PROGRAM berakhir dengan sorakan gemuruh dan lampu dewan yang kembali terang. Kerusi-kerusi mula beralih kedudukan, manusia berselerak seperti semut keluar sarang, masing-masing sibuk dengan sesi bergambar dan bergosip. Lagu tema AGM dimainkan sekali lagi, kali ini dalam versi remix yang membuatkan suasana terasa seperti pesta mini. Di tengah kekalutan itu, Elyas berdiri di tepi pentas, matanya meliar mencari kelibat seorang. Hanya seorang.
Dewi.
Dia ternampak gadis itu berdiri di sebelah Elena yang sedang berbual rancak dengan Ayana. Gadis itu hanya diam dan mengangguk saja dengan senyuman yang tidak luntur di bibir sambil memegang tote bag goodie yang diberikan oleh pihak kelab. Senyuman Dewi itu, walaupun dari jauh, dia tetap terasa dekat. Seperti ada satu tenaga magnetik yang menarik Elyas ke arah itu atau mungkin memang dia yang sengaja rela tertarik.
Dia melangkahkan kaki ke arah gadis-gadis itu.
"Dewi!" panggilnya, tapi tidak cukup kuat. Suaranya hanya berlalu seperti angin. Jadi dia cuba lagi, lebih dekat. "Dewi!"
Gadis itu menoleh, dan apabila mata mereka bertemu, Elyas tahu ini waktu yang tepat.
"Jom ambil gambar?" soalnya dengan sengihan. Nada suara santai tapi jantungnya sudah seperti mahu pecah.
Dewi nampak teragak-agak sedikit sebelum menoleh ke arah Elena dan Ayana.
"Kau pigi ja lah, Mila. Kalau kau teda bergambar sama dia, silap-silap si Elyas tu panjat bumbung dewan terus mau terjun masuk tasik! Lepas tu salahkan kita pula sebab ‘hancur hati dia’. Macam drama pukul tujuh bah dia tu," perli Elena sambil menjeling Elyas yang sudah memandangnya panas.
Ayana pula sudah mengemam bibir menahan tawa dengan ayat yang tidak dia jangkakan keluar daripada bibir Elena itu.
Dewi terus tertawa kecil kemudian menoleh ke arah Elyas yang sudah menunjukkan penumbuknya pada Elena. Dia terus mengangguk setuju dengan ajakan lelaki itu. "Boleh, jom."
Mereka berdua terus bergerak ke satu sudut dewan yang dihias dengan backdrop bertema Y2K dan lampu neon bertulis "Live. Design. Inspire." Suasana di situ agak lengang kerana peserta sudah beransur pulang, cuma masih ada beberapa orang yang masih sibuk dengan kamera.
Elyas langsung mengangkat telefonnya lalu membuka mode potret.
"Okey, ready?" soalnya sambil berdiri di sisi Dewi. Dia menunduk sedikit ke kiri untuk melihat reaksi gadis itu. Mereka berdiri agak rapat, tetapi tak bersentuhan. Jarak itu cukup untuk menjaga adab, tapi cukup dekat untuk jantung masing-masing berdegup laju.
"Ready," jawab Dewi perlahan.
Klik. Satu gambar. Elyas cepat-cepat tengok hasilnya. "Cantik. Tapi rasa macam tak cukup. Nak lagi?"
Dewi tergelak kecil. "Awak yang nak simpan sebagai kenangan, kan? Ambillah puas-puas. Tapi boleh tak kalau suruh orang lain ambilkan gambar kita? Saya nak nampak full outfit," pinta Dewi dengan senyuman yang tak dapat ditahan.
Elyas terkedu. Senyuman Dewi buatkan lutut dia rasa goyah. Tapi dia pura-pura steady dan terus memanggil salah seorang daripada budak NetCom untuk mengambil gambar mereka berdua. Beberapa gambar lagi ditangkap dengan gaya peace, senyum malu-malu, dan beberapa gambar candid yang mereka yang tak sempat bersedia, tapi itulah yang paling Elyas suka. Kerana dalam gambar tu, dia nampak Dewi yang sebenar. Tulus. Polos. Menawan dalam cara yang hanya dia nampak.
"Boleh kita jalan-jalan kejap dekat luar? Angin dekat dalam ni macam nak tercekik," tanya Elyas, cuba buat alasan paling logik supaya masa mereka berdua tidak habis begitu saja.
Dewi mengangguk lagi. Mereka keluar melalui pintu sisi dewan yang membawa ke taman kecil berhampiran fakulti. Cahaya lampu taman malap-malap, cukup untuk nampak bayang-bayang, tapi tidak terlalu terang. Suasana tenang, hanya bunyi daun digesel angin dan serangga malam bersahutan di kejauhan.
Dewi bagai teruja apabila melihat kelip-kelip yang bercahaya di kawasan itu sehingga dia bergerak meninggalkan Elyas seorang diri di belakang.
Jejaka itu langsung menggenggam tangan sendiri, jari bermain-main tanpa hala. Satu dua kali dia pandang Dewi yang tersenyum lebar dengan kelip-kelipnya..
"Kau suka kelip-kelip?" soalnya, cuba mencipta ruang.
Dewi senyum. "Suka. Sebab mereka cantik!"
"Kau tahu tak, dekat sini ada yang lagi cantik daripada kelip-kelip tu." Elyas berhenti di sebelah Dewi sebelum sama-sama mendongak memandang serangga yang berterbangan memberi cahaya di kawasan taman fakulti.
"Ya? Saya nak tengok boleh, Elyas?" Mata bulatnya bersinar terang.
Dia terus angguk. " Kau tengok cermin, itulah yang paling cantik dalam semesta ini."
Dewi terus terkedu apabila dia dapat memahami ayat Elyas itu. "Awak ni, Elyas. Janganlah tipu!" Lengan Elyas dia pukul dengan beg tangannya kerana geram.
"Buat apa nak tipu, itu kenyataan." Elyas terus tertawa kecil dengan tingkah Dewi yang baginya sangat comel.
"Malas cakap dengan awak!" Dia terus mengabaikan Elyas dan mengeluarkan telefon untuk mengambil beberapa keping gambar kunang-kunang yang sangat cantik itu.
Suasana antara mereka menjadi sangat sunyi tanpa suara daripada kedua-duanya. Elyas hanya mengikut jejak langkah gadis itu dari jauh tanpa ada rasa mahu mengganggu.
"Dewi..." panggil Elyas secara tiba-tiba.
"Ya?" Lantas, gadis itu menoleh ke belakang.
"Kau sayang tak diri kau, Dewi?" soal lelaki itu dengan wajah serius.
"Sayang," jawab Dewi dengan wajah polos dan tertanya-tanya.
"Aku pun. Aku pun sayang kau, Dewi," luah Elyas secara tiba-tiba apabila mata mereka terpaku.
Dewi terkejut sehingga dia melangkah satu tapak ke belakang. Matanya membesar, dan dia terasa nafasnya tersekat seketika.
"A—apa awak cakap tadi?" Suaranya perlahan, sedikit bergetar. Hatinya berdegup laju, seperti tidak bersedia untuk mendengar apa-apa lagi.
Elyas menghela nafas panjang. Matanya tidak lari dari memandang wajah Dewi yang kini terlihat cemas.
"Aku cakap aku sayang kau, Dewi," ulangnya perlahan dan tenang, tapi cukup dalam untuk menghantar debaran ke dalam jiwa kecil gadis itu.
"Aku tahu mungkin ini terlalu tiba-tiba. Tapi aku rasa kalau aku simpan lama-lama, aku akan menyesal. Aku tak tahu kau rasa benda yang sama atau tidak. Tapi aku nak kau tahu... aku hargai kau. Aku hargai kehadiran kau dalam hidup aku."
Dewi terdiam. Nafasnya berat. Dia pegang tali beg sandang di bahu dengan genggaman yang makin kuat. Cuba menenangkan diri. Cuba memahami apa yang baru dia dengar.
"Saya..." Dewi cuba membuka mulut, tapi lidahnya terasa kelu. Matanya bertemu mata Elyas.
"Elyas, saya tak pernah terfikir tentang perkara ni. Saya selesa dengan awak kerana awak muda daripada saya. Saya dah anggap awak seperti ad-"
"Adik kau sendiri kan?" potong Elyas laju dengan dada yang terasa sakit tanpa dia pinta.
Dewi mengangguk laju. "Saya tak pernah... bayangkannya pun. Saya rasa awak salah, Elyas. Awak tak sukakan saya tapi awak kasihankan saya. Kan?" Suaranya kendur, hampir tenggelam dalam debar yang masih bersisa.
"Aku faham. Kau masih tak percaya dengan perasaan aku ni," balas Elyas. Dia senyum kecil, walaupun di hujung senyuman itu ada kecewa yang tak terucap. "Kau tak perlu balas sekarang. Aku bukan minta jawapan. Aku cuma nak jujur. Sebab kalau aku pendam lagi, aku takut... aku terus jadi penakut yang hanya mampu suka kau dari jauh."
Dewi tunduk sedikit. Nafasnya ditarik dalam-dalam.
"Saya hargai kejujuran awak," katanya. Mata menikam anak mata Elyas yang sudah berubah suram.
Suasana menjadi sunyi buat seketika. Mereka hanya berdiri bertentang mata, dalam ruang yang tidak bertanya lebih dan tidak memaksa.
"Elyas..." panggil Dewi secara tiba-tiba.
"Hm?" Lelaki itu terus menyahut tanpa jeda.
"Saya nak balik bilik saya," pinta Dewi sambil menggenggam erat beg tangannya.
Elyas tidak segera menjawab. Dia hanya angguk perlahan, cuba senyum walaupun hatinya terasa berat.
“Okey,” balasnya pendek.
Dewi melangkah perlahan, memusing tubuh untuk pergi. Tapi langkahnya sempat terhenti selepas dua tapak.
“Terima kasih sebab jujur,” katanya tanpa menoleh, suaranya hampir tenggelam dalam dingin malam.
Elyas mendongak sedikit, memerhati bayangnya yang semakin menjauh. Dalam hati, dia ulang-ulang kata itu—terima kasih sebab jujur—seperti sebutir harapan yang masih mahu tumbuh walaupun tanahnya kering.
Dia tahu Dewi perlu ruang. Perlu masa. Dan dia sedia menunggu, meskipun tiada jaminan di hujungnya. Kerana bagi Elyas, perasaan itu bukan tentang memiliki.
Elyas mengangkat sedikit suara sebelum Dewi benar-benar melangkah pergi lebih jauh.
“Dewi...”
Langkah gadis itu terhenti. Dia tidak menoleh, tapi tubuhnya membeku seketika, menanti kata yang seterusnya.
“Lepas ni… jangan takut untuk berkawan dengan aku.”
Nada suara Elyas masih tenang, tapi cukup jelas untuk menusuk ruang yang tersisa antara mereka.
“Aku tahu pengakuan aku mungkin buat kau tak selesa. Tapi aku tak menyesal. Aku cuma… tak nak hilang kawan yang paling aku selesa nak cerita macam-macam. Aku tak nak hilang kau, Dewi.”
Dewi masih diam. Matanya memandang ke hadapan, tapi jari-jemarinya menggenggam tali beg dengan lebih erat. Getar halus dalam dadanya terasa, tapi dia tak mampu menjawab.
“Aku masih nak berkawan dengan kau,” tambah Elyas, nadanya makin perlahan. Dan akhirnya, senyum nipis kembali di bibirnya walaupun hati masih menahan sesak.
“Lagi satu… minggu depan ada tournament takraw antara fakulti. Aku… aku masuk team FSKM. Aku perlukan support kau, Dewi.”
Suasana sunyi. Tapi sunyi yang berbeza. Lebih damai. Lebih penuh pengertian.
Dewi tunduk sedikit. Ada satu hela nafas yang panjang mengalir keluar dari dadanya. Kemudian, tanpa berpaling, dia hanya mengangguk kecil. Cukup kecil tapi cukup untuk membuatkan Elyas tahu bahawa hubungan mereka belum berakhir di sini.
Masih ada peluang. Masih ada ruang.
Terima kasih, Dewi.
Share this novel