BAB 12

Young Adult Series 672

"ASSALAMUALAIKUM, mama!" Kaki panjang itu melangkah laju ke dalam rumah yang sunyi. Helmet yang dipegang sedari tadi, terus dia letakkan ke dalam almari. Mata hazel itu melingas ke seluruh ruang untuk mencari gerangan orang di dalam ruangan itu.

"Maa? Yas dah balik ni, maa!" Jaket kulit hitam yang dipakai, dia buka dan terus Elyas letak pada sofa di ruang tamu.

"Maa!" panggil Elyas lagi. Kaki terus melangkah laju ke arah dapur sebelum rahangnya bagai mahu terjatuh melihat babak romantis mama dan babahnya yang saling bersuap bagai pengantin baru.

"Oh my eyes! Patutlah Yas panggil, mama tak dengar. Tengah bercinta rupanya," perli Elyas sebelum mengambil duduk berhadapan mama dan babah di island table itu. Dia terus melihat makanan yang tersaji di hadapan mata sebelum perutnya mula berkeriuk hebat.

"Kamu entah dari mana datangnya, tiba-tiba nak perli orang bercinta ya?" bidas Taliya dengan jelingan tajam dia hadiahkan buat Elyas. Biarlah nak makan bersuap pun, ada dia suruh Elyas beli beras? Tak kan?!

"Ala mama, romantik sangat sampai lupa anak kat dunia fana ni. "Yas baru sampai ni mama, all the way dari kampus," jawab Elyas sambil tersengih. Dia terus bangun dan menyalam tangan Ezrul dan Taliya sebelum mencium wajah kedua-dua buah hatinya bertubi-tubi.

Ezrul tergelak kecil sambil menepuk belakang tangan isterinya. "Bukan lupa, cuma priority berubah, Yas. Babah dulu, baru kamu."

Elyas ternganga. "Babah berat sebelah!"

Taliya terkekek kecil sebelum mencapai seketul ayam dan menyuapkan ke mulut Ezrul dengan penuh gaya dramatik. "Nah, abang. Makan banyak-banyak ya, biar Elyas belajar berdikari."

Elyas memegang dadanya, berpura-pura menahan sakit. "Mama, babah... jangan buat Yas macam ni! Yas lapar!"

Ezrul yang sedang mengunyah hanya menoleh ke arah anaknya dengan wajah kasihan yang dibuat-buat. "Biasakan diri, Yas. Hidup ni cabaran."

"Cabaran apa kalau anak sendiri pun kena tolak tepi ni..." Elyas mencebik perlahan.

Ezrul hanya menggelengkan kepada dengan tingkah anak keduanya itu lalu menepuk belakang Elyas supaya duduk.

"Kamu cakap balik lusa? Kenapa harini dah terpacak dalam rumah ni?" Sebelah kening Taliya mula terangkat lalu dia kembali menyuap nasi ke dalam mulut sendiri.

"MPP cancel meeting, ganti meeting secara online je. Jadi, Yas baliklah terus sebab rindu mama dan babah!" Elyas tersengih lebar. Ezrul hanya mengangguk tanpa apa-apa balasan.

"Mama tak suka Yas balik ke?" Matanya mula bercahaya dengan soalan yang terpacul dari mulut sendiri. Bibir sudah mula melengkung ke atas untuk mendapat perhatian sang ibu yang sedang khusyuk dengan makanannya—sesekali menyuap babah dengan hati yang riang.

"Mama baru nak dating dengan babah, tiba-tiba kamu balik pula. Tak nak adik baru ke?" kata Taliya dengan wajah yang serius. Ezrul yang mendengar terus tersedak kuat sebelum tangannya laju mencapai air untuk menghilangkan rasa perit di dada.

Ya Allah sayang, kenapa awak suka buat jantung abang macam nak hilang?!

"Tak naklah mama! Yas dah nak masuk 21 tahun!" bentak Elyas dan berdecit kuat dengan ayat mamanya.

"Kenapa tak nak pula? Biarlah, mama yang bawa perut bukannya kamu yang nak mengusung perut tu ke sana ke mari," usik Taliya lagi dengan kedua-dua kening sudah terjungkit.

"Tak nak maaa! Nanti Yas dah boleh jadi bapak dia kalau mama beranak waktu umur macam ni... Janganlah maaa, Yas tak nak!" Elyas sudah tidak boleh membayangkan situasi 20 tahun akan datang.

TAK NAK!

"Bahhh, Yas tak nak adik dah... Babah janganlah bagi Yas adik lagi, bah..." Kali ini wajah Ezrul yang hampir merah itu pula dia lihat. Matanya berkerdip laju mengharapkan jawapan positif daripada sang ayah.

"Babah pun tak nak anak dah, Yas. Babah dah tua lah. Mama kamu tu sengaja nak mengusik kamu tu, tak adanya babah nak bagi kamu adik lagi," jawab Ezrul dalam keadaan tenang walaupun dadanya sudah berdebar hebat apabila terasa panahan mata Taliya yang tajam memandangnya.

"Fuh, selamat! Terima kasih babah! I love you so much! You're my super babah forever!" Bahu Ezrul dia peluk erat sebelum Elyas melabuhkan satu lagi kucupan di pipi babahnya.

"Abang tak nak anak dengan Liya lagi? Abang dah ada perempuan yang lagi muda ke? Sebab tu abang tak nak Liya mengandung lagi?" Taliya mula menyerkap jarang dengan wajah yang sudah mula berubah.

Ezrul tersentak dengan ayat itu terus memanah lembut anak mata hazel isterinya. Tangannya mula bergerak untuk menjawab persoalan dalam minda kekasih hatinya.

"Mana ada. Abang ada Liya sorang je, sayang... Janganlah overthink, abang tak nak Liya mengandung sebab umur sayang sekarang risikonya sangat tinggi untuk mengandung. Waktu sayang bersalinkan kembar dulu pun abang masih terbayang betapa ngerinya hal tu terjadi. Nyawa abang macam nak tercabut tau bila abang bangun dengan darah yang penuh tilam. Abang sayangkan Liya bukan sebab abang ada perempuan lain. Don't overthink sayang..." pujuk Ezrul panjang. Taliya masih diam tanpa bicara. Dan Elyas, tangannya sekali-sekali mencapai lauk di dalam pinggan mamanya dan dimasukkan ke dalam mulut secara senyap.

"Betul ni? Bukannya sebab ada stok perempuan muda dekat pelantar?" soal Taliya lagi. Kali ini dengan nada yang lebih lembut.

"Betul sayang, kalau abang nak curang pun, abang pilih curang dengan anak dolphin yang abang selalu terserempak bila dive. Abang sayangkan Liya sorang je, janganlah ragu-ragu dengan abang." Ezrul terus mengusap rambut Taliya dengan lembut apabila mata cantik itu sudah bercahaya memandangnya.

"Liya sayang abang!"

Lantas, Taliya memeluk pinggang suaminya dari tepi. Mudah betul emosinya berubah-ubah. Mungkin tanda-tanda menopause? Atau mungkin dia sekadar mahu bermanja dengan suaminya yang sentiasa sabar melayan segala karenahnya?

"Mama, suap Yas mama..." pinta Elyas dengan mata yang dikebil berkali-kali. Momen-momen romantik itu dia perlu hapuskan dalam keadaan segera. Tak boleh! Babah dan mama tak boleh bermesra lama-lama di hadapannya. Dia perlu menjadi orang ketiga dengan kadar segera!

Taliya hanya buat endah tak endah dan mengeratkan lagi pelukan pada badan suaminya yang masih berketak-ketak walaupun umur sudah mencecah 50-an. Senyumannya semakin melebar, menikmati setiap saat bersama Ezrul, sebelum suara rengekan si anak kembali menarik perhatiannya.

"Mama... suaplah Yas, mamaaaa...."

Rengekan Elyas semakin menjadi-jadi sebelum turut serta memeluk mama dan babahnya. Sekelip mata, pelukan romantis bertukar menjadi sesi pelukan bertiga. Ezrul terus tertawa dengan pe'el anak bininya tika itu.

Comel.

Dia sentiasa bahagia dengan suasana rumah yang harmoni. Mungkin sebab itu dia tidak dimakan usia. Eh?

"Suaplah sendiri, Yas!" Taliya menderam geram.

"Nak mama suap... Yas lapar ni mama, dari pagi tadi Yas tak makan. Suaplah Yas, mama..." rayu Elyas lagi sambil melentokkan kepalanya pada bahu kecil mamanya, sengaja mahu menambahkan elemen dramatik dalam permintaannya.

"Ada tangan kan? Makanlah sendiri. Dah besar pun suruh mama suap lagi kenapa? Adik pun tak pernah suruh mama suap tahu tak?" Kepala Elyas dia tolak sedikit sebelum kembali duduk di kerusinya, cuba mengabaikan rengekan si anak yang semakin mengada-ngada.

"Elqar tu memang setiap hari dengan mama, memanglah dia tak minta suap. Cepatlah mama, suaplah Yas. Babah yang dah separuh abad tu pun mama boleh suap, kenapa Yas yang belum suku abad ni mama tak nak suap? Cepatlah mamaaaa!"

Elyas sudah memuncungkan bibirnya.

Nak suap! Nak suap!

Ezrul yang tidak terlibat dalam perbualan itu terus tersedak buat kali kedua. Haih, dia duduk diam pun kena hentam juga? Apalah nasib badan...

"Isy kamu ni! Ha, cepat pergi tambah nasi situ, meh sini mama suap. Merengek macam budak kecil, apalah nasib bini kamu nanti," bebel Taliya sambil menghulurkan pinggan nasinya kepada Elyas.

Lelaki itu hanya tersengih dan melangkah laju ke arah periuk nasi. Tiga senduk penuh nasi panas dia masukkan ke dalam pinggan. Tak sabarnya nak makan suapan mama! Dia kembali ke meja dengan senyuman lebar, mata bersinar penuh keterujaan.

"Ha, bismillah cepat," arah Taliya yang mula menggaulkan sedikit nasi itu dengan kuah rendang ayam yang dia masak penuh kasih sayang.

Elyas dengan perasaan teruja yang membuak-buak terus menadahkan tangan dan membaca doa dengan penuh semangat. Kepala didekatkan dengan mamanya sebelum membuka mulut seluas mungkin.

"Sedapnya mama masak! Terima kasih mama!" puji Elyas dengan riang hati sebaik sahaja suapan pertama masuk ke dalam mulutnya.

Ezrul hanya tersenyum, menggeleng perlahan. Cerdiknya anak ini menggoda hati mamanya. Taliya yang tadi seakan malas melayan Elyas, kini tersenyum kecil, geli hati dengan sikap anak lelakinya yang manja tak sudah-sudah.

Elyas, walaupun seorang anak yang paling nakal, tapi dia sentiasa tahu cara untuk mengambil hati Ezrul dan Taliya tanpa dia sedar. Dan mungkin kerana itu, rumah mereka sentiasa meriah dengan gelak tawa dan kasih sayang yang tidak pernah berkurang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience