BAB 18

Young Adult Series 815

"SEDAP tak?" soal Elyas, matanya tak lepas pandang wajah Dewi yang sedang menikmati pulut ayam di hadapannya.

Gadis itu, yang khusyuk menunduk sambil mengunyah, terus mendongak bila dengar soalan. Pipi yang sedikit tembam kerana mulut penuh dengan makanan buatkan dia kelihatan seperti hamster comel. Dia hanya senyum lebar dan angguk laju, tanpa suara—tapi ekspresi cukup untuk menjawab.

Tangan kirinya sempat menyelitkan helaian rambut ke belakang telinga, dan sekelip mata, kelihatan alat pendengaran kecil di situ—perkara yang jarang Elyas dapat tengok secara terang-terangan. Tapi dia tak komen apa-apa. Dia hanya senyum, dan simpan rasa lembut dalam hati.

"Kita bertuah hari ni," sambung Elyas sambil mengangkat kening sedikit bangga. "Sebab mama aku sendiri yang turun padang masak kat sini. So, this is your first pulut ayam, right? Macam mana? Suka tak?"

Sedutan latte ais menyusul selepas soalan, tapi mata masih curi-curi tengok Dewi yang kelihatan benar-benar menikmati setiap suap. Dalam diam, Elyas rasa puas. Rasa senang. Rasa nak belanja Dewi makan setiap hari.

Dewi akhirnya telan perlahan suapan terakhirnya dengan gaya puas hati. "Suka sangat. Saya tidak sangka pulut boleh dimakan dengan ayam seperti ini. Sos thai dia pun... wow. Pedas dan manis sikit, tapi sedap sangat-sangat. Saya jatuh cinta dalam cubaan pertama!"

Elyas tersenyum sampai ke telinga. "Tengok tu... tengok! Aku kan dah cakap. Mama aku punya sos thai memang ada magik. Ada orang makan sekali terus nak jadi menantu..."

Belum sempat habis ayat, seketul tisu dilayang ke arah dia.

"Elyas!" suara Dewi separuh malu, separuh tergelak. "Awak ini kalau tidak menyakat, mesti badan rasa gatal kan?"

"Sikit," Elyas mengangkat bahu selamba. "Kalau kau gelak, aku terus rasa kenyang. Jadi, gurauan aku sebenarnya ada nilai pemakanan."

"Awak ini semakin pelik," Dewi geleng kepala, tapi senyum tak pernah surut dari bibirnya.

Mereka duduk di meja kecil di luar café yang dihias dengan pokok-pokok kecil dan lampu gantung kuning malap. Matahari petang dah mula turun perlahan-lahan, mencipta cahaya lembut yang menyinar di hujung rambut Dewi.

Elyas pandang lama. Rasa mahu cakap sesuatu, tapi lidah tiba-tiba jadi berat.

Senyap sekejap.

"Dewi..." Elyas memanggil perlahan, seolah takut kalau suara dia terlalu kuat boleh pecahkan suasana tenang yang sedang mereka cipta. Matanya masih lekat pada wajah gadis di hadapannya—tenang, manis, dan penuh kelembutan yang dia sendiri tak tahu bagaimana dia boleh rasa setenang ini setiap kali dipandang.

"Ya?" Dewi mengangkat wajah, senyum nipis menghiasi bibir.

Tangan Elyas perlahan-lahan menghulurkan sesuatu—kad undangan yang dihias cantik, kemas dalam sampul putih. Dewi menyambutnya dengan dahi sedikit berkerut, tanda tertanya-tanya.

"Lepas cuti midsem nanti, kau datang tau," kata Elyas, suara tenang tapi ada getar harap yang jelas. "Aku harap sangat kau datang sebab... aku dah nak turun jawatan. Ni antara program terakhir aku. Lepas tu, insya-Allah... aku ada banyak masa."

Dia senyum, tapi sambung dengan nada usikan, "...untuk dating dengan kau."

Dewi tergelak kecil, tapi cepat-cepat tunduk sedikit. Tangannya memegang erat kad yang baru diterima.

"Tapi saya budak MulMed, Elyas... bukan budak NetCom..." Nada suara Dewi perlahan. "Saya boleh join ke?"

"Mestilah boleh," balas Elyas pantas, tak beri ruang untuk dia ragu. "Presiden sendiri yang undang. Cable paling besar dalam NetCom, kau ingat ada orang nak pertikai?" Keningnya terangkat sebelah dengan gaya penuh yakin.

Dewi ketawa kecil, tapi riak wajahnya masih ada sisa ragu. "Saya takut nak pergi program awak sorang-sorang..."

Elyas angguk perlahan, seolah-olah sudah menjangka jawapan tu. "Sebab tu aku bagi dua kad. Satu lagi kau bagi dekat Elena. Ajak dia teman."

Wajah Dewi terus berubah ceria. "Terima kasih, Elyas! Kalau ada Elena, insya-Allah saya datang."

Senyumannya makin lebar, dan mata dia—mata yang selalu tunduk malu—kali ini tidak segan untuk belek setiap perkataan di atas kad art tu. Elyas hanya diam dan memerhati sahaja dari tempat duduknya, hati dia terasa rasa hangat dan ringan dalam masa yang sama.

"Pakai cantik-cantik tau," pesan Elyas tiba-tiba. "Aku nak ambil gambar dengan kau nanti."

"Okey, Elyas... nanti saya ajak Daim pergi cari baju ikut tema awak," jawab Dewi, spontan.

Elyas terus mengulum senyuman dengan ayat spontan Dewi itu. Hati sudah semakin berbunga. Jantung sudah berdegup kencang. "Sweet," bisik Elyas perlahan.

"Aku—" Belum sempat habis ayat, satu tarikan padu singgah di telinga kiri.

"Aduh, ma! Sakit la!" Elyas terjerit kecil sambil spontan menggenggam lengan Taliya, dahi berkerut menahan pedih.

Tarikan itu bukan biasa-biasa. Macam nak cabut sekali telinga dengan ego anak teruna.

"Dah pandai bercinta ya sekarang?" suara Taliya muncul tenang, tapi tajam—seperti pisau yang baru diasah. "Siapa ajar ni? Mama ke?"

Telinga Elyas akhirnya dilepaskan. Namun rasa sakit hatinya pula masih terasa digenggam erat. Taliya terus duduk di meja bulat itu, matanya tidak lepas daripada menilai dua wajah yang jelas berbeza ekspresi—Elyas yang merah menahan malu dan geram manakala si gadis sudah pucat lesi seperti baru melakukan jenayah berat.

"Ma... Yas tak bercinta pun," Elyas cepat-cepat bersuara, suara dia cuba tenang tapi jelas tergagap sedikit. "Ini kawan kampus Yas. Nama dia Dewi. Yas bawa dia ke sini sebab..."

Dia pandang Dewi yang masih tunduk memegang gelas strawberi smoothie, kemudian Elyas tersenyum sikit pada ibunya.

"...sebab dia cakap dia tak pernah makan pulut ayam. So Yas rasa, kenapa tak kenalkan dia dengan signature dish mama sendiri, kan?" Nada suaranya mula naik semula, dengan semangat mahu menjual mama. Eh, jual produk mama.

"Mama kena bangga, tahu? Yas dah berjaya attract customer baru. Dewi sekarang peminat baru pulut ayam Serene. Yas patut dapat komisen daripada mama. At least new shoes for me."

Taliya menyilangkan tangan di dada, mata masih tak berkedip. Tapi senyuman halus mula muncul di hujung bibir. Dia kenal sangat gaya anak bujangnya bila sedang cuba alih perhatian. Dan dia tahu... kalau Elyas berani membawa sesiapa saja ke meja kafe ini, orang itu sudah semestinya sangat istimewa bagi si dia.

Dewi memberanikan diri dengan mengangkat mukanya perlahan. Dia cuba untuk senyum dengan sopan. "Assalamualaikum, aunty. Terima kasih sebab masak sedap sangat... Saya suka pulut ayam aunty..."

"Comelnya dia, Yas! Sopan pula tu... Bagus-bagus." Taliya membalas dengan nada yang lebih lembut sedikit.

"Apa nama kamu?" soal Taliya yang sudah makin tertarik apabila dia terpandang hearing aid di dalam telinga gadis.

"Nama saya Dewi Qarmila. Aunty boleh panggil saya Mila," jawabnya perlahan tapi jelas, sambil tangan rapi menyelak anak rambut ke belakang telinga—secara tidak langsung menampakkan sebelah lagi alat bantuan pendengaran yang tersorok di sisi kiri.

Taliya angguk perlahan, matanya tidak lari dari wajah lembut Dewi. "Dewi Qarmila... cantik nama. Sama macam orangnya. Dengar pun sedap."

Elyas di sebelah cuma senyum lebar, bangga bukan main.

"Panggil Mila ya?" Dewi mengangguk laju.

"Tapi kenapa Elyas panggil kamu Dewi?" Dan-dan Elyas kejung dengan soalan cepumas mamanya. Alamak! Kenapa mama sedar ni! Taliya yang melihat, terus tersenyum sinis.

"Saya tak pastilah, aunty. Saya dah suruh Elyas panggil saya Mila tapi dia tetap mahu panggil saya Dewi. Saya malas mahu gaduh jadi saya biarkan saja," terang Dewi panjang. Elyas pula sudah tidak senang duduk apabila terasa jemari mamanya sudah menghampiri area pinggang.

Dia perlu lari! Nanti konfem lebam!

"Maafkan anak aunty ya, Mila. Anak aunty yang ni memang gatal merenyam sikit." Taliya tersenyum manis pada Dewi sebelum menjeling Elyas yang baru saja membuka mulut untuk membalas tuduhan mamanya itu.

"Tidak mengapa, saya sudah anggap Elyas seperti adik saya, aunty."

Taliya terus mengulum senyuman kecil. Ops, rupa-rupanya si Elyas sedang menghadapi situasi yang sama dengannya berpuluh tahun yang lalu?

"Adik adik adik! Siapa nak jadi adik kau?" Elyas membidas laju kerana geram. Dia tak nak kakaklah! Cukuplah Elya seorang!

"ELYAS!" Taliya terus mencubit pinggang Elyas kuat disebabkan perangai kurang sopannya tadi.

"Sakit mama..."

"Minta maaf dekat Mila. SEKARANG," tegas Taliya mengarah anak lelakinya itu. Dewi yang memerhati hanya terkebil-kebil sebelum tertawa kecil apabila Elyas menikus dengan arahan mamanya.

"Aku minta maaf, Dewi. Tak sengaja," tutur Elyas perlahan sambil menggosok pinggangnya yang terasa pedih. Entah-entah dah terkoyak kulitnya disebabkan jemari ketam mama...

"Tak apa, Elyas. Saya tahu awak bergurau saja kan tadi?" Lelaki itu terus mengangguk laju.

"Lepas ni jaga sikit intonasi tu Yas, orang perempuan ni hatinya lembut. Janganlah kasar sangat, nanti Mila lari baru kamu tahu," bebel Taliya lagi.

"Ya ma, Yas dengar. Terima kasih, syukran jazilan wa marhaban bikum."

Taliya terus menggeleng kepala dengan kerenah si dia sebelum dia mengembalikan fokus kepada Dewi. Elyas yang masih sedikit kesakitan, dia buat endah tak endah sahaja.

"Kamu asal dari mana, Dewi?" tanya Taliya lagi, nada sudah berubah menjadi lebih mesra seperti ibu-ibu yang curious mahu berkenalan dengan kawan anaknya.

"Saya orang Selangor, aunty. Dekat-dekat sini saja sebab itulah saya boleh ikut Elyas pergi tukar warna rambutnya tadi." Taliya terus kembali melihat Elyas. Oh baru dia perasan yang warna rambut anaknya sudah kembali ke fitrah.

Taliya mengangguk-angguk, senyuman masih terukir di wajah. "Ooo... orang Selangor rupanya. Patutlah nampak 'mesra alam'. Tak kekok langsung dengan kami."

Dewi ketawa kecil, terasa sedikit lega dengan suasana yang makin selesa. "Saya pun takut juga mula-mula, aunty. Tak sangka Elyas bawa saya jumpa aunty. Saya fikir dia ajak saya pergi salon saja..."

"Baguslah kalau Elyas bawa kamu jumpa aunty dulu. Sekurang-kurangnya aunty boleh nasihat kamu sikit dengan perangai Elyas yang entah apa-apa ni. Kalau dia buat hal bukan-bukan, Mila terus mengadu pada aunty tau. Biar aunty kasi pengajaran dan pembelajaran sikit pada dia." Taliya sempat menjeling Elyas yang terus tunduk, konon-konon sibuk hirup latte ais, padahal telinga terpasang setiap butir.

Dewi cuma tersenyum malu. "Aunty, serius sedap sangat pulut ayam ni. Saya memang suka makanan yang ada gabungan pedas dan lemak manis. Tekstur pulut ni pun lembut sangat."

"Ha! Nampak tak? Inilah feedback ikhlas daripada pelanggan baru. Yas, kamu dengar tak?" Taliya sempat menjerit manja ke arah anaknya.

"Ya ma, Yas dengar," jawab Elyas separuh malas. Tadi kutuk dia, sekarang nak flex depan dia pula. Geramnya mama ni!

"Budak ni..." Taliya menggeleng perlahan dengan senyuman yang tak lekang.

"Mila, aunty nak tanya sikit boleh?"

"Tanya apa aunty?" Mata bundar itu memandang tunak wajah awet muda Taliya.

"Telinga tu... dari kecil lagi ke, Dewi?" Soalan itu keluar lembut. Bukan untuk menyentuh luka sang gadis tetapi hanya untuk lebih mengenali.

"Ya aunty... saya memang dilahirkan pekak. Saya cacat kekal. Dulu saya tak pakai hearing aids sebab keluarga saya tidak mampu. Tapi selepas saya kerja, bos saya sponsor hearing aids ni, aunty. Saya hargai sangat..." kata Dewi dengan senyuman manis bagai tidak terjentik langsung hatinya dengan kenyataan itu.

"Oh, kamu pernah kerja? Bidang apa?" Taliya mula tertarik.

"Bidang multimedia dan animasi, aunty. Saya sambung degree sekarang pun kerana syarikat saya yang suruh. Mereka berikan saya biasiswa penuh sampai saya habis belajar."

Elyas yang mendengar terus melihat wajah itu tanpa berkerdip. Ini merupakan fakta yang dia baru tahu tentang Dewi. Unik dan bijak. Elyas dapat merasakan, hatinya sekali lagi bergolek-golek ke kaki Dewi.

Taliya tersenyum lebih, kali ini bukan senyum manis-manis biasa, tapi senyuman yang penuh pengertian. "Alhamdulillah, aunty bangga dengan kamu! Kamu sangat kuat, Mila. Kuat dan manis. Aunty suka tengok gadis yang tahu hargai diri dan tak menggunakan keistimewaannya untuk mengambil kesempatan ke atas orang lain."

"Ya Allah, saya biasa-biasa saja aunty. Jangan puji, saya malu." Dewi terus menutup wajahnya dengan kedua-dua belah tangan apabila terasa pipinya sangat panas dengan pujian itu. Malu!

"Orang seperti kamu bukan biasa-biasa tapi luar biasa. Aunty faham sangat insecurities orang seperti kamu sebab suami aunty pun mengalami masalah yang sama. Dia bisu disebabkan kemalangan." Senyuman ikhlas tergaris di hujung bibir.

Dewi terlopong sedikit, matanya semakin bulat. "Betul ke aunty?"

"Ya. Dah lebih 20 tahun usia perkahwinan aunty dan uncle. Aunty belajar bahasa isyarat sebab nak faham dia, nak mengorat dia. Mula-mula susah juga, tapi bila dah sayang... semua jadi mudah," cerita Taliya, matanya redup dengan memori lama.

"Wah... Aunty pun tahu bahasa isyarat seperti Elyas?" Dewi teruja, suara naik sedikit.

Sebagai respon, Taliya terus gerakkan tangan perlahan, membentuk isyarat dalam Bahasa Isyarat Malaysia. "Mestilah aunty tahu, Elyas tu pandai sign language sebab aunty yang ajar."

Dewi tersenyum lebar dan turut membalas dalam bahasa isyarat. "Saya suka sangat dengan orang yang tahu signage! Terima kasih aunty sebab belajar untuk faham orang-orang seperti kami. We needs more people like your family, aunty!"

Dia merasakan teruja yang sangat hebat meledak dalam dirinya apabila dia mengetahui fakta itu daripada mama Elyas. Patutlah lelaki itu sangat fasih berbahasa isyarat. Rupa-rupanya, sang ayah juga daripada golongan istimewa.

"Rakyat Malaysia perlu lebih mendalami lagi bahasa indah ini untuk permudah segala komunikasi dengan golongan istimewa. Kita kan satu jiwa?" Taliya berseloroh sebelum mereka tertawa.

Melihat kedua-duanya semakin rancak berbual, Elyas hanya bersandar sambil senyum kecil menghiasi wajah. Dalam hati, ada rasa lega dan gembira—siapa sangka, gadis yang dia suka dan wanita paling penting dalam hidupnya boleh menjadi kawan baik dalam sekelip mata. Seperti dua jiwa yang sudah lama saling mengenali, tapi baru bertemu di meja pulut ayam.

Dia tak perlu masuk campur pun—Dewi dan Taliya sudah 'click' seperti biskut dan teh panas. Dan Elyas, cuma mampu tengok dengan hati yang tenang... dan senyuman yang makin lebar.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience