Series
6301
Mereka berdua menaiki anak tangga pangsapuri itu. Syifa sempat melirik ke arah budak lelaki yang berada di sisinya. Wajahnya tampak tenang, seakan kisah ngeri yang baru sahaja dia ceritakan tadi hanyalah satu olahan kosong. Tiada riak takut, tiada resah. Dia malah bersahaja mengunyah buah epal yang dibawa dalam bakul pemberian Syifa.
Sekilas, Syifa mengimbas kembali kata-kata wanita yang pernah menceritakan tentang kejadian beberapa hari lalu. Mungkin cerita budak lelaki itu hanya ditokok tambah, atau barangkali sengaja diselewengkan untuk menyembunyikan kebenaran sebenar yang berlaku di dalam rumah Daniel waktu itu.
"Akak kata nak kenalkan orang yang boleh ajar saya bola sepak, kan?" omel budak itu tiba-tiba, selamba sambil menimbang bola di tangannya.
Syifa mengalih pandangan sekilas ke arahnya. "Kau siapa nama?" soalnya tenang.
Budak itu mendongak, sisa epal masih di dalam mulut. "Panggil Acap je. Nanti bila saya terkenal, saya tukar nama Ronaldinho Acapinho!" katanya sambil sengih penuh bangga.
Syifa hanya menghela nafas kecil, malas melayan celoteh itu.
"Akak nak melawat Abang Daniel, kan?" Acap bertanya lagi, matanya bulat penuh rasa ingin tahu.
Syifa hanya mengangguk perlahan. "Hm. Dia dah balik rumah dia, kan?"
Acap mengangkat bahu, kemudian mengunyah sisa epalnya sebelum menjawab, "Tak tahu. Sejak mak Abang Daniel meninggal, dia jarang balik sini. Dah... lebih setahun jugalah."
Langkah Syifa terhenti. Dia menoleh, merenung wajah budak itu. "Setahun lebih?"
Acap mengangguk meyakinkan. "Hm. Time kejadian hari tu je baru saya nampak dia balik. Itu pun... selepas menghilang berbulan-bulan."
Riak wajah Syifa berubah serius. Ada sesuatu yang menusuk rasa, sebuah perasaan tidak enak yang menyelinap halus ke dalam dirinya.
"Tak logik..." bisiknya perlahan.
Mereka kini berdiri beberapa langkah sahaja dari pintu rumah Daniel.
Tuk! Tuk!
Syifa tersentak daripada lamunannya. Acap sudah mengetuk pintu rumah Daniel beberapa kali, suaranya riuh. "Abang Daniel! Abang!"
Tiada jawapan.
Syifa berdiri di sisi budak itu, matanya melirik ke arah bangunan di atas. Angin pagi yang lembut menyapa wajahnya, memberi kedamaian sementara. Namun benaknya kembali sarat teringat segala perbualan Mikael dan Adrik pada malam itu. Dia tidak benar-benar lena ketika itu. Dia mendengar setiap butir kata, dan kini dia tahu. Sesuatu yang besar bersemayam dalam dirinya, sesuatu yang membuatkan orang asing datang mendekat tanpa dia sedar.
"Eh, abang..." suara Acap tiba-tiba terhenti, seolah terkejut.
Syifa menoleh.
Daniel berdiri di hadapan pintu, wajahnya sedikit bingung. Pandangan mereka bertaut, lama. Ada sesuatu dalam riak wajah lelaki itu-seakan menyembunyikan sesuatu yang tidak mahu dia tunjukkan.
Syifa menarik nafas dalam, senyuman tipis terukir di bibirnya. Lega. Lega kerana sosok lelaki itu masih berdiri di hadapannya dengan selamat.
"Kau okey?" Suara Syifa bergetar, lirih, hampir tidak kedengaran.
Daniel terpaku beberapa saat, sebelum akhirnya mengangguk perlahan. Pandangannya masih berkaca, seakan berat hendak menjawab.
"Ni tak ada minum-minum ke? Haus ni," seloroh Acap, memecah kejanggalan yang terbit antara dua insan itu.
Daniel sekadar menghela nafas, senyum tipis menghiasi bibirnya. "Masuklah dulu."
Tanpa menunggu, Acap sudah pun menonong masuk. Syifa menyusul dari belakang, menyerahkan bakul buah tangan kepada Daniel sebelum melangkah masuk ke ruang tamu. Acap sudah pun melabuhkan duduk di atas sofa, menimbang bola di tangannya dengan selamba, seolah-olah ruang itu miliknya sendiri.
Syifa berdiri sejenak, memerhatikan Daniel yang masih terpaku di sisi pintu. Pandangan lelaki itu berat, matanya tidak lepas dari Syifa, seakan cuba membaca sesuatu. Namun senyuman kecil tetap juga terbit di wajahnya.
"Rehatlah. Aku ambilkan air." ujar Daniel perlahan, sebelum beralih menuju ke ruang dapur.
Syifa hanya mengangguk, lalu duduk di sisi Acap. Jari-jarinya mengusap hujung tudungnya, hatinya masih resah, menunggu saat lelaki itu kembali dengan jawapan yang barangkali tidak pernah dia jangkakan.
Daniel kembali dari dapur, di tangannya dulang berisi dua cawan jus kaca yang dihiasi potongan buah daripada bakul yang dibawa Syifa tadi. Baru sahaja dia mahu memperlawa, tangan Acap sudah pantas mencapai salah satu cawan dan meneguknya tanpa segan silu.
Syifa dan Daniel hanya sempat saling mengerling ke arah budak itu. Acap, dengan wajah selamba, malah memperlawa mereka pula menjamah buah yang sudah mula dimakannya, sambil tersengih nakal dengan senyum kambingnya.
Syifa mencebik sinis, malas melayan. Pandangannya beralih kembali pada Daniel, yang dari tadi seakan masih berlari-lari mengelak dari bertembung dengan tatapan Syifa.
"Aku lepas kat hospital... mereka cakap kau dah discharge dua hari lepas. Kenapa tak info aku?" Suara Syifa datar, tenang tapi penuh sindiran.
Daniel tidak terus menjawab. Senyum tipisnya terukir, lalu dia menyerahkan segelas jus pada Syifa. Gadis itu hanya mengambil cawan itu perlahan, jari-jarinya menggenggam kaca dingin itu, menanti jawapan yang masih tergantung di udara.
"Abang nak pinjam tandas." Suara Acap tiba-tiba memecah kebisuan.
"Pergilah," balas Daniel, kepalanya memberi isyarat.
Budak itu berlalu, meninggalkan Syifa dan Daniel berdua. Suasana kembali tegang. Tatapan Syifa tajam menikam, seakan tidak mahu melepaskan wajah lelaki itu. Perlahan-lahan, Daniel membalas pandangan itu, matanya sedikit suram.
"Kau pun nak bodohkan aku? Sama macam semua orang buat kat aku?" Suara Syifa mendatar, tapi menikam dalam. Senyuman tipis di bibir Daniel pudar serta-merta. Dia menelan liur yang tiba-tiba terasa pahit.
"Aku tak tahu apa yang kau sembunyikan," sambung Syifa, kali ini dengan senyum sinis yang seakan mengutuk dirinya sendiri, "Tapi apa yang aku buat selama ni, tulus."
Sunyi. Hanya nafas mereka yang kedengaran.
"Nurse tu cakap ada lelaki datang ambil kau balik. Leo, keh?" soal Syifa, nada suaranya tajam, penuh tuntutan jawapan.
Daniel menarik nafas panjang. "Ah, Leo. Aku memang minta dia ambil aku. Time tu dia shift petang." Dia melepaskan keluhan kecil, lalu melabuhkan duduk di sofa bertentangan Syifa. "Takkanlah sebab aku tak beritahu kau keluar hospital, kau dah sangsi? Aku cuma tak nak susahkan kau."
Syifa perasan jemari Daniel masih kerap menekan perutnya. Luka itu masih belum sembuh sepenuhnya, jelas sekali masih menyakitkan. Namun hatinya tetap tidak lembut.
"Tak apalah. Kalau kau dah cakap macam tu." Suara Syifa hambar. Dia berdiri, Daniel mendongak memandangnya, seakan tidak rela.
"Acap nak kau ajar dia main bola. Aku dah janji dengan dia." Kata-kata Syifa itu kedengaran tegas, seakan membuat keputusan muktamad. Daniel berkerut, ingin bersuara, tetapi belum sempat...
"Aku balik."
Langkah Syifa terhenti tiba-tiba. Nafasnya tersekat, sebak merayap. Matanya tiba-tiba berkaca, menahan sesuatu yang berat di dada. Dia menoleh seketika, menatap Daniel.
"Daniel... aku harap kau bukan lawan aku." Ucapannya datar, lirih, menusuk hingga membekukan lelaki itu.
Mata Daniel membulat sedikit. Mulutnya terbuka, seakan mahu berkata sesuatu-menyuarakan kebenaran yang terkurung di dadanya. Namun lidahnya kelu. Semua yang ingin terluah, ditelannya kembali.
Syifa melangkah keluar tanpa menoleh lagi.
Daniel terpaku, memandang kosong ke arah pintu yang sudah terkatup. Senyuman tipis yang tak sempat kembali kini lenyap. Pandangannya jatuh pada Acap yang kebetulan muncul dari arah tandas. Budak itu juga terpaku, tidak mengerti, sebelum perlahan tunduk meminta diri.
"Acap," panggil Daniel, suaranya berat.
Langkah budak itu terhenti. Dia menoleh, menanti.
Daniel menyilang kakinya, tersengih kecil dengan nada bersahaja. "Petang ni jumpa kat taman. Abang ajar kau main bola."
Alis Acap terjongket. Jadi... lelaki yang dimaksudkan wanita itu ialah Abang Daniel? Dia hanya mengangguk kecil, mencapai bola dan beg sekolahnya sebelum keluar meninggalkan rumah itu.
Kesunyian kembali meresap. Daniel termenung, pandangannya jatuh pada cawan jus Syifa yang langsung tidak disentuh. Sinis terbit di bibirnya, cemberut tipis.
"Aku bukan lawannya..." gumamnya perlahan, sebelum ketawa kecil, pahit.
"Shit... she was ahead of the war before it even started."
Gelak itu bergema, kuat, bergema bersama dentuman tangannya memukul sofa empuk itu. Lama dia ketawa, sehingga akhirnya kepalanya rebah ke belakang, pandangan matanya menatap siling. Senyum sinis masih melekat, namun mata itu... sarat dengan sesuatu yang lebih dalam dari sekadar permainan.
Suasana kamar mandi itu begitu tenang namun dingin, seakan menyatu dengan panorama luas di luar sana. Di sebalik kaca lutsinar, lautan terbentang hitam kebiruan, bergelora kecil dipukul angin petang, sementara perbukitan jauh berdiri gagah dalam bayangan kelam mendung. Pancuran dari siling berhenti secara automatik tatkala Adrik melangkah keluar dari kawasan itu, setetes demi setetes masih jatuh perlahan menyusuri tubuhnya. Lelaki itu mencapai tuala, melilitkannya ke pinggang, lalu meraup rambut basahnya ke belakang dengan gerakan malas namun penuh kelelahan.
Langkahnya membawa tubuh tinggi itu ke arah kabinet dengan cermin yang samar diterangi lampu suram. Pandangan matanya jatuh pada sisi perut, lebam membiru yang sudah beransur memburuk, memalitkan rasa perit setiap kali dia menarik nafas. Helaan panjang dilepaskan, berat dan serak, sebelum tangannya mencapai bekas kecil berisi kapsul khas di dalam kabinet. Satu pil ditelannya, wajahnya berkerut menahan pahit yang merebak di lidah, namun cepat ditepis dengan tenang yang dibuat-buat.
Tanpa membuang masa, Adrik melangkah keluar dari kamar mandi. Udara petang menerpa, membawa bersama tiupan angin kencang yang membuat langsir putih itu berterbangan liar, menutupi sosok tubuh yang berdiri tegak di balkoni. Mata Adrik sedikit mengecil, keningnya berkerut saat tangannya mencapai kaca mata di atas kabinet. Sekilas, langsir jatuh kembali, menyingkapkan wajah datar Syifa yang menatapnya tanpa riak.
Adrik menghela nafas kecil, cemberut sinis di bibirnya.
"Macam biasa, sifat tak beradab seperti ini tak digemari saya yah, Cik Syifa." Suaranya tegas, bernada sindiran dingin, sebelum dia melangkah menuju almari. Jubah mandi ditarik, lalu disarungkan ke tubuhnya, menutup dada bidang yang masih basah dan lebih penting, menyembunyikan luka perutnya yang terus berdenyut di balik kain.
Kehadirannya dan renungan Syifa saling bertemu dalam diam, tegang, seakan ada pertarungan senyap di balik tatapan.
Share this novel