BAB 7

Romance Completed 113574

AKU, Jiji, Ayra dan Jem duduk bersembang di tepi pagar utama universiti, sama-sama menunggu kedatangan pemandu Grab menjemput kami. Malas mahu berjalan ke pondok bas terdekat, kami tetapkan lokasi pick-up di depan booth pak cik jaga universiti.

"Aku baru nak mengorat kau, Za... Tapi Abang Elman dah cop dulu. Aiseh..." Jem menghulur se-tin air berkarbonat yang dibelinya sebentar tadi. Dia hulur juga kepada Jiji dan Ayra.

Ayra buat muka loya mendengar kata-kata Jem. Aku? Sabar sajalah dengan si Jem. Aku tahu dia tidak serius langsung. Saja mahu buat gurauan. Nadanya juga tidak serius.

Jem gelak dan menolak kepala Ayra yang memerli dia. Dua orang ini memang pantang kalau berjumpa. Dua-dua naik kepala.

Jiji dihujung bangku tidak habis-habis merungut panas, langsung tidak ambil peduli dengan perbualan kami bertiga ini. Memang faham sangat perangai Jiji, dia memang tidak suka berpeluh.

"Kau orang tak berpeluh ke? Seronoknya jadi orang yang tak kuat berpeluh ni." Jiji meneguk air mineral sejuk yang Jem belikan untuknya. Di tangan ada mini-fan yang dia bawa sendiri. Bersiap-sedia betul Jiji. Bagus!

"Biasalah berpeluh, Ji... Aku pun berpeluh juga ketiak ni. Ha... Tinggal belum naik bau aje wei. Kau orang tahan ajelah kalau dah naik bau nanti. Jangan pengsan cukup." Gurauan Jem mengundang tawa kami bertiga.

"Kenapalah kau sibuk nak ikut kami outing ni, Jem? Ini masa bersama orang perempuanlah. Kau sibuk aje." Ayra masih tidak puas bertekak.

"Salah ke? Aku mestilah kena protect kau orang. Bahaya tau perempuan keluar tanpa orang lelaki. Apa-apa jadi, boleh juga aku tunjuk hero. Mana tahu lepas nampak kegagahan aku sebagai lelaki, Za terus tinggalkan Elman dan pilih aku pula."

Aku lempang kuat bahu si Jem. Sempat lagi dia....

"Kau yang kurus kering ini boleh ke tunjuk hero? Aku risau kita orang pula yang kena dukung kau nanti."

Bagus, Ayra!

"Aku percaya lagi Jiji ini dari kau." Ayra menambah minyak di api.

Jem gelak mengekek. Langsung tidak terkesan kata-kata Ayra pada hati dan egonya.

"Ala... Aku gurau aje, Za. Saja nak lepak dengan kau orang. Lagipun aku nak lari dari Lan dengan Bambam sebenarnya."

Rungutan Jiji yang kepanasan bersambung. Ayra cepat-cepat menyemak kedudukan pemandu Grab mereka di telefon.

"Kau tak bertemu janji pula hari ini, Za? Selalu aku nampak kau dating dengan Elman hujung minggu begini dekat library," soal Jem.

Wajahku membahang.

Jem memang kaki skodeng ke? Semua aktiviti orang dia tahu dan nampak saja. Seganlah aku begini.

"Tak. Elman balik rumah keluarga dia. Ada hal katanya."

Sebenarnya aku masih berperang ego dengan Elman. Dia sudah janji dengan aku mahu keluar bersama hari ini tetapi dia batalkan di minit akhir. Akhirnya beginilah kami. Aku dengan ego aku, dan Elman dengan egonya. Aku mahu lihat saja siapa yang akan mengalah dulu dan yang pasti bukan aku.

"Kau orang tak ada tempat lain nak dating ke?"

Mulut mengeluh malas. Jiji hanya memasang telinga mendengar perbualan kami.

"Dia kan pelajar tahun akhir. Banyak projek tahun akhir yang perlu disiapkan. Lagipun aku tak kisah sangat. Elman selalu ajar aku sambil-sambil dia buat kerja dia. Untung apa... Tak payah belajar sorang-sorang. Tak faham, aku boleh tanya dia."

Tiba-tiba aku jatuh kasihan kepada Elman.

Dia banyak kerja. Kena kejar tugasan juga projek tahun akhir walaupun baru saja masuk semester. Melayan pula kerenah aku.

"Jomlah! Kereta dah sampai!" ajak Ayra. Jiji laju bangun dan berlari ke kereta Perodua Bezza berwarna biru yang berhenti di depan pagar.

"Ji... Relakslah wei!" jerit Jem.

Kami berdua di belakang melenggang.

•••

JARI membuat gaya mahu mencungkil mata Elman dari tempat duduk. Elman yang sedang bersiap-sedia untuk membuka kata itu mengenyitkan mata ke arah kami yang duduk sedikit jauh dari pentas. Dia tersenyum melihat aku mahu mencungkil matanya.

Beberapa orang pelajar perempuan memuji-muji Elman. Aku pun tumpang kembang punggung juga. Tengoklah teman lelaki siapa....

Ujian pertengahan semester telah tamat. Ini bermakna esok kami semua sudah boleh pulang bercuti selama seminggu. Sememangnya kami sudah tidak sabar-sabar mahu berjumpa keluarga dan aku pula tidak sabar mahu jumpa Umi. Disebabkan waktu bekerja Umi di kilang tidak menentu, kami tidak boleh berhubung setiap hari.

Suara Elman bergema di dalam dewan meminta kami semua untuk diam kerana acara rasmi akan bermula sebentar lagi. Acara hari ini adalah untuk menyambut pengarah baru universiti memandangkan pengarah lama sudah sampai tempoh bersara.

Suara Elman berucap di hadapan membuat hati aku kembang. Telinga menikmati ucapannya dengan sepenuh perasaan, ini pertama kali aku lihat dia berucap formal di depan orang ramai. Selalunya dia suka serahkan tanggungjawab itu kepada Kak Linda.

'Macam mana, Sayang? Hebat tak Elman berucap tadi? Mesti Sayang jadi lagi sayang dekat Elman kan.... - Elman'

Bibir tersenyum nipis membaca teks mesejnya. Dia duduk di kerusi sebaris dengan pensyarah berjawatan di universiti itu. Selamba badak dia main telefon. Aiyo....

'Boleh lah. - Izza'

Aku bertarik tali. Alah, dia pun tahu aku memang sayangkan dia. Kenapa perlu ditanya-tanya lagi.

'Boleh lah je? Siapalah kita.. Elman hantar Sayang balik nanti okay? -Elman'

Kepala berfikir-fikir. Baru teringat yang aku sudah janji dengan Abang Ben. Dia yang akan menjemput aku memandangkan dia juga mahu bertolak pulang ke kampung esok.

Akhirnya dengan berat hati tawaran Elman aku tolak. Lagi pula, rumah dia dengan kampung aku di arah bertentangan. Buat susah dia saja memandu sampai ke kampung aku selepas itu kena pusing balik ke Kuala Lumpur.

'Bila nak kenalkan Elman dengan abang Sayang? -Elman'

Mata Elman memandang ke arah aku dari bawah. Disebabkan kerusi di dalam dewan rasmi ini disusun seperti di kuliah, dapatlah dia cari aku dengan mudah dari bawah sana. Wajahnya muram.

Aku memberi jawapan yang dia mahukan. Tidak baik rasanya kalau aku menunda-nunda lagi perkara ini. Elman sudah serius mahu mengenali keluarga aku, dan aku pula asyik berahsia saja. Elman jarang sekali berahsia tentang diri dan keluarganya, malah semua wajah adik-beradiknya pernah ditunjuk kepadaku.

Mengingatkan wajah Elman yang ceria bercerita mengenai keluarga, aku tersenyum. Tidak sangka Elman ini family-guy juga orangnya. Jenis yang sangat cintakan keluarga sendiri.

Kepala menjana idea. Elman yang dari tadi tidak lepas memandang ke arah barisan kerusi aku itu memberi peluang untuk aku merealitikan idea yang satu ini. Tangan ku angkat sedikit separa dada dan membuat bentuk 'love' untuknya. Hanya beberapa saat.

Mata Elman terbeliak. Dia angkat tangannya separa dada juga, memberi isyarat kepada aku untuk 'bersabar'.

Kalaulah kami di luar dewan, sudah pasti meletus ketawa kami berdua. Geli hati melihat reaksi lelaki ini yang sangat mudah diusik jiwanya. Lebih tepat lagi, jiwa lelaki Elman yang sedang jatuh cinta.

Kami berdiri menyanyikan lagu rasmi universiti sebelum menamatkan acara. Kata-kata pendorong daripada ketua pengarah yang baru itu berjaya menaikkan semangat para pelajar. Termasuk aku, dan seperti biasa... Berapa lama sangatlah semangat yang satu ini akan berkobar.

Sementara menunggu Elman menyelesaikan tugasnya di dalam, aku duduk di tangga kecil luar dewan sambil bermain permainan di telefon pintar. Pelajar lain berpusu-pusu menuju ke arah pagar universiti dengan bagasi di tangan masing-masing.

"Sayang?" Tangan terasa digenggam. Elman berdiri di sisi dengan senyuman.

Elman menarik tanganku.

"Sebelum Sayang balik kampung esok, jom kita dating puas-puas," ujarnya.

"Tapi Elman kan tak rehat lagi. Dari pagi tadi tidak henti buat kerja. Kita makan dalam kampus sajalah, eh?" Peluh di dahi Elman yang semakin mengering itu aku pandang lama.

Walaupun aku memang sudah lama mahu makan diluar dengannya, tetapi tidak sampai hati pula mahu dia menunaikan keinginan aku sehingga memudaratkan dirinya sendiri.

Tangan menarik tangan Elman ke dewan makan pensyarah. Kalau ikutkan waktu sekarang, pasti dewan makan pensyarah itu tidak ramai orang.

"Are you sure? Sayang kata nak makan"

Tapak tangan naik di hadapan mukanya, menyuruh dia untuk diam. Jangan sampai aku ubah keputusan aku pula. Nanti langsung dia tidak dapat berehat.

Elman zip mulutnya. Elman Harith sudah bertukar menjadi anak kucing yang akur pada tuannya.

Kami membiarkan pandangan pelajar perempuan yang jelas tidak puas hati. Tidak semua, cuma perempuan-perempuan gedik yang sukakan Elman ini saja. Mereka saja yang masih belum menerima kenyataan bahawa Elman Harith memilih aku.

"Abang Elman~"

Seorang gadis berselendang lilit sana sini dengan solekan tebal di wajah menghampiri kami.

"Abang Elman nak join kami pergi makan sekali tak?"

Mata menjeling ke atas. Menyampah. Tak ada orang lain ke yang mahu mereka ajak. Bukan sekali dua ya aku nampak minah lentik ni, tetapi hari-hari dia datang melentik dekat Elman. Aku risau iman si Elman ini runtuh saja satu hari nanti.

Tangan minah lentik ini cuba mencapai lengan Elman padahal dia sudah nampak tangan aku yang Elman genggam sekarang ini. Elman tepis perlahan.

"Sorry. Abang nak keluar dengan girlfriend abang," ujar Elman selamba. Langsung tidak senyum.

Yes! Bagus Elman Harith. Anda sudah berjaya melepasi ujian!

Bibir senyum mengejek ke arah minah lentik berbaju kurung sendat sana sini itu apabila Elman menarik tangan aku dan kami berlalu dari situ, meninggalkan mereka terpinga-pinga.

Elman ku pandang dari belakang. Hati semakin yakin kepada kesetiaannya padaku.

"Amboi... Happy Sayang ejek dia orang, ek?" Elman tersenyum sumbing.

"Kenapa? Elman suka dia orang ke?" Aku sengaja mahu menguji. Mata mencerlung memandang dia.

Elman menggeleng laju. ABC yang aku pesan sampai ke meja. Setelah mengucapkan terima kasih, sudu aku capai dan menghancur-hancurkan ais kepal di dalam mangkuk.

"Jadi? Bila?"

Aku terkebil-kebil. Tidak dapat memahami maksud disebalik 'bila' Elman itu.

"Bila nak kenalkan Elman dengan Abang Ben, Sayang..." Nada Elman bertukar geram.

Aku terlopong sedikit. Tidak sangka Elman masih ingat.

"Hm... Nanti Za tanya Abang Ben dulu."

Macam biasa. Jawapan selamat!

Nama Abang Ben aku sebut sedikit kuat. Kerana selalunya orang selalu tidak dapat tangkap namanya. Ben... Macam nama orang putih. Padahal bapa dia jawa. Ceh!

Elman menyudu ABC di dalam gelas. Sudunya mencari-cari kacang. Makanan kegemaran Elman adalah kacang. Segala macam jenis kacang pun dia balun saja. Kalau kami keluar beli stok makanan, berlambak jajan kacang-kacang setengah troli dia ambil. Aku dapat bayangkan dia mengunyah kacang sambil belajar atau siapkan esaimen. Gila kacang betul!

"Sayang rapat ke dengan dia? Ben tu...."

Kepala mengangguk laju. Senyuman terlakar dibibir. Bukan setakat rapat, dah macam abang kandung!

"Rapat sangat-sangat. Abang Ben dari kecil dengan Izza. Masa Za sekolah dulu, Abang Ben yang selalu ganti Umi. Abang yang ambilkan report card Izza, masa anugerah kecemerlangan pun Abang Ben yang bersorak untuk Izza. Masa hari ayah..." Suara ku mengendur. Sayu.

Mengenangkan arwah ayah yang tidak pernah aku lihat wajahnya atau sentuh tangannya buat hati menjadi rawan. Wajah bertukar malap.

"Sayang?" panggilan Elman membuat aku tersedar kembali.

Ah! Buat apa lah nak bersedih hati sedangkan aku punya segalanya yang aku perlu walaupun tanpa seorang ayah.

"Masa hari ayah, Abang Ben yang selalu ganti tempat ayah Za...." Aku menyambung cerita yang tergantung tadi dengan senyuman lebar di wajah.

"Then, Elman kena bagi good impression lah, kan? Risau pula. Sayang rasa Elman patut tegur Abang Ben macam mana?"

Aku ketawa bahagia melihat kekalutan Elman. Aku rasa Abang Ben tidak akan menilai dari pandangan pertama kerana dia bukan lelaki yang suka menilai orang lain kalau tidak kenal hati budi mereka.

"Alah, Elman jadi diri sendiri aje. Abang Ben baik. Dia mesti okay aje dengan Elman nanti."

Elman masih tidak berpuas hati. Dia sudah mula mencari-cari tips di dalam google.

"Elman rasa macam nak jumpa bakal bapa mertua saja sekarang ini. He is not just anyone, he is someone important in your life. I must look the best that day."

Aku cubit tangan Elman. Memerah wajah mendengar kata-katanya.

"Apa? Sayang ingat Elman tak serius ke?" Wajah Elman merengut.

Aku melarikan wajah dari terus menatap wajah lelaki di hadapan ini. Takut terbuka pula isi hati aku ini melalui renungan mata. Memang aku sudah melonjak kegirangan bila dia mengucapkan perkataan 'serius'. Apalagi yang seorang perempuan harapkan dari lelaki yang dicintainya kalau bukan janji sehidup semati.

Elman menurunkan telefon di tangan.

"Sayang... Elman ada benda nak cakap...." Riak Elman bertukar serius. Sudu diletak kebawah.

Aku membetulkan duduk, bersedia untuk mendengar apa saja yang akan keluar dari bibirnya. Di dalam hati berdoa semoga apa yang mahu dibicarakan nanti tidaklah sehingga akan memisahkan kami.

•••

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience