BAB 14

Romance Completed 113574

"IZZA!"

Jeritan Laila buat kaki aku hayun lebih laju. Laila mengeluarkan kepalanya dari tingkap kereta dan melambai ke arah aku yang berada di hujung blok. Beg galas yang sudah aku sumbat sehelai baju dan seluar itu aku campak masuk ke dalam tempat duduk belakang kereta Abang Ben lalu menerjah masuk ke dalam keretanya.

"Abang dalam kereta pun nak pakai cermin mata gelap." Cermin mata yang terletak cantik di atas batang hidungnya aku tarik.

Abang Ben mencebik.

"Izza ni... Habislah kurang hensem abang." Abang Ben pura-pura merajuk.

Eleh! Tak comel langsung nak merajuk pula.

Badan duduk menegak di antara kerusi pemandu dan sebelah pemandu itu. Mata terus memandang ke jalanraya.

"Kita nak ke mana?" soalku.

Laila tersenyum dengan riak keanakan. 3 tiket ke Taman Tema Air Wetworld dikeluarkan dari dalam beg bajunya.

"Laila nak mandi-manda!" jeritnya keterujaan.

Aku bertepuk tangan di belakang. Abang Ben hanya menggeleng. Nasib dialah duitnya dihabiskan pada kami berdua tidak sudah-sudah.

"Abang ingat nak tiup aje kolam renang DIY tu bentang dekat depan rumah." Abang Ben menyuarakan rancangan awalnya.

Aku dan Laila buat muka tidak berminat. Apa barang kolam DIY. Macam budak-budak. Baik mandi Wetworld, ada ombak buatan begitu. Lepas itu ada banyak permainan yang kami bertiga boleh main bersama.

"Abang ingat Za dengan Laila budak tadika ke nak mandi kolam belon tu." Laila tak puas hati.

"Okaylah tu. Tak lemas."

Laila menjelir lidah pada abangnya tanda protes. Aku memasamkan muka kerana aku tahu Abang Ben pasti akan pandang wajah cemberut ini melalui cermin pandang belakang. Jelas aku juga tidak suka caranya melayan kami seperti anak kecil.

"Alah... Okay abang yang salah. Sorry. Manalah abang nak sedar budak dua orang ni dah besar rupanya."

"Sorry sikit. Laila dah boleh kahwin tau. Abang tu aje yang tak nak kahwin. Pergi kahwinlah, abang! Laila tak boleh kahwinlah kalau abang tak kahwin lagi. Langkah bendul!"

Mata Abang Ben menjegil memandang adiknya disebelah.

"Amboi! Belajar tak habis, nak kahwin. Jangan harap abang nak izinkan," bangkangnya.

Aku di belakang berdekah mengetawakan Laila. Cakap tak tengok kiri kanan lagi. Kan dah kena sound dengan abang sendiri.

45 minit perjalanan, kami sampai di depan pintu gerbang taman tema air terkenal di Malaysia itu. Tanpa menunggu, kami berdua terus berlari keluar dari kereta dan bergambar bersama. Abang Ben yang membawa keluar beg baju kami semuanya. Di kiri kanan bahunya penuh dengan beg galas. Beg galas pink dan merah kepunyaan aku dan Laila itu dibawa selamba. Langsung tidak kisah dengan pandangan orang sekeliling.

Muka hensem tapi beg warna pink!

Laila menutup mulut menahan ketawa melihat abang sendiri.

"Oh... Senang aje anak dara berdua ni. Abang pula yang kena bawa beg dia." Beg pink dan merah itu diserah kembali kepada kami. Dia pula hanya bawa beg silang kecil.

"Abang tak bawa baju ke?" Mulut aku gatal pula bertanya. Padahal dah tahu.

"Lah... Macam tak biasa. Abang mandi pakai short je lah." Dia tersengih nakal.

Merah pipiku membayangkan dia dengan seluar pendek.

Wajah aku toleh ke arah pintu masuk. Malu kalau tertangkap di riakku yang aku sedang membayangkan Abang Ben dengan seluar pendeknya seperti yang selalu dia pakai kalau kami mandi sungai di kampung.

Kaki berhenti tiba-tiba. Tangan memaksa kedua-dua beradik ini berhenti juga.

"Kejap! Tapi Za bawa baju biasa aje. Bukan baju mandi!"

Abang Ben dan Laila menepuk dahi. Mereka tak cakap nak pergi mandi Wetworld, manalah aku tahu!

"Tak apa. Situ ada kedai. Jom!"

Kenapalah Ben Azir bin Kamil ini baik sangat. Kalau baik macam ni, habislah duit dia asyik kena sapu dengan aku.

Abang Ben menarik tanganku ke kedai baju terdekat. Tangan memilih-milih mana baju yang aku berkenan. Baju mandi yang menutup seluruh badan aku capai dan meminta pendapatnya. Bila Abang Ben naikkan ibu jari, baru baju tersebut aku letak di atas kaunter pembayaran.

Sementara menunggu Abang Ben selesai membayar, aku menyemak peti masuk di telefon pintar. Langsung tiada balasan mesej dari Elman. Aku tahu jadualnya hari ini agak padat tapi takkanlah sampai balas mesej pun tak sempat. Mesej terakhir padanya adalah tadi pagi di mana aku memaklumkan pada dia awal-awal yang aku akan keluar outing dengan Laila dan abang. Selepas itu, terus sunyi sepi peti masuk telefon.

"Kenapa, Za?" Abang Ben muncul dari belakang. Plastik yang berisi baju renang bertukar tangan.

Aku senyum dan menggeleng, tidak mahu merosakkan keseronokan kami bertiga dengan membincangkan hal Elman pula.

Sebaik sahaja telinga menangkap bunyi bising dari orang ramai, keterujaan kembali dalam diri. Tangan Laila aku tarik masuk ke dalam bilik persalinan wanita.

"Abang tunggu dekat sini nanti tau!" arahku.

Tangan Abang Ben melambai kami dan dia juga masuk ke dalam bilik persalinan lelaki. Usai bertukar pakaian, kami sama-sama meletakkan beg pakaian di dalam satu lokar.

"Abang! Laila nak pelampung," pinta Laila dengan muka cekodok basi. Harapannya, abang akan lembut hati.

"Laila ni... Abang dah letak dompet dalam loker dah."

Kunci loker di scan semula. Beberapa keping not ringgit dikeluarkan dari dalam dompet dan masuk ke dalam kocek seluar pendek. Kami berlalu pergi mendapatkan pelampung berbentuk itik yang Laila mahu. Cukup untuk memuatkan dua orang.

Dan semestinya Abang Ben orang yang kena bawa pelampung. Kami melenggang bak puteri raja di depan.

Sesekali terasa lucu melihat muka tak berapa nak manis abang yang terpaksa mengusung pelampung itik Laila ke sana ke mari. Bila sampai di tempat yang berair, dia campak pelampung itu dan menyuruh kami duduk di atasnya.

"Siapa tak pandai berenang, pandai-pandailah nak hidup."

Mata Laila membulat bila Abang Ben tarik pelampung sehingga ke tengah kolam renang. Laila memaut kuat kepala itik.

Abang Ben seronok berenang kuak lentang. Aku turun dari pelampung. Hanya tinggal Laila saja yang setia memerhati kami. Harap baju renangnya saja lawa, tapi berenang pun Laila tak pandai.

"Hmm... Jadi Pandalela Rinong ke tu? Renung ajelah air kolam ni. Bazir duit abang bayar mahal-mahal," usik Abang Ben. Laila mencebik.

Aku tahu itu bukan niatnya. Dia cuma mahu Laila berseronok daripada tenung air kolam saja. Laila dari kecil memang takut dengan air dalam.

Aku tersenyum seorang diri teringatkan zaman kami kecil dahulu. Abang Ben selalu jadi pelampung Laila. Hanya kerana mahu puaskan hati si adik yang mahu bermain di kawasan dalam, bahu itulah yang menjadi tempat Laila berpaut sementara dia berenang. Lepas Laila, Haimeen pula. Untungnya Laila dan Haimeen kerana punya abang seperti Ben Azir!

"Apa senyum sorang-sorang? Kutuk abang ke?" Kepala aku ditekan kuat. Dia membenamkan kepala aku ke dalam air. Nasib sempat tarik nafas!

"Abang!" jeritku sebaik sahaja berjaya meloloskan diri dari tangannya. Kaki menyepak air, menjarakkan diri dari Abang Ben. Bukan boleh percaya abang ni. Suka 'ambush' orang.

Wajah yang sedang ketawa itu aku pandang kecil besar saja. Lelaki berbadan tegap itu kembali mendekati Laila dan pelampungnya. Dia tarik Laila sedikit ke tepian supaya kaki Laila boleh menjejak lantai kolam.

Aku menyelam di dalam air. Sasaranku, Ben Azir!

Cepat-cepat aku melompat keluar dari air dan membenamkan kepalanya sekuat hati dan selepas itu aku menjauh darinya. Takut kalau dia balas serangan tiba-tiba aku nanti. Kaki sudah siap sedia mahu berenang ke tepian kalau dia kejar aku.

Kepala Abang Ben muncul dari dalam. Rambut hadapan yang sedikit panjang itu ditarik dengan tangan ke belakang. Sudah macam model kolam renang pula aku tengok, dengan tak berbajunya.

Dan bukan aku seorang saja yang mencuci mata! Beberapa orang gadis di belakang dan tepi aku juga melakukan hal yang sama. Tonton babak kolam renang Abang Ben! Parah betul....

Air yang menitis di wajah dan tubuh itu membuatkan aku menelan air liur. Tidak pernah seumur hidup aku lihat adegan 18+ begini. Abang Ben memang dahsyatlah.

"Za... Nasib abang tak mati. Kalau mati tadi, siapa nak tolong cuci kereta abang nanti kalau abang tak ada...," ujarnya geram.

Dalam banyak-banyak orang, kereta mahal dia juga yang dia ingat. Hah!

"Za baru aje nak buat CPR kalau abang lemas tadi," usikku dengan sengihan di bibir.

Ada hati aku nak buat CPR konon. Tengok Abang Ben tak pakai baju pun aku dah malu. Pirah!

Abang Ben tiba-tiba hilang di dalam air. Laila dan aku terkejut. Aku yang tadi sudah mendaki naik ke tangga di tepi kolam terus terjun semula ke dalam air bagi mendapatkannya. Laila tergamam di tepi pelampungnya.

"Bwarghh!!!"

"Abang okay ke tak ni?" Pipinya aku sentuh dengan sebelah lagi tangan memeluk pinggang Ben Azir. Matanya tertutup rapat. Bila tangan aku menyentuh pipi, dia membuka sebelah mata.

"Abang tak lemas ke?" soalnya.

Aku menggeleng. Buat apa nak lemas pula?

"Lah... Za ni pun. Tunggulah abang lemas dulu, baru selamatkan. Tak dapat nak merasa CPR Za."

Automatik tangan aku menolak tubuhnya. Geram. Baik tadi aku biar aje dia lemas dan suruh saja mana-mana minah cina yang pandang dia dari tadi buatkan CPR. Merasalah kau....

"Abang ni!" Giliran Laila pula mengamuk. Tangan menepuk air sehingga terkena muka Abang Ben.

Lelaki itu ketawa terbahak-bahak melihat wajah kami yang sudah masam mencuka. Tak sayang nyawa betul!

•••

KAMI berjalan berdua dari pagar besar kediaman pelajar hinggalah ke blok hostelku. Sebentar tadi Abang Ben yang membodek pakcik guard untuk melepaskan aku masuk tanpa didenda. Lucu menonton lakonan Abang Ben tadi.

Beg baju yang berat kerana isinya yang basah itu abang yang bawakan sehingga ke depan hostel. Langkah kami seiring. Dia tersenyum, aku juga tersenyum. Sunyi antara kami tetapi suasana sunyi yang menyenangkan. Walau tanpa sepatah bicara, aku dapat merasakan bahagianya.

"Kenapa Za?" soal Abang Ben. Tertangkap yang aku memerhatinya senyap-senyap dari tadi.

Ketawa kecil meletus. Dia juga begitu. Apa entah yang menghiburkan aku dan menghiburkan dia.

"Tak. Izza rasa abang ni kalau ke mana-mana pun, mesti boleh hidup kan? Dengan pakcik guard pun boleh jadi kawan baik."

"Hidup Za... Kalau kita tak ramah, susah. Hidup ini saling memerlukan dan bantu-membantu. Macam Izza dengan abang lah." Dia tersengih.

Barisan gigi yang putih itu kelihatan menawan sekali. Pasti Abang Ben ramai peminat. Masa sekolah dulu, aku tidak pernah merasa duduk di bawah satu sekolah dengannya.

Ketika aku di sekolah tadika, Abang Ben sudah di sekolah menengah. Dan ketika dia di sekolah menengah, Abang Ben sudah terbang ke luar negara.

"Macam Abang dengan Izza?" Aku pula bersoal. Tidak faham dengan kata-katanya sebentar tadi.

"Ya. Kalau Izza tak ada, abang tak boleh hidup. Tak ceria. Izza umpama matahari yang menyinari hari-hari abang. Yang membuatkan abang terus bangun dan berusaha. Abang sentiasa mahu yang terbaik untuk Izza," jawabnya.

Aku tenggelam dalam keasyikan melayan perasaan. Kalaulah Abang Ben tahu yang aku juga tidak akan berada di sini kalau tidak kerana dia.

Langkah kami mati. Abang Ben menghantar pandangan yang mulanya aku tidak faham. Hanya selepas mata aku terarah ke blok hostel, baru aku dapat menangkap maksudnya.

Beg baju bertukar tangan. Abang Ben meminta diri dahulu dan menyuruh aku menghubunginya kalau ada apa-apa.

'Apa-apa' apanya? Over-thinking lah abang ni!

Senyuman kami bertaut. Langkah aku hayunkan mendekati Elman di pondok depan hostel.

"Elman dah lama tunggu?" Santai aku bertanya.

Elman mengangguk kecil dan menggeleng. Mana satu ni?

"Lamanya Sayang keluar. Kata dengan Laila. Mana Laila?" Mata Elman mencari kelibat Laila pula.

Beg di tangan aku dicapainya. Bersahaja.

Aku terangkan padanya tentang Laila. Laila yang dihantar pulang dahulu memandangkan asrama Laila lebih dekat. Wajah Elman yang ketat tadi kian mengendur. Senyuman yang aku rasa palsu tadi bertukar kelihatan lebih ikhlas.

"It's okay, Sayang. Elman saja yang overthinking. Sayang dah makan? I am glad you're back, safely." Tangan kami bertaut.

Senyuman keanakan Elman buat hatiku kembali senang. Kenapa mudah sekali dia menyedapkan hati aku begini. Padahal tadi aku rasa aku panas juga sebab dia tidak balas pesanan ringkasku.

Kami berjalan ke arah kantin di sebelah blok dan mengambil mana-mana tempat yang agak jauh dari ramai orang. Aku duduk merehatkan badan dan memerhati pelajar lain sementara Elman pula pergi membeli minuman.

"How was your trip? Did you enjoy it?" soalnya sebaik sahaja selesai menghirup air di dalam gelas masing-masing.

Aku mengangguk laju. Memanglah seronok, pergi main air.

"Kalau dengan Elman mesti lagi best kut."

Serta-merta wajah Elman bertukar lebih ceria. Cincin halus yang aku sentiasa pakai ke mana-mana diamati.

"All I want is for you to be happy. And I will make it reality. Sayang tunggu Elman, okay? Watch me, closely. I will make it reality."

Kepala mengangguk. Elman sedang berusaha sedaya upayanya, aku pun pastilah akan menyokong. Kalau sudah jodoh kami, Takkan aku mahu bertarik tali lagi. Siapa yang tidak mahu percintaan yang berakhir di pelaminan? Tapi, sanggupkah Elman menyayangi umi?

Hati aku berbelah bahagi.

"Elman... Sebelum apa-apa, Elman kena tahu. Izza ada umi di rumah." Aku mengingatkan dia.

Pipinya naik memerah. Kepala digaru-garu. Riak penuh serba salah.

"Sorry, Sayang. Bila Elman dah masuk latihan industri nanti... Kita jumpa umi sayang. Malulah nak jumpa umi dalam keadaan Elman masih tiada apa-apa begini."

Terasa sudah terbang melayang hati aku mendengar kata-katanya. Elman... Elman.... Kenapa kau begitu mempersona? Setiap tindakan dan rancangan selalu memandang ke hadapan. Tidak langsung ada keraguan.

"Kenapa Elman tak balas mesej?"

Bibir terjuih sedikit ke depan. Menjuihkan bibir ini sisi aku yang paling comel.

Elman ketawa.

"Saja. Nak tengok orang tu marah ke tidak... Asyik kita aje yang jeles. Giliran dia lah pula."

Amboi... Selambanya. Dia ingat hati aku ini apa? