ELYAS berdiri di hadapan rumah bercat putih krim itu, tangan kirinya memegang beg kertas berisi buah tangan, tangan kanan diangkat perlahan, menekan loceng dan memberi salam. Hatinya berdebar tidak tentu hala—macam baru lepas final game takraw.
“Assalamualaikum...” suaranya tenang, tetapi tapak tangan sudah sejuk seperti berada dalam bilik mayat.
Pintu dibuka sedikit. Wajah Dewi muncul, senyum kecil terukir di bibir. Di belakangnya, seorang lelaki berwajah hampir seiras berdiri rapat. Dia Daim, abang Dewi. Kedua-duanya memandang Elyas dari atas ke bawah.
Elyas sempat senyum dan tunduk hormat, “Assalamualaikum bang... saya Elyas.” Tangan dihulurkan untuk bersalaman dengan bakal abang ipar. Hehe.
Daim angkat kening. Mata dia tertumpu lama pada rambut merah Elyas dan subang palsu di telinga dan kening. “Mila...” Dia kerling Dewi. “Ni geng mana Mila bawa balik ni?” terus dia menyoal dalam bahasa isyarat tanpa tahu Elyas boleh membaca gerakan itu dengan sekali imbas.
Dewi sengih kecil, membalas perlahan, “Dia bukan mana-mana geng lah, Daim... dia Elyas.”
Daim masih tidak puas hati. Namun dia tetap menyambut huluran lelaki itu sebelum beralih, beri laluan untuk Elyas masuk. Elyas melangkah perlahan-lahan ke ruang tamu yang sejuk dan kemas, matanya tertancap ke dinding penuh bingkai gambar keluarga.
"Dewi," panggil Elyas apabila melihat gadis itu seperti kelam kabut ingin meninggalkannya seorang diri di situ.
"Ya?" Mata bundar bersinar itu memandang Elyas dengan penuh tanda tanya. Namun, senyuman manisnya tidak pernah luntur.
"Ni aku ada belikan kuih sikit dengan buah tangan untuk kau sekeluarga, ambillah." Beg kertas dan plastik kuih dihulurkan. Dewi sedikit tergamam tapi tetap menyambutnya.
"Terima kasih, Elyas. Susah-susah awak saja bawa hadiah," kata Dewi lembut, menarik satu senyuman bahagia di hujung bibir Elyas.
"Untuk kau, mana ada susah."
Dewi terus berdecit dengan jawapan yang selalu dia dengar itu. "Awak tunggu sekejap ya, saya mahu panggil ibu dan ayah. Awak duduklah dulu, jangan malu-malu. Daim, layan Elyas sekejap. Mila nak pergi dapur," pesan Dewi pada kedua-dua lelaki itu sebelum berlalu dengan laju.
Elyas hanya menelan liurnya apabila terasa dirinya bagai ditikam dengan mata Daim. Sesekali, dia turut melihat abang Dewi itu dengan hujung mata.
"Duduklah," arah Daim sambil melabuhkan duduk di kerusi tiga serangkai. Elyas hanya menurut.
“Kau memang daring eh?” Daim menjeling Elyas dari atas sampai bawah dengan muka separa kagum, separa pelik. “Datang rumah orang dengan rambut macam api terbakar… piercing penuh satu muka. Kau datang nak berkenalan ke nak audition Gegar Vaganza?”
Elyas terus beku.
Piercing? Eh, aku dah cabut kan tadi dalam kereta?
Cepat-cepat tangan dia naik ke bibir bawah, raba-raba... dan...
"MAK NYAH! MASIH ADA LAGI?!" Elyas hampir terjerit sendiri. Dia rasa seperti baru kena tampar dengan selipar tandas mama.
“Oh tidak... Ya Allah, malu aku Ya Rabbi...”
“Ohh… dekat bibir pun kau pakai juga ke?” sambung Daim, tenang-tenang beracun. Kening dia sudah naik sebelah, menaikkan rasa meremang buat Elyas. “Full package betul kau ni, bro. Siap ada side quest piercing lagi.”
Dalam hati Elyas sudah menjerit seperti orang histeria. “Mana lubang nak masuk sekarang please?”
Dia terus mencabut semua subang palsu dari kening, telinga, bibir—satu-satu seperti sedang menyahaktif bom waktu. Usai, dia terus menyumbat semua ke dalam poket seluar dengan gelabah.
“Saya… saya pakai semua ni untuk shooting tadi, bang. Saya… err… terlupa nak cabut sebab tergesa-gesa nak datang rumah ni. Rambut ni pun… warna khas untuk job tadi,” dia cuba mempertahankan maruah, walaupun suara sudah seperti chipmunk nervous.
Daim terus menyilang tangan. Senyuman menipis, mata tak berkelip memandang Elyas yang sudah terenik peluh di dahinya.
“Lain kali kalau datang nak jumpa ayah orang, at least bagi heads up. Rambut merah, subang penuh satu badan. Nanti bapak aku ingat kau frontman kumpulan Netizen Soldier.”
Elyas terkebil, menelan liur seperti baru lepas makan cili padi.
“Frontman Netizen Soldier bukannya botak ke, bang?”
Daim angkat kening. “Habis tu kau ni siapa? Backup dancer dia ke? Siap ada piercing bibir, telinga, kening—aku rasa tadi aku nampak satu dekat hujung bulu mata.”
“Eh, eh tu glitter shooting lah bang—bukan subang!”
Daim gelak sambil tepuk bahu Elyas. “Glitter ke, emas ke, kalau bapak aku nampak kau tadi dah macam karakter utama dalam iklan ubat kuat. Serius. Muka confident, rambut merah menyala, jalan masuk rumah macam nak pergi stage final Gegar Vaganza.”
Elyas tarik nafas panjang. “Bang… Saya nak dating je. Bukan audition Marvel.”
Daim senyum sinis. “Ni bukan dating, bro. Ni level interview kerja siap dengan background check. Kau tengok belakang—ibu aku tengah ambil gambar kau untuk group WhatsApp family.”
Elyas toleh… dan ya, mak Dewi tengah zoom in kamera telefon sambil gelak kecil. Dewi yang berada di sebelah hanya mampu menggelengkan kepala dengan mata yang penuh rasa bersalah pada Elyas.
“Ya Allah, saya baru nak buat impression baik…”
“Impression kau dah sampai… Mesti ayah aku ingat kau pelakon stand-in untuk villain anime,” kata Daim sebelum bangun dan meninggalkan Elyas, orang tuanya dan Dewi di ruang tamu.
Ekspresi ayah Dewi berubah serta-merta sebaik sahaja matanya menangkap Elyas yang berdiri dengan rambut merah terang bak api. Dia berhenti separuh langkah, hampir tersandung, sebelum terus berisyarat laju pada Dewi.
"SIAPA DIA? KENAPA RAMBUT MERAH? DAREDEVIL KE? KAWAN DARI KOLEJ KE... ATAU GENGSTER MANA MILA BAWA BALIK NI?"
Dewi yang terkejut kecil, cepat-cepat angkat tangan, membalas dengan isyarat. "Ayah, dia baik! Dia datang nak jumpa ayah dan ibu, sebab nak ajak Mila keluar. Dia bukan gengster…"
“RAMBUT MERAH TU BUAT APA?” Ayahnya tak berhenti tanya, mata tajam masih tak lepas dari Elyas. Ibu Dewi di sebelah mula senyum kecil, tahan ketawa sambil cubit bahu suaminya supaya bertenang.
Namun, Elyas yang sudah menunggu saat ini, bangun perlahan-lahan dan mendekat. Dia mengambil nafas panjang, menyesuaikan diri, dan kemudian tanpa ragu terus membalas ayah Dewi dengan bahasa isyarat—lancar, jelas dan penuh rasa hormat.
Dengan penuh keyakinan, dia isyaratkan, "Ayah... Eh, pak cik, saya tahu rambut merah ini pelik. Tapi, ini untuk kerja saya, saya model. Saya bukan gengster. Saya cuma mahu kenal lebih dekat dengan keluarga Dewi, dan saya minta izin untuk bawa Dewi keluar jalan-jalan hari ni. Boleh ke pak cik?"
Senyap seketika, suasana menjadi tegang. Ayah Dewi memandang Elyas, matanya tajam, namun kali ini ada sesuatu yang lain di wajahnya. Ada rasa terkejut dan sedikit kagum, dengan tangan yang terhenti di udara, seolah-olah mencerna setiap perkataan dan gerakan Elyas. Dia tidak sangka lelaki ini boleh berbahasa isyarat sebaik itu—dan dengan cara yang begitu sopan.
Tiba-tiba, ayah Dewi menurunkan tangan. Dengan perlahan, dia menggerakkan isyarat lagi. "Kamu tak tipu, kan? Rambut merah ni… ada makna, atau... hanya untuk kerja? Jangan main-main dengan anak saya!"
Dewi yang berada di sisi, perlahan-lahan isyaratkan kembali dengan penuh keyakinan, "Ayah, Mila dah cakap, kan? Rambut ni sekejap je. Itu untuk kerja dia. Tak ada apa-apa niat buruk. Elyas tak macam yang ayah fikir. Perangai dia tak semerah rambutnya ayah."
Elyas hampir tersedak dengan ayat terakhir Dewi itu. Amboi, ambil kesempatan dalam kesempitan ya?
Dia terus mencapai telefon di poket seluar sebelum laju membuka galeri. Gambar di studio yang sempat dia tangkap beberapa keping ditunjukkan kepada lelaki itu supaya dia benar-benar percaya dengan Elyas.
"Kalau pak cik tak percaya, ini buktinya," Elyas berisyarat dengan tenang, sebelum mengeluarkan telefon dari poket seluarnya. "Ini saya punya photoshoot pagi tadi. Saya pun ada berikan perfume jenama ni buat pak cik sekeluarga tadi. Nanti pak cik gunalah ya."
Pergerakan tangan Elyas itu begitu lembut dan penuh kehati-hatian. Dewi yang melihat, tanpa sedar, merasa sedikit tertarik. Dia tidak pernah melihat isyarat Elyas yang sebegitu halus. Selama ini, lelaki itu hanya berisyarat biasa dengannya, tetapi kali ini, ada sesuatu yang berbeza. Ada rasa sopan dan penuh hormat yang terpancar dari setiap gerakannya, seolah-olah dia ingin menunjukkan dirinya lebih daripada sekadar lelaki dengan rambut merah seakan-akan gengster.
Elyas menyerahkan telefon itu kepada ayah Dewi, yang kini mulai memerhatikan gambar-gambar dari sesi photoshoot pagi tadi. Ayah Dewi menyentuh skrin telefon itu perlahan, meneliti satu persatu gambar Elyas yang penuh profesionalisme. Kemudian, pandangannya beralih semula ke arah Elyas, matanya masih tajam namun ada sedikit tanda kehairanan.
Kepalanya kembali mendongak untuk memandang wajah anak muda yang berdiri di hadapannya. Walaupun rambut merah yang mencolok itu masih membuatkan dia terkejut, kini ada sedikit rasa hormat yang muncul di dalam hatinya. Rambut merah bak cili padi itu mungkin masih pelik, tetapi kini ada sesuatu dalam diri Elyas yang membuatkan dia sedar bahawa lelaki ini bukan calang-calang. Ada lebih dari sekadar penampilan.
Elyas berdiri dengan tenang, tidak tergesa-gesa, menunggu reaksi ayah Dewi. Senyumannya terukir dengan rendah hati, berharap bahawa perlahan-lahan, ayah Dewi dapat memahami siapa dirinya yang sebenar.
Tanpa dia duga, lelaki itu menghulurkan tangan pada Elyas. Dia terkejut namun cepat-cepat menyambut dan menyalami dengan penuh hormat.
"Maafkan pak cik dah bersangka buruk dengan kamu. Apa nama kamu?" Ayah Dewi akhirnya mengalah, isyaratnya kali ini lebih lembut, menunjukkan perubahan sikap yang jelas.
Elyas terkebil-kebil melihat perubahan yang begitu mendalam pada isyarat ayah Dewi. Dari ketegangan yang tadi, kini ada rasa yang lebih tenang, bahkan penuh rasa hormat. Dia terkejut, tetapi dalam masa yang sama, dia merasa lega. Tanpa ragu, dia mengangkat kedua-dua tangannya dengan penuh kesopanan, memberi jawapan yang penuh rendah hati.
"Nama saya Elyas Tharwan, pak cik, mak cik. Boleh panggil saya Elyas," jawabnya dengan senyuman yang tenang. Setiap isyarat ditonjolkan dengan penuh keyakinan, namun tetap menghormati.
Dewi yang melihat situasi itu terasa lega. Hatinya sedikit lega, melihat Elyas berjaya melalui detik yang cukup menegangkan itu. Kini, semua nampak seperti lebih baik. Elyas mungkin dengan rambut merah yang mencolok, namun dalam sikap dan tindakannya, dia memperlihatkan sisi dirinya yang jauh lebih matang dan beradab.
"Jaga anak pak cik Elyas."
"Saya janji pak cik, saya akan jaga Dewi sebaik mungkin."
Elyas sudah tidak mampu menahan senyuman gembiranya. Oh, susahnya untuk mendapatkan keizinan ibu ayah Dewi. Ini yang membuatkan dia lagi bersemangat untuk memikat hati gadis itu. Biar dia sama-sama terpaut dan tak mahu berpisah!
comel haha
Share this novel