BAB 10

Young Adult Series 672

ELYAS mengelap peluh yang membasahi wajah dengan tuala kecil, sambil mengatur nafas yang masih tercungap-cungap. Dia baru saja selesai latihan takraw bersama rakan-rakannya di gelanggang terbuka kolej. Bola rotan masih bergolek di tengah gelanggang, sementara yang lain sibuk mengemas peralatan dan menghirup air dari botol masing-masing.

Azam, kapten pasukan, menepuk bahu Elyas dengan senyuman puas. "Power lah tadi, bro! Aku tak sangka kau boleh buat lipat gaya kuda tu."

Elyas tersengih sambil mengangguk kecil. "Takde lah power sangat. Kena banyak praktis lagi. Tadi pun nyaris miss bola."

Azam ketawa apabila mengingat kembali tindakan Elyas tadi-sudah seperti mahu berbaring gaya kuak lentang di tengah-tengah gelanggang yang panas itu.

"Yang penting kau dah dapat tangkap teknik tu. Rahsia nak buat gaya kuda, kau kena pastikan kaki yang melipat tu sentiasa dalam posisi sedia, dan jangan lupa yang hayunan kaki kena cukup kuat dan seimbang. Kalau tak, bola boleh tersasar."

Elyas mengangguk lagi, mengingati setiap butir kata Azam. "Betul. Tadi aku hampir hilang keseimbangan. Nasib tak jamah simen je aku ni."

Azam menepuk bahu Elyas sekali lagi. "Takpe, nanti kita polish lagi teknik tu. Keep it up, bro! Aku gerak dulu," pamit Azam lalu melangkah meninggalkan Elyas di situ seorang diri.

Baru sahaja Elyas mahu mencapai botol air, telefon dalam duffel bagnya berbunyi. Cepat-cepat dia mengeluarkannya, dan mata serta-merta membulat apabila nama Dewi terpampang di skrin. Jantungnya seperti mahu melompat keluar. Dia betulkan duduknya, tarik nafas panjang, dan buka WhatsApp dengan dada yang berdetak hebat.

Dewi Boba Goddess (✿◡‿◡)

Salam, awak sibuk ke sekarang?

Elyas cepat-cepat balas, sambil tuala masih tergantung di leher.

Elyas

Waalaikumussalam, aku baru habis latihan takraw. Kenapa?

Dewi Boba Goddess (✿◡‿◡)

Saya nak tanya... Esok saya nak pergi stesen KTM...

Ada ke bas kampus yang hantar sampai ke KTM?

Elyas mengerutkan dahi, kaki secara tidak sedar mula menyepak batu kecil di lantai. Dia termenung seketika. Otak cuba mencari solusi paling efisien buat pertanyaan Dewi itu.

Elyas

Tiket kau pukul berapa?

Selalunya kampus tak sediakan bas untuk students

Either kau ambil Grab atau naik bas lompat-lompat dekat luar

Dewi Boba Goddess (✿◡‿◡)

Tiket saya pukul 10.15 pagi...

Oh kalau macam tu, saya kena jalan kaki sampai gate depan kan untuk naik Grab?

Elyas gigit bibir. Takkan nak biarkan Dewi jalan sorang-sorang? Bahaya! Dia cepat-cepat menaip lagi.

Elyas

Jauh tu kau nak jalan kaki, Dewi

Kau nak tak aku hantar?

Lama Dewi tidak balas, dan Elyas rasa jantungnya makin laju. Telinganya sudah merah padam, tangan dah mula lap peluh yang tidak ada di muka. Dah kenapa tiba-tiba berdebar macam ni?! Sambil menunggu, dia menyepak batu kecil di lantai gelanggang sehingga terpelanting masuk longkang.

Bunyi notifikasi buat Elyas terperanjat kecil. Lantas, matanya laju membaca balasan gadis yang dia tunggu-tunggu sedari tadi.

Dewi Boba Goddess (✿◡‿◡)

Naik motor awak? Tak boleh lah

Nanti takut ayah marah...

Dia tak benarkan saya naik motor dengan lelaki

Saya tak nak ayah saya marah...

Elyas terdiam sejenak, muka sedikit cemberut. Ah, dia lupa akan hal yang satu itu! Tapi tak apa, dia ada cara lain. Mata Elyas bersinar tiba-tiba, senyuman nakal terbit di bibir.

Elyas

Kalau macam tu, aku pinjam kereta kawan aku

Kau nak tak?

Dewi Boba Goddess (✿◡‿◡)

Eh, tak susahkan awak ke, Elyas?

Elyas senyum sendiri sambil menekup muka dengan tuala. Telinganya masih merah, tapi kali ni sebab seronok sangat! Dia cepat-cepat balas sebelum Dewi berubah fikiran.

Elyas

Untuk kau, mana ada susah

Lama Dewi 'sidai' dia, dan Elyas dah mula rasa tak tentu arah. Dia ulang-alik berjalan perlahan di hadapan bangku. Sesekali dia menggoyang-goyangkan kaki sambil menggigit bawah bibir seraya menanti. Tiba-tiba telefon berbunyi lagi.

Dewi Boba Goddess (✿◡‿◡)

Serius ni? Awak okey ke? Saya tak ganggu masa awak?

Elyas terasa seperti mahu ketawa kerana Dewi itu masih tak percaya dia sanggup buat semua ni. Dia cepat-cepat menaip dengan penuh yakin.

Elyas

Yas seriussssss Dewi!

Jangan risau

Aku akan confirmkan dengan kawan nanti

Esok pukul 9 pagi aku dah terpacak depan kolej kau!

Dewi Boba Goddess (✿◡‿◡)

Okie...

Terima kasih, Elyas

Saya rasa bersalah ni huhu

Elyas tidak dapat tahan senyuman yang makin melebar. Dia dah rebahkan badan di bangku sambil tuala masih menutupi muka-dalam hati rasa nak jerit kuat-kuat. Hati macam nak meletup sebab terlampau bahagia!

Elyas

Tak ada hal, jangan rasa bersalah

Aku yang offer untuk tolong kau, Dewi

Dan kau tak susahkan aku pun

Dewi Boba Goddess (✿◡‿◡)

Betul ni?

Elyas

Demi seorang Dewi, mana ada susah

Aku lagi suka bila dapat tolong kau

Dewi Boba Goddess (✿◡‿◡)

Pandai awak cakap manis sekarang ya?

Elyas tersengih-sengih seperti orang tak betul. Dia berguling-guling di atas bangku kerana terlampau gembira. Manusia yang lalu lalang hanya memandang pelik, tapi Elyas tidak peduli. Hatinya berbunga-bunga seperti musim sakura.

Dewi Boba Goddess (✿◡‿◡)

Terima kasih banyak, Elyas.

Awak selalu tolong saya... Saya rasa berhutang budi dengan awak

Elyas

Jangan cakap macam tu

Aku ikhlas tolong kau

Seriusssssss ikhlas!

Dewi Boba Goddess (✿◡‿◡)

Tapi... nanti saya belanja awak makan ke, sebagai tanda terima kasih?

Mata Elyas bersinar lagi seperti dapat durian runtuh. Dia cepat-cepat balas, tangan laju menaip.

Elyas

Betul ni? Nak belanja aku apa?

Dewi Boba Goddess (✿◡‿◡)

Apa-apa yang awak suka. Cakap je.

Elyas senyum lebar sampai pipi rasa lenguh.

Apa yang aku suka? Aku suka kau, Dewi. Namun ayat itu hanya tersimpan kemas dalam hatinya

Elyas

Hmm...

Kau pernah dengar tak pasal kedai ayam penyet yang baru buka kat kafe hujung tu?

Ramai cakap sedap

Dewi Boba Goddess (✿◡‿◡)

Oh ya? Saya tak pernah cuba lagi

Kalau macam tu, saya belanja ayam penyet, okey?

Elyas

Set!

Our next dating kita makan ayam penyet!

Janji ya!

Dewi Boba Goddess (✿◡‿◡)

Janji...

Elyas rasa macam melayang. Hati dia bukan berbunga lagi-dah macam taman bunga penuh dengan warna-warni. Dia tepuk-tepuk pipi sendiri, cuba tenangkan diri, tapi telinga masih merah menyala.

Seriuslah, Elyas. Kau dah gila bayang betul ni...

Elyas masih terbaring di bangku gelanggang dengan muka tersenyum lebar. Telinga usah dikata, masih merah padam! Dia betul-betul tidak dapat mengawal otot muka sendiri. Gembira tak sudah! Sesekali dia lap peluh yang masih berbaki di leher dengan tuala sambil buat muka cool kononnya, padahal hati sudah macam bunga api meletup sana sini.

Telefon berbunyi lagi. Dewi menghantar sticker comel kucing mengangkat ibu jari. Elyas cepat-cepat membalas dengan sticker arnab pakai cermin mata hitam-kononnya nak tunjuk tenang walaupun dalam hati... Allah saja yang tahu.

Tiba-tiba datang Nazim dengan tuala tersangkut di bahu dan senyuman nakal terukir di wajah. Dia tepuk bahu Elyas dengan kuat sampai Elyas hampir terloncat dan bangun dari perbaringannya.

"Weh, bro. Kenapa tersenyum macam kerang busuk? Biasiswa baru masuk ke?" usik Nazim sambil sengih lebar.

Elyas cepat-cepat buat muka serius, konon-konon tak ada apa-apa. Tuala ditarik naik untuk menutup mulutnya yang tersenyum lebar.

"Tak ada apa, aku tangah santai-santai je," balas Elyas sambil sepak batu kecil yang ada di depan kaki. Tapi kali ni, batu tu terpelanting jauh sampai terkena tiang. Nazim angkat kening, pelik dengan Elyas yang masih tersenyum-senyum seperti orang gila.

"Santai apanya? Telinga kau merah tu. Takkan panas sangat kot?" usik Nazim lalu tergelak kecil sambil duduk bersila di sebelah Elyas.

Elyas hanya membuat muka tidak kisah sambil betulkan tali beg kasutnya. "Kau ni jangan kecohlah. Aku okey je."

Nazim pandang Elyas dengan senyuman yang makin lebar, matanya tajam mengerling skrin telefon Elyas yang masih terpapar perbualannya dengan Dewi.

"Oho~ Chat dengan crush eh? Patutlah lain macam je muka kau. Happy macam baru dapat anak! Ceh, manisnya hidup kau sekarang!"

Elyas cepat-cepat kunci skrin telefonnya dan menjeling Nazim dengan muka tak puas hati. "Kau ni banyak bunyi lah! Tak ada apa pun."

Nazim terus melepaskan tawa terbahak-bahak sampai terbatuk. Dia terus mengurut dadanya dengan tawa yang masih tersisa. "Tak ada apanya. Kau ingat aku tak nampak ke cara kau senyum macam orang baru kena confess?"

Elyas buat muka selamba, walaupun dalam hati dia rasa seperti mahu menyorok dalam beg kasut itu.

"Ala... Kawan je. Tak ada apa-apa lah. Kau ni memang pandai reka cerita. Tumbuk baru tahu."

Nazim tersengih sinis sambil menggeleng. "Kawan je? Puih! Kawan sampai telinga merah macam udang bakar macam ni ke? Kalau macam ni lah gayanya, satu kolej boleh tahu kau minat dialah, Yas."

Elyas buat-buat tak dengar, lap muka dengan tuala seperti betul-betul serius mahu hilangkan peluh. Padahal dia cuba menutup telinga yang semakin merah dengan usikan Nazim.

"Dah lah... Aku nak balik. Lapar."

Nazim geleng kepala sambil gelak-gelak. "Yalah tu... Makanlah kenyang-kenyang. Jangan sampai tersedak teringat Dewi nanti."

Elyas cuma mampu geleng kepala sambil cuba tahan senyum yang tidak boleh dikawal lagi. Bila Nazim sudah menjauh, dia cepat-cepat tengok telefon lagi sekali, baca chat terakhir Dewi yang berjanji mahu belanjanya ayam penyet nanti.

Hati Elyas rasa seperti mahu terbang ke awang-awangan. Senyum dia makin lebar sehingga pipi kurus itu terasa lenguh. Dia tutup muka dengan tuala sambil bisik sendiri.

"Alah... Apa pun, tetap cool kan? Mana boleh nampak macam lelaki lemah depan Dewi. Kena sentiasa swag. Barulah sikit-sikit hati Dewi terbuka untuk kau..."

Elyas terus bangun dan bergerak ke arah motor berkuasa tingginya dengan dada yang terasa lapang.

Dewi itu... kenapa dia sungguh suka berlegar-legar dalam hatinya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience