BAB 17

Young Adult Series 672

UDARA salon dipenuhi dengan bau harum produk rambut, sementara tangan pekerja saloon tekun merawat rambut Elyas. Tengkuknya bersandar di singki, matanya terpejam, namun fikirannya jauh melayang—lebih tepat lagi, tertumpu pada gadis yang duduk beberapa meter di belakangnya. Dewi yang sedang leka dengan telefon, sesekali ketawa kecil sendiri.

Melihat situasi itu, Elyas tanpa sedar turut menarik satu senyuman kecil dengan hati yang gembira. Dewi senang, Elyas tenang.

Dan yang paling menggembirakan hatinya apabila ayah Dewi tidak jadi join sekaki asbab ada hal yang tidak dapat dielakkan. Fuh, lega rasa hati! Kalau tidak, tak dapatlah dia nak flirt dengan crushnya yang comel nan manis itu.

Tiba-tiba, kedengaran bunyi kamera memecahkan suasana. Snap! Elyas terasa seperti kilat kamera itu telah menyentuh kulitnya dari belakang. Tanpa menoleh, dia tanya dengan nada mengusik nakal.

"Kau ambil gambar aku eh, Dewi? Aku tahu aku hensem, janganlah ambil gambar macam paparazi. Nanti semua orang ingat aku artis."

Dewi yang baru selesai ambil gambar, terus tergelak kecil sambil mengangkat telefon dan tunjukkan gambar yang baru dia ambil.

"Eh, tidaklah! Saya tengah ambil gambar 'before' saja. Nanti boleh buat comparison post untuk awak. Siapa sangka, kan seorang Dewi yang pekak ini boleh berdepan dengan Elyas, seorang model yang 'limited edition' ni."

Elyas jeling ke arah Dewi dengan senyuman nakal, "Comparison post? Kau buat aku macam barang IKEA je, siap ada before-after."

Dewi terus mendekat. Dia mengangkat telefon, kali ini dia mahu selfie bersama Elyas yang sedang relaks dengan gaya malas dan agak mengaibkan. Kalau dia post gambar tu, mahu menggelepur peminat-peminat Elyas Awan ini.

"Kalau awak barang IKEA pun... awak yang limited edition. Rare item."

"Limited edition pun kalau tak cukup skru, bahaya tau," Elyas sempat membalas dengan usikan, diiringi senyuman nakal.

"Betul lah tu, Elyas. Skru dalam kepala awak selalu hilang." Dewi setuju sambil mengekek ketawa apabila Elyas berdecit kuat dengan ayat spontannya.

"Kau ingat aku robot ke yang ada skru dalam kepala otak?"

Dewi yang tidak habis-habis ketawa, terus balas dengan nada ceria, "Mana tahu. Awak pun kadang-kadang cakap benda pelik-pelik. Kalau ikutkan, skru dalam kepala awak memang perlu servis lah."

Elyas tarik nafas panjang, dia cuba untuk fokus pada rawatan yang masih berlangsung.

"Kau ni memang suka sangat cari pasal dengan aku, kan?" soal Elyas, sedikit geram tapi dalam nada santai.

Senyuman lebar terukir di bibir Dewi. "Eh, saya kan cuma mahu bagi tips saja. Kalau awak rasa skru hilang, pergilah cari dekat bengkel motor kereta. Mana tahu boleh dapat 'repair package' ekstra!" Tawa ringan Dewi meluncur keluar, menambahkan keceriaan dalam suasana.

Elyas hanya menggeleng kepala, cuba menahan rasa geram yang tak terluah. Namun, senyuman yang terukir di bibirnya tak dapat disembunyikan. Di dalam hati, ada rasa manis yang menggelitik, kerana setiap gurauan Dewi membuatkan harinya lebih ceria.

Pekerja yang sedang merawat rambut Elyas hanya tersenyum mendengar gurau-senda mereka. Comel dan manis. Itu yang dia rasakan sepanjang memasang telinga antara perbualan dua budak muda ini.

"Adik berdua ni sweet lah. Couple ke?"

Dewi terbatuk kecil, panik. Elyas tanpa teragak-agak menjawab sambil memandang cermin. Senyuman mengusik semakin melebar dengan mata tunak memandang Dewi yang sedang panik.

"Belum. Tapi saya dalam proses curi hati dia, kak. Tolong doakan saya!"

"Elyas!" Dewi hampir tercekik angin.

"Apa? Aku cakap benda betul kan?" Elyas membela diri.

"Awak ini!"

"Tadi seronok kau kenakan aku eh? Sekarang ni giliran aku pula kenakan kau. Dahlah, pergi duduk dekat belakang tu, lama lagi nak siap ni," arah Elyas dengan senyuman yang tidak akan pernah luntur dari bibirnya.

"Okey Elyas, saya ke belakang dulu! Saya nak pesan minuman sementara nak tunggu awak boleh ke, Elyas?" soal Dewi dengan mata bundarnya terkebil-kebil menatap Elyas yang kepalanya sudah berbalut. Dia bagai terlupa dengan usikan lelaki itu tadi.

"Boleh, order untuk aku sekali. Aku nak mocha ais."

"Okey, saya pergi sekarang tau, Elyas! Bye!" Kaki itu mula melangkah laju ke kafe bersebelahan salon dengan wajah yang sangat ceria.

Pekerja salon tadi cuma ketawa kecil, sambil mengurut kepala Elyas dengan penuh teliti, seolah-olah tahu dia sedang merawat kepala seorang lelaki yang tengah cuba menawan hati 'boba goddess'nya.

"Comel."

"Kan kak? Comel kan? Sesuai kan dengan saya yang kacak bergaya ni." Elyas mula menghidupkan enjin ramahnya.

"Sesuai sangat, macam buat jambu air dibelah dua!" Elyas bagai tercekik air liur sendiri tatkala mendengar peribahasa yang digunakan.

"Jambu air pun bolehlah, kak."

"Tapi kan dik, kenapa baku sangat dia bercakap? Tak macam orang normal sangat."

Elyas terdiam seketika sambil menyusun ayatnya.

"Dia pekak jadi dia tak terbiasa bercakap guna bahasa pasar ni. Tapi dia dah ada improvement berbanding pertama kali saya dengar dia bercakap. Awal dulu dah macam tengah duduk dalam dewan sambil jawab ujian mendengar. Boleh bayang tak betapa bakunya kekasih hati saya?" Elyas memuncungkan sedikit bibirnya sebelum tersengih.

"Oh patutlah. Tapi tak apa, asalkan dia boleh bercakap itu kira sangat okey dah."

"Betul, nanti bolehlah dia marah anak-anak kitorang yang nakal macam saya ni." Delulu. Elyas terus mengumam bibir mengenangkan angan-angannya yang terlampau tinggi itu.

"Dah buat family planning eh? Bagus-bagus." Pekerja itu hanya melayan sambil menggelengkan kepala. Perbualan mereka terhenti apabila Dewi kembali melangkah masuk ke dalam salon dengan wajah ceria. Dia membawa dua bekas air ke tempat menunggu sebelum tersenyum pada Elyas yang sedari tadi memerhati tindak-tanduknya yang langsung tidak sumbang.

Suasana kembali sunyi dan Elyas hanya membiarkan segala rawatan yang dilakukan pada kepalanya tanpa banyak bunyi.

Setelah 15 minit, dia mula berasa bosan. Elyas terus menjeling gadis yang duduk dengan santai, main telefon sambil menyedut air lemonade. Tenang. Lawa. Fokus. Milik Elyas. Eh?

Dengan nafas panjang, Elyas cuba tarik perhatian pekerja salon yang lalu kerana kakak yang berbual dengannya tadi sudah hilang entah ke mana. Dia batuk sedikit untuk mendapatkan perhatian daripada kakak tadi.

"Akak..." bisiknya, sambil menundukkan sedikit kepala. Batuknya buat-buat kuat supaya kelihatan agak 'strategik'.

"Ya?" Pekerja itu berhenti dengan senyuman profesional yang manis. Elyas terus tunduk sedikit, seolah-olah tengah berbincang sesuatu yang sangat serius.

"Boleh tak akak pura-pura offer dekat dia... rawatan rambut paling best dekat sini. Tapi ambil je yang paling mahal, paling lengkap, paling princess. Saya bayarkan. Janji dia happy," kata Elyas dalam bisikan halus, seakan-akan sedang merancang strategi perang yang sangat rahsia.

Staf itu tertawa kecil. "Ya ampun, awak ni sweet sangat! Boyfriend ke?"

"Belum..." Elyas menggigit bibir bawah, senyum manis. "Tengah cuba pelaburan... Mungkin pelaburan jangka panjang. Mana tahu nanti dapat jadi boyfriend 'halal' dia?"

"Okey okey, saya selesaikan. Jangan risau," jawab staf dengan senyuman nakal.

Beberapa saat kemudian, suara manja dari staf salon datang mendekati Dewi. "Cik adik manis..." Staf itu menyapa dengan nada penuh lembut, seolah sedang membelai senja yang indah.

"Kita ada Princess Supreme Hair Ritual—guna aroma ros dan lavender, lepas tu ada scalp massage, mist coklat, siap dengan glitter serum hujung rambut. Sesuai sangat dengan aura cik adik."

Dewi terus kelip mata tanpa henti. Dia bingung. "Eh? Tapi... saya tak plan nak buat apa-apa—"

"Tak apa. Special hari ni. Ada orang nak belanja. Cuma untuk cik adik."

Dewi terus memandang Elyas yang dengan tenangnya pura-pura sibuk membelek hujung tisu di dahinya, seolah-olah sedang mengkaji kajian saintifik yang amat penting.

"Elyas..." suara Dewi perlahan dan terselit sedikit nada terkejut.

"Haa?" Elyas jawab seperti tak tahu apa-apa.

"Awak ke yang...?"

Elyas pandang cermin dengan ekspresi pura-pura terkejut. "Err... tak...? Eh, ya. Ambillah pakej tu Dewi, ingat senang ke aku nak belanja? Ini kira hadiah aku untuk kau sebab kau dah bazirkan masa seharian untuk teman aku," jawab Elyas lembut.

Dewi terkedu. "Awak pelik lah... saya teman awak saja. Awak yang bawa saya, saya tak membantu awak pun..."

"Siapa cakap tak membantu? Kehadiran kau pun dah buat aku happy tau."

Dewi terus mengemam bibir, pipinya sudah mula merah kemerah-merahan, seakan bunga yang malu dibelai sinar matahari.

"Takpe, Dewi. Anggaplah ini your lucky day. Dapat buat rawatan rambut sponsored by Elyas Awan. Nanti boleh post di igstory, cakap model hensem, tinggi, bergaya yang belanja hair treatment kau. Biar gempar satu Malaysia." Elyas menjungkitkan keningnya berkali-kali.

"Betul ni, Elyas?"

"Betul lah, cepat duduk tepi aku. Kau start treatment sekarang."

Dewi terus bergerak perlahan-lahan mengikut arahan Elyas walaupun otaknya masih sedang memproses setiap bait bicara Elyas dan juga tawaran staf itu tadi.

"Akak buat sampai rambut girlfriend saya jadi cantik tau. Lepas ni saya nak bawa dia pergi jumpa mama saya," arah Elyas dengan sengihan lebar.

"Hah?!" Dewi terkejut. Jumpa mama?!

"Jangan risau, aku nak bawa kau pergi makan pulut ayam mama aku. Kan aku dah janji haritu." Elyas mengekek ketawa melihat wajah pucat Dewi yang bagai hilang darah.

"Saya takut, Elyas..." adu Dewi.

"Mama aku tak garang. Dia cuma singa."

"Alaa lagilah saya takut!" Terus terhambur tawa kuat Elyas dengan kata-kata Dewi itu.

"Aku gurau je, my mama is the sweetest person on earth. You will love her, i can guarantee that."

"Betul?"

"Betul Dewiku..."

Pipi Dewi kembali panas dengan panggilan spontan Elyas itu. Isy, sudahlah dia tengah takut boleh pula dia nak bergurau dalam masa sekarang.

Dewi kembali diam sebelum bersandar di kerusi apabila kepalanya mula diurut dan dimulakan rawatan. Ruang salon itu kembali dipenuhi ketenangan, dengan bunyi mesin rawatan yang berdesing perlahan dan aroma wangi produk rambut yang memenuhi udara. Kedua-duanya duduk berdamping, rawatan rambut dilakukan tanpa banyak bicara. Elyas berbaring dengan mata terpejam, sementara Dewi duduk dengan postur yang cukup tenang.

Tiba-tiba, Elyas memecah kesunyian, matanya masih pejam. "Eh, kau rasa Genius tu bila akan keluar dari klinik?"

Mata Dewi yang tadinya fokus pada telefon beralih ke arah Elyas. "Hmm... belum pasti lagi. Doktor cakap mereka nak pantau dia dekat klinik. Ada beberapa simptom yang nampak tak biasa, jadi kena buat ujian lagi."

Hening seketika. Elyas mengangguk perlahan, meskipun hatinya sedikit gusar. apabila teringat kucing Dewi yang sangat gebu itu walaupun dia hanya berjumpa dalam jangka masa tidak sampai satu jam. "Ujian lagi? Macam mana keadaan dia sekarang?"

Dewi menarik nafas panjang, wajahnya serius. "Masih belum tahu. Mereka nak tunggu keputusan ujian baru buat keputusan. Keadaan dia memang agak pelik, jadi mereka mahu pastikan semuanya ok."

Sekali lagi Elyas terdiam, hatinya agak berat. "Harap dia cepat baik..."

Senyuman lembut terukir di wajah Dewi, namun ada sedikit kesedihan dan harapan yang terpancar di mata. "Insya-Allah, semuanya akan baik-baik saja. Saya yakin Genius akan sihat seperti dulu semula."

Mendengar kata-kata itu, Elyas tak dapat menahan rasa lega. "Kau memang tuan yang terbaik untuk dia, Dewi. Tak ada orang lain yang lebih sesuai."

Dewi tersenyum malu, sedikit terkejut dengan kata-kata Elyas yang jarang keluar begitu. "Terima kasih, Elyas. Saya cuma harap semuanya selamat."

Hening kembali memenuhi ruang antara mereka, cuma bunyi mesin rawatan yang menemani. Elyas kembali fokus pada rawatannya, namun hatinya penuh dengan harapan—semuanya akan baik, untuk Dewi, untuk Genius.

Dan untuk mereka berdua.

Harapnya.

DEWIKUUUUU

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience