BAB 8

Young Adult Series 672

"MILA balik bila?" soal Daim setelah berjam-jam berbual dengan adiknya. Sejak tadi, tak henti-henti mereka berdua bersembang tentang pelbagai topik—dari kelas hingga ke kucing kampus yang baru sahaja melahirkan anak.

"Lagi dua minggu Mila balik. Cuti midsem," jawab Dewi sambil menyandarkan telefon pada botol airnya. Senyuman teruja terukir di bibir. Dia sudah tidak sabar mahu pulang dan bertemu dengan semua kesayangan di rumah!

"Nak Daim pergi ambil Mila ke?" Daim menyoal lagi dengan wajah yang penuh ingin tahu. Mata tidak lepas memandang adiknya yang dari tadi hanya menggunakan bahasa isyarat. Dewi jarang bersuara bila berbual dengannya—dia tidak selesa.

Dewi segera menggeleng laju. "Mila dah beli tiket ETS. Nanti Daim jemput Mila dekat KL Sentral boleh?" Kedua-dua tangannya disatukan sambil mengerdip mata berkali-kali—lagak comel yang cukup mengundang tawa.

Daim terus memuncungkan bibir. "Tak perlu buat muka macam tu, Mila. Daim tahu Mila comel, tapi tolonglah, tak perlu nak over sangat." Dia menggeleng sambil tertawa kecil.

Dewi mencebik sambil menggerakkan jarinya laju. "Kalau Mila comel, kenapa Daim larang? Biarlah Mila buat lagi."

Daim berpura-pura seram sambil berlagak mahu pengsan. "Eeee... Buat dekat suami Mila sudahlah nanti. Daim tak nak! Boleh nightmare!"

"Tak nak kawan Daim!" Dewi terus berpaling dari skrin, memeluk tubuh dengan wajah merajuk. Sesekali menjeling, melihat sama ada abangnya akan memujuk atau tidak.

Daim ketawa besar melihat reaksi adiknya. "Alahai... Merajuk pula. Kalau Daim bagi coklat Beryl's kegemaran Mila, nak kawan balik tak?"

Dewi hanya menjeling sambil menahan senyuman, tetap berlagak sombong walaupun jelas-jelas sudah cair mendengar perkataan 'Beryl's'. Biarlah orang berkata dia seperti budak-budak walaupun sudah berumur 23 tahun. Hanya Daim saja yang selalu melayan karenahnya sejak mereka kecil hingga sekarang.

Daim sengaja mengusik lagi. "Eh, kalau tak nak kawan, Daim makan sorang-soranglah Beryl's ni. Tak apalah... nasib baik ada orang lain yang sayang Daim." Suaranya dibuat-buat sedih sambil menunjukkan coklat di tangan.

Mata Dewi membulat melihat coklat itu. "Eh! Janganlah makan! Bagi Mila! Bagi!" Dia mula menggoyangkan tangan dengan gaya merayu, dekat tempatnya sangat sukar untuk mencari coklat yang tidak diboikot itu.

Daim tergelak besar sambil menayangkan lagi coklat itu pada Dewi. "Alahai... Kan tadi dah kata tak nak kawan. Kalau nak balik jadi kawan, kena cakap 'Abang Daim paling handsome dalam dunia' dulu."

Dewi mengerutkan dahi, jelas keberatan. Namun, keinginannya terhadap coklat itu jauh lebih kuat daripada egonya. Dengan penuh paksaan, dia mula menggerakkan tangannya membuat isyarat. "Abang Daim paling handsome dalam dunia."

Daim terus tersenyum puas. "Hah! Baru betul. Jangan lupa rakam dan post dekat story juga, biar semua orang tahu."

Dewi memuncungkan bibir sambil merengus. "Tak naklah! Malu Mila! Daim ni jahat."

Daim pura-pura tersentak. "Jahat? Daim ni baik tau. Siap nak belikan coklatlagi. Tapi kalau Mila kata Daim jahat, hmm... cancel lah. Daim tak jadi borong coklat ni bila Mila balik nanti."

"Janganlah!" Dewi cepat-cepat mengangkat tangan, memberi isyarat. "Mila gurau je. Abang Daim paling baik, paling penyayang, paling handsome, paling—"

"Cukup!" Daim cepat-cepat memotong, geli sendiri mendengar pujian melampau adiknya. "Daim tak sanggup nak dengar. Meluat pula rasa."

Dewi tergelak kecil sambil mengesat air mata tawa. "Padan muka! Mila pun dah tak sabar nak balik. Rindu nak gaduh dengan Daim!"

Daim tersenyum nipis. "Daim pun rindu Mila. Jaga diri baik-baik, tau. Jangan sampai sakit. Nanti cuti, kita pergi jalan-jalan sama-sama."

Dewi mengangguk laju. "Promise?"

"Promise!" Daim mengangkat jari kelingkingnya ke skrin, dan Dewi segera membalas dengan gaya yang sama. Walaupun terpisah jarak, hati mereka tetap saling terikat.

"Coklat Mila jangan lupa tau, Daim. Daim dah berjanji, jangan jadi orang munafik okey?" pesan Dewi dengan lidah yang dijelirkan pada abangnya.

"Ya, Daim tahu. Patutlah waktu kecil gigi Mila rongak, kuat makan coklat rupanya."

Dewi terus menjegilkan matanya. "Daim!" Kurang asam punya abang!

Hubungan mereka mungkin penuh usikan dan gaduh manja, tapi kasih sayang itu tetap utuh—tak pernah kurang, walau sesaat dan Dewi sangat bersyukur akan hal itu. Kasih sayang mereka buat dirinya tidak pernah kurang sedikitpun disebalik keistimewaan yang dia ada.

ELYAS duduk termenung di bangku kayu yang menghadap padang universiti. Mata merenung jauh ke arah langit petang tanpa awan. Hari ini betul-betul meletihkan—kuliah tanpa henti dari pagi sampai ke petang sedikit sebanyak mengeringkan tenaganya. Dia menghela nafas panjang sambil menyelak lengan baju T-shirtnya, cuba mencari sedikit keselesaan.

Botol air mineral di tangan diteguk habis. Ketika dia baru hendak membongkok untuk menyarungkan kasut semula, terasa ada sesuatu yang lembut menggesel kaki seluarnya. Elyas kaku seketika. Mata teralih ke arah kakinya, dan—

"Ya Allah!"

Tanpa sedar, Elyas melompat ke atas bangku, hampir tersungkur bila kasutnya terlepas dari kaki. Kucing belang jingga ituvcuma memandang dengan wajah tidak bersalah sambil mengiau kecil, seolah-olah bertanya kenapa lelaki itu tiba-tiba terkejut beruk apabila melihatnya.

"Kenapa ada kucing kat sini?" Elyas merungut, matanya masih tajam memerhati Oyen yang kini sudah baring santai sambil menjilat bulu. Jantungnya berdegup laju, tangan mencengkam tali beg galas yang terletak di sebelahnya.

"Okey... chill, Elyas. Benda ni bukan raksasa. Cuma kucing..." Dia cuba memujuk diri, tapi tetap berdebar bila Oyen bergerak sedikit menghampirinya.

Oyen mengiau lagi, kali ini lebih panjang—seperti merajuk kerana diabaikan. Elyas menghela nafas perlahan, mengumpul kekuatan dalam diri. "Apa benda yang Dewi suka sangat dengan makhluk ni?" Elyas menggumam perlahan, teringatkan Dewi yang sangat obses dengan kucing.

Oyen terus mengiau manja, malah bergerak lebih dekat ke arahnya. Elyas mengangkat kaki sedikit—sedia melompat jika Oyen tiba-tiba menyerang. Tapi sebaliknya, kucing itu hanya duduk di situ sambil menggoyangkan ekor, seolah-olah menunggu sesuatu.

Dia menggigit bibir, mengingatkan dirinya kembali tentang Dewi. Gadis itu sangat suka dengan kucing. Elyas teringat betapa bersinarnya mata Dewi bila dia berkongsi cerita tentang kucing yang diberi makan di kawasan kolej.

"Kucing tu manja sangat! Lepas saya beri dia makan, dia terus baring dekat riba saya. Dia comel sangat-sangat! Saya suka!"

Elyas terbayang senyuman Dewi—senyuman yang selalu buat dadanya berdebar. Dia masih ingat ayat pasrah Dewi padanya beberapa minggu sudah.

"Saya suka kucing sebab... mereka tidak pernah berpura-pura. Kalau sayang, mereka tunjuk sayang. Kalau tidak suka, mereka akan terus lari. Kucing tidak hipokrit seperti manusia yang wajahnya bermuka-muka. Sebab itu saya suka habiskan masa dengan kucing. Sebab kucing tak akan tinggalkan saya seperti manusia. Dia tahu siapa yang sayang dia. Dan dia akan setia selagi kita tidak buang dia."

Suara halus yang seperti ingin menyampaikan sesuatu dalam metafora ayatnya, sentiasa berputar-putar dalam minda Elyas bagai radio rosak. Walaupun berbahasa baku, Dewi bagai menyimpan rasa yang tidak dia luahkan kepada sesiapa.

Elyas mengeluh panjang. "Kalau Dewi boleh sayang kucing... aku pun patut cuba." Dengan hati-hati, dia perlahan-lahan menurunkan kakinya ke tanah. Oyen masih berada di situ, mendongak memandangnya dengan mata bulat penuh harapan.

"Okay... kita cuba sikit-sikit dulu." Elyas bercakap sendiri sambil menghulurkan tangan—jari telunjuknya terketar-ketar menghampiri kepala Oyen.

"Jangan cakar aku... jangan gigit... aku cuma nak pegang sikit," bisiknya, cuba mengawal debar di dada. Bila jari telunjuknya menyentuh kepala Oyen, Elyas terdiam. Elyas hampir mahu menarik tangannya semula, tapi dia beranikan diri. Bulu lembut itu terasa hangat, dan kucing itu langsung tak bergerak—cuma memejamkan mata, seolah-olah menikmati sentuhan. Sedikit demi sedikit, dia menggerakkan jarinya, mengusap perlahan ke belakang telinga Oyen.

"Taklah teruk sangat..." Elyas tersenyum nipis. Mungkin... kucing taklah sejahat dan sekejam yang dia sangka. Kucing itu menggeliat manja, malah bergolek ke tepi sambil menunjukkan perut bulatnya—mengundang tawa kecil Elyas.

"Kau ni... manja betul eh? Patutlah Dewi suka sangat," Elyas berkata perlahan, semakin berani mengusap bulu jingga itu. Tangannya masih sedikit terketar, tapi rasa takut tadi sudah mula hilang, diganti dengan rasa pelik—rasa seronok dapat mengusap makhluk kecil yang hangat ini.

Oyen terus mendekat, malah meletakkan kepalanya di atas lutut Elyas—membuatkan lelaki itu terpempan. Elyas menahan nafas, namun tidak sampai hati untuk menolak.

"Rasanya... aku faham sikit kenapa Dewi suka kucing," gumam Elyas sambil tersenyum senget. Matanya menatap Oyen yang sudah terbaring dengan tenang, langsung tak kisah tentang kegusaran lelaki itu tadi.

Elyas masih , mengusap kepala Oyen dengan penuh hati-hati. Debar di dada semakin perlahan, dan senyuman kecil mula terukir di bibirnya. Rasa bangga kerana berjaya mengatasi ketakutan itu membuatkan dia lupa seketika tentang kemungkinan bahaya lain.

"Taklah teruk sangat pun... Kau sebenarnya comel juga," Elyas bercakap sendiri sambil menggaru belakang telinga Oyen. Kucing itu terus mendengkur manja, memejamkan mata seolah-olah selesa diperlakukan begitu.

Namun tiba-tiba—

"MIAWW!"

Tanpa amaran, Oyen mencakar tangan Elyas dengan cakar tajamnya. Elyas terjerit kecil dan terus menarik tangannya, mata terbelalak melihat calar merah yang terhasil.

"Ya Allah! Sakitnya!" Elyas mengibas-ngibas tangannya yang perit, sementara Oyen sudah melompat turun dari bangku dan menjauhkan diri. Kucing itu merenungnya dari jauh dengan telinga sedikit menunduk seperti berjaga-jaga.

"Apa masalah kau ni, Oyen?! Tadi elok je aku belai kau!" Elyas membentak dengan nada kecewa, masih mengusap lengannya yang pedih. Hatinya yang tadi bangga kini sudah pudar.

Dia menarik nafas panjang, cuba menenangkan diri. Perlahan-lahan dia menunduk, menatap Oyen yang masih tak berganjak dari jarak selamat.

"Eh, kau ni ada mood swing ke apa? Tadi bukan main manja, tiba-tiba menggila. Period ke kau ni? Perangai macam Elya!" Elyas mendengus geram. Kucing itu dijeling namun rasa kasihan mula muncul apabila terlihat wajah Oyen yang nampak serba salah.

"Sabar... sabar... mungkin kau buat dia terkejut." Elyas memujuk dirinya lagi, cuba memahami reaksi kucing itu.

Dia meraba tangan yang tercalar—tak dalam, cuma calar merah memanjang di atas kulit. "Nasib baik tak berdarah..." Elyas menggumam perlahan.

Oyen tiba-tiba mengiau lagi—kali ini lebih perlahan, seolah-olah memohon maaf. Elyas mengangkat wajah, merenung si Oyen yang masih merenungnya dengan mata bundar.

"Kau merajuk ke?" Elyas mendekati perlahan, tapi Oyen bergerak setapak ke belakang. Elyas berhenti, tidak mahu menakutkan lagi.

"Aku... aku tak marah lah. Cuma terkejut tadi. Sakit tu, tahu tak? Tengok ni... dah merah lengan aku." Elyas mengeluh sambil menggosok lengannya.

"Ah... mungkin aku silap usap tadi," Elyas merenung Oyen lagi. Hati kecilnya rasa bersalah pula sebab terjerit kuat tadi.

"Okay... kita cuba lagi," katanya sambil merendahkan diri, duduk bersila di tanah.

"Oyen... sini," Elyas memanggil lembut, suaranya lebih tenang kali ini. Oyen cuma menjilat kakinya tanpa peduli. Elyas menghela nafas panjang—tak sangka mencuri hati seekor kucing pun susah macam ni. Apatah lagi mahu mencuri hari ibu kucing itu—Dewi Qarmila.

Dia membuka beg galasnya dan mengeluarkan roti yang tinggal separuh—bekal yang tidak habis tadi. Dicarik-carikkan kecil dan diletakkan di atas tapak tangan.

"Kau nak?" Elyas menghulurkan tangan dengan penuh hati-hati. Oyen terhidu bau makanan itu dan mula mendekat dengan langkah perlahan.

"Ha... jangan cakar lagi... jatuhlah saham aku kena cakar dengan kau" Elyas cuba mengawal rasa gugupnya. Oyen menghidu roti itu sebelum menjilat perlahan, dan Elyas kekal kaku—takut kalau tiba-tiba ada serangan lagi. Rasa geli pula menjalar dalam badan apabila sesekali terasa tangannya terkena jilatan Oyen.

"Okay... kau baik. Aku hensem. Kita kawan." Elyas tersenyum nipis, walaupun tangannya masih terasa perit.

Saat Oyen selesai makan, dia menggesel kepala di tangan Elyas, kali ini dengan lebih manja. Elyas tergelak kecil, tapi tetap berjaga-jaga.

"Gila betul kau ni. Nasib aku ni penyabar. Kalau Dewi tahu aku dah sampai tahap ni, mesti dia gelak puas-puas," Elyas mengomel sambil tersenyum sendiri.

Dalam hati, Elyas rasa puas walaupun kena cakar, dia berjaya mengatasi ketakutannya sedikit demi sedikit. Tak ada salahnya cuba lagi, walaupun hatinya masih berdebar bila tengok cakar Oyen yang tajam itu. Demi Dewi, dia akan cuba lagi biar pun terpaksa hadap seribu Oyen sekalipun. Oh, my pretty goddess of boba eyes!

"Kau tahu tak, Oyen... aku buat semua ni sebab Dewi. Sebab aku suka dia. Gila, kan?" Elyas menggeleng sambil tersenyum sendiri. Oyen hanya mengiau perlahan, seolah-olah memberi semangat.

"Balik nanti aku nak mengadu dekat Dewi, kau dah calarkan tangan aku. Jaga kau, Oyen. Aku bagitahu mak kau," ujar Elyas dengan sengihan yang melebar.

Dia terus menatap langit yang semakin memerah menandakan waktu senja bakal tiba. Hati berasa sedikit lega dan puas. Mungkin... dia tak akan jadi pencinta kucing seperti Dewi, tapi sekurang-kurangnya dia cuba. Dan bagi Elyas, itu sudah cukup untuk membuktikan sesuatu—bahawa dia sanggup lakukan apa sahaja demi Dewi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience