"FOR the last time, aku nak jadi emcee. Tak boleh ke?" soal Elyas dengan bibir yang dikemam rapat. Wajah Presiden MulMed itu dia lihat untuk menagih rasa kasihan. Tolonglah terpujuk... dia mahu jadi emcee untuk program induction day itu...
"Tak boleh, Yas. Untuk kali ke-40 aku menjawab soalan kau, jawapannya tetap tak boleh!" Afina mendengus kuat. Tangannya laju menyiapkan barangan untuk digunakan program sebentar saja lagi.
"Takkan tak boleh lagi, Pina?" Elyas terus mencuba. Perkataan putus asa tidak pernah wujud dalam dirinya.
Afina terus melepaskan nafas berat seraya menjatuhkan tali rafia yang dia pegang. Risau. Dia bimbang leher Elyas yang degil itu akan menjadi mangsa jerutannya.
"Tak boleh Encik Presiden. Kan BPro dah selesaikan semua? Kau dah kenapa gian sangat nak jadi emcee ni? Kau kan kena berucap as Pres NetCom, macam mana kau nak jadi emcee?" Wajah lelaki itu dijeling dengan hati yang membara. Elyas ini gemar betul memanaskan hati awal-awal pagi seperti ini.
"Kau sorang je lah bagi ucapan. Aku malaslah," ujar Elyas lalu terus mencapai belon dan mengisinya dengan air.
"Kepala otak kau! Jangan buat hal, Elyas. Program ni lagi tiga jam, aku lepuk kepala kau karang!" amuk Afina dengan jawapan Elyas. Ya Allah, tiba-tiba muncul rasa menyesal pula menyuarakan hal JV kepada Persatuan NetCom.
"Tengoklah dulu macam mana," helah Elyas. Dia bingkas bangkit dan membawa besen yang sudah penuh dengan belon berisi air ke tempat checkpoint, meninggalkan Afina yang mengumam sendirian. Sesekali, dia mengejek cara percakapan Afina.
Malas layan. Perempuan itu memang suka membebel.
"Biro Makanan, ada update tak pukul berapa makanan sampai?" tanya Elyas seusai dia meletakkan besen itu berdekatan meja makanan yang selesai dipasang. Wajah ahli-ahli biro dia lihat dengan tangan yang memeluk erat tubuh.
Sejuk mencengkam tulang walaupun tika itu dia sudah memakai sweater.
"Makanan sampai pukul 7.30 pagi, pres," jawab salah seorang lelaki itu di situ. Entah siapa, dia tidak kenal. Mungkin anak buah Afina.
"Okey baik. Kalau dah sampai, minta update dalam group jawatankuasa ya. Any problems, sila roger ASAP," pesan Elyas sebelum dia mula melangkah ke arah sekumpulan orang yang sedang berkerumun di tengah-tengah padang.
Dia memanjangkan leher untuk melihat aktiviti yang sedang mereka lakukan waktu itu. Dahi itu mula berkerut hebat sebelum kakinya terpasak lama di tanah.
Betul ke apa yang dia lihat ni?
"Korang buat apa ni?" tegur Elyas apabila dia sudah berasa lemas dengan tindak-tanduk setiap orang yang berada di situ.
"Eh pres!" Bagai baru sedar kehadiran di situ, masing-masing mula menoleh ke arah Elyas dengan wajah terkejut.
"Saya tanya, korang buat apa ni?" ulang Elyas sekali lagi dengan wajah yang serius.
"Tanam semut mati, pres." Suara salah seorang di situ seperti sedang menahan tawa.
"Apa?! Tanam semut?" Mata Elyas membesar setelah mendengar kebodohan itu sewaktu pagi-pagi buta. Mata diturunkan untuk melihat wajah seorang demi seorang yang masih mencangkung bagai tiada rasa bersalah.
"Ya pres. Semut. Tadi kitorang nak buat line untuk checkpoint tapi gelap sangat. Tup-tup terpijak semut merah tu, mati dia.."
Elyas rasa seperti mahu tampar anak orang sekarang ni.
"Tengok jam sekarang ni pukul berapa?" Elyas menghembus nafas kuat.
"5.50 pagi."
"Lepastu korang nak buat line dalam keadaan kelam-gelemat macam ni? Nak kena ruqyah dengan saya ke sekarang ni? Semut matilah. Hati matilah. Bangun sekarang sebelum korang pula yang mati dengan saya!" kuat suara Elyas tika itu apabila terasa dirinya seperti dipermainkan oleh anak buah sendiri.
Habis semua yang berada di situ terpisat-pisat bangun apabila mendengar arahan nyaring Elyas. Mereka sudah menjentik amarah lelaki itu pada pagi ini... Mereka tersalah percaturan dan bakal menerima akibatnya...
Masing-masing saling berpandangan dan hanya mampu menelan liur yang terasa kelat.
Elyas memang seorang presiden yang baik sepanjang mereka bergerak kerja bersama. Namun mereka lupa yang harimau dalam lelaki itu boleh keluar bila-bila masa sahaja jika tersalah langkah.
"Semua ikut saya pergi masjid sekarang," arah Elyas sebelum berpaling.
"Kenapa kena pergi masjid pula ni?"
"Dia nak rejam kita dalam kolah masjid ke weh?"
"Ah sudah, nak kena cuci masjid ke?"
Bunyi-bunyi itu menarik senyum senget Elyas secara tidak sengaja.
"Pergi masjid untuk solat subuhlah. Lagi lima minit nak masuk. Tak ada kerja saya nak rejam awak semua dalam kolah. Jomlah cepat, banyak bunyi pula!" Elyas terus menggelengkan kepalanya dengan tingkah anak-anak buah ketika itu. Lelaki mahupun perempuan, semua sama!
Pening!
"Okey pres!"
Helaan nafas lega mula memenuhi udara.
"Solat je weh, nasib baik!"
"ELENA, awak turun pukul berapa pagi ini?" soal Dewi kepada teman sebiliknya dengan bahasa baku. Dia masih tidak terbiasa untuk bercakap menggunakan bahasa pasar yang sangat jarang dia gunakan. Jemarinya turut laju memasang alat bantuan pendengaran ke kedua-dua telinganya.
"Dalam pukul 7.45 pagi macam tu. Kenapa?" Elena yang sedang menyapu losyen pada tangan menoleh ke arah Dewi sekilas lalu. Dia sudah maklum yang gadis itu pekak dan dia cuba untuk membiasakan dirinya dengan Dewi.
"Saya ikut awak boleh ke?" Mata bundar itu bersinar penuh harapan. Sesekali jemarinya mengelus rambut yang tidak dia ikat. Bukan kerana tidak suka tetapi dia mahu menutup telinganya yang memakai hearing aid. Dia tidak mahu orang ramai memandangnya dengan pandangan jelik.
"Kau masih tak ada kawan, Mila?" soal Elena dengan nada biasa namun sedikit mengguris hati kecil Dewi. Sudah dua minggu dan dia masih tidak mempunyai kawan di sini. Menyedihkan.
Dia terus tersenyum kecil. "Saya tak ada kawan, Elena."
"Walaupun sorang?"
Dewi angguk.
"Saya tak boleh ikut awak ya, Elena?" Bawah bibir digigit tanpa sedar. Mata dia kerdipkan berkali-kali seraya melihat wajah gadis Sabah yang masih duduk di meja belajarnya.
"Boleh aje. Nanti kita jalan sekali pergi padang." Elena terus menoleh ke arah gadis itu dengan senyuman yang menghiasi bibir.
"Terima kasih, Elena!" ujar Dewi teruja. Mata yang tadinya sudah redup, kembali bersinar dengan jawapan Elena.
"Dah jom kita gerak sekarang," ajak Elena seraya menarik lembut lengan kecil Dewi. Tanpa banyak bicara, dia mengikut dengan senyuman yang tidak lekang di bibir.
Dia dan Elena dalam satu kursus yang sama tetapi berada di kelas yang berlainan. Namun, dia tidak kisah. Asalkan Elena mahu berkawan dengannya tidak seperti orang lain yang hanya memandangnya dengan pandangan kasihan dan jelik.
Kaki mengorak langkah, menuruni tangga kolej sebelum dengan penuh semangat mereka melangkah seiring ke tempat program. Botol air yang dibawa di tangan kiri, dia hayun perlahan kerana gembira.
Selesai pendaftaran dan mendapat makanan, dia setia mengikut jejak langkah Elena. Mereka mengambil keputusan untuk duduk di tepi padang dan menjamah sarapan yang diberi. Dewi hanya mampu mendiamkan diri sepanjang menikmati makanannya apabila rakan-rakan Elena mula turut serta.
Dia hanya mempu tersenyum dan tertawa kecil dengan perbualan mereka walaupun kadang-kadang dia tidak mengerti dengan output yang dia terima. Namun tak mengapa, asalkan dia dapat berkenalan dengan banyak orang pada hari ini.
"Kenapa kau diam je, kau roommate Elena kan?" tegur gadis yang duduk bertentangan dengan Dewi. Matanya memandang wajah lembut Dewi lama sehingga gadis itu hanya mampu tersenyum kekok.
"Ya, saya roommate Elena," jawab Dewi, gugup.
"Apa nama kau?" soal suara lain pula.
"Nama saya Dewi Qarmila, boleh panggil Mila." Senang. Dia suka apabila ada orang yang nampak kehadirannya di situ.
"Relaks Mila, kitorang tak makan orang. Kau cakap dah macam robot," katanya lalu melepaskan tawa yang tertahan.
"Maafkan saya," ujar Dewi dengan wajah yang terpampang rasa bersalah.
"It's okay, Mila. Jom beratur, fasi dah suruh." Elena terus memotong perbualan mereka dan langsung menarik lengan Dewi untuk berdiri. Gadis itu ditarik menjauhi rakan sekelasnya tadi. Dia tahu, Dewi bakal dijadikan bahan ejekan jika dia terus-menerus membiarkan gadis itu terus berbicara di situ. Elena sudah masak dengan perangai mereka sejak dari zaman diploma lagi.
"Tak apa ke kita tinggalkan mereka, Elena?" Dewi sesekali menoleh ke belakang mencari gerangan rakan-rakan Elena.
"Tak apa. Jangan kawan dengan diorang, Mila. They are not good as you think," pesan Elena seraya memusingkan badan Dewi supaya menumpukan perhatian ke hadapan.
"Tapi... kenapa?" Badan itu menoleh ke belakang lagi. Dia tidak terbiasa berbicara tanpa melihat pergerakan bibir lawan bualnya.
"Aku tak nak kau sakit dan dibuli. Faham, tak?" Elena menjawab ringkas, berharap ayat itu dapat dihadam oleh Dewi sebaiknya.
Dewi termengap.
"Mereka akan buli saya, Elena?" Mata bundar itu menikam lembut iris Elena.
Elena terus angguk. "Bila diorang tahu kau pekak, secara automatik kau akan jadi target diorang. Jadi, tolong jauhkan diri daripada diorang, Mila." Keras. Dia benar-benar mahu memberi amaran kepada gadis polos itu.
"Baiklah jika begitu," lirih Dewi dengan hati yang sedikit pedih.
Orang cacat sepertinya memang akan selalu menjadi mangsa walaupun di mana dia berada? Kenapa perlu menjadi seperti ini?
"Dah, jangan sedih. Aku kan ada?" usik Elena sebelum terkekeh ketawa. Dewi langsung menarik segaris senyuman dan melepas tawa setelah melihat wajah Elena.
"Okey, nasib baik saya ada awak, Elena. Gembira hati saya," puji Dewi dengan senyuman manis yang tidak luntur.
"Dahlah Mila, pandang depan. Ada mamat hensem tengah berucap tu," kata Elena dengan mata yang tidak lekang dari memandang wajah lelaki yang bertugas sebagai juruacara pagi itu.
Dewi terus berdecit sebelum turut kembali memandang ke hadapan.
"Seterusnya, saya menjemput Elyas Tharwan bin Ezrul Istafa, Presiden Persatuan Netcentric Computing (NetCom)untuk memberikan sepatah dua kata. Majlis mempersilakan!"
Mata Dewi semakin menyepet ketika lelaki itu berjalan mendekati rostrum. Siapa dia ya? Kenapa macam pernah tengok?
Share this novel