Series
6301
Cahaya merayap dari celah bukaan di bumbung yang runtuh, seperti matahari mengintai di balik dahan. Ia memecah kegelapan yang ditopang tiang-tiang batu, menari di permukaan kolam hijau pekat hingga segala riak tampak berbisik. Di tengah ruang itu, tegak sebuah pokok tua, akarnya menjalar seperti urat sejarah ke celah lantai, sedang dahan-dahannya mengangkat tirai daun yang menapis cahaya menjadi loncatan hijau keemasan. Melilit batangnya seekor ular besar bukan hidup, tetapi seolah diukir dari emas, berkilau dalam cahaya yang menumpah ke air. Bendera-bendera hijau tergantung di lengkungan, lambang pudar yang masih membisu tentang kuasa silam. Seluruhnya menghadirkan seakan sebuah dunia asing, terpencil di zaman yang telah lama berlalu.
Syifa membuka matanya perlahan, kesedaran yang baru kembali setelah pengsan panjang membuatkan deruan nafasnya kini lebih tenang, tidak lagi seperti tadi. Tubuhnya terasa ringan, seakan-akan beban yang menindih hilang entah ke mana. Dia mengangkat kepala perlahan, pandangan matanya meliar meneliti sekeliling sebelum duduk tegak, meski sisa kesakitan dalamannya masih menggigit.
Dahinya berkerut apabila merasakan sesuatu yang melekit pada kulit, lendir halus yang masih membasahi tempat-tempat luka yang pernah menyeksa dirinya. Jemarinya mengetap pada sisa lembapan itu, hatinya gusar namun dia memilih untuk melupakan persoalan dari mana datangnya lendir itu. Saat matanya menuruni garis tubuhnya sendiri, dia terdiam. Kesan luka yang ditinggalkan oleh eksperimen itu... hilang. Semuanya sembuh seakan tidak pernah wujud.
Dia menarik nafas dalam, bulu romanya meremang. Dia tahu tubuhnya boleh pulih mengikut kehendaknya, tapi bukan seperti ini. Siapa yang menyembuhkannya?Fikirnya, resah.
Syifa kembali mengangkat wajah, memerhati ruang asing yang kini menjadi tempat dia terjaga. Cahaya samar-samar menembusi ruang batu purba, menyingkap bayang tiang-tiang tinggi yang seolah-olah sudah lama berdiri menyaksikan ribuan tahun rahsia. Sebatang pokok raksasa tumbuh tegak di tengah ruang, dahannya menjulang, akarnya mengakar di antara lantai batu. Batangnya dililit seekor ular emas berkilau, sisiknya memantul cahaya sehingga ruang itu kelihatan hidup dan mistik.
Di sekelilingnya mengalir kolam air jernih kehijauan, permukaannya tenang, hanya sesekali beriak seolah ada sesuatu yang bernafas di bawahnya. Pandangan Syifa terhenti lama pada riak itu, jantungnya berdegup deras.
"...Apa benda tu?" bisiknya, suaranya hampir tenggelam dalam gema ruang sunyi itu.
Hawa dingin dari dinding batu menikam kulit, namun mata Syifa terus terpaku pada kolam. Riaknya semakin jelas, seakan memberi isyarat bahawa sesuatu bersedia untuk keluar dari kedalaman yang gelap. Dia merasakan bulu tengkuknya menegang, tubuhnya yang baru saja sembuh kini kembali bergetar antara cemas dan penasaran.
Mata Syifa terbeliak besar, nafasnya tertahan di kerongkong tatkala sesuatu menjelma dari dalam kolam itu. Riak air yang tadinya hanya beralun tenang kini terbelah, menyingkap sosok asing yang perlahan-lahan timbul ke permukaan. Dari dalam hijau pekat itu, seorang wanita bertubuh biru muncul, tubuhnya seolah-olah dipahat daripada batu permata yang hidup, berkilauan di bawah cahaya samar ruang purba tersebut. Rambutnya yang basah melekat pada wajah tajamnya, dua tanduk melengkung gagah menghiasi kepalanya, dan dari kulitnya keluar asap nipis yang berpusar di udara.
Syifa kaku. Jantungnya berdegup terlalu kuat hingga kedengaran di telinganya sendiri saat wanita itu melirik ke arahnya dengan mata bercahaya, dingin namun penuh kuasa.
"Ὁ ἀνὴρ ὁ ἄχρηστος οὐδέποτε μοι τι ἔδωκεν πρὸς ἱκανοποίησιν. (Lelaki tak guna itu tak pernah berikan sesuatu buat pemuasku.)" ujar makhluk itu dalam bahasa asing Greek Purba yang langsung tidak difahami oleh Syifa. Suaranya serak, berat, tetapi menggema seakan datang dari dasar bumi.
Kemudian, bibir biru itu melukis garis nipis, hampir seperti senyuman. "Anda sudah bangun?" soalnya, kali ini dalam bahasa yang Syifa fahami.
Alis Syifa terangkat, terkejut dengan perubahan mendadak itu. Dia tidak segera menjawab, sebaliknya bangun perlahan dari duduknya. Tangannya mengusap sisa lendir yang melekit pada kulitnya, mengesat dengan gaun putih lusuh yang sudah kotor. Matanya masih sempat melingas ke sekeliling, cuba memahami di mana dirinya kini.
Gerak-gerinya itu ternyata menyinggung wanita biru tersebut. Riak wajahnya berubah tegang, keningnya berkerut tajam sebelum tubuhnya bergerak mendekat. Dalam sekelip mata, tangannya meluru ke leher Syifa, mencengkam kuat hingga gadis itu terhentak melutut.
Syifa tersentak, tubuhnya kaku. Nafasnya tersekat, namun dia tidak meronta hanya berusaha menarik jemari kasar itu daripada kulitnya.
"Manusia menjijikkan! Tak tahu bersyukur. Ludah aku ini pun suci kalau kau minum!" tengkingnya, amarah bergema memenuhi ruang. "Aku menjilat tubuhmu walau muak, semata-mata memenuhi kehendak lelaki itu!" Suara makhluk itu bergaung, genggamannya semakin menghimpit saluran nafas Syifa.
Syifa cuba melepaskan diri, jemarinya berusaha meleraikan cengkaman, namun makhluk itu hanya tersenyum sinis, puas melihatnya terseksa.
"Kau memang sembunyikan sesuatu pada mereka… tapi tidak pada aku," ucapnya dengan nada penuh sindiran.
Syifa menahan nafas, pandangannya tidak berganjak. "Kau tahu apa?" soalnya datar, walau tekaknya perit.
Pertanyaan itu membuat makhluk itu tergelak kecil, tawanya nyaring menusuk. "Sombong! Aku boleh bunuh kau tanpa perlu fikirkan sebarang ganjaran."
Dalam sekelip mata, tubuh Syifa ditolak kasar, jatuh bersama makhluk itu ke dalam kolam kehijauan. Air menelan tubuh mereka berdua, deras dan dingin. Syifa meronta, cuba menendang dan menolak, namun setiap kali dia melawan, semakin kuat makhluk itu menekan tubuhnya ke dasar. Nafasnya semakin tipis, dadanya bagai meletup menahan tekanan air.
Tiba-tiba, Syifa merasa sesuatu bergerak di balik tubuh makhluk itu. Dari kegelapan air, sesosok bayangan berenang deras mendekat. Dalam kabur pandangan, Syifa sempat melihat tangan kuat itu meraih tanduk makhluk biru, mencengkam lalu menariknya ke belakang dengan kekuatan luar biasa.
Pada saat itu, Syifa ditarik naik, tubuhnya digapai dengan tolakan yang tidak mengizinkan dirinya tenggelam lagi. Kepala Syifa akhirnya muncul ke permukaan, dia terbatuk, tercungap-cungap, segera berpaut pada lantai batu licin di tepi kolam.
Namun sebelum tubuhnya terlepas kembali ke dalam, sepasang tangan kasar meraih pinggangnya, menolak kuat ke arah daratan. Syifa terhuyung, cuba menstabilkan tubuhnya yang menggigil. Nafasnya masih tidak teratur, matanya membulat saat dia menoleh ke belakang untuk melihat siapa penyelamatnya.
Dan saat itu, jantungnya seakan terhenti.
Haris?! bentak hatinya, tubuhnya kaku dalam terkejut yang tidak terluah.
Syifa mendongak, matanya terhenti pada pakaian lelaki itu, kemeja hitam dan seluar panjang yang sudah basah lencun melekat pada tubuhnya. Titik-titik air masih menitis dari hujung rambutnya, namun pandangan Haris tetap tajam dan dingin, menikam ke arahnya yang masih terduduk kaku di lantai batu. Lelaki itu meraup rambut depannya ke belakang, wajahnya jelas tegang.
Tiba-tiba, dari permukaan kolam, kepala makhluk biru itu timbul kembali. Matanya, yang tadi penuh amarah, kini berkilau ketakutan saat bertembung dengan tatapan Haris.
"Kau buat apa ni, Astrapis?" soal Haris, suaranya dalam dan penuh kesal, namun matanya tetap mencerlung tajam ke arah makhluk itu.
Syifa, yang masih duduk dengan tubuh menggigil kesejukan, bibir bergetar, hanya diam. Walaupun tubuhnya menggeletar, wajahnya tetap tenang, membuang pandangan ke sisi seakan tidak mahu terlibat dalam perbalahan itu.
"Saya tak suka dicabar," ujar Astrapis, nadanya kesal, namun wajahnya jelas menahan amarah. Kepalanya masih timbul dari air, tubuh birunya tetap tenggelam. "Gadis awak itu sangat angkuh. Bukannya nak berterima kasih sebab saya sembuhkan dia, tapi menghina saya," sambungnya, lirikan matanya penuh kebencian ke arah Syifa.
Syifa membalas tatapan itu dengan kerutan wajah, dadanya terasa panas menahan geram. Sejak bila pula? fikirnya, sinis. Memang makhluk itu manipulatif… sama seperti tuannya juga.
Haris menghela nafas panjang, jelas tidak mahu melayan drama itu. Dengan satu isyarat tangan, dia menyuruh Astrapis beredar. Namun makhluk itu hanya memuncungkan bibirnya, tidak puas hati dengan tindakannya yang langsung tidak mengendahkan aduan tersebut.
"Aku sudah buat apa yang kau minta. Bila kau akan berikan sesuatu yang benar-benar aku inginkan?" soalnya, nada penuh tuntutan. Tatapan matanya terarah hanya pada Haris, renungan yang penuh kecewa.
"Nafsu kau terlalu besar, Astrapis. Aku tak boleh penuhi semuanya. Kalau kau buat sesuka hati lagi…" Haris berhenti seketika, tatapan matanya berkilat tajam. "Aku akan penggal kepala kau."
Kata-kata itu dingin, datar, tetapi beratnya cukup membuat Astrapis terdiam. Tanpa membalas, makhluk biru itu segera menyelam semula ke dalam air, hilang tanpa jejak.
Kini tatapan Haris berpindah pada Syifa yang sudah berdiri. Tubuh gadis itu masih basah, rambut kusut melekat pada wajahnya, namun dia tetap tegak. Tatapan mereka bertembung. Syifa langsung tidak memberi ruang kepada lelaki itu untuk membaca sebarang perasaan darinya.
Haris mencebik sinis. "Kau dah pulih? Aku lebih suka tengok kau yang begini," ucapnya, langkah kakinya mendekati perlahan.
Syifa hanya melirik dingin, matanya jatuh pada langkah lelaki itu.
"Masih nak bermain hide and seek dengan saya?" soal Haris, nada suaranya sinis dan penuh cabaran.
"Aku tak main dengan kau pun," balas Syifa, suaranya lantang meski bergetar dingin. "Kau yang bawa aku dalam permainan kau."
Haris mengangkat sebelah kening sebelum mencengkam pipi Syifa kasar, menolak tubuh gadis itu ke dinding batu hingga terdengar hentakan halus. Jarak wajah mereka kini hanya beberapa inci. Tatapan Haris mencengkam, tajam, penuh bara yang ditahan.
"Memang aku bawa. Main solo ni tak best," ujarnya sinis, nadanya seperti racun yang menitis ke telinga Syifa.
Syifa tidak berganjak. Walau wajahnya dicengkam kuat hingga meninggalkan kesan merah, dia tetap membalas tatapan itu tanpa gentar.
"Aku tahu kau sembunyikan banyak. Aku akan pastikan kau menderita sampai kau sendiri yang persembahkan siapa diri sebenar kau," ujar Haris, sinis, bibirnya hampir menyentuh wajah Syifa. Cengkaman tangannya makin kuat, hingga cecair merah mula mengalir dari pipi gadis itu.
Syifa mencebik, sinis senyumannya tipis, namun cukup untuk membakar ego lelaki itu. "Aku dah cukup menderita selama ni. Cuma aku tak sebising orang lain. Dah banyak persembahan aku tunjukkan, tapi orang lain tetap tak mendapat apa-apa," balasnya, suaranya tenang namun sarat sindiran.
Matanya turun sebentar ke bibir Haris, sebelum kembali menikam matanya. "Kau tahu sebab apa? Aku tak bodoh macam mereka… macam kau," sambungnya dengan sengihan kecil yang penuh cabaran.
Urat di dahi Haris mula menonjol, wajahnya jelas direndam jengkel. Nafasnya berat, seolah menahan diri dari meledak. "Lambat sangat. Aku akan tahu semuanya dulu…"
Belum sempat dia menghabiskan kata-katanya, Haris tiba-tiba menekan tepi tapak tangannya ke dalam mulut Syifa, menolak dengan kasar hingga gadis itu berkerut, cuba menolak tubuh lelaki itu. Namun tangan Syifa pantas direntap, dikunci kemas.
"Nak bermain dalam bilik saya? "bisik Haris dengan nada menggoda, berbahaya.
Syifa terkebil, matanya membulat dalam kebingungan, nafasnya tersekat di antara kejutan dan amarah.
"Permainan disitu hanya untuk yang tahan panas." sambungnya lagi dengan nada sinis yang lembut, namun cukup menekan seolah mahu hanya Syifa yang mendengarnya. Tatapannya menikam dalam ke anak mata Syifa, perlahan turun ke bibir, lalu kembali semula ke mata meniru persis apa yang gadis itu lakukan sebentar tadi. Syifa membulat sedikit, terkejut.
Share this novel