya bulan masuk samar, menari di permukaan lantai, menyinari mata yang hampir kehilangan erti hidup.

Bibirnya bergerak perlahan, suaranya serak, hampir seperti bisikan yang takut pecah di udara.

   "يَا هَادِيَ الحَائِرِينَ، يَا رَجَاءَ الرَّاجِينَ، يَا نَصِيرَ المُسْتَغِيثِينَ..."
Wahai pemberi petunjuk kepada orang-orang yang bingung, wahai puncak harapan bagi mereka yang berharap, wahai penolong bagi jiwa-jiwa yang meminta tolong...

Matanya terpejam, air mata jatuh tanpa suara. Dalam kesunyian itu, doanya bukan lagi sekadar kalimat, tetapi rintihan dari jiwa yang terhimpit antara dosa dan pengharapan. Dia tidak meminta keajaiban, hanya agar hatinya tidak mati sebelum jasadnya benar-benar rebah.

Di luar, malam terus diam. Hanya angin yang lewat di celah jeriji, membawa doa itu entah ke mana mungkin ke langit, mungkin juga ke tempat di mana Tuhan benar-benar mendengar suara hati yang sudah tidak mampu bersuara lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience