ELYAS melangkah masuk ke kafe kampus dengan gaya selamba, tangan menyeluk poket hoodie sambil mata meliar mencari meja kosong. Hari ini dia memang tak ada latihan takraw, jadi dia putuskan untuk lepak sekejap sambil isi perut sebelum balik bilik. Kafe agak penuh dengan pelajar yang baru keluar kelas, tapi Elyas tetap buat muka tenang seperti biasa.
Dia melangkah ke bahagian nasi campur, mengambil pinggan dan memilih lauk dengan santai. Nasi putih dengan ayam masak merah, sedikit sayur campur, dan telur dadar. Selesai memilih, Elyas bergerak ke kaunter untuk membayar. Sedang dia menunggu giliran, tiba-tiba matanya tertangkap pada seorang gadis di hadapannya.
Gadis yang dia benjolkan kepalanya. Gadis boba yang dia masih teringat-ingat sejak insiden bola takraw tempoh hari. Jantung Elyas berdegup laju, namun dia cuba kekalkan wajah selamba.
Melihat Dewi yang sedang terkial-kial mengambil dompet kecil dari dalam beg galasnya, Elyas nekad mahu tunjuk gentleman. Tanpa fikir panjang, Elyas cepat-cepat menyelit ke depan. "Eh, aku bayarkan," katanya dengan suara yakin, sambil sengih macam biasa.
Dewi terkejut buat seketika. Dia memandang Elyas dengan mata bulatnya, tapi tidak berkata apa-apa. Elyas segera keluarkan telefon untuk bayar menggunakan QR code, tapi... alamak, internet slow pula! Dia ketap bibir, cuba lagi, tapi tetap gagal.
"Line kampus ni memang menyakitkan hati betul," Elyas merungut perlahan sambil buat muka selamba, konon-konon tidak gelabah. Selepas cuba berkali-kali, dia akhirnya mengalah dan menyeluk poket untuk membayar secara tunai.
Namun, bila dikeluarkan duit, cuma ada RM5 sahaja. Elyas terkedu. "Lima hengget je? Sejak bila aku sengkek macam ni?" bebelnya perlahan, terasa wajahnya dah merah menahan malu.
Tiba-tiba Dewi tersenyum kecil dan tanpa berkata apa-apa, dia mengeluarkan duit sendiri dan terus bayar. Bukan sahaja untuk makanannya tetapi sekali dengan makanan Elyas. Lelaki itu tergamam, tidak sempat mahu halang.
"Eh, tak payah... aku boleh bayar..." katanya cuba menutup malu, tapi Dewi sudah siap mengambil dulang makanan dan berlalu pergi. Elyas rasa macam nak sorok muka dalam hoodie. Habis jatuh saham gentleman dia!
Namun akibat tak puas hati dengan situasi tadi, Elyas cepat-cepat mengekorinya dan duduk berdepan dengan Dewi tanpa dipelawa. Dewi nampak sedikit terkejut tapi tidak berkata apa-apa, hanya tunduk dan mula makan perlahan-lahan. Elyas cuba senyum lagi walaupun dalam hati masih wujud perasaan segan.
"Kau... selalu makan sini ke?" Elyas cuba memulakan perbualan dengan nada paling santai. Dewi masih tunduk, tidak memberikan sebarang reaksi. Elyas telan liur, cuba lagi. "Nama kau... apa? Aku ingat kau masa dekat gelanggang haritu tapi aku tak tahu nama kau. Selalu ke bagi kucing makan dekat situ?"
Masih tiada respons. Elyas mula rasa janggal, tapi dia tetap tak mengalah. "Eh, kau ambil jurusan apa? Sains sukan ke? Sebab selalu nampak kat kawasan padang..." Elyas cuba bergurau sambil ketawa kecil, berharap dapat mencairkan suasana.
Namun, Dewi masih tunduk dan fokus pada makanannya. Elyas ketap bibir, rasa macam nak sorok muka dalam nasi campur. Akhirnya dia ketuk meja perlahan, cuba dapatkan perhatian.
Dewi terhenti seketika sebelum menoleh perlahan. Wajah berkerut Elyas dia lihat tanpa perasaan bersalah.
"Kau dengar tak aku cakap ni?" tanya Elyas perlahan dan Dewi dapat menangkap gerakan bibir itu.
Wajahnya tenang, namun ada sesuatu dalam matanya yang buat Elyas terdiam. "Maaf. Saya... pekak," jawabnya perlahan, namun cukup jelas pada pendengaran Elyas.
Elyas terus terkedu, rasa bersalah menjalar dalam dada. Dewi menyelak sedikit rambutnya, menunjukkan alat bantu dengar kecil yang terselit di telinganya.
"Maaf saya tak dengar apa yang awak cakap sebentar tadi. Saya off alat ini jadi saya tak dengar," kata Dewi polos—memandang wajah Elyas yang sudah bertukar rona.
"Oh... Ya Allah... Maaf... aku tak tahu..." Elyas tergagap, rasa macam nak hilang terus dari situ. Dewi hanya tersenyum nipis, tidak nampak marah langsung.
Elyas terasa seperti mahu gelak besar pada diri sendiri atas kebodohannya. Orang pekak dia boleh tanya dengar ke tak?
You're doomed, Elyas!
Tanpa menunggu lama, Elyas terus menggunakan bakat yang jarang-jarang dia tunjukkan sehingga mematungkan Dewi. "Aku ni banyak cakap kan? Aku minta maaf sebab tak tahu kau ada masalah pendengaran. Harap kau tak terasa dengan aku..." Jemari Elyas laju bergerak untuk berbual dengan gadis di hadapannya.
Dewi menjatuhkan sudunya. Matanya menatap Elyas penuh kagum. "Awak tahu bahasa isyarat?"
"Tahu! Kenapa? Mesti kau terpegun dengan aku kan?" usik Elyas dengan kening yang terjungkit berkali-kali. Dia terus membaca doa dan mula menyuap makanan yang tidak bersentuh sedari tadi.
"Sikit." Dewi terus menyepetkan sebelah matanya seraya merapatkan ibu jari dan jari telunjuknya di hadapan mata. Bibir pula mula tertarik senyuman manis. Ini kali pertama dia berbual menggunakan bahasa isyarat sepanjang dia menjadi pelajar di kampus ini.
Elyas turut tersenyum melihat wajah yang sudah berubah ceria itu. Cantik.
"Apa nama kau? Mesti nama kau Dewi kan sebab kau cantik macam goddess." Elyas cuba mengayat dengan senyuman nakal mula menghiasi bibir tika itu.
Dewi yang membaca pergerakan itu terus terpelongo. Pantas, dia membalas dengan penuh persoalan dalam jiwa. "Mana awak tahu nama saya Dewi? Awak kenal saya ke?" Bertubi-tubi soalan itu terbit dengan mata bening yang semakin bersinar.
Kali ini giliran Elyas pula yang duduk tegak dengan persoalan itu. Perlahan-lahan, tangannya mengisyaratkan jawapan. "Nama kau betul-betul Dewi ke? Aku teka je tadi tak tahu pula mengena."
Dewi langsung mengangguk laju dengan wajah yang teruja.
"Nama saya Dewi Qarmila. Awak boleh panggil saya Mila." Dewi memperkenalkan diri dengan penuh rasa teruja. Entah kenapa dia berasa sungguh gembira apabila ada orang mahu berbual panjang dengan dirinya. Dan paling pelik... Dewi berasa selesa. Mungkin kerana lelaki itu tahu menggunakan bahasa isyarat, bahasa yang sangat dia selesa sepanjang hidup.
"Tak nak. Aku nak panggil kau Dewi sebab kau cantik macam goddess bila pertama kali aku jumpa kau. Jadi aku akan panggil kau, Dewi. Elyas tersengih dengan kelakuannya.
"Tapi orang tak pernah panggil saya Dewi. Saya lagi selesa kalau awak panggil saya Mila..."
"Aku orang pertamalah ni panggil kau Dewi? Okeylah macam tu, kau boleh jadi Dewi aku seorang." Elyas terlepas. Dia terus menggenggam erat tangan sebelum menjatuhkannya ke atas meja. Bibirnya diketap rapat.
'Aduh Elyas, tak bercakap pun kau boleh terpele'ot ke?!' desis hati kecilnya.
"Maaf, aku gurau." Elyas terus membetulkan situasi yang kembali menjadi senyap sunyi antara mereka berdua.
Dewi hanya tersenyum lagi, kali ini lebih ikhlas. Elyas rasa dadanya bergelora—bukan kerana malu, tapi kerana kagum dengan ketenangan gadis di hadapannya.
"Tak apa. Nama awak apa?" soal Dewi untuk mengurangkan rasa janggal akibat ulah lelaki itu tadi. Dewi terus menolak pinggannya yang telah kosong, sedikit ke hadapan. Botol airnya dicapai sebelum dia terus meneguk air sejuk itu dengan sebelah tangan menutup bahagian kiri mulut yang terdedah pada pandangan Elyas.
"E.L.Y.A.S T.H.A.R.W.A.N." Elyas mengeja satu persatu.
"Saya nak panggil awak apa?" tanya Dewi lagi.
"Elyas. Yas. Wan. Mana-mana yang kau suka."
'Nak panggil sayang pun boleh,' sambungnya di dalam hati.
"Saya panggil Elyas ajelah. Nama mulia, nama nabi."
Elyas termengap dengan jawapan itu. Allahu, perangainya pula seperti anak azazil kadang-kadang.
"Berapa umur awak?" Dewi masih belum berputus asa untuk mengenal lelaki yang mahu berbual dengannya itu.
"20. Hujung semester nanti masuk 21. Kau?" Kini, Elyas pula menolak pinggan kosongnya ke hadapan.
Dewi terus tersengih suka. "Saya 23 tahun. Awak kena panggil saya Akak Mila."
Seronoknya bila dia tahu Elyas lebih muda darinya. Rasa selesa pada Elyas semakin membuak-buak dalam dirinya.
"No. Kau, Dewi. Bukan Akak Mila." Elyas terus bangun dan meletakkan pinggan mereka ke dalam besen. Kaki mengorak langkah ke arah singki untuk membasuh tangannya yang hampir kering. Sesekali, Dewi yang terpinga-pinga di meja dia kerling.
Sepanjang perjalanan kembali ke meja itu, Elyas menyeluk poket seluarnya. Telefon dibawa keluar dan diletakkan di atas meja.
"Aku nak nombor telefon kau. Kejap lagi aku chat untuk minta QR bank kau."
"Kenapa?" Dewi masih penuh dengan tanda tanya.
"Aku tak suka terhutang budi. Tambah-tambah lagi dengan perempuan. Aku nak bayar balik harga makanan yang kau bayarkan tadi, Dewi." Elyas menjelas panjang.
"Tapi saya ikhlas, Elyas. Saya dah niat sedekah." Mata bobanya memandang lama anak mata Elyas sebelum lelaki itu melarikan pandangan.
Jangan tengok aku dengan mata macam tu, Dewi! Kau terlampau comel untuk aku tak tengok!
"Lain kali kau sedekah okey? Hari ni aku nak bayar semula duit kau. Cepat, isi number phone kau." Gesa Elyas dengan telefon yang ditolak ke arah Dewi.
Gadis itu tanpa banyak bunyi, mengisi nominal-nominal itu tanpa tahu agenda Elyas yang sebenarnya. Usai, dia menyerahkan kembali dengan wajah polos ditayangkan tanpa dia sedar kerana itulah kebiasaan seorang Dewi.
"Terima kasih, Dewi. Lain kali aku belanja kau, okey? Aku pergi dulu. Belajar elok-elok!" pesan Elyas. Lantas dia melambai gadis itu dan berlalu pergi ke tempat parkir dengan bibir yang tidak henti-henti tersenyum.
Secara tiba-tiba. dia melompat kemenangan. "Wuhu! Aku dah dapat nombor telefon crush!" jeritnya separa kuat sebelum menari kecil. Helmet dicapai dan dipakai dengan rasa gembira.
"Dewi Qarmila. Nice name to sit next to Elyas Tharwan. Oh my pretty goddess of boba eyes!"
Share this novel