Series
6301
Cahaya pagi menembusi masuk melalui celahan kecil di dinding bawah tanah itu, memantul lembut pada batu-batu lembap yang berlumut. Dari luar, sinar matahari yang redup itu seolah membawa sedikit harapan meskipun hanya setipis hela nafas yang nyaris terpadam. Tingkap kecil yang berpalang besi itu menjadi satu-satunya laluan dunia luar kepada ruang gelap di mana Syifa ditahan.
Di luar sana, burung-burung berkicauan riang, seperti dunia masih indah tanpa sedar ada jiwa yang perlahan-lahan mati di bawah sini. Salah seekor burung kecil, tubuhnya comel dengan paruh merah hinggap di bingkai tingkap. Ia membawa beberapa butir buah ceri merah segar yang dipetik dari kebun di perkarangan villa itu. Entah kenapa, burung kecil itu tidak segera pergi. Ia menunduk, memandang ke arah Syifa yang masih terbaring diam di lantai batu, berselimutkan kemeja hitam pada tubuhnya.
Perlahan, kelopak mata Syifa terbuka. Cahaya pagi itu menyapa wajahnya yang pucat, lembut tapi pedih. Pandangannya kabur seketika sebelum fokus pada burung kecil yang berdiri di ambang tingkap itu. Beberapa buah ceri merah bergolek di lantai berhampirannya. Syifa menatapnya kosong mungkin terkejut, mungkin juga tidak percaya ada makhluk kecil yang sudi datang di tengah kesepian yang membunuh.
Burung itu berkicau perlahan, lalu terbang keluar meninggalkan ruang itu. Hanya bunyi kepak sayapnya yang bergaung sejenak sebelum kembali diganti oleh sunyi.
Syifa mengangkat tubuhnya ke posisi duduk. Rambutnya yang kusut jatuh menutupi sebahagian wajah. Matanya menatap ke atas, ke arah tingkap berpalang besi di mana cahaya menyusup masuk bersama bayangan langit biru. Ia indah, namun terasa jauh, terlalu jauh untuk dicapai.
Perlahan-lahan, dia mengambil sebutir ceri dari lantai. Tangannya menggigil, seolah tenaga yang tinggal hanya cukup untuk satu gerakan kecil itu. Ceri merah itu disuap masuk ke dalam mulut. Rasa manisnya begitu halus, tapi bagi Syifa, ia lebih dari sekadar buah ia seperti hadiah kecil dari langit, mengingatkannya bahawa masih ada sesuatu yang hidup di luar sana. Senyuman tipis terlukis di bibirnya. Bukan kerana gembira, tetapi kerana hatinya terasa disentuh walau sedikit.
Dia duduk lama di penjuru ruang. Bahunya bersandar pada dinding batu yang sejuk. Pandangannya kosong, menembusi udara yang berat dan lembab. Tiada suara, tiada gerak. Hanya sepi yang menelan segala rasa.
Dia sudah tidak tahu mana yang lebih menyakitkan menahan, atau bersuara.
Ada keinginan untuk menjerit, menumpahkan segalanya, namun suara itu telah lama terkubur bersama harapan yang dipatahkan berkali-kali.
Dia diam. Pandangannya kosong, seperti roh yang terpisah daripada jasadnya sendiri. Hatinya menjerit, tapi tiada siapa yang mendengar selain Tuhan. Dia menelan tangis yang tersisa, memaksa wajahnya tetap tenang walau jiwanya sudah ranap berkeping.
Mereka memandangnya, menunggu reaksi, dan dia hanya menatap kembali dengan mata yang sudah kehilangan cahaya. Pandangan itu bukan tanda reda, hanya tanda bahawa dia sudah tidak punya kekuatan untuk melawan.
Syifa akhirnya menghantukkan perlahan kepalanya ke dinding, seakan bersandar di situ. Nafasnya panjang dan berat. Matanya terangkat ke langit, mencari sesuatu yang tidak dia pasti apa. Barangkali keadilan. Barangkali pengertian. Atau mungkin hanya sedikit ruang untuk bernafas tanpa dipersoal.
