IBU dan ayah ditinggalkan bersama Kak Dian. Daim menarik adiknya untuk sama-sama menapakkan kaki ke kedai pakaian sukan di dalam pusat membeli-belah.
Jemari ditarik dari dahi turun ke dagu. "Kenapa?" Kening dijungkit sebelah melihat tingkah abang yang tua setahun darinya.
"Daim nak belanja pakaian sukan untuk Mila. Duduk sini, Daim nak pergi tengok. Okey?" Bibirnya tersengih lebar melihat dahi berkerut Dewi.
"Biarlah Mila pilih sendiri."
"No! Biar Daim pilih. Mila duduk situ, baca majalah tu. Usyarlah yang hensem, mana tahu boleh jadi adik ipar Daim nanti," usik Daim sebelum ketawa terkekeh melihat wajah cemberut Dewi.
Dewi terus menampar lengan abangnya. Lelaki itu hanya menjelirkan lidah dan bergerak menjauh dari Dewi yang sudah menjatuhkan duduk di kerusi kedai itu.
Jemari runcing itu laju mencapai majalah seperti yang dikatakan oleh Daim sementelah dia berasa bosan melihat benda yang sama di sekeliling kedai selama beberapa minit.
Muka hadapan itu dia kerling sebelum terhenti lama di situ. Gerangan lelaki dan perempuan bertudung itu benar-benar menarik perhatian Dewi.
Muka kedua-dua model itu seiras dan mata mereka sangat cantik. Hazel. Warna langka di muka bumi ini tidak seperti anak matanya.
Jemari itu menyelak lagi.
Elyas Awan.
Tihani Istafa.
Dewi tersenyum kecil sebelum jemarinya menyentuh permukaan majalah itu. Nama yang sangat hebat buat dua orang yang benar-benar menarik rasa minatnya.
Macam seronok je jadi model...
Sentuhan di bahu mengejutkan Dewi dari angan-angannya. Majalah terus ditutup, lantas dia menoleh ke kanan. Wajah Daim mula memenuhi ruang irisnya..
"Pergi cuba semua ni." Daim terus menyerahkan lima pasang sport wear yang berlainan warna dan rekaan.
"Semua ni?" Mata bundar Dewi semakin terbeliak.
Daim angguk. Dia terus menolak adiknya ke arah fitting room sebelum meletakkan semua pakaian itu ke atas kepala Dewi yang sedari tadi tidak menyambut hulurannya.
Gadis itu terus menghentak kaki dengan geram dan menutup kuat pintu itu. Daim terus mengusap dadanya kerana terkejut.
Adiknya lupa ke dia tak pekak? Hampir berdengung lubang telinganya dengan hempasan kuat itu tadi.
Daim terus menggelengkan kepala dan mengambil duduk sementara menunggu si bongsu itu selesai. Jemarinya pantas membalas pesanan sang kakak yang sudah menunggu mereka di dalam kereta. Lelaki itu terus berdecit perlahan membaca ayat paksaan Dian itu.
Dia lantas bangun dan bergerak ke fitting room. Tangan diangkat sebelum dia mengetuk pintu itu kuat.
"Argh!" Terdengar jeritan Dewi apabila bukan pintu yang menjadi mangsa ketukannya melainkan dahi licin Dewi. Gadis itu terus menggosok laju dahinya yang terasa perit dek buku lima keras abangnya.
Daim terus membeliakkan matanya kerana terkejut. Dia langsung memutar tangan kanan di bahagian dada untuk memohon maaf atas tindakan gelojohnya. Adiknya didekati dan dia turut sama menggosok dahi Dewi yang sudah merah.
"Daim minta maaf, Mila!" Sekali lagi dia berkata seakan-akan gadis itu dapat mendengarnya.
Dewi terus menumbuk geram dada Daim. "Sakit tahu tak!" Gigi dikertap rapat. Muka Daim yang terpancar rasa bersalah dia jeling sebelum bergerak menjauhi abangnya. Dewi terus mencapai beberapa helai lagi pakaian yang dia mahu sebelum mendekati kaunter.
Daim hanya menonong mengikut dari belakang tanpa apa-apa bicara kerana merasa bersalah. Dia hanya menelan liur apabila memerhati tindakan Dewi yang menambah lagi pakaiannya setelah kesalahan yang dia buat.
"Daim bayar," arah Dewi lalu terus memeluk tubuh.
Tanpa bantahan, kad bank dibawa keluar dan membayar segala pakaian yang dia pilih untuk Dewi tadi dan juga pakaian tambahan yang gadis itu capai demi membalas dendam padanya.
"Maafkan Daim." Daim menjuihkan bibir dengan mata yang tidak memandang ke tempat lain selain wajah masam sang adik.
"Mila nak llao llao, dah dapat baru Mila maafkan Daim." Daim yang sedang membawa plastik pakaiannya dia jeling tanpa rasa bersalah.
"Okey, janji Mila maafkan Daim."
Dewi terus menarik senyuman senget sebelum berjalan jauh meninggalkan abangnya di belakang. Kedai aiskrim yogurt itu menjadi tujuannya. Biar habis duit Daim hari ini disebabkan tindakannya!
Rasakan Daim!
"MT MulMed ajak joint venture untuk induction day hujung minggu depan. Daripada korang macam mana? Should we accept or reject the collaboration?" Suara dari tepi meja itu membuat Elyas tercengang buat seketika. Dia terus merehatkan kedua-dua lengan di atas meja dengan dahi yang berkerut rapat.
"Wait- agenda kita bukannya nak bincang tentang AGM ke? Dah kenapa masuk hal-hal berbangkit terus ni?" tanya Elyas dengan wajah yang sudah tiada senyuman.
"Agenda dah bertukar sebab HEP arahkan penangguhan AGM buat semua persatuan, Yas. Kau tak tengok ke?" pintas Ayana dengan kerlingan tajam kepada Presiden NetCom itu.
"Really?"
"Tengoklah sendiri dalam group, kau yang tak buka WhatsApp," tambah Ayana, si Naib Presiden yang sentiasa pedas dalam bicaranya.
Elyas hanya mengabaikan dan membuka group seperti yang dinyatakan oleh Ayana tadi. Dia diam dalam bacaannya sebelum mengeluh perlahan. Salahnya juga kerana terlampau sibuk dengan orientasi sehingga tidak sempat membuka group MT NetCom itu.
"Maaf, aku baru buka group. Okey, kita boleh proceed dengan agenda terkini. So Zaidil, boleh terangkan dengan lebih terperinci tak tentang joint venture tu? Pihak MulMed ada serahkan kertas kerja pada kita ke? Dan bila diorang tanya kita tentang JV tu?" Elyas membuka tab untuk mencatat segala perkara yang mereka bincangkan pada malam itu.
"Agak last minute juga MT MulMed contact pihak kita. Aku dapat mesej dua hari lepas tentang hal JV ni. Dan ini kertas kerja yang setiausaha MulMed submit pada aku semalam." Zaidil terus menghulurkan helaian kertas yang diklip itu pada Elyas yang setia menunggu.
"Kau bolehlah baca dulu, Yas. Untuk MT lain, aku ada hantar kertas kerja secara softcopy di group. Korang pun boleh baca dan fahamkan dulu." Kata-kata Zaidil membuatkan para majlis tertinggi yang lain mula mencapai telefon masing-masing.
Suasana menjadi sunyi apabila keenam-enam orang yang berada di situ khusyuk memahamkan apa yang tertulis di kertas kerja itu.
"Sebenarnya, hujung minggu depan tu tempoh masa yang pendek untuk kita kerahkan ahli sebagai penggerak kepada program ni. Lagipun, esok dah mula kuliah. Kalau kita setuju dengan JV ni, kita kena selesaikan semua malam ini juga dan finalize senarai AJK paling lewat esok petang." Elyas mula bersuara dengan tubuh yang tegak memandang raut muka yang lain.
Kebanyakkannya angguk dengan apa yang disampaikan oleh Elyas tadi.
"Zaidil, MulMed ada tetapkan duedate pada kita tak?" soal Elyas lagi. Ayana turut menoleh memandang ke arah setiausaha mereka itu.
"Ada, esok malam paling lambat."
"What the hell... MulMed ingat ni program sukaneka budak tadika ke?" Elyas berdecit perlahan sebelum bersandar pada kerusi.
"Aku dah cakap, MulMed memang suka buat kepada sendiri. Bukan sekali diorang buat kerja adhoc macam ni," tambah Ayana yang sedari tadi berdiam diri. Jemari dibawa ke muka untuk menggaru dahi yang gatal tatkala mendengar bicara Zaidil.
"JV ni ada pros and cons juga sebenarnya. Pros yang aku nampak ialah kita dapat jimat kos program. Kita perlu keluarkan kos yang kurang bila JV berbanding bila kita buat program sendiri." Rizky, bendahari NetCom mula membuka mulut.
Elyas terus memandangnya dengan dahi yang terjungkit sebelah. Dia juga ada memikirkan tentang hal itu sedari tadi.
"Aku nak bagi task adhoc sekarang," kata Elyas secara tiba-tiba sehingga semua mata terarah padanya. Ada yang bingung, ada yang sudah reda dengan perangai Elyas yang satu ini.
"Apa lagi kau ni?" Ayana sudah membuat muka.
"Dalam masa 10 minit, aku nak kita semua buat SWOT analysis untuk JV ni. Selesai 10 minit, kita bincang dan bandingkan samada this JV will bring us more benefit or damage. Boleh ke boleh?"
"Boleh." Bergema bilik itu dengan suara mereka yang seakan-akan lemah tidak bermaya.
"Jangan lemau sangat. Jadi MT ni, kita kena semangat lebih daripada ahli. Kalau kita lesu macam ni, ahli-ahli macam mana?" Elyas mula bertazkirah apabila melihat tahap kelemahan rakan-rakannya tika itu.
Lemau.
Lesu.
Macam tak makan seminggu.
Padahal dia yang back to back sibuk dengan segala macam kerja itu pun masih boleh bersemangat. Dasar manja.
"Ya lah, Yas. Kitorang dah semangat dah ni ha!" perli Ayana sehingga yang lain hanya tertawa kecil. Presiden dan Naib Presiden mereka sangat gemar bergaduh mulut. Entah apa yang tak kena tentang Elyas di mata Ayana, mereka pun tidak tahu.
"Korang sabar kejap, aku nak buka lagu black metal." Elyas terus membuka aplikasi Youtube di tabletnya.
"Dia mula dah..." ujar Rizky sambil menggelengkan kepala apabila lagu Bring Me To Life versi rock mula memenuhi sudut bilik itu.
"Okey lagu dah on. The task will begin now! Ayuh semangat rakan-rakan seperjuanganku!"
Share this novel