BAB 51

Mystery Series 6301

Hujan renyai-renyai membasahi jalan batu di hadapan Restoran Kazenoya, sebuah restoran mewah berkonsepkan seni bina Jepun klasik di jantung Aoyama, Tokyo. Lampu kekuningan dari bangunan itu memantul di permukaan jalan yang basah, mencipta bayang-bayang berkilau bersama pantulan kereta yang berbaris di depan pintu masuk.

Sebuah Lexus LS 500h hitam berkilat berhenti perlahan di hadapan tangga utama. Enjin senyapnya mati seiring langkah seorang pembantu lelaki yang segera bergegas membuka pintu belakang sambil menunduk hormat. Payung hitam besar terbuka, menahan rintik hujan yang jatuh lembut dari langit kelabu.

Dari dalam kereta, seorang lelaki muncul berambut panjang hingga paras pinggang, hitam berkilau, separa terikat ke belakang dengan kemas. Wajahnya tegas, rahang terlukis jelas, matanya tajam dan tenang seperti samurai yang terbiasa memerhati sebelum bertindak. Tubuhnya tinggi dan sasa, diselubungi kot panjang berwarna arang yang tampak mahal dari potongan fabriknya.

Dia berdiri seketika, memperbetulkan kolar kotnya, jari-jarinya menyelusur perlahan rambut yang terjatuh ke sisi wajah. Udara malam yang lembap tidak mengubah auranya dingin, berwibawa, dan sedikit menakutkan.

Dua orang pengawal peribadi segera melangkah di sisi, seorang memegang payung lain, seorang lagi membuka pintu masuk restoran. Lelaki itu berjalan dengan langkah tenang namun berisi kuasa, setiap derap kasut kulitnya bergema di permukaan batu yang basah.

Dari kejauhan, cahaya keemasan di dalam restoran menyambut kehadirannya seolah tahu, malam itu bukan sekadar malam biasa di Kazenoya, tetapi malam yang akan mengubah banyak hal.

Suasana di ruang makan peribadi Restoran Kazenoya itu sunyi, hanya ditemani bunyi lembut hujan yang masih turun di luar dan aroma teh hijau yang baru dituangkan. Cahaya lampu berona keemasan melimpahi ruang itu, memantul pada dinding kayu berukir halus dan meja makan yang tersusun kemas dengan pinggan porselin Jepun.

Seorang wanita dalam lingkungan pertengahan empat puluhan duduk bersilang kaki di kerusi empuk berhampiran tingkap. Pakaian serba putih yang digayakannya, jaket berpotongan kemas dengan butang tersusun dan skirt lipat yang jatuh lembut menyerlahkan keanggunan yang sukar ditandingi. Rambutnya disanggul kemas, memperlihatkan garis rahang yang masih tegas meskipun masa sudah lama berlalu. Dia tampak seperti wanita yang tidak pernah tunduk pada usia.

Apabila pintu gelangsar kayu dibuka, wanita itu menoleh perlahan.
Seorang lelaki tinggi, berambut panjang hingga paras pinggang, melangkah masuk dengan langkah tenang. Senyuman tipis menghiasi wajahnya, senyuman yang membawa makna yang tidak mudah diterjemah. Dia berdiri di sisi wanita itu, menunduk hormat sejenak.

"Silakan duduk, Edward," ujar wanita itu tenang, suaranya lembut namun sarat dengan kuasa yang sukar dijelaskan.

Lelaki itu menanggalkan kot panjangnya, menyangkutkannya pada penyandar kerusi sebelum duduk bertentangan dengannya. Di hadapan mereka, hidangan kaiseki yang indah tersusun rapi sushi, sashimi, dan sup miso yang masih berasap. Namun pandangan Edward tidak sedikit pun terarah pada makanan itu.

Matanya hanya terpaku pada wanita di hadapannya, sosok yang suatu ketika dahulu pernah menjadi simbol dunia yang berputar di sekelilingnya.

Wanita itu menyilangkan jemari di atas pangkuan, renungannya tajam tapi tenang.
"Masih seperti dulu, Edward," katanya perlahan, namun setiap perkataan diucap penuh sindiran halus. "Kamu masih menyimpan pelampiran yang sama. Masih tertarik pada pujian orang yang sudah lama mati, bukan?"

Edward tidak segera menjawab. Sekadar tersenyum sinis, bibirnya terangkat sedikit, senyuman yang lebih membawa maksud ancaman daripada keakraban.
Dia menyandarkan tubuhnya, memerhati wanita itu dengan tenang sebelum bersuara perlahan, suaranya dalam dan bergetar rendah.

"Aku seorang yang setia, Doña Isabella Valverde," katanya, menyebut penuh nama wanita itu dengan nada yang seolah menggamit masa silam. "Dan tidak ada sesiapa pun yang mampu menggantikan tempat beliau… bahkan mereka yang telah aku singkirkan demi mempertahankannya."

Wanita itu ketawa kecil, lembut tapi sarat dengan makna, ketawa seorang wanita yang sudah terlalu masak dengan permainan lelaki itu. Namun senyumannya cepat pudar, berganti riak wajah serius yang menampakkan sisi dinginnya yang sebenar.

"Kalau begitu," ujarnya perlahan, menatap Edward tepat di mata.
"Beritahu saya, Edward. Apa sebenarnya yang ingin kamu sampaikan… sehingga perlu membuat pertemuan mendadak malam ini?"

Edward menatap dingin, namun senyuman tipis itu tidak pernah lekang dari bibirnya. Tatapan matanya menembusi ruang, menusuk tepat ke wajah wanita di hadapannya tajam, penuh makna dan sinis yang terselindung di balik tenangnya. Sejak kematian suami Puan Isabella, wanita itu mengambil alih tampuk kekuasaan sebagai penerus dalam organisasi pembekal utama ubatan dan pelbagai eksperimen rahsia yang pernah menjadi nadi kejayaan mereka suatu ketika dahulu.

"Budak itu dulu... yang kenalkan dirinya sebagai Aurora pada saya," ujar Edward perlahan, nadanya rendah tapi sarat dengan sesuatu yang menggigit, "...ialah cucu anda, bukan? Khawla Syifa."

Seketika udara di ruang makan itu terasa berat. Nama itu bergema lembut, namun membawa gegaran yang tidak terlihat. Bayangan gadis kecil dengan pandangan kosong terlintas di benak Edward wajah yang dingin, tanpa perasaan, seolah menyimpan sesuatu yang tidak sepatutnya dimiliki oleh manusia biasa.

Wajah Puan Isabella sedikit berubah. Dia tahu Edward tidak berbohong. Apa pun yang pernah disembunyikan, kini sudah terdedah. Informasi yang bocor beberapa tahun yang lalu rupanya telah lebih dahulu sampai ke lelaki di hadapannya. Dia menegakkan tubuh, cuba mengekalkan riak tenang yang menjadi perisai kebiasaannya.

"Saya baca semua maklumat yang organisasi catatkan…" Edward bersuara lagi, senyumannya mengembang perlahan. "Namun tiada satu pun yang tepat daripada analisis mereka. Anda tahu kenapa, Puan Isabella?"

Dia bersandar santai, namun matanya tetap memerhati setiap perubahan kecil pada wajah wanita itu. "Kerana saya… orang pertama yang merasakan darahnya saat dia terluka," ujarnya lagi, nadanya berubah lebih perlahan hampir berbisik, namun cukup untuk menggetarkan ruang itu. "Darah itu… gelap. Pekat dengan sesuatu yang tidak dapat dijelaskan. Dan di dalamnya, saya nampak wajah Dr. Hill, tersenyum ketika melahirkannya."

Edward tersenyum nipis, seolah menikmati keterkejutan yang terukir pada wajah Isabella.
"Dalam tubuh budak itu, ada monster yang cukup enak," katanya, seolah mengulang kenangan dengan rasa taksub yang tidak sihat. "Monster ciptaan pertama yang dihasilkan oleh Dr. Hill. Tak ada sesiapa pun bahkan organisasi itu sendiri mampu menyempurnakan eksperimen mutasi sehebat miliknya."

Puan Isabella memejamkan mata seketika, menarik nafas panjang bagi mengawal keresahan yang menyusup ke dadanya. Selama ini, mereka cuba menyembunyikan Syifa daripada pandangan dunia daripada organisasi, daripada siapa pun yang tahu sejarah darahnya. Namun kini, lelaki di hadapannya tahu lebih banyak daripada apa yang dia sendiri ketahui.

"Organisasi sudah membuat penyempelan. Keputusan itu tidak mungkin salah. Budak itu tidak ada kaitan dengan Dr. Hill. Bagaimana kamu boleh mengarang cerita begitu?" ujar Puan Isabella datar, cuba memastikan dirinya masih mengawal arah perbualan itu, walau dalam hati, debarannya makin menggila.

Edward mengangkat kening sedikit, sinis. "Saya psychic, Puan Isabella," katanya perlahan, dengan nada seperti seorang guru yang menegur muridnya. "Apakah anda masih meragui kebolehan saya?"

Dia bersandar sedikit ke depan, suaranya menjadi lebih berat dan perlahan.
"Keputusan itu boleh saja dipalsukan… untuk mengalihkan pandangan organisasi. Tapi sebelum semua itu, saya yang lebih dahulu menyentuh mindanya. Saya mengenalinya tanpa campur tangan sesiapa."
Senyumnya mengembang lagi, kali ini lebih berbahaya.
"Saya tahu anda ingin menempatkan nama untuk kejayaan ini. Maka… bagaimana kalau kita bekerjasama, hmm?"

Edward mencondongkan tubuh sedikit ke depan.
"Jika dia jatuh ke tangan lain, itu bermakna anda membuang kejayaan yang selama ini anda perjuangkan untuk menggantikan tempat Dr. Hill."

Puan Isabella menelan liur. Tekaknya terasa kering. Dia tidak mampu menyembunyikan hakikat bahawa kata-kata Edward benar-benar menggugat. Dahulu, dia hanyalah bayang-bayang di belakang wanita itu salah seorang dari tangan yang membantu mencipta keajaiban itu. Namun dunia hanya mengenali Dr. Hill, bukan dirinya. Segala jasa, segala usaha, ditelan oleh nama wanita itu. Kini, setelah bertahun-tahun berusaha berdiri di tempat itu, mereka hanya memandang wanita itu. Saat ini, dia merasakan maruahnya tercalar, seorang wanita yang lebih muda daripadanya diangkat menjadi ketua kumpulan saintis organisasi tersebut.

Suara Isabella akhirnya pecah perlahan. "Aku sudah lama tidak melihat cucuku," katanya tenang, walau jarinya sedikit menggigil saat mengangkat cawan teh yang berasap di hadapan. "Apakah aku perlu mengatur pertemuan semula?"

Edward menahan tawa, bibirnya terangkat ke sisi sambil menutup mulutnya dengan tangan gaya yang sinis, hampir menghina.
"Pertemuan semula?" dia mengulang perlahan, nada suaranya seperti menampar realiti itu sendiri. "Oh, Doña Isabella Valverde, sayang sekali..."

Dia menunduk sedikit, senyumannya melebar dengan kepuasan dingin.
"Rasanya... anda sudah sedikit terlambat. Jejak cucu anda sudah hilang beberapa hari yang lalu."

Dia berhenti seketika, membiarkan kata-katanya menikam udara yang berat itu sebelum menambah perlahan, hampir berbisik:
"Atau mungkin juga… dia kini sudah berada di bawah naungan organisasi lain."

Suasana kembali senyap. Hanya bunyi hujan di luar yang menemani debaran dada wanita itu. Di balik wajah tenang Puan Isabella, sekeping rasa bersalah, marah, dan cemas bercampur menjadi satu. Sedangkan Edward hanya duduk bersandar, senyuman sinisnya kian lebar, seolah sedang menikmati permainan yang baru sahaja dimulakannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience