"EL, mana Dewi?" soal Elyas dengan leher yang memanjang, matanya meliar seperti sedang mencari kelibat harta karun paling berharga di dunia. Gerangan gadis mungil itu belum kelihatan, dan kegelisahan Elyas semakin jelas terpamer di wajahnya. Elena yang baru sahaja selesai mendaftar kehadiran hanya memandang lelaki itu dengan dahi sedikit berkerut, seperti tidak faham mengapa Elyas begitu bersungguh.
"Mila pergi toilet. Kenapa?" jawab Elena sambil menarik sedikit jaket yang terselak dek tiupan angin dari pendingin hawa dewan. Angin itu bukan biasa-biasa kuatnya. Boleh jadi taufan kecil jika duduk terlalu dekat dengan pintu.
Elena mengeluh kecil. Dia masih belum memaafkan Dewi yang memaksanya memakai tema Y2K semata-mata untuk tema AGM kelab NetCom si Elyas yang entah apa-apa ini. Tapi, mengenangkan janji makanan percuma dan sesi cabutan bertuah, Elena pasrah. Demi perut, segalanya dia relakan.
"Aku ingat dia tak datang tadi," Elyas mengaku jujur, pandangannya kembali tertancap pada wajah Elena yang masih berdiri bersahaja.
Elena menggeleng perlahan, seolah-olah tidak percaya. "Gila kau, napa dia teda datang? Si imut tu, dari semalam lagi sudah siap-siap baju dia mau pakai malam ni, kau tau ka? Dia excited gila mau datang ni," katanya dengan slang Sabah yang pekat, tangannya melambai kecil di udara untuk menekankan keterujaan Dewi yang masih segar dalam ingatannya.
"Dia mesti excited nak jumpa aku tu, El." Elyas terus menolak sedikit rambutnya ke belakang, aksi menggoda dengan kening yang terangkat-angkat itu membuatkan Elena hampir muntah dalam hati. Rasa meluat menjalar dari hujung rambut ke hujung kaki.
"Kurang-kuranglah perasan tu, bah. Perempuan memang teda suka laki kuat perasan macam kau ni. Menyampah tau." Elena menggulingkan bebola matanya, rasa geli dengan ucapan masuk bakul angkat sendiri si Elyas.
Namun Elyas tidak pernah tahu erti serik. "Kau menyampah takpe, asalkan Dewi suka aku," katanya sambil terkekeh kecil, cukup untuk menaikkan suhu darah Elena.
"Diam! Annoying!"
"Make me shut, if you can," balas Elyas sambil tersengih, belum sempat habis ketawa, iris matanya bersinar terang seperti cahaya lampu stadium apabila menangkap kelibat seseorang yang sangat dikenalinya.
"Dewi!" Lambaian penuh teruja itu menjadi sambutan rasmi buat si gadis yang baru tiba, dengan senyuman yang makin melebar seperti pelangi selepas hujan.
Dewi muncul dengan gaya santai tapi tetap sopan, seolah-olah keluar dari majalah gaya hidup. Kemeja putih longgar yang disarung kemas ke dalam jeans flare dipadankan pula dengan vest kelabu bercorak halus. Kasut loafers hitam dengan platform menyerlahkan sisi fashionable Dewi tanpa perlu berlebih-lebihan. Beg silang hitam sederhana besar tergantung kemas di bahu kirinya. Rambut panjang bergelombang lembut itu menutup alat bantuan pendengaran yang terletak kemas di kedua-dua telinganya. Itu adalah rahsia kecil yang tidak semua orang tahu, namun cukup yang terdekat sahaja mengetahuinya. Dan makin hari, perasaan ingin tahu Elyas tentang diri Dewi semakin membuak-buak dalam dada. Dia ingin tahu semuanya.
“Yas! El!” Dewi melambai kecil, senyuman manisnya mencairkan udara dingin dewan. Dia berlari anak ke arah mereka, langkahnya ringan, tapi hati Elyas seperti dibadai.
“Jangan lari, Dewi. Nanti jatuh,” tegur Elyas lembut, namun nadanya sarat dengan perhatian dan bimbang yang tak tersembunyi.
"Saya cuma teruja saja datang ke program macam ini. Selalunya saya tak pernah sertai sebab saya tiada kawan," jujur Dewi, pandangannya menikam lembut anak mata Elyas.
Hati lelaki itu cair. Rasa seperti sudah meleleh ke kaki.
"It's okay, sekarang kau dah ada aku untuk rasa pengalaman-pengalaman macam ni. Aku akan ajak kau join sebanyak mungkin program supaya kau dapat enjoy kau punya degree life. Boleh?" Suara Elyas berubah jadi lebih perlahan, lebih dalam, dan lebih ikhlas. Pandangan mereka bertaut seperti dua jiwa yang sedang mula bersatu.
Ah, bahaya.
"Betul ke?" tanya Dewi, matanya bersinar penuh harap.
"Betul lah! Untuk kau, aku akan tunaikan. Asalkan kau happy." Senyuman Elyas makin lebar, dunia terasa seakan-akan mereka berdua saja yang wujud ketika itu.
"WOI!" selit Elena dengan suara paling menyampah yang pernah diciptakan oleh manusia.
"Aku masih di sini bah. Ndak payah mau sweet-sweet. Kau tu memang suka menggatal saja, Elyas!" Elena terus menarik lengan Dewi menjauhkan diri dari lelaki itu, yang sudah mengekek ketawa puas.
"Dahlah, jom, Mila. Tinggalkan jak mamat gatal ni."
Dewi tertawa perlahan, sopan dan comel. Dia sempat menoleh ke belakang, melambai ke arah Elyas yang masih tersenyum senget seperti budak sekolah jatuh cinta.
"Isy comel! Rasa nak cubit-cubit pipi dia!" ujar Elyas sendiri, tangannya bergerak seperti sedang menguli pipi halimunan.
"Kau dah gila ke, Yas?" tiba-tiba satu suara menyampuk. Ayana muncul entah dari mana, dengan tangan penuh hadiah sesi cabutan bertuah.
"Kenapa? Jeles?" Elyas buat muka tak bersalah.
"Tak ada masa aku nak jeles dengan orang gila." Ayana menjeling tajam lalu menonong pergi, meninggalkan Elyas yang ternganga sedikit dengan kenyataan itu.
"Kurang ajar, dahlah pendek macam smurf!" rungut Elyas sebelum bergerak ke arah pentas. Program bakal bermula.
Tapi fikirannya masih pada Dewi.
Lepas habis program, dia akan ajak Dewi ambil gambar banyak-banyak. Buat kenangan. Boleh tunjuk dekat cucu-cicit nanti.
"Ni lah nenek kamu, masa atuk tengah menggatal tahap kronik. Tapi dia juga yang cair dulu." Elyas ketawa sendiri dengan kegilaannya.
Betullah cakap Ayana. Dia gila. Gilakan seorang Dewi bermata boba.
Lampu sorot mula menyala ke arah pentas utama. Pengacara majlis memanggil nama Elyas dengan penuh semangat.
"Majlis kita diteruskan dengan ucapan terakhir daripada Presiden Kelab Netcentric Computing, saudara Elyas Tharwan bin Ezrul Istafa!"
Tepukan bergema segenap dewan.
Elyas menarik nafas, melangkah ke mikrofon dengan dada sedikit berdebar. Dia menyapu sedikit rambut dari dahi dan senyum. Di depan khalayak ramai, dia kelihatan yakin, seperti seorang pemimpin sejati.
"Assalamualaikum dan selamat malam semua. Saya Elyas Tharwan atau lebih dikenali sebagai Elyas Awan, dan malam ini secara rasminya merupakan malam terakhir saya berdiri sebagai Presiden Kelab NetCom."
Tepukan bergema lagi. Elyas tersenyum kecil.
"Setahun bukan masa yang singkat. Kita bermula dengan rasa gugup, kita lalui cabaran bersama, dan kita berjaya buktikan yang kelab kita juga layak sebaris dengan kelab-kelab fakulti lain yang besar walaupun ahli NetCom sangat sedikit. Kadang-kadang dalam satu kelas boleh kira guna kedua-dua tangan dan satu kaki," seloroh Elyas sehingga dewan itu menjadi riuh dengan gurauannya.
"Namun, apa yang paling saya syukuri bukan sekadar kejayaan program atau pengiktirafan. Yang saya paling hargai... ialah manusia-manusia yang saya jumpa dalam perjalanan ni. Mereka yang membantu saya dalam setiap program, yang mengganti tempat saya di kala saya tidak berkesempatan untuk turun ke mesyuarat-mesyuarat penting. Mereka yang sangat memberikan kerjasama kepada saya walaupun banyak yang cepat annoyed dengan perangai saya. Dan pada hari ini, saya mahu meminta maaf untuk semua salah dan silap samada sedar ataupun tidak yang telah saya lakukan sepanjang saya memegang jawatan ini."
Dia berhenti sejenak. Matanya menyapu seluruh dewan. Dan akhirnya, jatuh tepat pada satu wajah yang biasa tapi istimewa di hatinya.
Dewi.
"Dan buat seseorang yang menjadi pembakar semangat hidup saya, terima kasih," sambungnya secara tiba-tiba.
Mata mereka bertembung. Dewi tersenyum nipis. Dia kelihatan sedikit terkejut dengan ucapan dan tindakan Elyas tika itu.
Elyas angguk perlahan, lalu mengangkat tangan ke dada dan mengisyaratkan dalam Bahasa Isyarat Malaysia, "Terima kasih, Dewi. Sebab hadir dalam hidup aku."
Rahang Dewi secara automatik, jatuh tanpa sempat dia halang. Dia hanya mampu menunduk sedikit. Senyumannya tidak lagi manis seperti biasa, tetapi cukup untuk menyatakan dia terima mesej itu meskipun hatinya belum pasti bagaimana mahu membalas.
Elyas menghabiskan ucapannya dengan nada yang lebih tenang.
"Saya tinggalkan jawatan ini dengan penuh bangga dan lega. Harapan saya buat pimpinan baru hanya satu, teruskan semangat. Teruskan ikatan. Dan teruslah buat kebaikan, walau sekecil mana pun. Dengan ini, saya Elyas Tharwan bin Ezrul Istafa meletak jawatan sebagai Presiden NetCom pada sesi ini. Terima kasih semua."
Tepukan berdiri menyambut ucapan terakhirnya. Tapi Elyas tahu, tepukan paling dia tunggu… adalah tepukan hati Dewi.
MAAF LAMBAT UPDATE
Share this novel