BAB 11

Romance Completed 113574

AKU dan Elman berjalan berpimpinan tangan. Hanya sesekali saja kami berhenti dan masuk ke mana-mana kedai yang aku berkenan. Elman hanya menurut rentakku.

"Sayang nak? Elman belikan." Elman mencelah. Tangannya membelek jam tangan yang dipegang olehku tadi.

Aku menggeleng. Tidak pernah terfikir pula mahu membelinya. Sekadar cuci mata saja.

Elman tidak melayan malah dia cari lagi satu jenis jam dengan stail yang sama tetapi untuk lelaki. Mulutnya ramah bertanya itu ini kepada peniaga. Dua tiga jenis jam juga dia hulur padaku meminta pendapat.

"Alah, sayang... Bukan mahal pun. Kita beli, ya? Jam tangan pasangan," pujuk Elman apabila aku masih menolak pemberiannya.

Elman langsung memakaikan jam yang tadi dia pilih ke pergelangan tanganku. Dia juga memakai jam dengan jenis yang sama cuma Elman punya lebih besar sikit dari aku . Sesuai dengan tangannya yang jauh lebih besar dari aku itu.

"Sesuai tak, Tokey?" Elman bertanya kepada pemilik kedai yang melayan kami berdua.

Elman tersenyum mengusik apabila melihat pipi aku bertukar merah. Selesai membuat pembayaran, kami cepat-cepat keluar dari situ. Lagi aku biarkan Elman beramah mesra, makin banyak pula ceritanya.

Elman mengejar dari belakang apabila aku melajukan langkah. Jam ditangan buat aku merasa sedikit bahagia.

"Sayang rasa Abang Ben akan suka dekat Elman tak?" Tidak habis lagi gelisahnya.

"Lepas Elman jumpa Abang Ben nanti, Elman tahulah. Abang Ben baik...."

Elman yang sentiasa berkeyakinan tinggi ini tiba-tiba berubah jadi penakut. Ini kalau kawan universiti tahu, confirm kena gelak. Aku sendiri pun lucu melihat dia, sisi Elman yang tidak ramai yang tahu. Ini belum lagi jumpa umi. Kalau jumpa umi, menggeletar agaknya.

"Apa-apa jadi, you wil stay through thick and thin, kan?"

Aku mengangguk, yakin dengan keputusan yang kami buat sebelum pulang bercuti sebelum ini.

Hari di mana Elman benar-benar serius dengan hubungan kami.

•••

"SAYANG... Elman ada benda nak cakap." Riak Elman bertukar serius.

Aku membetulkan duduk, bersedia mendengar. Jantung berdegup sedikit kencang. Di dalam kepala sudah banyak sangkaan buruk yang datang.

Mungkin, Elman sudah bosan dengan aku.

Atau sebenarnya dia tidak pasti dengan perasaannya.

Atau dia tidak pasti dengan hubungan kami.

Atau dia jumpa yang lebih baik dari aku.

Tanganku diraihnya ke dalam genggaman. Anak mata kami bertentang. Tekak mula terasa kering lalu air liur ku telan menghilang rasa gusar.

"Elman tak main-main dengan hubungan kita. Elman pasti dengan perasaan Elman pada Za. Dan Elman mahu hubungan ini ke fasa seterusnya."

Bait-bait perkataan Elman buat aku tidak boleh bernafas. Untuk beberapa saat, aku terlupa cara mahu bernafas. Terkejut? Gembira?

Elman mengeluarkan sesuatu dari dalam kocek seluar.

Sebentuk cincin yang halus di bawa ke hadapan mata aku.

"Kalau Sayang pun mahu hubungan ini ke arah yang sama dengan apa yang Elman mahu ... terimalah hadiah tak seberapa dari Elman ini." Bibir Elman menyeringai.

Tiada lagi jawapan yang boleh ku beri melainkan satu padang bola kampung aku tadahkan kalau Elman sudi mahu jadikan aku teman disisinya sehingga akhir hayat.

Cincin bertukar tangan. Aku menyarung cincin halus itu ke jari manis. Sempurna!

"Elman tahu yang Elman terburu-buru sangat. Tapi, pertama kali Elman bertentang mata dengan Za, Elman sudah yakin. Hanya Za yang mampu meruntuhkan ego seorang Elman. Dan hanya Za juga pemilik sekeping hati Elman." Nadanya bertukar romantis pula.

Wajahku memerah kerana malu. Lagi-lagi ada mata-mata memandang ke arah kami.

"Tapi, kenapa tiba-tiba? Kita pun baru beberapa bulan bersama." Aku berkira-kira usia hubungan kami yang tidak sampai 6 bulan pun lagi.

Elman mengangguk.

"Za tahu kan ini tahun terakhir Elman? Bukan semata tahun terakhir, tahun tersibuk juga. Elman mungkin akan jadi terlalu sibuk memandangkan final year project akan mengambil masa yang lama. Sedikit sebanyak Elman tahu benda begini akan menganggu rutin kita. Elman cuma mahu Za tahu, Elman benar-benar sayang pada Za."

"... Dan Elman betul-betul mahu Za di sisi. Elman sudah beritahu dengan keluarga Elman. Tapi Elman tahu kemampuan Elman. Banyak lagi perkara yang Elman harus usahakan untuk menghalalkan Za. Jadi, sayang tunggu Elman, boleh? I promise I will come and get you before your final year ended."

Sebak. Jujurnya, aku tidak mahu berharap yang lebih-lebih tetapi separuh hati aku menjerit supaya aku berharap dan menunggu dia.

"And before we're officially belong to each other, sudilah kiranya Sayang stay as mine dengan memakai cincin hadiah pemberian Elman ini. Sayang ada dua tahun lagi di sini. Ramai lagi lelaki bujang yang kesunyian. Jadi, Elman ambil langkah berjaga-jaga saja"

Aku mencuit belakang tapak tangannya. Dia ingat aku ini apa? Kiranya cincin ini umpama garinya pada aku, ya!

Elman ketawa bahagia. Mendengar dia ketawa, aku juga turut terasa bahagianya. Elman benar-benar telah menakhluki hati aku sepenuhnya.

•••

"ZA akan selalu bersama Elman." Seraut wajah Elman yang kacak itu aku renung dalam.

Patutlah ramai perempuan menaruh hati padanya. Struktur wajah Elman memang sempurna, tiada cacat cela. Citarasa kebanyakan wanita. Lagi lama aku melihat dia, lagi banyak hal-hal kecil di wajah dan dirinya yang aku perasan.

Syukurnya tidak ramai yang melihat sisi comel Elman ini. Kepunyaan aku seorang!

Elman yang terkenal dengan perwatakannya yang tegas, sebenarnya comel macam kucing.

Elman mengenggam erat tangan aku yang berada di dalam tangannya. Tangan Elman lebih besar dari tangan aku walaupun aku selalu rasa saiz tubuh kami hampir sama. Cuma tinggi saja yang tak sama. Dia tinggi sikit dari aku.

Aku tidak pernah kisah perincian remeh sebegini. Sejak jumpa Elman, banyak benda yang aku jadi kisah.

"Comel sangatlah tangan Sayang ini."

Aku ketawa terbahak-bahak. Elman memandang aku pelik. Sebelah keningnya terangkat.

"Kalau Elman nak tahu, Za pun terfikir perkara yang sama. Za rasa tangan Elman hensem sangatlah," ujar ku menahan ketawa.

"Yeke? Cara fikir pun dah sama. Cerah peluang berjodoh ni." Pipiku dicuitnya.

Kami sama-sama masuk ke restoran tempat di mana aku sudah janji dengan Abang Ben. Ada sikit masa lagi sebelum Abang Ben tiba. Sempatlah aku mahu membetulkan apa-apa.

"Nak Elman teman?" usiknya ketika aku meminta izin mahu ke bilik air.

Mata menjeling Elman tajam penuh amaran sebelum bergerak pergi.

Selesai urusan, aku mengamati penampilan diri di depan cermin. Tudung yang agak senget dan tidak melengkung cantik, aku kemaskan. Lip balm di dalam poket aku calit ke bibir. Cukup.

Fikiranku mula menerawang. Entah apa penilaian Abang Ben nanti pada Elman. Dan kami.

Dengan aku sekali sudah jadi resah-gelisah seperti Elman. Tadi aku kutuk dia dalam hati, sekarang aku sendiri merasa.

Kaki ku atur keluar ke meja kami semula. Elman duduk tenang saja menghirup air chocolate shake yang dia pesan.

Kenapa aku rasa macam kami sudah terbalik ni? Dia tenang, aku yang tidak tentu arah.

Bibirku mencebik tanpa sedar.

"Aik? Kenapa macam tak ada semangat aje ni?" Tangan Elman menggosok-gosok bahuku.

"Nervous lah," ujarku perlahan.

Riak Elman berubah. Lucu agaknya melihat aku yang sedang tidak senang duduk. Air yang aku pesan tadi dia hulur.

Kalau sudah dia suruh, aku minum sajalah. Sayang punya pasal....

"Assalamualaikum," sapa seseorang.

Kami menjawab salam serentak. Serentak itu juga Elman berdiri tegak. Bibir ku tahan dari tersenyum melihat gelagat tiba-tiba Elman.

Mereka bersalaman. Aku kenalkan Abang Ben kepada Elman. Lelaki berkaca mata hitam yang baru sampai ini.

"Inilah Abang Ben. Ben Azir bin Kamil!" ujarku teruja.

Mestilah teruja. Abang Ben ini abang yang aku bangga-banggakan dari aku kecil kemetot sampai dah besar gedabak begini.

"Elman. Elman Harith bin Khairul Bakhtiar." Elman perkenalkan dirinya sendiri. Matanya memandang wajah Abang Ben seperti tidak percaya.

Abang Ben meletakkan dompet juga kunci kereta ke atas meja kami dan meminta diri untuk ke tandas terlebih dahulu. Berlari-lari anak dia mencari bilik air di dalam restoran. Ada-ada sajalah Abang Ben ini....

"Elman ingat Abang Ben sayang ni umur 50-an. Pangkat-pangkat ayah. Ini betul-betul 'abang' ni."

Komen pertama dri Elman Harith.

Ketawa kecilku terlantun keluar dari mulut. Memang tak pernah pun aku cakap umur Abang Ben berapa. Aku panggil dia abang, jadi mestilah dia macam abang. Kalau dia macam ayah, aku panggil dia pakcik lah!

Memang sudah ku jangka pun reaksi Elman. Semua kawan aku beri reaksi yang sama bila jumpa Abang Ben. Perempuan akan cair, lelaki pula akan insecure. Dan buktinya, Elman dah mula tidak yakin diri. Dari tadi dia dduuk tatap wajahnya di dalam skrin telefon.

"Tak perlu bandingkan diri itu dengan Abang Ben lah, Elman sayang...."

Abang Ben kembali duduk di hadapan kami. Cermin mata gelapnya ditanggalkan.

"Jadi, inilah lelaki yang berani mengorat Za, ya?" Ayat pembuka kata Abang Ben buat darah terserap ke wajah.

Elman berlagak tenang. Dia tawar minuman pula pada Abang.

Dalam hati, aku kagum dengan sikap tenang Elman.

"Harap abang tak kisah," balas Elman.

"Bukan abang yang Elman kena kisahkan pun. Tapi, Izza ni."

Aku membaling straw di dalam cawan ke arah abang Ben.

Abang Ben sengaja mahu jatuhkan market aku di depan Elman!

Abang Ben dan Elman bertukar-tukar cerita. Cerita pasal diri Elman. Tak kan pasal diri Abang Ben pula. Bukan Abang Ben yang nak kahwin dengan aku pun.

Makanan kami sampai. Aku ambil chicken chop, sementara Elman pula tiada selera. Abang Ben hanya minum kopi kerana sebentar lagi dia perlu sambung kerja di rumah. Alasan, tak mahu terlalu kenyang. Nanti tertidur.

Pinggan Chicken Chop aku Abang Ben tarik. Tangannya mencapai pisau dan garfu lalu memotong ayam menjadi saiz yang lebih kecil. Selesai memotong, dia letak semula pinggan di hadapan aku dan menjemput aku makan.

Peranan sudah terbalik. Sepatutnya aku yang jemput dia makan sebab aku yang ajak dia berjumpa di luar ini. Ha, lantaklah!

Nanti giliran Abang Ben kenalkan buah hatinya, aku jemputlah dia makan pula.

"Sayang nak ais kosong tak? Tadi minum shake kan?" tawar Elman.

Aku angguk saja. Tidak mahu menjatuhkan air muka Elman di depan abang. Lagipun, aku pun sedang menjual nama Elman juga ini.

"Ais kosong? Izza tak boleh minum ais kosong sekarang, kan?" Abang Ben menghentikan tindakan Elman yang baru mahu mengangkat tangan memanggil pelayan. Mata menatap skrin telefon melihat kalendar.

Mata aku terkebil-kebil dan baru tersedar yang aku tidak boleh minum ais kosong di dalam tempoh ini. Tempoh menstrual cycle aku. Nanti perut aku kejang!

"Err... Baru Za ingat. Za tak boleh minum ais kosong sekarang."

"Kenapa?"

Alamak! Soalan yang aku sudah agak tetapi jawapannya belum aku karang lagi. Takkanlah benda begini aku mahu beritahu pada dia. Ini kan hal perempuan....

Elman masih setia menunggu jawapan.

"Her menstrual cycle. Nanti perut Za cramp." Abang Ben Azir tolong jawab bagi pihak aku. Selamba saja muka dia.

"Setiap kali Za is on her period, she needs to take her medicine. Make sure you standby some for her, in case she needs it urgently," sambungnya lagi sambil mengingatkan Elman. Wajah aku tebalkan saja.

Lelaki di sebelah aku ini terangguk-angguk. Tumpuan sepenuhnya kepada Abang Ben. Agak lama juga dia begitu sebelum dia mengalih semula pandangannya ke arah aku.

Kami sambung berbual. Turun naik rancaknya. Abang Ben lebih banyak bertanya berbanding Elman. Macam biasalah, Abang Ben memang peramah. Banyak betul soalan dia. Dengan aku sekali di soalnya. Aku rasa macam sedang jawab ujian lisan. Ada masanya, terkial-kial juga Elman mengarang jawapan.

•••

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience