BAB 22

Romance Series 2510

TONGKAT motor dia tolak turun sebaik saja dia menghentikan motor di bahagian depan kolej Dewi. Tidak terlampau jauh dan tidak terlampau dekat dengan blok. Dia tidak mahu menjadi isu ada pelajar lelaki yang menceroboh kolej perempuan sedangkan dia hanya berada di kawasan parkir saja.

Enjin motor dia matikan sebelum Elyas membebaskan kepalanya daripada fullface helmet itu.

Elyas terus menyangkut plastik burger di bahagian pendikit minyak lalu dia membawa keluar telefon dari bag yang dia galas di depan badan.

Nama Dewi dicari lalu dia menghantar pesanan pada WhatsApp gadis itu. Sesekali, hembusan nafas berat terlepas dari bibir melihat hantaran-hantaran lamanya yang langsung tidak dibaca apatah lagi dibalas.

Lima minit dia menunggu, masih tiada balasan daripada sang gadis.

Dia terus membuat keputusan untuk menelefon Dewi dengan harapan gadis itu mahu mengangkat panggilannya.

Baru lima saat, panggilan berjawab. Elyas terus berdiri gembira.

"Helo, assalamualaikum Dewi! Ni aku, Elyas," sapanya dengan senyuman yang melebar. Ah, rindunya dia pada Dewi!

"Helo, aku tahu kau Elyas. By the way, Dewi takde dekat bilik. Aku ndak tahu dia pigi mana. Yang pasti dia tak sikut tu telefon sama dia." Suara Elena yang mengisi koklea telinga Elyas menyebabkan lelaki itu menggigit dalam pipinya.

Tak guna! Dewi tak ada!

"Aduh, mati-mati aku ingat ni Dewi. Rupanya anak Ijid Ronald," pasrah Elyas menjawab.

"Kurang adab sekali kau sebut bapak aku!" jerit Elena di hujung talian sehingga Elyas terpaksa menjauhkan telinganya dari skrin telefon. Karang, dia pula yang perlu alat bantuan pendengaran.

"Jangan jerit El, dengar sampai parkir kolej tahu tak," tegur Elyas sambil menggelengkan kepalanya.

"Kau ada di bawah kah?" Mata Elena membuntang besar dengan ayat Elyas tadi.

"Ya, El. Aku nak jumpa Dewi. Hari ni dah masuk hari kelima dia pulau aku. Kau tak tahu ke dia pergi mana?" soal Elyas lembut yang hampir pasrah.

"Kan aku dah cakap. Aku ndak tahu dia pigi mana."

"Tolong call dia boleh, El? Aku call dia, sekalipun dia tak pernah angkat." Elyas hanya mempu mencebirkan bibirnya.

"Okey sekejap, aku cuba tau." Elena bersetuju.

"Okey, thanks El."

Hampir satu minit, gadis Sabah itu kembali ke talian dengan decitan kuat.

"Elyas!" jerit Elena sekali lagi.

Hampir terlompat Elyas dengan suara yang bagaikan dentuman guruh di langit. Gegendang telinga terasa sakit apabila dia tidak sempat menjauhkan gajet itu dari telinganya.

"Kau dah kenapa jerit! Kan aku cakap, dengar sampai parkir bawah ni! Nak pecah koklea aku tahu tak!" Elyas terus berasa sebal dengan sikap Elena. Geram!

"Ya Tuhan, Elyas... kau ni kalau mo bodoh, bodoh sudah la sendiri. Jangan kau kasi aku terjebak sama, bikin aku rasa mo cuci otak dengan sabun basuh pinggan seja lah!" marah Elena sambil bercekak pinggang.

"Kau merepek apa ni?" Dahinya makin berlapis dengan ujaran Elena. Apa yang perempuan tu mengarut sekarang ni?

"Kau lupa ka yang kau tengah call nombor Dewi sekarang ni, bah? Macam mana lagi aku mo tolong kau, Elyas! Kau ingat aku ni dukun ka boleh belah dua suara!? Mau juga aku teriak pakai loudspeaker dari sini!" Dia menghentak meja belajarnya kerana geram dengan kebodohan Elyas tatkala itu. Tak dia sangka dia pun turut terjebak dengan kebodohan adik kesayangan Dewi itu.

Elyas terus membisu tanpa bicara. Mulutnya terbuka sedikit tanda nak cakap apa pun dia sudah tak tahu. Dia pandang skrin telefon. Sah. Nama "Dewi Boba Goddess (✿◡‿◡)" masih terpampang terang-terangan dekat atas tu.

"Aduh, bangang betul aku ni," Elyas menepuk dahi sendiri perlahan.

"Tu lah! Bangang level dewa! Habis aku pun terheret sama dalam kebodohan kau ni! Aku rasa IQ aku jatuh 3 tangga sejak kawan dengan kau, Elyas!"" jerkah Elena lagi dari hujung talian, macam mak tiri dalam sinetron Indonesia.

"Oi, kau tak payah lah tambah garam dekat luka aku ni," rungut Elyas sambil menekan butang tamat panggilan. Muka dia sudah merah malu, campur panas, campur tak percaya diri sendiri boleh blur sampai macam tu sekali.

Telefon dia letak di atas tangki minyak motor sebelum Elyas merenung kosong, seolah-olah telefon tu yang salah dalam semua kekalutan ni.

"Aduh Dewi, kau dekat mana ni?" Rambut dikusutkan bagai mahu menggambarkan perasaannya yang sangat huru-hara kebelakangan ini. Gadis yang dia suka menghilang, semangatnya turut sama turun mendadak.

Tidak dia sangka, penangan Dewi sangat memberi kesan yang kuat pada dirinya sendiri.

"Dewi..." rintih Elyas seorang diri sebelum dia mengambil keputusan untuk meninggalkan motor di situ lalu bergerak demi mencari gadis kecil yang sering membuat jiwanya kacau. "Kau pergi mana, Dewi? Kau tak nak burger ke?" omelnya sekali lagi dengan kaki yang melangkah laju.

Hampir lima minit berjalan, matanya tertancap pada satu tubuh yang sangat dia kenali sedang duduk bertinggung di tepi jalan— memberi kucing jalanan itu makan. Elyas terus terpaku seketika pada tar panas itu dengan mata yang langsung tidak berganjak daripada menatap gerangan yang dia rindui.

"Dewi..." suara itu bagai tidak mahu keluar dari anak tekak.

Segera, dia bergerak mendekati sang gadis dengan jantung yang berdebar hebat.

"Dewi!" panggil Elyas sekali lagi. Namun sekali pun, gadis itu tidak menoleh. Elyas hanya mampu mengemam bibirnya apabila diabaikan begitu sahaja walaupun pelajar lain yang lalu-lalang sempat menoleh ke arah mereka kerana suara kuatnya.

"Dewi..." seru jejaka itu dengan lebih lembut. Tapi Dewi? Dia hanya tersenyum dengan kucing-kucing yang enak menjamu selera di depannya. Sesekali terdengar suaranya tertawa gembira apabila haiwan manja itu menggeselkan badan pada kaki Dewi.

"Awak comel," puji Dewi sambil mengusap kepala kucing berbelang hitam itu dengan penuh kasih.

Elyas pasrah dan dia hanya memerhatikan gadis itu tanpa ada perasaan mahu mengganggu waktu bahagianya. Mungkin pada waktu itu, Dewi tidak memakai alat bantuan pendengarannya membuatkan suara Elyas langsung tidak dapat dia dengari.

"Belang, awak nak lagi wetpud?" soal Dewi dengan suara lunaknya. Kucing itu lantas mengiau dan menggeselkan wajahnya pada tangan si tuan makanan. Dewi terus melepaskan tawa bahagianya. Hanya dengan kucing, dia gembira.

"Sekejap ya, Mila buka yang baru untuk awak." Laju tangannya menyeluk masuk ke dalam beg tote untuk membawa keluar makanan kucing yang baru. Cari punya cari, baru Dewi sedar yang stok makanan kucing itu sudah habis. Dia terlupa untuk menambah stok lagi ke dalam beg itu.

"Alamak! Makanan awak dah habislah Belang! Mila minta maaf!" ujar Dewi dengan wajah yang bersalah sebelum merapatkan kedua-dua belah tangannya tanda minta maaf kepada haiwan comel itu.

"Mila pergi ambil yang baru ya?" Lantas, dia terus bangun dan berpusing ke belakang. Dia mahu cepat-cepat balik ke bilik dan kembali ke sini dengan makanan buat kucing-kucing kampus yang kelaparan itu.

Namun belum sempat dia melangkah, matanya jatuh pada tubuh tinggi lampai yang berdiri di belakangnya, menahan cahaya hangat mentari daripada menjamah tubuh sang gadis sedari tadi. Patutlah Dewi tidak merasakan panas matahari seperti biasa. Rupa-rupanya dihalang oleh orang yang dia mahu elak selama ini.

Mata mereka bertaut. Lama.

Sebelum Dewi berdehem dan mematahkan panahan mata Elyas yang padanya redup dan... kasihan?

Elyas terus menepuk tangannya kuat di hadapan Dewi sehingga gadis itu kembali menoleh ke arahnya. Setelah memastikan dia benar-benar tidak memakai hearing aid, Elyas langsung mengisyaratkan laju dengan tangannya. Plastik burger sudah dia sangkut ke lengan untuk memudahkan pergerakannya.

"Kau pergi mana selama ni, Dewi? Kenapa elak daripada aku? Kenapa tak balas mesej aku? Kenapa tak angkat call aku? Aku ada sakitkan hati kau ke?" Matanya langsung tidak lepas daripada memandang wajah Dewi yang sudah tidak senang duduk dengan soalan bertubi-tubinya.

"Dewi..." isyarat Elyas lagi dengan pergerakan tangan yang semakin perlahan apabila gadis itu langsung tiada ura-ura mahu menjawab soalannya.

"Aku minta maaf, Dewi..."

Dewi tersentak dengan pergerakan tangan Elyas yang baru saja dia baca. Kenapa?

"Kenapa awak minta maaf?" Akhirnya, dia membalas segala persoalan Elyas walaupun turut dengan soalan juga.

"Kau benci aku lepas apa yang terjadi? Aku minta maaf, Dewi..." Wajah Elyas turut berubah sedih dan penuh rasa bersalah.

"Saya tak benci awak. Dan tentang hal malam tu, boleh kita lupakannya? Saya kalau boleh tak nak bahaskan tentang hal tu, Elyas." Tangan dijatuhkan. Dewi menggenggam erat beg totenya.

"Macam mana aku nak lupakan perasan aku pada kau begitu saja, Dewi? Susah, Dewi... Sangat susah buat aku..." ujar Elyas. Sengaja dia berbicara kerana dia tak mahu Dewi baca apa yang dia mahu bicarakan.

"Saya tak dengar..."

"Aku cakap, okey. Kita lupakan apa yang terjadi dan kau masih nak berkawan dengan aku kan?" Pusing Elyas dengan senyuman kelatnya.

"Sudah semestinya saya nak berkawan dengan awak. Dan Elyas... saya tak tahu macam mana nak teruskan semua ni tanpa buat kita berdua rasa janggal."

Riak Dewi tenang, tapi jelas ada dinding tipis yang mula dibina. Tangan yang tadi menggenggam beg tote itu makin erat, seolah-olah cuba pegang kuat-kuat hatinya yang mula goyah.

Elyas diam, namun tidak berundur. Dia tenung wajah gadis itu lama-lama. Ada sesuatu dalam pandangan mata Dewi yang buat dadanya senak seperti mahu minta untuk dimengerti, tapi tidak mampu untuk dijelaskan.

"Awak tak perlu faham semua benda, Elyas," ujar Dewi perlahan, seolah-olah dapat baca fikiran lelaki itu. "Cukuplah kalau awak tahu… saya hargai kejujuran awak malam tu. Tapi saya tak mahu persahabatan kita musnah disebabkan perasaan yang belum pasti."

Elyas tunduk. Kakinya tergoyang-goyang kecil, cuba menghalau gugup yang tidak mahu pergi.

"Kalau macam tu…” Dia berhenti sekejap, tarik nafas. "Kalau macam tu, boleh aku minta satu je?"

Dewi menunggu sambungan ayat Elyas dengan perasaan berdebar-debar.

“Lepas ni, jangan jauhkan diri daripada aku walau apa pun yang terjadi. Balas mesej aku, angkat call aku, Dewi. Aku risaukan kau. Sangat risau. Aku hanya nak tahu samada kau okey ataupun tak.” Bebola mata Elyas sedikit goyah, tapi dia teruskan juga.

"Aku masih nak jadi kawan kau, Dewi. Aku minta maaf sebab dah mencipta jurang dalam persahabatan kita. Semoga, aku masih menjadi ruang selesa untuk kau."

"Awak tak pernah berhenti jadi ruang selesa untuk saya, Elyas." Bibir Dewi menarik satu senyuman ikhlas apabila dia membalas panahan mata redup Elyas.

"Tapi bukan semua ruang perlu diisi, Elyas. Ada yang kita cuma mampu tengok dari jauh dan simpan dalam diri kita, diam-diam."

Jujur, Elyas rasa seperti mahu terjelopok jatuh dengan isyarat terakhir Dewi sebelum gadis itu berlalu meninggalkannya di situ seorang diri.

Ya Allah, sakit...

Share this novel

Aryanie
2025-06-08 09:24:28 

kesian Elyas.. takpe yas, slow n steady.. ada jodoh x kemana..


NovelPlus Premium

The best ads free experience