Series
6301
Pagi itu, rumah banglo besar yang indah dari luar tampak tenang. Orang-orang yang lalu-lalang di hadapan pagar sibuk dengan rutin pagi minggu mereka, seakan tidak menyedari bahawa di dalam rumah itu sedang berlingkar sepi yang berat. Dinding dan jendela yang megah hanya menjadi saksi kepada kekosongan yang mendiam.
Cahaya pagi menembusi celahan langsir kamar Syifa, memantulkan sinar keemasan di sudut bilik. Namun, pemilik kamar itu sudah tiada. Tilam putih yang masih berombak jelas menunjukkan tubuhnya baru sahaja meninggalkannya beberapa minit lalu.
Pintu kamar itu terbuka perlahan dari luar. Mikael melangkah masuk dengan dulang berisi sarapan di tangan. Keningnya segera berkerut. Pandangan matanya tertancap pada tilam kosong. Sosok adik yang semalam masih terbaring di situ kini lenyap tanpa jejak. Jantungnya berdetak kencang, jemarinya menggenggam dulang hingga hampir bergetar.
Dia segera meninjau setiap sudut bilik, mencari kelibat adiknya kalau-kalau masih berada di ruang itu. Namun tetap hampa, tiada langsung tanda-tanda Syifa.
Langkah perlahan terdengar dari luar. Nurul, pembantu muda yang sering ditugaskan menjaga Syifa, muncul dengan wajah cuak. Dia menunduk, tubuhnya separuh melangkah masuk ke dalam bilik itu. Pandangan matanya jatuh ke lantai, tidak berani bertembung dengan renungan Mikael yang sudah menusuk tajam ke arahnya.
"Syifa mana?" Suara Mikael terdengar dingin, tegas, dan penuh tuntutan. Tenang yang biasanya terpamer pada wajah lelaki itu hilang sama sekali.
Nurul menelan liur, jarinya menggenggam hujung bajunya erat. Dia berusaha menjawab, namun suaranya bergetar menahan takut.
"Saya... saya dah minta Cik Syifa berehat, Tuan... tapi dia tetap berkeras mahu keluar."
Dahi Mikael berkerut semakin dalam. Riak wajahnya kian sarat dengan amarah yang ditahan. Urat di pelipisnya menonjol jelas.
"Aku minta kau beritahu bila dia sedar, kan?!" tengkingnya, meski masih cuba mengawal nada. Dia melangkah mendekati Nurul, setiap tapak yang menekan lantai kayu asli itu bagaikan menggetarkan seluruh ruang, mengirim gema halus yang memecah keheningan.
Nurul tersentak, tubuhnya bergetar hebat. Dia menggeleng pantas, bibirnya pucat bergetar menahan ketakutan.
"Saya... saya tak tahu, Tuan. Cik Syifa cuma cakap nak keluar sekejap saja. Katanya... dia akan pulang sebelum makan malam."
Mata Mikael memerah menahan bara. Dia menghela nafas berat, matanya terpejam sesaat, lalu dibuka semula dengan pandangan yang dingin menusuk.
"Kau... aku pecat. Out." Suaranya datar, tetapi penuh kuasa.
Tanpa menunggu reaksi, Mikael melangkah keluar dengan langkah tegap. Suasana kamar kembali hening, hanya tertinggal bau harumnya sarapan yang kini sepi tanpa tuan.
Nurul terpinga-pinga, tubuhnya kaku dalam tunduk. Kata-kata pemecatan itu bergaung di telinganya, membuat dadanya sesak. Namun, anehnya, bukan kecewa yang mendominasi hatinya. Sebaliknya, ada sejenis kelegaan yang menyinggah seolah dilepaskan dari sesuatu yang berat dan berbahaya.
Dia terduduk perlahan di sisi katil, dadanya turun naik. Nafasnya belum stabil. Baru ketika itu, sesuatu yang aneh kembali terlintas di fikirannya. Saat Mikael tadi menatapnya-mata lelaki itu...
Bersinar merah.
Seketika bulu roma Nurul meremang. Bayangan tatapan tajam itu menghantui kepalanya, membuat dia sedar bahawa rumah mewah ini menyimpan lebih banyak rahsia gelap daripada yang pernah dia bayangkan.
Seorang budak lelaki berseragam sukan sekolah sedang asyik bermain bola di kawasan perumahan pangsapuri itu. Dengan lincah dia menimbang bola, memusingkannya di udara lalu cuba menampung kembali dengan kaki yang dibengkokkan ke belakang. Namun percubaannya tersasar, bola itu tergolek jauh, lalu tanpa sengaja mengena seluar seorang wanita berhijab yang berdiri tidak jauh dari situ, tepat di hadapan blok pangsapuri.
Budak lelaki itu terperanjat, segera berlari anak untuk mendapatkan bolanya semula. Namun, langkahnya terhenti seketika apabila melihat bola itu sudah berada di tangan wanita itu. Pandangannya beralih, mendongak menatap wajah Syifa yang berdiri tenang. Sekilas, matanya juga menangkap isi bakul buah tangan yang dijinjing wanita itu sebelum kembali terhenti pada bola yang digenggam di tangan Syifa.
"Maaf, akak..." ucap budak itu sopan sambil tunduk, suaranya penuh rasa bersalah.
Syifa hanya tersenyum tipis. Bola di tangannya jatuh perlahan ke kaki. Dengan gerakan yang tenang, dia mengawal bola itu menggunakan kasutnya. Budak lelaki itu spontan menjongketkan kening, kehairanan. Bola itu ditampung kemas oleh kaki Syifa, lalu dipusing dengan gaya kawalan yang licik sebelum ditampung ke belakang, sama seperti yang cuba dilakukan budak tadi.
Mulut si budak terbuka luas. Kagum.
Lebih terkejut lagi apabila Syifa menekuk bola dengan hujung kasut, lalu bola itu melantun naik ke bahunya, berlegar sebentar sebelum dijatuhkan kembali ke tanah. Semuanya dilakukan dengan mudah, seakan permainan kecil sahaja.
"Wow! Akak... akak pemain bola ke?" tanya budak lelaki itu, matanya membesar penuh teruja.
Syifa hanya menggeleng sambil menendang bola itu perlahan ke arah budak itu semula. Pandangannya segera beralih ke arah sebuah unit pangsapuri di tingkat atas, kediaman Daniel. Renungannya seakan lama, ada sesuatu yang Syifa fikirkan.
Budak lelaki itu segera memeluk bolanya, namun langkah kakinya menghala semula ke arah Syifa. Wajahnya penuh minat.
"Macam mana akak boleh buat foot control tadi? Saya yang ada latihan pun masih tak mahir lagi." Soalnya petah, seakan tidak mahu melepaskan peluang belajar.
Syifa hanya menjongketkan kening, sebelum mencebik sinis.
"Ada yang ajar." Jawapannya ringkas, seakan enggan melanjutkan. Namun bibirnya menguntum senyum sinis sebelum menyambung lagi.
"Tapi lebih kepada... menampan objek. Bukan bola saja."
Budak itu terkerut dahi, jelas kurang faham. Namun Syifa sudah mula mengatur langkah, meninggalkan budak lelaki itu yang masih terpinga-pinga. Tidak mahu ketinggalan, budak itu berlari anak lalu berjalan sejajar di sisinya, sambil menimbang bola di atas kepala, cuba kelihatan hebat.
"Akak nak melawat siapa? Saya tinggal kat sini. Saya kenal semua orang kat tempat ni," katanya selamba, masih cuba mengekalkan perbualan.
Syifa sekilas menoleh, renungannya tajam, sebelum kembali memandang ke hadapan.
"Daniel. Kenal tak?"
Bola yang ditimbang-timbang budak lelaki itu serta-merta jatuh ke tanah. Dia kaku, wajahnya berubah. Bola itu bergolek melintasi kaki Syifa. Wanita itu berhenti, memalingkan kepala ke arah budak tersebut. Pandangannya menusuk, dingin namun penuh tanda tanya.
Budak lelaki itu terkebil-kebil, mulutnya separuh terbuka. Syifa mengangkat kening, kemudian bersuara perlahan.
"Kenapa?" soalnya datar, memecahkan lamunannya.
Budak itu tersentak, bibirnya bergerak-gerak seakan mahu berkata sesuatu tetapi terbantut. Tatapannya kepada Syifa penuh ragu, seakan cuba meneka apa yang sebenarnya wanita itu tahu.
"Kau pun... nampak dia dengan lelaki misteri tu, kan?" soal Syifa lagi, kali ini dengan senyuman tipis yang penuh maksud.
Budak lelaki itu membulatkan mata, terperanjat dengan kata-kata itu. Dadanya turun naik, namun akhirnya dia hanya mengangguk perlahan-terlalu lambat, tetapi cukup untuk mengiyakan.
Syifa merenungnya beberapa ketika, sebelum duduk di tepi laluan dengan satu lutut dilipat ke hadapan. Wajahnya berubah serius, nada suaranya rendah dan mendatar.
"Beritahu akak apa yang kau nampak."
Budak lelaki itu masih terpaku, sukar mempercayai perubahan mendadak pada wanita berhijab yang baru ditemuinya. Riak wajah Syifa kini bagaikan menyimpan sesuatu yang dalam, tidak sekadar permainan bola semata.
Namun tiba-tiba, senyuman kecil kembali terbit di bibir Syifa, kali ini penuh dengan maksud tersirat.
"Kalau kau beritahu akak... akak akan kenalkan seseorang. Seseorang yang boleh ajar kau skil hebat main bola sepak. Lebih hebat daripada yang kau bayangkan."
Budak lelaki itu berkerut dahi, matanya menyorot penuh tanda tanya. Tetapi dalam hatinya sudah ada rasa kagum yang bercampur ingin tahu. Perlahan-lahan, dia mengangguk, menerima kata-kata Syifa tanpa banyak soal.
Beberapa hari yang lalu.
Suasana dalam rumah itu kucar-kacir, seakan medan yang baru sahaja dilanda bencana. Bau besi darah menusuk kuat, bercampur dengan aroma lantai kayu yang lembap. Tubuh Daniah terbaring tidak berdaya di lantai, kulitnya dipenuhi luka-luka yang mengorek daging, wajahnya pucat tanpa seri. Pandangan matanya kabur, hanya separuh sedar.
Di hadapannya berdiri sosok lelaki yang selama ini dia panggil ayah. Namun riak wajah itu sudah jauh berubah. Bukan lagi wajah penyayang yang pernah membuatkan keluarganya tersenyum, tetapi wajah yang dirasuk amarah, kebencian, dan kegelapan. Matanya merah membara, dan suara lantangnya bergema penuh dendam.
"Mati je lah!"
Tiada rayuan lembut, tiada kata kemaafan. Hanya kebencian yang memuncak.
Pisau dapur di tangannya menikam kasar, menembusi perut Daniah dengan hentakan tajam. Darah memancut, membasahi pakaian. Mata Daniel anak lelaki itu terbeliak besar melihat adegan ngeri itu. Nafasnya tersekat, tubuhnya kaku seolah-olah segala kekuatan sudah diragut.
"Ayah...!" suaranya terputus, penuh getir. Tangannya cuba menahan, memegang tangan kasar ayahnya yang sedang menekan pisau ke tubuhnya. Tangan itu... dulu pernah dia genggam penuh kasih, pernah dia cium dengan taat. Tetapi kini, tangan yang sama menghancurkan tubuhnya sendiri.
Daniel terbaring lemah, pandangannya kabur, setiap hembusan nafas terasa bagai pisau menghiris paru-paru. Dia mendongak, menatap wajah ayahnya sekali lagi. Dan di situ, di sebalik kebencian yang membuak, dia ternampak sesuatu.
Air mata.
Ayah menangis? Betulkah?
Namun tiada esakan, tiada raungan. Hanya titisan jernih yang jatuh, membasahi wajah penuh dendam itu. Sebelum sempat Daniel menafsir, satu das tembakan bergema.
Dor!
Bunyi itu menyusup masuk ke cuping telinga, bergema memecahkan keheningan rumah. Peluru menembusi dahi ayahnya, dan tubuh lelaki itu rebah di sisi Daniel. Mata ayahnya masih terbeliak, membeku tanpa nyawa.
Daniel masih tercungap-cungap, tubuhnya menggigil menahan sakit yang menikam dari dalam. Pandangannya berbalam, namun jelas dia dapat melihat sepasang kasut hitam melangkah mendekatinya. Bunyi tapak kasut bergaung di ruang yang sunyi itu, perlahan tetapi penuh kuasa.
Seorang lelaki tinggi muncul di sisinya. Kot hitam panjang membalut tubuh tegapnya, kemeja hitam kemas menambah aura dingin. Senyumannya sinis, seolah-olah kematian di hadapannya hanyalah permainan kecil. Pistol Glock 19 dengan suppressor diselitkan di belakang tubuhnya.
Dia duduk di sisi Daniel, mengeluarkan sapu tangan, lalu menekan luka di perut anak muda itu. Daniel berkerut menahan sakit, matanya terbuka luas, terkejut apabila wajah lelaki itu semakin jelas.
"Haris..." suaranya hampir tersekat.
Lelaki itu Haris tersenyum sinis, matanya redup penuh rahsia. Beberapa orang pengawalnya mula masuk, mengambil alih ruang. Dua daripada mereka segera memapah tubuh Daniel yang berlumuran darah. Yang lain pula mengangkat jasad ayahnya yang sudah tidak bernyawa.
"How does it feel to be at the edge of death, kiddo?" suara Haris serak, penuh sarkastik. Dia menatap tepat ke mata Daniel yang masih berjuang dengan sisa nafasnya.
"Aku tak sangka... kau jauh lebih berguna daripada orang yang pernah aku simpan di sisiku."
Senyuman sinisnya semakin dalam. Dia berdiri, membetulkan butang kotnya, lalu melangkah keluar dari rumah pangsapuri usang itu.
Namun langkahnya terhenti seketika di koridor. Di hadapan pintu, seorang budak lelaki berdiri kaku, matanya membulat terkejut melihat tubuh Daniel yang dipapah keluar, berlumuran darah. Budak itu menggenggam bolanya erat, tidak mampu bersuara.
Pengawal Haris sempat melempar pandang, menanti arahan. Haris mengangkat tangan, memberi isyarat untuk terus bergerak. Lalu dia sendiri melangkah menghampiri budak lelaki itu.
Budak itu mendongak, menatap tubuh tinggi Haris yang kini berdiri betul-betul di hadapannya. Nafasnya tidak teratur, mulutnya terkumat-kamit tanpa kata.
"Kau pandai menipu tak?" Haris bertanya sinis, pandangannya menusuk tajam ke dalam mata budak itu.
Budak lelaki itu terkebil-kebil, tubuhnya menggigil. Bibirnya bergetar, namun tiada jawapan yang keluar.
"Buat satu cerita saja, budak..." Haris merendahkan tubuhnya sedikit, wajahnya mendekat, senyum sinisnya menambah tekanan. "Kau akan membesar dengan baik. Promise me."
Budak itu mengangguk laju, meski matanya masih berkaca.
Haris tersenyum puas, senyumannya berubah manis-tetapi penuh racun. Tangannya mengelus rambut budak itu dengan lembut, seolah-olah menyentuh sesuatu yang berharga.
"I really appreciate it," bisiknya dingin sebelum melangkah pergi, meninggalkan koridor yang kini dibungkus trauma.
Budak lelaki itu berdiri kaku, dadanya turun naik. Matanya masih melekat pada bayangan Haris yang semakin menjauh, dan entah mengapa-senyuman lelaki itu lebih menakutkan daripada bunyi das tembakan yang baru saja menggegarkan ruang hidupnya.
Share this novel