SUASANA di tepi tasik tenang dengan angin sepoi-sepoi menyapa wajah, dan air tasik berkilauan memantulkan cahaya matahari petang. Elyas duduk bersandar pada bangku kayu sambil memegang aiskrim coklat yang hampir cair. Di sebelahnya, Dewi duduk santai dengan aiskrim perisa vanila, matanya sesekali merenung permukaan air yang beralun.
Rambut yang tidak berikat, sesekali terkena wajah Elyas tanpa sempat dia halang apabila angin bertiup kuat. Lelaki itu hanya memejam mata tanda reda bahawa mukanya sentiasa menjadi tamparan rambut para gadis, tidak kisahlah Elya ataupun Dewi. Kedua-duanya sama saja.
Seekor kucing belang kelabu menghampiri mereka dengan penuh yakin. Dewi terus memberikan gelaran Milo kepada si "raja" kawasan tasik. Dewi tersenyum nipis sambil mencelup hujung jarinya ke aiskrim, kemudian menyuakan pada Milo yang terus menjilat manja.
Elyas memandang dengan cemas tapi kali ini dia cuba kawal reaksi. Dengan penuh hati-hati, dia merendahkan tangan ke arah Milo, cuba mengusap kepala kucing itu sekali lagi. Milo berhenti menjilat, memandang Elyas dengan mata bundarnya dengan telinga sedikit bergerak.
Dewi terkejut melihat keberanian Elyas, lalu membuat isyarat tangan. "Awak... dah tak takut kucing lagi?"
Elyas tersengih sambil buat muka tak kisah. "Sejak bila aku takut kucing?"
Dewi ketawa halus sambil menggeleng kepala, bahunya bergoyang sedikit dengan jawapan Elyas itu. Geli hati!
"Yalah tu... Dulu bukan main melompat bila nampak kucing. Muka pun pucat habis macam kena gigit ular sawa."
Elyas hanya berdecit perlahan sebelum tersenyum selamba. Dia cuba menyembunyikan rasa cuak yang masih bersisa. "Itu dulu. Sekarang lain, aku dah kamceng dengan kucing ."
Dewi terus tersenyum, matanya melirik pada Milo yang sudah mula duduk santai di kaki mereka. Elyas merasa sedikit bangga dengan dirinya sendiri walaupun jantung masih berdebar-debar, sekurang-kurangnya dia berjaya buat Dewi kagum.
Mereka kembali menikmati aiskrim masing-masing dalam sunyi seketika sebelum Dewi memecahkan suasana. Dia memetik jarinya di hadapan wajah Elyas sehingga lelaki itu menoleh melihatnya.
"Awak... saya tak sempat lagi pusing-pusing kampus. Banyak kelas, assignment... tak ada masa nak jalan-jalan," Dewi membuat isyarat, wajahnya sedikit kecewa.
Elyas mengangkat kening tanda tidak percaya. "Serius? Tak pernah pusing langsung?"
Dewi menggeleng perlahan. "Belum... saya dengar orang cakap di sini ada taman lebah, kafe tersembunyi... tapi saya tak tahu semua tu dekat mana."
Elyas buat isyarat sambil tersengih. "Patutlah tak pernah nampak kau dekat tempat-tempat yang tak berapa best dekat kampus ni... Tak apa, biar aku jadi tour guide kau. Esok pagi kita pusing kampus. Deal?"
Dewi mengangguk bersemangat. "Deal!"
"Pakai pakaian sukan tau, aku nak ajak kau joging sekali alang-alang esok sabtu." Elyas terkekeh-kekeh ketawa melihat wajah ceria Dewi bertukar suram dengan arahan terbarunya.
"Jalan je tak boleh ke?"
"Nope, kita kena fit sama-sama! Aku nak tunjuk banyak tempat dekat kau, nanti kau semput. Lagipun kau berkawan dengan atlet takraw, Dewi. You must be fit like me." Elyas menjungkitkan keningnya berkali-kali dan tersenyum senang.
"Awak paksa saya, Elyas..."
"Mana ada, aku nak kau sihat je." Bibirnya mula menahan senyuman yang terasa seperti mahu tertarik lebih lebar.
"Saya dah sihat!"
"But not too fit to stand next to me, Dewi." Elyas terus menjelirkan lidahnya dan melepaskan tawa yang tertahan sedari tadi apabila melihat wajah cemberut gadis itu.
"Siapa nak berdiri sebelah awak!" Dewi menderam geram.
"Kaulah, siapa lagi."
Jawapan Elyas membuatkan suasana kembali hening. Dewi cuba menenangkan diri yang sering saja terbabas panas dek perasaan geram apabila berbual dengan Elyas. Lelaki itu memang suka mengusiknya tak kira tempat!
Geram!
Mereka kembali diam sambil menikmati sisa aiskrim, sebelum Elyas tiba-tiba teringat sesuatu. Dia buat isyarat dengan tangan laju, seolah-olah teruja. "Eh, kau pernah makan pulut ayam tak?"
Dewi mengangkat bahu sambil buat muka hairan. "Pulut ayam? Tak pernah. Sedap ke?"
Mata Elyas membulat. "Tak pernah? Biar betul? Pulut ayam tu legend tahu tak! Mama aku buat pulut ayam paling sedap dekat dunia. Kau mesti cuba. Nanti bila-bila aku minta mama masak untuk kau."
Dewi tergelak lagi, bahunya bergoyang kecil. "Betul ke sedap sangat? Awak jangan overclaim pula."
"Betul! Confirm tak menyesal. Aku bawa nanti, kau tunggu je. Nanti mesti kau ketagih punya dengan pulut ayam mama. Aku berani kerat jari kau." Elyas buat muka yakin.
Sengal punya Elyas, ada ke punca nak kerat jari anak dara orang? Namun dia hanya tersengih dengan ayat terakhirnya itu.
Dewi buat isyarat sambil tersenyum lembut. "Okey. Saya tunggu."
Elyas mengambil peluang untuk memandang wajah Dewi dengan lebih lama. Gadis itu terus menikmati aiskrimnya sambil tersenyum sendiri—mungkin membayangkan rasa pulut ayam yang disebut tadi.
"Awak selalu makan dengan mama awak ke? Nampak macam rapat je," tanya Dewi dengan gerakan tangan yang lebih perlahan, seakan hati-hati.
Elyas mengangguk, senyuman masih terukir. "Ya. Mama rajin masak lebih kalau aku balik rumah. Dia suka buat pulut ayam sebab tahu itu makanan kegemaran aku dan babah. Babah jarang ada dekat rumah sebab kerja jauh, jadi aku yang selalu buli mama untuk masak makanan yang aku suka."
Dewi mengangguk sambil memandang Elyas dengan pandangan kagum. "Bestnya... Awak nampak macam betul-betul hargai keluarga awak. Awak buat saya rasa nak kenal dengan mama awak pula. Mesti dia cantik kan?"
Elyas sedikit terpaku, tak sangka Dewi akan cakap begitu. Dia hanya senyum kecil sambil tunduk, cuba menyembunyikan rona merah di pipinya.
"Tak tahu pula kau teringin nak jumpa mama aku. I need to admit that my mom is super beautiful walaupun dia kuat loyar buruk. I love her so much." Elyas balas sambil menggaru tengkuknya, segan tiba-tiba apabila mindanya sudah terbang pada babak dia dan Dewi bersanding di atas pelamin.
Oh, dia punya delulu sudah semakin parah!
Dewi cuma senyum nipis sebelum Milo tiba-tiba melompat ke riba gadis itu, menggosok kepala pada tangan Dewi sambil mengiau manja. Elyas hanya mampu menahan diri daripada melangkah ke belakang dek rasa terkejut.
"Dengar cerita awak buatkan saya betul-betul nak jumpa mama awak. Semuanya sebab pulut ayam yang awak sebut tadi." Dewi tersengih lebar. Dia tidak dapat membayangkan bagaimana rupa makanan itu tapi keinginannya untuk menjamah pulut ayam itu semakin membuak-buak.
"Nanti aku temukan kau dan mama okey?" Dewi terus angguk laju. Tiba-tiba berasa teruja kerana dia tidak pernah mempunya kawan yang memperkenalkan dia kepada orang tua mereka. Elyas orang pertama menjadi kawannya yang sebegitu!
Elyas masih memegang kon aiskrim kosong yang tinggal sisa cairan coklat di hujungnya. Dia memandang ke arah tasik, cuba mencari topik perbualan lain, tapi Dewi lebih pantas bertanya.
"Cuti midsem nanti awak balik ke?" Dewi buat isyarat dengan tangan satu, sebab tangan sebelah lagi sibuk mengusap Milo yang sudah baring manja di ribanya.
Elyas mengangguk sambil tersenyum. "Balik cuma lambat sikit sebab aku ada meeting dengan MPP."
"Awak balik macam mana? Naik bas?"
Elyas menggeleng. "Taklah. Naik motor je. Lagi cepat."
Mata Dewi terus membulat, ekspresi wajahnya berubah risau. "Naik motor? Jauh, kan? Bahaya!"
Elyas terdiam sekejap, terkejut melihat reaksi Dewi yang tiba-tiba serius. "Aku dah terbiasa balik naik motor, Dewi. Tak ada apa-apalah..."
"Tapi... jauh, Elyas. Saya risaukan awak..." Dewi menghela nafas perlahan.
Elyas buat muka selamba, tapi sebenarnya hati dia dah berbunga-bunga. Tak sangka Dewi akan risau macam tu sekali.
"Risau juga kau dekat aku, eh?" Elyas sengaja mengusik dengan senyuman nakal.
Dewi menjeling sambil menggeleng perlahan, membuat isyarat dengan gerakan lembut.
"Awak dah macam adik yang saya tak pernah ada... Mestilah saya risaukan keselamatan awak."
Serta-merta wajah Elyas berubah cemberut. Dia terdiam seketika, cuba memproses kata-kata Dewi.
"Kenapa anggap aku macam adik? Am I not manly to you?" tanyanya dengan gerak tangan yang perlahan, seakan-akan takut mendengar jawapannya.
Dewi terpinga seketika sebelum tertawa kecil sambil membuat isyarat dengan senyuman lembut.
"Tak... Elyas comel dan manly pada masa yang sama. You literally act like a younger brother. Saya selesa sangat dapat berkawan dengan awak dan saya harap persahabatan kita akan kekal sampai bila-bila."
Rasa seperti ada batu besar jatuh hempap dada Elyas. Senyuman di wajahnya mula pudar, tapi dia cepat-cepat sembunyikan riak kecewa itu dengan ketawa kecil walaupun hambar.
"Oh... kawan..." Dia ulang dengan isyarat tangan yang sedikit bergetar.
Dewi mengangguk dengan yakin, seolah-olah tak sedar betapa kerasnya kata-kata itu menghentam hati Elyas. Gadis itu masih tersenyum ceria, sambil tangannya terus mengusap Milo tanpa rasa bersalah.
"Terima kasih Elyas sebab sudi berkawan dengan saya. Awak satu-satunya kawan yang saya ada selain Elena. Awak jangan tinggalkan saya tau, Elyas? Saya suka berkawan dengan awak."
Elyas mengalih pandang ke tasik, cuba menelan hakikat pahit itu. Hatinya rasa macam retak seribu, tapi dia tak mahu tunjukkan depan Dewi.
"Aku takkan tinggalkan kau Dewi," jawab Elyas dengan mata yang memanah lembut mata boba yang bersinar terang. Wajah ceria itu sedikit sebanyak membuat hati Elyas sedikit gembira walaupun masih tersisa rasa sakit apabila terkena adik-zone tanpa dia sempat bersedia.
"Okey, esok kita pusing kampus tau? Jangan lupa tau, Elyas." Dewi mengulang janji tadi dengan isyarat tangan yang lebih perlahan.
Elyas mengangguk perlahan dengan bibir yang menarik senyuman hambar. "Jangan risau, aku takkan lupa apa yang aku dah berjanji dengan kau."
"Tak sabar nak tengok tempat best tu!" Dewi merapatkan tangannya dengan, mata itu semakin bersinar-sinar gembira.
Elyas hanya tersenyum kecil.
'Aku akan buat apa pun untuk kau, asalkan kau happy dengan aku... walaupun kau anggap aku adik je Dewi...' desis hati kecil Elyas.
Share this novel