Dan di situlah dia, di tengah dunia yang terus berjalan tanpa peduli, dia membiarkan segalanya berlalu seperti tiada apa yang pernah berlaku. Tapi hanya Tuhan yang tahu, betapa diamnya saat itu bukan ketenangan… melainkan sisa tenaga terakhir dari hati yang telah retak terlalu lama.
Bunyi tapak kasut menghentak lantai batu bergaung perlahan di sepanjang lorong bawah tanah yang sepi. Irama langkah itu mendekat, berat dan tenang seperti milik seseorang yang tahu dia berkuasa atas setiap jiwa di ruang itu. Syifa yang sedang bersandar di dinding, pantas mencapai kemeja hitamnya lalu menyarungnya ke tubuh. Nafasnya bergetar perlahan, bukan kerana takut, tapi kerana dia tahu lelaki itu… tidak pernah datang tanpa maksud.
Bunyi besi berkeriut kedengaran jeriji terbuka, kemudian ditarik semula dengan dentuman nyaring yang menggetarkan ruang sempit itu. Haris muncul di balik dinding, tubuhnya disarung pakaian perang berwarna tanah dan hijau zaitun, seperti seseorang yang baru keluar dari medan pertempuran purba. Di tangannya tergenggam beg kertas berwarna kusam.
Dia berjalan tenang, setiap langkah membawa bayangan ancaman. Bila pandangannya jatuh pada Syifa yang masih bersandar lesu di dinding, bibirnya terangkat sinis, senyuman yang lebih menakutkan daripada kata-kata.
Tanpa berkata apa, Haris melempar beg itu ke arah lantai di hadapan Syifa. Kotak itu terhempas, terbuka sedikit. Terserlah sehelai pakaian yang tampak berat, berlapis dan berjahit indah tapi di tangan lelaki itu, ia terasa seperti simbol kuasa.
"Pakai tu," ujar Haris, nada suaranya tebal dengan ejekan. "Kau nak misi, kan?"
Syifa hanya diam, pandangannya jatuh pada pakaian itu. Dia tidak segera menyentuhnya, seolah-olah sedang menimbang makna tersirat di sebalik pemberian itu. Akhirnya, dia mengangkat tangannya perlahan, menarik keluar pakaian tersebut dari dalam beg. Kainnya halus, berat, dan berbau seperti tanah basah yang lama tak disinari matahari.
"Akhirnya kau fikir juga apa yang aku cakap semalam," ujar Syifa datar, tanpa riak di wajah.
Haris mengerutkan dahi, kemudian mencebik sinis. Tatapannya mencerlung menusuk tajam ke arah gadis itu.
"Kau fikir aku peduli dengan apa yang kau cakap semalam?" suaranya serak, penuh sindiran dingin. "Ini bukan untuk kau. Ini ujian untuk lihat sama ada kau layak bernafas di sisi aku, atau mati saja dalam permainan ini."
Dia melangkah ke hadapan, kemudian duduk dengan satu kaki kehadapan, menatap Syifa tanpa berkedip.
"Shut your mouth… unless you’re hoping to be silenced forever."
Ancaman itu turun seperti racun yang disembur perlahan. Namun Syifa tidak berganjak, hanya menatapnya balik dengan pandangan kosong yang tidak pernah tunduk.
"What do I get for listening to all that sincerely? Will you reward me?" ujar Syifa lembut, tapi jelas nada ejekannya menusuk telinga.
Dalam sekelip mata, tangannya mencengkam pipi Syifa kuat sehingga kepalanya terhantuk ke dinding batu. Bunyi hentakan itu menggema. Syifa mengetap bibir, menahan sakit, sebelum senyum sinisnya muncul kembali.
Haris menghela nafas kasar, dadanya naik turun. Tatapan mata lelaki itu berubah bukan lagi marah semata, tapi tercabar.
"Kau suka diberi ganjaran, ya?" suaranya rendah, serak, dan mengandungi sesuatu yang lebih berbahaya daripada marah.
Syifa hanya membalas dengan pandangan dingin, tanpa kata.
"Aku akan pastikan permainan ini buat kau berhenti minta-minta," ucap Haris dingin, sebelum menolak wajah Syifa kasar hingga kepalanya berpaling ke sisi. Dia bangun, berdiri tegak menatap gadis itu dengan ekspresi yang tak berperasaan.
"Ganti pakaian kau," perintahnya tegas.
Syifa mendongak memandang lelaki itu, menyedari dia tidak berniat beralih atau memberi ruang.
"Cepat, betina!" suaranya menggema di ruang batu yang sempit. "Atau kau nak aku tolong kau?"
Syifa menelan liur yang terasa pahit di kerongkong. Dia berdiri perlahan, tubuhnya tegak walau dalam kelemahan. Tatapan Haris tak berganjak seolah-olah menunggu sesuatu yang tak berperi.
Dengan gerakan tenang, Syifa mula membuka butang kemeja hitam yang dipakainya satu per satu. Bunyi kecil dari butang yang terlepas bergema di udara sunyi itu. Setiap kali satu butang dibuka, pandangan mereka bertembung, keras melawan keras, dingin melawan dingin, dua jiwa yang tidak sudi kalah.
Akhirnya, butang terakhir dilepaskan. Kemeja hitam itu melurut ke lantai. Syifa berdiri dengan pakaian tipis yang menampakkan betapa lemahnya tubuh itu, namun matanya tetap kuat menolak untuk tunduk.
Haris menunduk sedikit, pandangannya meleret dari atas ke bawah. Sekilas senyum muncul di hujung bibirnya, senyum yang lebih berupa penghinaan daripada kekaguman. Syifa hanya mengetap bibir, menahan marah yang ingin meletup, lalu memalingkan wajah.
Syifa berdiri tegak di hadapan Haris, tubuhnya kini dibaluti helaian pakaian baru yang diserahkan lelaki itu bukan sekadar pakaian, tapi seakan seragam seorang yang bakal berjuang di medan yang tidak menjanjikan hidup. Jaket tebal berwarna zaitun gelap itu menutupi tubuhnya hingga ke paras paha, dengan potongan kasar namun kemas, cukup untuk menahan dingin dan menyembunyikan bentuk badan. Di lehernya, terikat selendang merah gelap yang kontras dengan pakaian serba suram, warna yang seakan melambangkan keberanian dan darah yang mungkin tumpah selepas ini.
Sarung tangan hitam melilit kedua tangannya, menjadikan jemarinya tampak lebih kuat daripada biasa. Di bahunya tergantung tali beg taktikal yang bersilang ke dada, sementara poket-poket besar pada seluar cargo hijau gelapnya menunjukkan fungsi lebih dari sekadar gaya. Kasut but hitamnya pula menjejak lantai batu ruang tahanan itu dengan bunyi lembut namun berkuasa, setiap langkahnya menggetarkan udara seolah menandakan sesuatu telah berubah.
Haris meriliknya dari atas ke bawah, pandangan tajam itu seperti menilai hasil ciptaannya sendiri. Bibirnya terukir senyum kecil bukan kerana manis, tetapi kerana puas. Gadis itu, yang sebelumnya tampak rapuh dalam pakaian lusuh semalam, kini berdiri dengan aura berbeza seolah siap menjadi sebahagian dari dunia gelapnya.
Namun Syifa tetap diam. Pandangannya kosong namun menusuk, menahan segala yang ingin diucap. Nafas mereka bertemu di udara yang sejuk dan sunyi, mencipta ketegangan halus antara dua jiwa yang sama keras, satu memerhati dengan kepuasan, satu lagi menentang dalam diam.
Senyum sinis di hujung bibir Syifa muncul sekejap, tipis, namun cukup untuk membuat dada Haris bergetar dengan rasa yang sukar dijelaskan.
Dia tidak perlu berkata apa-apa.
Kerana diamnya sudah cukup untuk menandakan permainan ini baru sahaja bermula.
Langkahnya perlahan ketika dia menghampiri Syifa. Dari sisi pinggang, dia mengeluarkan sesuatu sebilah pisau belati kecil, berkilat tajam, berukir simbol samar di gagangnya. Haris menghulurkan senjata itu sambil mengangkat kening, seakan memberi hadiah kepada askar yang baru dilahirkan.
"Hanya pemberian kecil," ucapnya, nada suaranya separuh sinis, separuh lembut. "Dengan alat ini… kau akan bertahan."
Syifa menyambut belati itu tanpa sebarang ucapan. Pandangannya datar, dingin, tapi ada sinar kecil di matanya sinar tekad.
Beberapa detik senyap berlalu sebelum Syifa bertindak tanpa memberi amaran. Dia menggenggam rambut panjangnya, helaian hitam legam yang sudah lama menjadi sebahagian daripada dirinya, lalu mengangkatnya tinggi. Dengan satu helaan nafas, belati itu diayunkan, sreeettt! Suara tajam logam memotong senyap ruang itu. Rambutnya jatuh berhamburan ke lantai, menebar aroma halus yang anehnya menambah suram suasana.
Haris yang menyaksikan aksi itu hanya terpaku seketika. Tidak disangka gadis itu akan memotong rambutnya sendiri dengan sedingin itu. Dia mengerling Syifa yang kini menunduk, melepaskan genggaman rambutnya yang terpotong, biar ia jatuh berserakan di kaki.
Tanpa sepatah kata, Syifa menarik selendang merah gelap itu lalu menaikkannya ke atas kepala. Kain itu kini menutupi rambut pendeknya yang sudah tidak lagi terurus selagi mampu, dia ingin menjaga auratnya. Wajahnya separuh tenggelam di balik bayang selendang, namun matanya tetap tajam, tenang, dan siap melawan.
Ruang itu terasa sepi seketika, hanya kedengaran bunyi napas mereka berdua.
Senyuman Haris kembali muncul, kali ini lebih sinis tapi juga sedikit terhibur.
"Kau tahu…" katanya perlahan, nadanya lembut tapi berbahaya, "Aku tertarik dengan watak keras kau. Dan aku akan lebih tertarik… kalau segalanya berjalan seperti yang aku inginkan."
Dia melangkah ke hadapan, membongkok sedikit hingga wajahnya sejajar dengan Syifa. Nafasnya terasa di kulit pipi gadis itu hangat, berat, dan sarat dengan maksud tersirat.
Syifa tetap diam. Pandangannya tidak goyah, menatap tepat ke mata lelaki itu tanpa sekelumit gentar.
"Apakah kau sudah bersedia diberi ganjaran untuk misi ini?" bisik Haris, nadanya separuh menggodanya, separuh mencabar. "Balas saya, Syifa."
"Hm." Gumaman pendek itu keluar dari bibir gadis itu, datar, tenang, dan cukup untuk membuat Haris terhenti sejenak.
Lelaki itu mengangkat kening, kemudian ketawa kecil tawa rendah yang penuh makna.
"I love your body language," katanya sambil menunduk sedikit, matanya masih menatap Syifa yang berdiri tanpa goyah.
Syifa tidak membalas senyum, tidak juga berpaling. Dia hanya menatap lelaki itu seakan sudah tahu permainan macam apa yang menantinya selepas ini.
Dan dalam keheningan ruang bawah tanah itu, dua jiwa berdiri berhadapan satu dengan kuasa dan niat, satu lagi dengan diam yang keras dan menakutkan.
Namun diam Syifa kali ini bukan tanda tunduk… ia adalah permulaan dari perlawanan yang akan datang.
Share this novel