BAB 8

Romance Completed 113574

AKU terpacak di hadapan blok hostel. Tangan mengipas-ngipas wajah. Jam ditangan ku kerling sekilas. Entah sudah kali ke berapa sudah mata menilik jam di pergelangan ini.

Sekali lagi mata menyemak peti simpanan. Mesej dari Abang Ben mengatakan dia sudah sampai di trafik masuk ke persimpangan universiti.

Ish! Abang kalau lama lagi, janganlah beri harapan. Panas bukan main ni....

Bahu terjungkit apabila bunyi hon yang kuat kedengaran dari arah kiri. Kereta Range Rover Evoque berhenti di depan. Mulut terjuih sedikit tapi tangan menarik juga bagasi mendekati keretanya.

Abang Ben menurunkan cermin kereta. Tersengih-sengih macam kerang busuk.

"Sorry...," ujarnya dengan ketawa.

Mata menjeling dia tajam ke sisi. Nasiblah abang tidak minta duit minyak, aku sudi memaafkan sebab aku naik percuma.

Untuk seketika, suasana sunyi antara kami. Terleka menikmati hembusan angin yang keluar dari penghawa dingin kereta. Segar sungguh. Bunyi rentak lagu jiwang Abang Ben tidak kedengaran begitu menyenangkan. Tidak sesuai dengan kereta mewah begini. Langsung tidak tukar citarasa. Sikit-sikit tidak mengapa lagi, ini jiwang sepanjang perjalanan.

"Abang! Abang ini mat jiwanglah... Tukarlah lagu! Izza perlukan vibes yang lebih gembira tau!"

Abang Ben buat tidak tahu. Jarinya memusing alat kawan yang terletak di stereng. Lagi kuat pula volume lagunya.

"Vibe's yang lebih menggembirakan? Hm... Sekejap. Lagu apa ek?" Matanya memandang ke arah skrin dengan kelajuan pemanduan diperlahankan sedikit.

Aku terus menyambung peranti bluetooth ke skrin kereta tanpa menunggu persetujuan Abang Ben. Lagu nyanyian Ayda Jebat-Pencuri Hati berkumandang. Badan menari-nari mengikut rentak muzik.

Abang Ben cuba mengeluarkan isi perutnya. Ceh!

"Za kata ini vibes gembira? Ini dah macam dekat kelab dangdut saja abang rasa."

"Daripada lagu abang yang jiwang. Ada ke lagu 7 hari mencintaiku 2 itu yang dibukanya. Abang dalam hati ada tamanlah. Tak maskulin langsung! Mesti abang layan drama tu, lepas itu nangis-nangis." Aku cuba membayangkan Abang Ben menangis sambil layan drama.

Abang Ben buat tidak tahu.

"Izza tak faham. Perasaan watak utama. Za tak pernah rasa kehilangan cinta," ujarnya.

Aku mengecilkan mata, cuba memahami bicaranya sebentar tadi. Abang kehilangan siapa? Kekasih hati ek....

"Izza curiga. Abang mesti pernah kena tinggal, kan? Selalunya orang yang faham lirik sedih begini, sebab kena tinggal." Terkekeh aku ketawa.

Tetapi kali ini Abang Ben tidak menyambut. Dia cuma diam. Mungkin benar telahanku tadi.

"Izza gurau aje... Kalau betul, perempuan itu yang buta. Tak nampak kelebihan Abang Ben. Rugi dia tu. Buta hati, buta mata... Segalanyalah!" Aku berkata lagi. Kononnya aku dipihak dia sekarang ini.

Giliran Abang Ben pula ketawa terbahak-bahak. Tadi diam, sekarang ini dia pula yang ketawa melampau-lampau. Peninglah!

"Tak baik Za. Jangan cakap macam itu pasal dia. Abang suka dia seadanya. Jadi, abang terima sajalah ketentuan Tuhan dengan hati yang terbuka. Asalkan dia bahagia...." Perkataan 'bahagia' itu memberatkan hatiku.

Suara Abang Ben ketika menuturkan ucapan tadi kedengaran begitu ikhlas. Siapalah yang telah menakhluki hati lelaki ini? Di dalam hati aku berdoa semoga hati Abang Ben tidak akan pernah dilukakan dan sinar bahagia akan menghampiri.

Mata lelaki itu bertukar sayu. Keningnya yang ternaik tadi sudah jatuh. Mata tetap ke hadapan, memandang jalan raya.

"Sorry... Mesti perempuan tu istimewa, kan? Tak mudah menakhluki hati Ben Azir ini." Kali ini aku cuba memuji gadis pujaan hatinya pula. Lalang betullah aku ini. Tak tetap pendirian.

Ketawa Abang Ben bangkit semula. Aku sudah hairan. Tadi sayu selepas itu ketawa, kemudiannya sayu dan ketawa lagi. Abang Ben ni betul atau tidak otaknya.

"Istimewa sangat, Za. Terlalu mudah untuk menakhluki hati abang ini, Izza. Cuma tak mudah untuk abang menakhluki hatinya. Aish...."

"Eleh... Muka hensem-hensem macam begini, takkanlah tak boleh digunakan untuk dapatkan dia?"

Abang Ben senyum saja. Langsung tidak membalas usikanku.

Kepala ligat berputar mengingati satu persatu wajah kawan-kawan perempuan Abang Ben. Pasti salah seorang dari mereka!

Aku cuba mengingati semula juga wajah kawan-kawan abang di luar negara dulu. Abang Ben selalu hantar gambar dia dan kawan-kawan kepada aku ketika dia menuntut di luar negara.

"Yang pakai tudung tu eh?" teka ku. Mata mencari jawapan dari reaksi riak wajah Abang Ben.

Dia menggeleng. Salah.

"Yang tak pakai tudung?" Aku menebak lagi. Kali ini aku agak saja mana-mana gadis yang pernah duduk di dalam satu gambar dengan Abang Ben dan tidak bertudung.

"Ramai Izza yang tak pakai tudung. Si Zarul tu pun tak pakai tudung juga."

Fikiran teringat kepada Abang Zarul. Lelaki dengan gaya ranggi itu. Mesti dia tahu siapa wanita yang berjaya menarik perhatian lelaki ini. Lain kali kalau dia datang beraya ke rumah Pakcik Kamil dan Makcik Rahayu, aku akan tanya padanya memandangkan Abang Ben tiada tanda-tanda mahu beritahu siapa gadis yang berjaya menawan hatinya.

Getaran kecil di dalam kocek membuat tangan laju menyeluk masuk ke dalam kocek baju kurung. Mesej dari Elman yang bertanyakan sama ada kami sudah sampai ke kampung atau belum. Aku membalas ala kadar. Kepala sakit bila menaip ketika kereta sedang bergerak.

"Abang... Bila abang ada masa terluang?" Mata naik semula ke wajah Abang Ben. Telefon di tangan aku gelapkan.

"Kenapa?"

"Err... Elman nak berkenalan dengan abang. Katanya, dia nak kenal sangat dengan abang kesayangan Za ini. Yang selalu jaga Za dari kecil." Aku ulang semula kata-kata Elman di dalam telefon semalam.

Abang Ben tersenyum nipis menampakkan giginya sedikit.

"Boleh. Nanti habis cuti, boleh jumpa."

Mataku bersinar-sinar. Abang Ben sudah bagi jalan. Yes!

Jari menaip-naip di atas skrin. Tidak sabar mahu memaklumkan berita ini kepada Elman. Dan seperti aku jangka, tidak sampai beberapa minit Elman sudah membalas semula. Dia sudah mula bertanya itu ini mengenai abang Ben.

Apa abang suka makan... Warna apa... Pakaian yang bagaimana... Dan lain-lain. Aku pula yang geli hati. Kesungguhan Elman buat diri rasa terlalu disayangi. Elman benar-benar telah mencuri sekeping hati.

•••

TANGAN terus mendapatkan Umi yang sedang menyapu di halaman rumah sebaik sahaja kereta Abang Ben berhenti. Sudah lama aku tidak mencium pipi Umi yang halus mulus ini. Jangan tak tahu, Umi ini memanglah sudah berumur tetapi masih lawa seperti anak dara lagi. Tengok anak dia. Anak lawa, mak mesti cantik.

Abang Ben menggeleng melihat gelagat aku yang sudah serupa anak kecil. Manja. Mulutnya mengejek-ngejek tanpa mengeluarkan suara.

Memang aku manja dengan Umi aku pun. Sibuk!

Beg bagasi milikku dikeluarkan dari tempat duduk belakang.

"Dia punya beg, Ben pula kena bawa." Umi mencuit pinggangku. Bibir tersengih. Tak baik melawan. Ikutkan hati kalau Umi cuit aku, aku mahu cuit Abang Ben.

"Biasa dah, Auntie Lea. Izza kan... Macam Auntie Lea tak tahu perangai dia."

Aku menjegilkan mata. Nak perli pun belakang-belakang sikit boleh, kan?

Umi mempelawa Abang Ben untuk minum petang sekali memandangkan Umi sudah masak. Aku menarik bagasi masuk ke dalam bilik, meninggalkan Abang Ben dan Umi berbual di dapur. Selesai menukar baju kurung yang aku pakai dari hostel tadi kepada baju T-shirt biasa dengan seluar trek, aku keluar membantu Umi apa yang patut.

Air di dalam teko aku tuang untuk Abang Ben. Bukan selalu aku rajin tuang-tuang air begini. Lagipun rumah kami ini selalu kosong. Tiada yang selalu datang menziarah pun kecuali adik-beradik Azir sahaja. Umi juga tidak selalu di rumah, asyik bekerja di kilang saja. Aku pun bukan hari-hari tidur di rumah. Kalau Umi kerja malam, aku tidur di rumah Pakcik Kamil.

"Pandai Izza tuang air."

Aku diam. Tak tahu mahu marah atau gelak. Kalau gelak, rasa macam sedang gelakkan diri sendiri. Kalau marah pula, macam aku menyokong perlian Abang Ben pada aku.

"Bolehlah. Nak Izza tolong tuangkan banyak kali untuk abang pun boleh."

Umi meletak sepinggan cekodok pisang yang masih panas di atas meja. Tangan Abang Ben laju mencapai seketul lalu terus masuk ke dalam mulut. Kalau pasal makan, dia nombor satu.

Umi bertanyakan hal belajar di universiti. Mulut menjawab sebaik mungkin. Kalau boleh aku memang tidak mahu Umi terlalu memikirkan kos sara hidup disana. Setakat ini pinjaman pelajaran sudah lebih dari cukup untuk menampung kehidupan di bandar besar sana. Aku lebih risau mengenang Umi yang duduk berseorangan di sini.

Wajah yang kelihatan penat itu ku pandang lama. Rindu. Pada masa yang sama hati sayu melihat kerutan-kerutan yang mula muncul di wajah Umi. Tanda-tanda bahawa Umi sudah mula melangkah ke fasa tua.

Kalaulah aku punya kuasa untuk mempercepatkan usiaku dan melambatkan usia Umi, pasti aku lakukan. Aku mahu cepat-cepat habis belajar dan bekerja. Dan aku pula yang akan menjadi tunggak utama keluarga kami. Umi pula sudah boleh berhenti kerja dan berehat saja. Sudah terlalu banyak yang dikorbankan untuk membesarkan Ainul Izza selama ini.

"Kalau Auntie Lea nak tahu, Izza ni dah ada calon menantu untuk Auntie."

Kening berkerut.

Mulut Abang Ben yang kepoh itu memang tidak boleh ditahan lagi. Keturunan dia adik-beradik mulut memang kepoh!

Mata Umi terbeliak. Aku menggeleng laju.

"Eleh... Betul Auntie Lea. Tak baik menipu tau!" Mata Ben Azir tumpu kepadaku dengan senyuman mengejeknya.

Mestilah ada Abang Ben yang suka merumitkan keadaan. Kalau Umi pengsan di sini, aku akan buat laporan polis ke atas Ben Azir!

Umi tergelak.

"Apa salahnya. Tapi, jangan lupa belajar pandai-pandai!" pesan Umi lembut dengan nada yang agak tegas. Tudung sarung aku yang sedikit senget Umi betulkan.

Kata-kata Umi buat hati yang gelisah tadi bertukar lega. Nasib Umi memahami naluri orang muda. Siaplah Abang Ben! Ada hari boleh balas!

Lidahnya menjelir mengejek.

Mata menjeling Ben Azir. Tak mahu layan ejekannya yang akhirnya nanti, aku juga yang akan dipersalahkan. Tangan mencapai cekodok di dalam pinggan.

"Umi! Abang habiskan semua sekali!" rengekku apabila pinggan sudah kosong. Langsung tidak fikirkan orang yang kemudian!

Abang Ben buat riak selambanya. Air teh panas di dalam cawan di habiskan sebelum meminta diri untuk pulang ke rumah. Lepas dah habiskan makanan dekat rumah orang, dia blah macam itu je!

Umi meminta supaya aku menghantar abang sehingga ke pintu. Kaki menyarung selipar apabila Abang Ben sudah menyarung kasut.

"Masuklah. Sampai sini pun dah boleh dah. Izza pun penat, bukan?" Lembut tuturnya. Tetapi tetap juga aku hantar dia sampai ke kereta. Kalau tidak, kena pekik dengan Umi nanti.

Ketika kami leka mengatur langkah sehingga ke kereta, fikiran melayang kepada Umi. Umi yang selalu gigih mencari duit itu.

"Kenapa ni?" Abang Ben tidak jadi mahu membuka pintu. Badan disandar ke kereta.

Mata terpejam. Dada sesak dengan rasa bersalah dan perasaan risau.

"Izza risau mengenai Umi. Umi tiada sesiapa yang boleh jaga dia ketika Izza tiada disini. Dan Umi pun makin tua... Abang rasa keputusan Izza sambung belajar ini betul ke? Izza mula rasa yang kehadiran Izza di sisi Umi lebih penting daripada Izza belajar tinggi-tinggi. Izza rasa Izza pentingkan diri."

Abang Ben mendiamkan diri. Mungkin dia juga memikirkan hal yang sama. Keluhnya berat.

"Mungkin apa Izza cakap ada betulnya. Tapi, Izza pernah terfikir tak apa Auntie Lea fikirkan?"

Aku menggeleng. Mata memandang tanah.

"Abang rasa Auntie Lea bangga. Setiap hari. Mungkin bila Auntie Lea pergi kerja di kilang, dia canang sana-sini dengan kawan-kawannya yang Izza sambung belajar. Percayalah pada abang. Seorang ibu tidak mahu apa-apa kecuali perkara yang boleh membahagiakan anaknya. Dan Izza, jangan pernah terfikir untuk berhenti belajar. Ini masa depan Izza dan Umi Izza," pesan dia lagi.

Aku mula terbayang bagaimana Makcik Rahayu galak bercerita sana sini mengenai anak sulungnya, Ben Azir yang berjaya belajar dan bekerja di luar negara. Mungkin Umi juga begitu di tempat kerja. Hati sedikit terpujuk dengan kata-kata Ben Azir.

Makin melebar bibir yang tadinya masam.

"Tapi okay apa... Kalau Izza berhenti belajar lepas itu kahwin aje terus," usikku.

Abang Ben paling pantang kalau perempuan suka buat keputusan mudah begitu. Bagi dia orang perempuan kena belajar tinggi-tinggi supaya tidak bergantung pada suami.

"Ha... Baguslah tu." Matanya menjegil memberi amaran.

Bibir tersenyum simpul. Abang Ben sudah guna kerutan-kerutan kening begitu, maknanya dia tengah serius. Seronok dapat melihat dia marah. Bukan mudah mahu lihat Ben Azir marah. Dia seorang yang tenang sentiasa.

"Jadi, yang mana satu?" Aku cuba mencungkil maklumat.

Abang Ben mengangkat bahu.

"Dia dekat tapi jauh. Nampak tapi kabur. Kenal tapi tak kenal." Abang Ben memberi beri 'hint' mengenai wanita yang dia kejar itu.

Bengang. Entah apa-apa 'hint' yang diberi. Memang nampak sangat tak mahu beritahu.

"Dekat tapi jauh, maknanya dia dekat dihati abang tapi jauh nun di UK sana. Nampak tapi kabur maknanya abang nampak dia tapi abang tak boleh capai dia? Kenal tapi tak kenal? Hm... Abang suka dia tapi dia tak suka abang?" Aku cuba merungkai makna disebalik kata-katanya sesuka hatiku.

Abang Ben melambai tangan sebelum masuk ke dalam kereta. Langsung tidak peduli apa aku kata tadi.

"Oh, abang lupa. Ayat last... Dia tak wujud!" Abang Ben ketawa terbahak-bahak dari dalam kereta. Cepat-cepat cermin keretanya dinaikkan sambil menjelir lidah apabila aku mula memanjangkan tangan.

Mati-mati kena tipu dengan kisah cinta rekaan Ben Azir!

Mata terus menghantar keretanya sehingga keluar dari pagar rumah. Memang selepas ini jangan harap lah aku mahu termakan lagi dengan penipuan sebegini!

•••

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience