BAB 21

Romance Series 2510

RASA sejuk yang menjalar di kawasan leher menyentakkan diri Elyas secara tiba-tiba. Dia terus menoleh ke kanan sebelum ruang matanya dipenuhi dengan tubuh Nazim di sebelahnya.

"Termenung apa? Fikir test ke?" soalnya sambil menghulurkan satu tin Red Bull sejuk kepada Elyas.

"Taklah..." Huluran itu dia sambut. "Aku dah habis test dah untuk sem ni. Cuma akan ada beberapa presentation yang nak kena hadap bermula minggu depan." Penutup tin dia buka lalu diteguk air itu untuk menghilangkan rasa haus setelah berjam-jam mereka berlatih sebagai persediaan untuk Sukan Antara Fakulti yang akan bermula lusa.

"Goodluck. Jangan lupa doakan aku juga bro, sem ni aku rasa aku terciduk betul dengan subjek-subjek teori ni. Rasa nak berhenti tapi dah Tahun 3. Jadi, lenjan ajelah..." adu Nazim dengan mata yang menatap langit petang yang membiru. Sedang meragui keputusannya untuk menyambung bidang perakaunan walaupun itulah subjek yang paling dia suka semasa sekolah dan matriks.

Tak apalah, ini baru sedikit ujian hidup. Teruskan, Naz! bisik hati kecilnya.

"Hek eleh, berapa kali dah kau cakap nak berhenti? Pastu dapat keputusan, 3.70 ke atas. Menyampah gila aku!" perli Elyas sebelum menumbuk perlahan lengan Nazim yang hanya mampu tersengih dengan kenyataan itu.

"Aku pun tak sangka dapat result macam gitu, Yas..."

"Bersyukur, Naz. Banyak lagi batchmate kau yang struggle hanya untuk lulus. Kau yang dah cerah peluang untuk graduate with first class degree ni, janganlah buat orang menyampah. Bersyukur," tegur Elyas sambil menggelengkan kepalanya.

"Aku bersyukur je tapi manusia kan, Yas... Selalu terpengaruh dengan bisikan-bisikan syaitonnirrajim!"

"Kesian. Setan juga yang kau fitnah."

Nazim terus ketawa terbahak-bahak dengan respon beku sahabatnya itu. Sesekali kali, dia menampar bahu Elyas. Saja, mahu mencari pasal.

"Sakitlah cipan!" Elyas terus menyiku perut Nazim apabila bahagian bahunya terasa sakit dan pedih.

"Saja, aku nak keluarkan kau daripada lamunan yang dari tadi aku mampu belum pecahkan sepenuhnya. Kau ada masalah kan Yas? Tak nak cerita dekat aku ke?" Nazim mula mencucuk jarum. Wajah Elyas yang serta-merta berubah walaupun sedikit sudah dapat dia kesan.

"Takdelah. Aku okey je."

"Tipulah. Sepanjang training minggu ni, kau tak menggila pun? Serius je memanjang. Sejak bila Tekong FSKM ni serius? Bukan hidup kau penuh dengan keceriaan yang berwarna-warni ke?" Sebelah keningnya dijungkitkan tatkala matanya jatuh pada sisi wajah Elyas.

"Kadang-kadang pelangi perlukan mendung dan hujan untuk bersinar terang dengan penuh warna-warni..." jawab Elyas lesu sebelum bersandar pada penghadap gelanggang.

"Wow! Bermadah pujangga mat! Lain macam kau sekarang ni Yas." Nazim terus menutup mulutnya dengan belakang tangan. Tak sangka budak yang hidup dengan coding mampu bersastera sedemikian rupa.

"People change in pressure, Naz." Dia menjeling sekali lalu wajah sahabatnya itu. Elyas kembali meneguk air Red Bull itu tanpa menghiraukan Nazim yang memandangnya pelik dari sisi.

"Kau bergaduh dengan Qarmila ke?" Nazim menyerkap jarang.

Dan-dan, Elyas termengap. Badannya secara tiba-tiba menjadi keras dan tegak.

"Daripada reaksi kau ni, betullah kan sangkaan aku?" Alis Nazim hampir bertaut.

Elyas terus menghembus nafas berat. Rambutnya dikusutkan sebelum kembali bersandar.

"Dia tak percaya aku suka dia, Naz..." jujur Elyas meluah dengan mata yang terpejam erat. Dewi... gadis itu... sudah beberapa hari dia tidak membalas segala mesej Elyas. Sudah beberapa hari dia langsung tidak menjawab panggilan Elyas. Dan sudah beberapa hari, gadis itu mengelak daripada bertemu dengan Elyas.

Adakah tindakan dia tempoh hari telah membina tembok tinggi antara mereka berdua?

"Dia cakap apa?" Nazim sudah duduk bersila apabila perbualan mereka itu semakin menarik.

"Dia anggap aku macam adik je. Macam yang kau tahu, dia tua tiga tahun daripada aku. Dia selesa dengan aku sebab aku muda dari dia. Aku tak boleh terima do, Naz. Sumpah aku cakap. Dah kenapa dia nak anggap aku adik dia sedangkan aku dah tangkap cintan sampai bergolek-golek dengan dia. Aku tak cukup hensem ke untuk orang yang lagi tua? Cuba kau jujur dengan aku, Naz. Aku tak hensem ke?" panjang Elyas melepaskan rasa yang sudah lama terbuku di hati.

Nazim hanya mampu mengetap bibir buat seketika supaya tawanya tidak terlepas.

Agak kelakar melihat orang yang selalu tidak peduli tentang cinta, jadi sasau sebegini. Selalunya, Nazim yang akan menjadi orang yang akan mengganggu Elyas tentang masalah cintanya. Sekarang, situasi sudah terbalik.

"Yas... Kau dah cukup hensem dah. Muka kau dah berterabur atas majalah tu, apa yang tak hensemnya lagi? Bukan takat orang yang seumur Qarmila tu yang akan pandang kau dua tiga kali, kalau nenek aku hidup lagi, aku yakin dan pasti dia akan berpaling empat lima kali untuk tengok wajah kau. So, kau tak perlu nak insecure dengan visual kau yang memang dah top tier," puji Nazim panjang. Walaupun sesi puji-memuji ini sangat jarang mereka bahaskan tapi sekali-sekala, mereka sangat perlukannya untuk keyakinan diri.

"Thanks to my babah and mama for their strong genetics. Alhamdulillah..." kata Elyas secara tiba-tiba sehingga Nazim hanya membuat muka dalam diam.

"Kau tahu kenapa Qarmila anggap kau macam adik?" soal Nazim semula. Elyas hanya menjongket bahu tanda tidak tahu.

"Dia anggap kau adik bukan sebab wajah kau tapi sebab personaliti kau. Kau tak sedar tapi kadang-kadang kau sedikit childish. Bukan kau soranglah, mostly budak-budak yang baru masuk 20-an, selalunya perangai macam ni tak kisahlah lelaki ke perempuan."

Elyas terus menjeling Nazim tajam selepas mendapat kenyataan pedas itu.

"Sabar, tak perlu melenting lagi. Aku belum habis cakap. Aku bagitahu kenyataan ni sebab aku pernah berada di umur kau, Yas. Aku baru 22 tahun, dan bila di umur macam ni baru aku sedar perangai tak semengah aku dua tahun yang lalu. Memang... malu bila ingat balik.

"Mungkin kau tak sedar sebelum ni tapi lepas aku cakap, kau boleh muhasabah diri balik. Kau duduk sorang-sorang, kau tenung dinding dan kau fikir attitude kau. Adakah dengan kau berubah, Qarmila akan suka kau? Adakah kalau stay macam sekarang, dia akan buka hati untuk kau?" Nazim berhenti seketika untuk menelan liur.

"Tapi Yas, berubah demi orang lain itu sakit. Kalau kau nak berubah ke arah yang lebih baik, niatkan itu untuk diri kau sendiri. Yang paling penting, niatkan segala yang kau buat adalah untuk Allah."

Elyas terus terangguk kecil dengan nasihat sahabatnya itu. Dia menoleh ke arah Nazim buat seketika.

"Sebab apa yang kita buat, bila kita niatkan pada Allah automatik akan jadi ibadah. Dan kita akan dapat pahala secara tak langsung," sambung Elyas sehingga membuatkan Nazim terkejut dan tergamam buat seketika.

Serta-merta, Elyas melepaskan tawa kecilnya.

"Kenapa? Terkejut sebab budak macam aku ni tahu tentang agama?" tanya Elyas.

"Sikitlah..." Ibu jari dan jari kelingking dibawa merapat menunjukkan betapa sedikitnya rasa terkejut itu.

"Aku tak childish sangat macam yang orang lain nampak. Macam yang kau nampak, Naz. Itu memang personaliti aku untuk orang selesa dengan aku. Tapi aku masih ada sedikit ilmu dan perangai yang aku simpan, yang aku tak mahu dedahkan. Aku selalunya tak kisah orang nak pandang aku dengan pandangan apa pun. Tapi... pandangan Dewi malam tu... Sakit sangat, Naz." Elyas terus menunduk memandang hujung kasut.

"Aku tak pernah bercinta sebab mama aku tak kasi tapi sebab utamanya aku tahu, couple tu berdosa. Aku luahkan perasaan aku pada Dewi bukan untuk ajak dia bercinta. Aku cuma mahu dia tahu yang ada orang yang sedang menunggu dia. Tapi aku rasa, aku salah tingkah sampai dia menjauh dari aku. Aku salah ke, Naz?" Jemarinya digenggam erat.

"Mempunyai rasa cinta itu tak salah, Yas. Itu fitrah. Mungkin Qarmila yang belum bersedia? Mungkin dia sendiri yang takut disebabkan kekurangan yang dia ada? Kau tak boleh buat andaian kau sendiri, kau kena jumpa dia. Kau kena tanya dia tentang perasaan dia pada kau. Barulah kau boleh buat kesimpulan dan tak murung macam ni. Dah macam ayam berak kapur aku tengok." Bahu Elyas dia tepuk berkali-kali untuk menenangkan dirinya.

"Dia tak ada kekurangan, Naz. Dia istimewa. Dia ada keistimewaan yang tak semua orang ada." Elyas membetulkan ayat Nazim tentang keadaan Dewi.

"Ya baiklah, dia tak ada kekurangan tapi dia istimewa." Nazim hanya mengeyakan sahaja, malas mahu berbahas panjang.

"Tapi Naz..."

"Ha?"

"Tapi ada aku kisah? Aku akan buat dia jatuh cinta pada aku! Dia tak boleh ambil mudah dengan amaran cinta Elyas! By hook or by crook, Dewi akan jatuh cinta dengan Elyas!" kata Elyas yang secara tiba-tiba bersemangat waja sehingga berdiri daripada duduknya.

Nazim hanya mampu menahan mulut daripada melopong luas dengan tindakan lelaki itu. Dah cakap Elyas childish tapi dia tak nak terima 100%.

"Amaran cinta Elyas? Bapak cringe kau ni," ujar Nazim tanpa berlapik.

"Diamlah kau." Dia terus mengemas barang dan mencari kunci motor di dalam beg sandangnya. Sesekali, rambut diraut supaya kelihatan lebih kemas. Minyak wangi dikeluarkan dan disembur ke seluruh badan.

"Nak pergi mana pula ni?" soal Nazim penuh tanda tanya.

"Beli burger lepas tu nak jumpa Dewi." Zip beg ditarik. Helmet dicapai sebelum dengan tergesa-gesa bergerak ke arah motor berkuasa tingginya.

Nazim hanya mampu memandang tanpa berkata apa-apa. Orang bila dah cinta, memang jadi gila.

"Belikan aku benjo satu, Yas!" jeritnya sebelum Elyas menghidupkan enjin motornya.

"Okey!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience