BAB 5

Young Adult Series 672

DEWI duduk mencangkung di tepi gelanggang, sambil mengeluarkan wet food dari beg totenya yang berwarna putih. Kucing-kucing yang sedari tadi mengiau perlahan mula menggesel kaki seluarnya. Dia tersenyum lebar, hati berbunga-bunga melihat si bulus berebut-rebut menunggu makanan.

Dengan tangan lembut, Dewi membuka plastik wet food itu dan meletakkannya di bawah. Plastik yang kedua turut dia buka sehingga seekor kucing belang jingga terus melompat masuk ke dalam bekas, menjilat makanan dengan lahap. Dewi tergelak kecil, jari-jarinya mengusap kepala kucing itu penuh kasih sayang.

"Awak comellah, cing..." Kepalanya terus terteleng melihat dua ekor kucing itu menjamah makanan yang selalu dia bawa di dalam beg. Dia tidak mempunyai kawan selaian Elena di kampus ini walaupun sudah masuk minggu kelima pengajian. Mungkin manusia biasa tidak suka berkawan dengan orang cacat yang akan menyusahkan mereka di kemudian hari.

Sebab itulah dia membuat keputusan untuk memborong wet food secara online setiap bulan untuk memberi kucing-kucing kampus ini makan. Itu sahaja rakan-rakannya dan dia gembira. Biarlah dia berkawan dengan haiwan daripada menerima cemuhan dan pandangan menjengkelkan manusia.

"Awak suka tak kawan dengan Mila, cing?" soal Dewi sambil mengelus lembut badan kucing yang berwarna putih. Sesekali, dia menyelitkan rambutnya yang jatuh ke belakang telinga.

"Jangan lupa doakan Mila tau, cing. Mila mahu banggakan ibu dan ayah. Mila mahu buktikan budak cacat seperti Mila juga boleh berjaya. Doakan Mila tau? Nanti Mila bagi awak makanan lagi," ujar Dewi perlahan sebelum merehatkan dagunya pada lututnya sendiri. Jemari itu tidak henti-henti mengelus badan hangat haiwan kesayangan nabi itu.

Dia hanyut dalam dunianya sendiri tanpa mendengar apa-apa pun suara di sekelilingnya.

Dewi mengangkat wajah, memerhati seketika permainan takraw yang sedang berlangsung di gelanggang. Meskipun tidak mendengar sorak-sorai mereka, Dewi tetap kagum melihat bola melambung tinggi dan melantun dengan pantas ke sana ke mari. Mata Dewi tertancap pada seorang pemain—tinggi, tegap, dan penuh tenaga. Elyas, itu nama yang dia dengar ketika hari induksi beberapa minggu yang lalu.

Di gelanggang, Elyas memusingkan bola rotan di tangannya, merasai setiap anyaman yang kemas dan kukuh. Mata rakan sepasukannya tertumpu padanya—mereka tahu servis Elyas jarang sekali gagal. Dia seorang tekong yang tak pernah gagal membuat servis kuat dan bertenaga.

Dengan satu hembusan nafas panjang, Elyas melambungkan bola ke udara dan menghentak kakinya ke lantai dengan penuh tenaga. Bola melayang tinggi sebelum kaki kanannya menyepak dengan libasan deras.

Pak!

Semua mata mengikuti bola yang meluncur laju, tetapi bukannya jatuh di kawasan lawan, bola itu tersasar jauh ke tepi gelanggang—dan terus menghentam sesuatu.

"Aduh!"

Elyas terkaku. Di tepi gelanggang, seorang gadis sedang terduduk sambil memegang kepalanya. Beberapa ekor kucing bertempiaran lari meninggalkan makanan yang masih berbaki. Pandangan Dewi berpinar seketika, tangan memegang kepala yang tiba-tiba berdenyut-denyut.

"Yas! Kena anak orang woi!" Jeritan Nazim mengejutkan Elyas dari terus tergamam di situ.

Elyas terus berlari, mencapai botol air yang terlentang di tepi gelanggang. Dengan penuh rasa bersalah, dia menuju ke arah gadis yang masih memegang kepalanya. Langkahnya sedikit gementar, tapi dia tekad mahu memastikan gadis itu tidak apa-apa.

Apabila terasa bayang melindungi tubuhnya daripada panas matahari, Dewi mengangkat wajah perlahan-lahan. Mata bulatnya terpinga-pinga seketika, namun wajah tetap tenang, walaupun jelas kesakitan masih berbekas.

Elyas terdiam kaku buat kali kedua. Matanya tertancap pada sepasang mata bulat bak boba yang bersinar indah, seakan-akan memantulkan cahaya matahari petang. Wajah gadis itu comel dan polos, dengan peluh halus menitis di sisi dahi yang kemerahan. Jantung Elyas terasa berdentum kuat—rentaknya berubah tanpa amaran.

Dewi tidak mengalihkan pandangannya, matanya tidak berkerdip walau sedikit, membuatkan Elyas semakin kehilangan kata-kata. Lidahnya terasa kelu, dan otaknya seperti berhenti berfungsi.

Tiba-tiba, Dewi mengangkat tangan dan melambai-lambai di hadapan wajahnya, seakan-akan cuba memanggil Elyas kembali ke dunia nyata.

Elyas terkejut, cepat-cepat berdehem dan menutup matanya seketika, cuba mengumpul semula kewarasannya yang terbang entah ke mana. Dengan tangan yang masih berkilat dengan peluh, dia membuka botol airnya. Tuala kecil yang sentiasa terikat di botol, dilepaskan. Air panas di dalam botol itu dituang ke atas kain itu sebelum dia menjatuhkan satu lutut di hadapan Dewi.

Jarak mereka hampir terhapus apabila Elyas semakin mendekatkan diri untuk mendemah dahi yang masih merah dan benjolan mula kelihatan. Refleks, Dewi terus menjauhkan diri dengan mata yang memandangnya penuh persoalan.

Elyas terus menghela nafas. "Biar aku demah dahi kau," ujarnya senafas.

Namun, Dewi hanya mengelipkan mata berkali-kali dek tidak dapat menangkap pergerakan bibir Elyas yang terlampau cepat. Elyas pula hanya mampu menggigit dalam pipi apabila dipandang sebegitu rupa.

Jangan tengok macam tu boleh tak? Dia berdebar macam nak gila!

Tangan Dewi ditarik sebelum dia memberikan tuala itu kepadanya. "Demah dahi kau, dah bertelur." Perlahan-lahan, lengan gadis itu ditolak ke dahinya apabila Dewi kelihatan terpinga-pinga dengan tindakannya.

Dewi yang sudah faham terus meletakkan kain panas itu pada benjolan yang semakin membesar di dahinya. Namun mata boba itu langsung tidak patah daripada memandang wajah kacak di depannya.

Orang normal memang kacak ya?

"Maaf... Aku tak sengaja," ucap Elyas dengan suara perlahan. Rasa bersalah semakin menggunung apabila dia sudah membenjolkan dahi anak dara orang. Kalau yang kena itu lelaki, kurang sedikit perasaan bersalahnya.

Dewi hanya mengangguk kecil setelah dia dapat menangkap pergerakan bibir itu walaupun tidak mampu mendengarnya. Senyum nipis menghiasi wajah, sebelum sebelah tangannya kembali mengusap kepala kucing yang masih berani mendekat.

Di sebalik rasa bersalah itu, hati Elyas berdebar aneh. Tak pernah dia lihat senyuman seikhlas itu—walaupun selepas ditimpa kesakitan.

Dewi pula memandang Elyas yang masih terpaku. Ada sesuatu pada lelaki itu—bukan sekadar kuat sebagai tekong, tapi juga ada sisi lembut yang tidak semua orang nampak. Hati kecilnya berbisik, ada denting rasa yang tidak pernah dirasai sebelum ini.

"Aku... maaf pasal tadi. Bola tu... tak sengaja," kata Elyas sambil menunjuk bola takraw yang masih bergolek di tepi gelanggang. Dia masih tidak mendapat kata kemaafan daripada gadis di hadapannya itu.

Dewi memerhatikan gerak bibirnya, cuba memahami lagi. Kemudian, dia tersenyum dan menggeleng perlahan seolah-olah berkata, "Tak apa."

Elyas menghela nafas lega. "Kau selalu bagi kucing makan ke?" tanyanya sambil mengerling kucing di atas riba gadis itu. Terasa geli satu badan apabila kucing itu mula mengiau dan berura-ura seperti mahu bergerak mendekatinya.

Dewi mengangguk, wajahnya ceria kembali. Dia terus menghulurkan kucing itu pada Elyas tanpa berfikir dua kali. Lelaki itu terus melompat ke belakang sebagai tindak balas refleksnya terhadapa benda yang dia tak suka.

Dewi terpempan buat seketika. Lelaki itu takut kucing?

Dewi tertawa tanpa suara—senyuman yang jernih dan menawan. Elyas terpaku seketika, seakan dunia di sekeliling terhenti. Jantungnya berdegup laju tanpa alasan yang kukuh.

Namun, suasana itu terganggu apabila jurulatih melaung kuat dari tengah gelanggang. "Elyas! Kau nak sembang sampai esok ke? Cepat sambung!"

Elyas terpisat-pisat, bangkit dengan cepat. Dia memandang Dewi sekali lagi. "Aku minta maaf sekali lagi. Aku pergi dulu."

Namun baru dua langkah, Elyas berpaling semula. Wajah polos itu dia lihat seperti mahu mengatakan sesuatu.

Dewi terus menjungkitkan keningnya melihat tingkah sumbang lelaki itu.

"Err kalau dahi kau tak sembuh, cari aku ya?"

Dewi mengangguk, senyumannya masih tersisa. Dia tidak menangkap apa yang dikatakan namun dia hanya mengeyakan saja untuk melepaskan lelaki itu pergi. Elyas berlari kembali ke gelanggang, tapi hatinya tertinggal di tepi sana—bersama gadis manis yang tak bersuara, namun mampu buat dunianya jadi riuh secara tiba-tiba.

Mata itu! Mata boba itu...

Elyas terus memegang dadanya yang masih berdebar seraya meletakkan kembali botol air ke bawah.

"Ya Allah, aku rasa nak tumbang ni tengok dia..." ujar Elyas seorang diri sebelum berjalan masuk ke tempatnya, tekong.

"Kau okey tak ni? Macam kepala kau pula yang kena hentam dengan bola takraw ni kenapa?" tegur Nazim yang sudah mengambil posisi di sebelah kiri Elyas.

"Aku terjumpa bidadari Naz. She's goddess... Damn..." kata Elyas sebelum tersengih bagai orang tidak waras.

"Bidadari otak kau." Nazim sudah membuat muka dengan ucapan Elyas itu. Apa benda mamat ni?

"She's goddess, Naz! Yas rasa Yas jatuh cinta!" kata Elyas separa kuat dengan senyuman yang melebar.

"YAS! SERVE!"

Pak!

Tanpa sempat menahan, bola takraw melantun deras dan tepat menghentam tengah dahinya. Elyas terus terlentang ke belakang, terbaring di atas lantai gelanggang dengan mata berpinar-pinar.

Namun, walaupun kesakitan menghambat kepalanya, senyuman tetap tidak lekang di bibir. Bibir yang masih terukir senyum bodoh bila dia teringatkan mata boba tadi.

"Oh my pretty goddess..."

Nazim menahan gelak, sementara Zaidil sudah terjelepuk ketawa. Jurulatih pula hanya mampu menggelengkan kepala dengan muka berkerut.

"Coach! Ada orang gila!" laung Uzzam sambil menepuk lantai.

Suara itu membuat perut rakan sepasukan lain bergetar dengan ketawa. Elyas masih terbaring, senyum melekat dan mata pandang ke langit, seolah-olah bidadari itu sedang menjenguknya dari atas sana.

"Gila betul mamat ni," ujar jurulatih sambil menepuk dahi sendiri.

Tapi Elyas tidak peduli. Dia tahu betul apa yang hatinya rasa. Walaupun dia tidak tahu nama gadis itu, tetapi dia yakin—gadis boba itu sudah mencuri seluruh jiwanya dalam sekelip mata.

Loser AHAHAH

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience