BAB 43

Mystery Series 6301

Adrik segera berlutut, sebelah lutut mencecah lantai berdarah itu. Tangannya cekap mencari nadi halus di leher Aurora. Sesaat dia menahan nafas, kemudian mengangguk masih ada denyut, meski lemah. Namun matanya segera tertancap pada pecahan kaca serum berwarna hijau yang masih tertanam di betis gadis itu, menyalurkan kesan berbisa ke seluruh tubuhnya.

"Dia masih hidup, Tuan," ujar Adrik perlahan, namun penuh hormat. Pandangannya beralih kembali pada Aurora yang menggigil kecil. "Kita harus segera membawanya pergi. Serum ini bukan bahan biasa. Jika dia ditinggalkan di sini, orang lain pasti akan datang untuk merebutnya... dan ketika itu, nyawanya takkan terselamat."

Tuan Ichiro tidak membuang masa. Wajahnya serius, dingin seperti batu. Dia mencapai selimut tebal yang tersangkut di sofa, lalu membalut tubuh kecil Aurora dengan penuh berhati-hati, seolah-olah melindungi harta yang tidak ternilai. Saat Adrik mahu mengangkat gadis itu, tangan Tuan Ichiro lebih pantas menyambar, mendakap tubuh Aurora erat di pelukannya.

"Adrik, bersihkan tempat ini. Hapuskan semua bukti, padamkan setiap jejak." Nada suaranya tajam, berwibawa, penuh perintah. "Tidak seorang pun boleh tahu tentang kewujudan budak ini. Kita mesti sembunyikan dia dari mata-mata organisasi dan binatang gila yang menginginkannya."

Adrik hanya mengangguk. Tanpa kata lanjut, dia beredar ke setiap sudut rumah, memastikan tiada yang tertinggal tiada dokumen, tiada kesan, tiada nama Dr. Hill yang boleh dikaitkan dengan gadis itu.

Beberapa ketika kemudian, kereta hitam meluncur deras menuruni lereng berbatu, menembusi gelap malam yang diselimuti kabus hutan pinus. Adrik di tempat pemandu, wajahnya membeku, sesekali melirik ke cermin pandang belakang.

Di kerusi belakang, Tuan Ichiro masih mendakap tubuh kecil itu, bagaikan seorang bapa yang enggan melepaskan anaknya. Aurora diam, wajahnya pucat, hanya nafasnya yang tercungap-cungap menjadi bukti bahawa dia masih hidup.

Tuan Ichiro menunduk sedikit, suaranya perlahan, hampir berbisik namun sarat dengan ketegasan seorang pelindung.

"Khawla Syifa…" ucapnya lembut, seakan memberi nama baharu, satu identiti yang bakal menyembunyikan gadis kecil itu dari dunia yang sedang memburunya.

Aurora, di ambang separa sedar, samar-samar mendengar gema suara itu menusuk cuping telinganya.

"Bangunlah, Syifa… bangun, nak…"

Suara itu hadir sayup, menembusi kabus fikirannya, seolah-olah membawa janji bahawa sekalipun dunia sedang menentangnya, masih ada tangan yang sanggup mengangkat dan melindunginya.

Syifa membuka matanya perlahan. Pandangannya kabur, tubuhnya seakan dihimpit oleh seribu beban. Setiap otot terasa sengal, sendi-sendi seperti diikat, nafasnya berat dan tersekat-sekat. Inilah kesan sampingan daripada cecair yang meresap dalam tubuhnya yang diberikan Adrik, kesan yang membuatkan untuk menggerakkan satu tangan pun terasa bagai melawan batu yang mengikat tubuh. Dia menarik nafas panjang, kasar, lalu menghembuskannya dengan perit.

Namun telinganya tangkas menangkap bunyi sentakan dari luar pintu biliknya. Riak wajahnya berubah, mata redupnya tajam merenung ke arah pintu, seakan menanti sesuatu yang bakal berlaku.

Syifa menggagahkan diri, walau tubuhnya seberat timah. Perlahan, dia menolak tilam dengan kedua belah tangannya, bangun ke posisi duduk. Nafasnya tertahan, namun dia tetap bertahan tidak mahu rebah sebelum tahu apa yang menantinya.

Tiba-tiba..

BAM!

Pintu biliknya dihentak kasar hingga terbuka luas. Sosok tubuh lelaki yang amat dikenalinya berdiri di ambang pintu. Tuan Adrian. Riak wajahnya datar, namun jelas mengalir jengkel yang membuak-buak di dalam mata tua itu.

Syifa menatapnya dengan pandangan lemah, tapi penuh kesedaran. Dia tahu, lelaki itu datang bukan untuk menghulur belaian seorang ayah. Tidak pernah. Setiap kehadiran Tuan Adrian hanya membawa arahan, ugutan, atau caci maki. Tidak lebih dari itu.

Sinis terukir pada bibir Tuan Adrian saat matanya menangkap Syifa yang baru tersedar dari lena. Wajah itu lagi… wajah sama yang tak pernah peka! Dengan langkah besar dan berat, dia meluru mendekati Syifa, amarahnya kian membuak.

Syifa masih mendongak dari posisi duduk, tubuhnya kaku. Namun belum sempat sepatah kata keluar dari bibirnya, rambutnya sudah ditarik kasar. Kepalanya tercampak ke belakang, tubuhnya jatuh menghentam tilam semula. Syifa mengerang, kesakitan menyalut setiap helai rambut yang ditarik.

Tuan Adrian membongkok, wajahnya rapat menekan ruang peribadi Syifa, seakan mahu memastikan setiap kata bisa menusuk jantungnya.

"Dari dulu aku patut buang kau saja! Perempuan sial macam kau ni hanya membuat nama aku terus membusuk!" pekiknya, dada turun naik menahan marah yang hampir tidak terbendung.

Syifa mengerutkan dahi. Dia tidak mengerti dari mana datangnya amarah sebesar ini.

"Aku bagi kau segalanya," lanjut Adrian, suaranya parau namun sarat geram. "Aku jadikan kau sebahagian daripada keluarga ini. Aku hanya minta satu.. kau diam, jalani hidup tanpa menconteng arang pada muka aku."

Dia berhenti sejenak, mencebik sinis. Bayangan gambar dan video yang tersebar kembali menerpa benaknya, membakar maruah yang dirasakan terhina.

"Tapi bukan begini caranya kau balas budi aku! Kau hina aku dengan perbuatan bodoh kau yang kau sembunyikan diam-diam!" tengkingnya.

Satu tamparan hinggap keras pada pipi Syifa. Tubuhnya rebah ke permaidani. Matanya terbeliak, wajahnya terhentak ke lantai, dan bibirnya pecah hingga darah mula mengalir, menitis ke dagu.

Dalam kekeliruan dan kesakitan, satu nama berlegar dalam benaknya. Aisy. Lelaki yang sekali lagi membuat dirinya terperangkap dalam dilema. Segala amarah ayahnya pada awalnya juga berpunca daripada Syifa yang gagal memenuhi hasrat besar lelaki itu.

Dengan sisa tenaga, Syifa bangun perlahan, menahan tubuh dengan kedua tangannya. Wajahnya pucat, namun matanya redup penuh ketegasan. Dia mendongak menatap lelaki yang berdiri di hadapannya.

"Aku tak buat salah apa pun," ucapnya datar, suaranya serak, darah masih mengalir dari bibir yang pecah. "Aku dah cakap… aku tak buat apa-apa sa…"

Belum sempat dia menghabiskan ucapannya, satu lagi tamparan menghentam pipinya. Lebih kuat dari sebelumnya. Tubuhnya kembali tersungkur ke lantai. Rambutnya sekali lagi digenggam, ditarik kasar. Tuan Adrian duduk dengan satu lutut maju ke hadapan, wajahnya rapat menekan wajah Syifa yang sudah terkulai.

"Don’t you dare play innocent with me!" suaranya bergetar dengan amarah, nada rendahnya lebih menakutkan daripada jeritan. Rambut Syifa ditarik makin kuat, kepalanya dipaksa mendongak menatap ayahnya.

"Kau fikir aku buta? Kau fikir aku pekak? Video itu sudah menular ke setiap sudut, setiap bibir menyebut nama kau. Mereka menuding jari pada aku, seolah-olah aku gagal mendidik anak sendiri!" pekiknya, menggoncangkan kepala Syifa untuk mengangguk mengakui kesalahannya.

"How did this happen?!" suaranya bergetar, penuh amarah yang tidak terkawal. "Siapa yang kau biarkan masuk dalam hidup kau sampai sanggup mencemarkan nama keluarga ini?!"

Tamparan ketiga hinggap. Kali ini lebih kejam. Bibir Syifa yang sudah terluka terobek lagi, darah memancut keluar. Dia pasrah. Tubuhnya kaku, tidak mampu bangkit, tidak mampu membela diri.

Di luar pintu, Pak Jais berdiri tegak, tangan bersilang di dada. Dia tidak terkesan dengan bunyi di dalam pekikan, hentakan, tangisan yang tertahan. Matanya hanya melirik pada sosok seorang wanita di hujung tangga. Wanita itu kaku, wajahnya tegang menyaksikan dari jauh, tubuhnya kaku seakan dipaku rasa bersalah.

Pak Jais mengangkat tangan, memberi isyarat agar menunggu. Wanita itu hanya mengangguk perlahan, menahan resah yang semakin menggigit jiwa. Dia tahu sesuatu yang buruk sedang berlaku di dalam bilik itu namun dia tidak berdaya untuk campur tangan.

Tatkala tubuhku dihentam berkali-kali oleh tangan yang sepatutnya melindungi dan membelai, Syifa akhirnya sedar satu hal yang pahit, dia tidak pernah diterima dalam keluarga ini sejak awal lagi.

Syifa terbaring di lantai, nafasnya tersekat-sekat. Bibirnya pecah, darah menitis hingga membasahi dagu. Pandangan kaburnya menangkap sosok Tuan Adrian yang kini berdiri tegak, tenang, seolah-olah baru selesai menunaikan suatu beban. Lelaki itu mengelap tangannya dengan sapu tangan putih yang kini tercemar merah, darah Syifa. Geramnya dilepaskan dengan satu helaan kasar sebelum sapu tangan itu dibuang begitu sahaja ke lantai.

Telefon di dalam koceknya dikeluarkan, jarinya laju menyentuh skrin, membalas sesuatu. Tidak sekali pun dia menoleh ke arah tubuh kecil yang sudah terbaring lemah di hadapannya.

Syifa hanya mampu memandang. Dirinya terbujur kaku, tanpa daya, hanya menjadi saksi pada kebencian yang dilemparkan kepadanya.

Aku tinggal di rumah yang sama dengan mereka, tapi aku rasa seperti orang asing. Kami tidak bercakap, tidak ketawa, malah tidak saling memandang seperti sepatutnya sebuah keluarga.

Apakah aku yang lupa… atau terlalu lambat untuk menyedari kebenaran? Bahawa sejak awal, mereka tidak pernah benar-benar menganggap aku sebahagian daripada mereka.

Adakah mereka tahu betapa jauhnya aku kini? Bagaimana aku berhenti berusaha untuk menjadi sebahagian daripada sesuatu yang sebenarnya tidak pernah menyertakan aku? Tidak… sebab mereka tidak pernah benar-benar melihat aku sejak awal. Aku hanya seorang penghuni di bawah bumbung yang sama, tapi tidak pernah dimiliki.

Langkah Tuan Adrian bergema menghampiri tubuh Syifa. Lelaki itu berdiri angkuh, merenung tanpa belas. Perlahan, dia tunduk, duduk di hadapan Syifa dengan senyuman sinis yang menusuk hati.

"Aku penat berpura-pura memainkan peranan ini," katanya, nada dingin bercampur jijik. "Sosok seorang lelaki bertanggungjawab, seorang ayah yang memegang kuasa atas perintah. Aku bukan itu… aku bukan ayah kau."

Syifa mengerling dengan mata separuh terbuka. Tiada tenaga untuk membalas, namun dalam diam dia tahu, itulah kebenaran yang selama ini cuba dia elakkan. Kata-kata itu bagai mengunci segala teka-teki tentang kelakuan lelaki ini, tentang dinginnya rumah yang dia diami.

Tuan Adrian menyambung, wajahnya semakin kelihatan puas menyakitkan.

"Aku dah penat nak bela manusia bermasalah macam kau! Sejak orang tua tu mati, aku sangka dia akan tinggalkan harta yang banyak untuk keturunannya. Tapi ternyata cuma amanah celaka, membesarkan manusia buangan macam kau!"

Kepala Syifa ditunjal kasar hingga tubuhnya terhuyung di atas lantai. Nafasnya semakin pendek, bibirnya masih berdarah.

"Tapi aku bersyukur juga. Sebab ada orang nak beli kau. Tak sia-sia aku bela engkau selama ini. Kau sendiri tak sedar, Syifa… diri kau bernilai pada orang-orang dalam ruang kegelapan di luar sana."

Tatapannya tajam, penuh dendam yang tak bertepi.

"Sekarang, kau bebas. Hancurkan diri kau sepuasnya. Aku akan pastikan kau benar-benar lenyap dari keluarga ini. Nama kau pun tak pernah wujud."

Dia bangkit berdiri, membetulkan jasadnya yang tegak. Pandangannya masih tajam menikam Syifa yang terbaring, sebelum langkah kakinya membawa pergi menuju ke pintu.

Syifa hanya diam. Matanya kosong, namun jauh di dasar hati, kata-kata Adrik suatu ketika dulu kembali berbisik dalam benaknya.

"… Jadi, bertahanlah… sehingga kau mampu mengawal segalanya semula."

Pintu bilik dikuak lagi. Sosok wanita muncul, berdiri kaku di ambang pintu sambil memegang sebuah beg besar di tangannya. Wajahnya tegang, bagaikan tahu peranannya namun benci dengan keadaan.

Syifa hanya menatap, dengan pandangan datar. Tiada kata yang mampu diucapkan. Tubuhnya lemah, tapi hatinya masih terbakar dengan kebenaran yang baru saja dia telan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience