FOOD TRUCK FEST di kawasan padang utama menjadi tujuan dua sahabat. Suasana meriah dengan bau makanan yang memancing selera, ditambah alunan muzik ringan yang menghidupkan lagi keadaan.
Elyas dan Nazim sedang beratur untuk membeli Korean corndog yang menggodanya sekian lama. Barisan panjang melingkar seperti ular sawa kenyang semata-mata untuk mendapatkan corndog itu. Matahari sudah mula condong ke barat, tapi bahangnya masih terasa. Elyas terus mengelap peluh di dahi sambil memandang skrin kecil di tepi trak. Saja mahu tengok-tengok menu lain sementara menunggu.
"Weh, lama betul ni. Tak tahu la kalau corndog ni betul-betul sedap ke tidak," rungut Nazim sambil menggoyang-goyangkan kaki.
"Kau chill la. Dah alang-alang kat sini, rasa je la," jawab Elyas, buat-buat tenang walaupun perutnya dah mula berkeroncong.
Tiba-tiba, mata Elyas tertangkap satu kelibat yang dia sangat kenal—Dewi. Gadis itu duduk seorang diri di bangku batu, agak tersisih daripada orang ramai. Tangan halusnya mengusap kepala kucing hitam yang elok meringkuk atas riba. Sesekali dia mengusap lembut bulu kucing itu, sebelum mendongak pandang langit senja yang makin membara dengan rona jingga dan merah. Raut wajahnya nampak tenang seperti menikmati setiap saat tanpa menghiraukan kesibukan sekeliling.
Elyas terpaku. Senyuman nipis terukir pada wajah Dewi, dan mata boba itu bersinar dalam cahaya jingga senja. Elyas rasa jantungnya macam melompat keluar. Aduh, jodoh depan mata!
"Weh, Naz... tu dia..." Elyas bersuara perlahan, matanya terpaku pada gadis itu tanpa berkelip.
Nazim ikut arah pandangannya sebelum buat muka menyampah. "Kau ni kenapa? Terpukau tengok orang makan ke?"
"Kau tak faham... Dia lain," jawab Elyas, senyumnya melebar tanpa sedar.
Nazim cuma geleng kepala sambil ketawa. Akhirnya giliran mereka sampai. Elyas cepat-cepat bayar dan mengambil tiga corndog—satu lagi lebih dari biasa. Satu dia hulur pada Nazim, dan dua lagi dia pegang erat-erat. Tapi mata dia masih tidak lari daripada Dewi. Dengan hati berdebar-debar, dia acah tenang sambil melangkah ke arah situ.
"Woi, kau nak buat apa tu?" tegur Nazim perlahan, cuba tahan tangan Elyas.
"Relakslah... Buat bodoh je," balas Elyas sambil sengih yakin tak yakin.
Baru nak melintas depan bangku batu itu, tiba-tiba kucing hitam tu melompat turun dan terus menghala ke arahnya.
"Aaah!" Elyas terjerit kecil, corndog hampir terlepas dari tangan. Kucing tu bergesel di kaki Elyas, manja seperti minta perhatian. Elyas mula gelabah. Dia cuba mengelak sambil melompat setapak ke belakang tetapi mukanya jelas pucat.
Dewi tersentak melihat reaksi Elyas itu. Dia cepat-cepat mengangkat kucing itu semula dan memeluknya rapat-rapat sambil tangan berputar laju di bahagian dada. "Maaf..."
Elyas telan air liur, cuba senyum walaupun hatinya serabut. "Eh, tak apa... Dia suka kacau aku je kot," ujarnya sambil garu kepala, cuba sembunyikan gelabah.
Dewi hanya senyum nipis, tapi senyuman itu cukup buat jantung Elyas berdegup tak keruan. Mata boba yang bersinar dan senyuman comel itu macam magnet, buat Elyas rasa nak duduk sembang lama-lama.
"Dewi, kau pakai hearing aid tak?" soal Elyas dengan mata yang tunak memandang Dewi yang seperti dalam dunianya.
Gadis itu mengangguk laju.
"Jadi aku boleh berbual dengan kau tanpa guna bahasa isyarat, kan?"
Sekali lagi, Dewi angguk. Elyas terus tersenyum lebar dengan jawapan itu. Tangannya teragak-agak sebelum Elyas hulurkan satu corndog pada Dewi.
"Kau nak? Aku beli lebih... Tak tahu nak buat apa dengan yang ni," kata Elyas sambil senyum manis tanpa dia dapat tahan.
Dewi memandang corndog itu, kemudian mendongak menatap Elyas dengan mata bulatnya sebelum tersenyum kecil dan mengangguk. Dia ambil dengan perlahan sambil mengisyaratkan terima kasih dengan penuh ceria.
"Dewi, kejap tau. Aku nak pergi dekat kawan aku sekejap, nanti aku datang balik," ujar Elyas dengan mata yang tidak lepas daripada memandang Dewi yang sedang mengunyah makanan yang dia beli.
"Okey!" Jemari itu diangkat berdekatan pipi dengan wajah yang bersahaja namun cukup comel pada pandangan Elyas. Isy, parah ni!
Nazim terus menepuk bahu Elyas sambil ketawa terbahak-bahak apabila lelaki itu datang mendekat.
"Yas! Kau kalah dengan kucing!"
Elyas pandang Nazim tajam, tapi tidak mampu membalas kerana otaknya masih ligat berfikir tentang senyuman Dewi tadi. Dia rasa seperti baru kena sihir dengan bidadari bermata boba yang ada kucing hitam sebagai bodyguard.
Bila Elyas toleh semula ke arah bangku batu itu, Dewi masih bermain dengan kucingnya sambil memandang langit senja. Rambutnya ditiup angin lembut dan dalam diam, Elyas senyum sendiri. Entah kenapa, dia rasa tenang melihat gadis itu dalam dunianya sendiri.
"Naz, kau balik dulu. Aku nak lepak sini kejap," arah Elyas lalu terus bergerak menjauhi Nazim yang sudah terpelongo tanpa bicara.
"Woi Yas! Kuajar tinggal aku!" jerit Nazim dengan decitan kuat. Dasar kawan lupa kawan!
Tanpa fikir panjang, Elyas terus mengambil tempat di hujung bangku batu itu. Dewi nampak terkejut tapi hanya tersenyum nipis bila Elyas hulur corndog lagi satu. Dewi angkat tangan, tanda tak mahu sambil menggeleng kecil.
"Kenyang?" Elyas tanya, cuba ajak berbual. Dewi hanya angguk.
Elyas telan air liur, cuba tenangkan diri. "Cantik langit senja ni... Kan?" ujarnya dengan mata merenung langit jingga.
Dewi pandang langit itujuga kemudian tersenyum nipis dan mengangguk lagi.
"Kucing tu selalu ikut kau ke?" soal Elyas sambil memandang kucing hitam yang sudah selesa tidur di atas riba Dewi.
Dewi angkat kucing itu sedikit, mengusap kepalanya dengan lembut. "Selalu... Dia suka teman saya."
Elyas angguk perlahan walaupun hampir terpaku mendengar suara Dewi untuk pertama kalinya. "Pandai dia pilih tuan. Tak hairanlah... Kau pun lembut orangnya."
Dewi tunduk, senyuman kecil tak hilang dari bibirnya. Elyas yang tidak mampu menahan, turut tersenyum—terasa macam dunia ni cuma ada mereka berdua.
Angin senja bertiup perlahan, membawa bau rumput yang segar. Elyas terasa damai, duduk bersebelahan gadis bobq itu sambil menikmati pemandangan langit yang berubah warna. Hatinya bagai dipagut rasa hangat yang susah nak diungkapkan.
Masa berlalu tanpa sedar dan apabila langit makin gelap, Elyas terasa makin berat mahu bangkit. Tapi dia tahu dia perlu pergi.
"Dewi... Kalau ada Food Fest lagi, boleh kita lepak macam ni lagi?" tanya Elyas perlahan.
Dewi pandang wajah Elyas seketika sebelum tersenyum kecil dan mengangguk.
Elyas rasa lega—macam baru menang hadiah besar. "Okey... Kau tak nak balik kolej?"
Dewi angguk sebelum bangun. "Saya sudah mahu balik. Awak tak mahu balik?" soal Dewi polos.
Terus tersungging satu senyuman kecil di bibir Elyas dengan soalan Dewi kepadanya. "Aku nak baliklah tapi lepas aku hantar kau balik kolej boleh ke? Kita... jalan sampai kolej kau. Kau nak tak?"
"Tak perlu. Nanti awak kena patah balik, jauh." Dewi menggeleng laju.
"Tak apa, hari ni aku belum capai 10,000 langkah lagi. Bila aku hantar kau, insya-Allah cukup 10,000 steps." Elyas menyeringai dengan alasan bodohnya.
"Tak apa ke, Elyas?" tanya Dewi dengan rasa bersalah.
"Apa? Cuba ulang balik?" Dalam pipi digigit.
"Tak apa ke?" ulang Dewi.
"Bukan yang tu. Ulang yang lagi satu." Elyas cuba menahan senyuman yang terasa bagai dipaksa tarik di muka. Dewi terus mengerutkan dahinya dengan arahan lelaki itu.
"Yang mana, Elyas...?"
"Elyas. Tolong sebut 'Elyas' sekali lagi," ujar Elyas sebelum menggigit bawah bibirnya.
"El..Yas?" Dewi hanya menurut.
"One more time, please..."
"Elyas?"
"Ya sayangggg!"
Dewi terkedu, begitu juga dengan Elyas yang laju benar mulutnya berbicara. Tangan itu terus laju menampar bibirnya sendiri. Isy, asyik terlajak!
"Jom Dewi, dah nak masuk maghrib ni," ajak Elyas setelah hanya hening yang memenuhi jarak antara mereka.
Dewi hanya menurut sebelum menurunkan kucing hitam itu. Beg totenya dia galas sebelum berjalan di belakang Elyas. Lelaki itu terus melambatkan langkah dan berjalan di sisi gadis itu.
"Kau pelajar baru ke?" soal Elyas. Dewi angguk sebagai balasan.
"Course apa? Sem satu eh?"
"Degree Multimedia, semester dua," jawab Dewi perlahan.
"Dari diploma ke?" Elyas sudah mengerutkan dahi dan Dewi sekali lagi mengangguk.
"Oh... ingatkan budak matriks macam aku." Elyas tersengih. Mata mereka sudah tertancap pada bangunan kolej berwarna ungu, menandakan mereka sudah perlu berpisah.
"Dah sampai kolej kau. Aku jalan dulu. Jaga diri, Dewi? Bye!"
Dewi angguk lagi sambil melambai perlahan. Elyas terus bergerak pergi dengan langkah ringan, hilang senyuman langsung tidak hilang dari wajahnya. Dia tahu—pertemuan dengan Dewi kali ni, bukan yang terakhir.
Share this novel