BAB 47

Mystery Series 6301

Pintu automatik terbuka perlahan, membelah sunyi ruang yang dingin. Haris berdiri tegak di hadapannya, tubuh Syifa masih tercampung erat dalam pelukan. Dua orang pembantu wanita, lengkap berpakaian seragam makmal berwarna ungu dengan tudung menutupi kepala serta topeng menutup wajah, sudah sedia menanti. Tubuh mereka dilitupi jubah makmal kalis cecair, sarung tangan getah kemas terpasang, manakala cahaya lampu operasi dari siling menyuluh wajah mereka yang tampak serius. Di hadapan mereka terbentang skrin besar, memaparkan deretan data serta graf yang bergerak pantas, semua menunggu perintah.

Mata mereka serentak tertumpu pada Haris. Lelaki itu menolak tubuh Syifa sedikit ke hadapan, memaksa gadis itu terdorong mendekati katil besi yang sudah tersedia. Syifa berpaut lemah pada sisi katil, tubuhnya menggigil kerana dinginnya permukaan besi itu. Nafasnya tersekat-sekat, ditambah pula dengan sikap Haris yang kasar. Tudung di kepalanya direntap rakus, membuatkan helaian rambutnya terburai ke bahu.

"Letakkan dia." Arah Haris dingin.

Seorang daripada wanita itu segera memegang tubuh Syifa, membaringkannya ke atas katil logam yang dilengkapi tali pengikat pada pergelangan tangan dan kakinya. Syifa tidak melawan, dia tidak punya kekuatan lagi. Lampu bergerak di atas roda ditarik rapat, sinarnya yang terang menyilaukan pandangan hingga matanya sedikit berkerut. Beberapa wayar mula dipasang ke tubuhnya, monitor berdesir mengesan denyutan nadinya.

Kedua-dua wanita itu bersiap dengan alatan mereka, namun sebelum memulakan, pandangan mereka terarah pada Haris, seolah meminta restu untuk melangkah ke fasa eksperimen.

Lelaki itu diam. Langkahnya perlahan mendekati Syifa yang kini terikat di katil besi. Cahaya lampu membias ke wajahnya, menampakkan setiap garis dingin yang terukir. Syifa melirik datar, wajahnya kosong tanpa riak takut, seakan sudah mati sebelum eksperimen dimulakan. Melihat itu, Haris sekadar mencebik sinis.

"Kenapa kau hari ni… seperti dah biasa?" suaranya rendah, penuh sindiran. "Apa yang berlaku sebelum ini, hah? Sampai tenaga kau lebih mirip mayat hidup daripada manusia sebenar."

Syifa tetap diam. Tiada jawapan, tiada reaksi. Nafasnya masih beratur, tapi kosong.

Haris menyeluk kocek seluarnya lalu mengeluarkan sebiji pil merah, menayangnya tepat di hadapan wajah Syifa. Bibirnya terherot kecil, antara sinis dan kecewa.

"Kau tahu ini?" soalnya perlahan tetapi tajam. "Ini ‘Neuroxin-RX’. Ubat yang aku terpaksa telan sampai mati hanya untuk pastikan aku tak hilang kewarasan diri." Dia ketawa kecil, hambar. "Ironi, kan?"

Dia menunduk sedikit, menatap pil itu dengan pandangan yang kelihatan terbelah antara benci dan ketagihan.

"Tak ada sesiapa, tak satu pun manusia yang mampu hasilkan VantaCell-09 sempurna selain Dr. Hill. Sebab tu, setiap mutasi perlukan penawar. Tapi ubat ini…" Haris menggenggam pil itu, nadanya semakin tajam. "... hanya menambah pendek umur aku. Sialnya, aku perlukan ini macam dadah."

Dia melangkah lebih dekat, menunduk, lalu mengangkat jari Syifa. Sentuhannya perlahan, seakan mengejek. Ujung jarinya kemudian jatuh tepat ke mata Syifa. Namun gadis itu tetap kaku, wajahnya masih sama datar, kosong, tiada gentar.

"Orang terakhir yang bersama Dr. Hill ialah kau." Nada Haris berubah serius, dingin. "Mungkin kau ni sebahagian daripada alat ujikaji dia, selepas Dr. Ichiro selamatkan kau."

Syifa tidak memberi apa-apa reaksi.

Haris menghela nafas panjang sebelum tertawa kecil, sinis. "Aku akan pastikan satu dunia tunduk untuk dapatkan penawar ni. Lepas eksperimen ni selesai…" suaranya meninggi, tegas, keras seperti mafia yang memberi kata putus, "…aku akan cipta neraka mereka sendiri."

Tangannya diangkat, memberi arahan. Kedua-dua wanita itu serentak mula bergerak, bersedia memulakan prosedur. Haris berpaling, langkahnya menuju pintu kaca yang memisahkan ruang eksperimen dengan bilik kawalan.

Namun belum sempat kakinya melangkah keluar, suara dingin Syifa memecah udara.

"You’ll never pull it off."

Haris berhenti, menoleh. Tatapannya menusuk tepat ke anak mata Syifa. Gadis itu masih dalam keadaan terikat, namun nadanya tegas, penuh kepastian.

"Oh, really?" Haris membalas dengan nada sinis, suara bergetar dalam bahasa Inggeris, jelas manipulatif. "You think you know the limits of my power? Darling, you’ve seen nothing yet."

Seninya senyuman terukir, tetapi matanya tetap dingin, penuh ancaman.

Tatkala tubuh Haris melangkah masuk ke bilik kawalan, pintu automatik menutup perlahan di belakangnya. Dari dinding kaca yang memisahkan ruang itu, pandangannya tertancap pada tubuh Syifa yang kini terikat kaku di atas katil besi. Riak wajah gadis itu tetap sama datar, kosong, seolah-olah segala emosi telah dilenyapkan. Senyum sinis terbit di hujung bibir Haris, seakan menjejak sesuatu yang disembunyikan Syifa di balik tatapan kosong itu.

Salah seorang wanita berbaju ungu bergerak mendekat. Dia mengangkat sebuah topeng gas kecil yang bersambung dengan mesin bius, anesthesia mask lalu menekapkannya perlahan ke wajah Syifa. Aliran gas dingin mula memenuhi paru-paru gadis itu. Kelopak matanya terasa berat, namun sebelum kesan bius itu menyerap sepenuhnya, dia merasakan satu tusukan jarum di lengannya. Salur infusi dipasang, cairan pekat memasuki tubuhnya. Rasa terbakar menjalar sepanjang urat nadi hingga ke dada, memaksa Syifa mengetap bibir rapat. Dia masih sedar, merasakan setiap detik, walau tubuhnya semakin lemah ditarik cengkaman bius.

Mesin monitor mula berbunyi, garisan hijau bergerak stabil, menanda degupan jantung yang masih bertahan. Wanita kedua mendekat, menyiapkan tiub darah yang mula mengisi beg kecil. Setiap sampel tubuh Syifa diambil satu persatu darah, cecair spinal, malah helaian kecil tisu dari hujung kulitnya. Semuanya dikatalogkan untuk dianalisis.

Mata Syifa akhirnya terpejam rapat, namun telinganya masih sempat menangkap deruan bunyi besi berlanggar alat-alat pembedahan bertukar tangan di meja logam. Bunyi helaian kertas, ketikan papan kekunci, dan bisikan halus kedengaran dari arah skrin besar di sisi dinding.

"Data ini… tidak konsisten."
"Bacaan sel mutasi tak stabil. Seolah-olah ada rintangan dalaman."
"Apa yang berlaku pada subjek ini…?"

Nada suara kedua-dua wanita itu jelas, penuh keraguan. Keputusan yang muncul di skrin bukan seperti yang mereka jangkakan. Setiap analisis gagal mencapai hasil yang sepatutnya.

Syifa, dalam kesedaran yang samar, hanya mampu bernafas perlahan. Kesakitan yang tadi membakar tubuhnya kini berganti dengan gelap yang merayap. Namun di hujung bibirnya, terbit bisikan perlahan seperti doa, seperti rintihan.

"Madre… (Ibu…)"

Suara itu hilang bersama kesedarannya, meninggalkan hanya tubuh yang kini pasrah di bawah cahaya lampu operasi, sementara Haris dari balik kaca terus memerhati, matanya masih dingin, penuh perhitungan.

Rumah agam itu berdiri anggun pada malam yang dingin. Awan hitam perlahan-lahan menggeser, menutup cahaya bulan yang sebelumnya menyimbah lembut halaman. Sunyi yang pekat hanya ditemani desiran angin dingin yang merayap masuk dari celah-celah jendela.

Seorang wanita lewat tiga puluhan melangkah perlahan masuk ke dalam bilik besar di tingkat atas. Derapan kakinya nyaris tak kedengaran di atas lantai marmar, seakan dia sengaja menahan nafas agar tidak menimbulkan sebarang bunyi. Di tangannya tergenggam sebotol larutan garam baharu, siap untuk menggantikan botol lama yang sudah hampir habis menitis. Tugas itu dilakukannya setiap hari, atas arahan majikannya. Tiada bantahan, tiada pertanyaan hanya patuh.

Di tengah bilik, seorang kanak-kanak perempuan berbaring di atas katil antik berkelambu putih. Tubuhnya kaku, sudah dua hari tidak pernah membuka mata. Wanita itu melangkah lebih dekat, tangannya cekap tetapi berhati-hati menukar botol infusi yang tergantung pada tiang besi. Hujung jarum masih terbenam di lengan halus kanak-kanak itu, seolah-olah menjadi satu-satunya tali halus yang menambatnya pada hidup.

Namun tiba-tiba, kelopak mata budak itu bergetar sebelum terbuka perlahan. Bola matanya bergerak, meneliti setiap sudut bilik yang suram. Hanya cahaya samar dari balkoni yang menerangi ruang, membuatkan bayang-bayang berkelip di dinding. Aurora mengangkat tubuh ke posisi duduk. Gerakan itu tidak disedari pembantu wanita yang masih tekun memastikan tiub infusi terpasang kemas.

Aurora mengerutkan dahi, matanya beralih ke arah cermin antik di sudut bilik. Rambutnya yang sebelum ini berwarna perang kini berubah gelap, coklat pekat, seakan bayangan dirinya bukan lagi miliknya. Dia melirik ke arah pembantu yang akhirnya menyedari sesuatu, lalu berpaling. Saat tatapan Aurora tertancap padanya, wanita itu terkejut hingga botol hampir terlepas dari tangan.

Tatapan budak itu kosong, tetapi tajam menusuk, membuatkan wanita itu terduduk ketakutan.

"¿Dónde está mi madre? (Dimana ibu saya?)" suara Aurora datar, namun bernada mendesak. Bahasa asing itu bergema di ruang bilik, dingin dan asing di telinga wanita itu.

Pembantu itu menggeleng tergesa, tubuhnya bergetar hebat. Benaknya teringat bisikan sesama mereka, gosip yang berulang kali diperkatakan bahawa budak ini bukan manusia biasa. Bahawa dia adalah monster yang mampu membunuh tanpa belas. Nafas wanita itu pecah-pecah, suaranya tersekat di kerongkong.

Aurora menyipitkan mata, nadanya makin mengeras.
“Tu mirada… hiciste algo mal, ¿verdad? ¡¿Dónde está mi madre?! (Tatapan kau.. kau buat salah kan.. dimana ibu saya?!)

Jeritan di hujung ayatnya bergema, membuatkan wanita itu teresak kecil. Dia menggeleng laju, berundur mengesot ke belakang, merayu dengan air mata yang jatuh tanpa suara.

Aurora berdiri di atas tilam, tubuh kecilnya tegak, namun aura yang terpancar begitu menggetarkan. Dahi mungilnya berkerut, urat-urat di bawah kulitnya menegang, membuatkan wajahnya tampak jauh lebih tua dari usia sebenar. Tatapannya menikam, membuat wanita itu menggigil tanpa henti.

"Te lo pregunto una vez más… ¿dónde está mi madre.. (Aku tanya sekali lagi, dimana ibu saya..)"

Aurora mengulang, kali ini dengan suara yang rendah tetapi bergetar, menahan sesuatu yang bergolak dalam dirinya.

Wanita itu mendongak, menatap dengan mata yang penuh ketakutan. Namun pandangan itu segera membeku bola mata Aurora berubah merah menyala, urat hitam timbul jelas di permukaan kulit wajahnya. Nafas wanita itu tersekat, tangisannya tertelan sendiri.

Sebelum sempat dia menggeleng lagi, segalanya berakhir. Dengan satu gerakan, kuku panjang Aurora merobek udara dan leher wanita itu terputus dari tubuhnya. Darah memancut liar, memercik ke dinding dan lantai marmar.

Aurora berdiri kaku, gaun putih yang dipakainya sudah dilumuri merah. Pergelangan tangannya berlumuran darah segar, kuku panjangnya meneteskan titisan yang jatuh satu demi satu. Tatapannya kosong, wajahnya tenang, seolah-olah tiada rasa bersalah atas tubuh terkulai yang kini terbaring di hadapannya.

Malam itu, rumah agam yang indah telah menjadi saksi lahirnya kengerian yang sebenar.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience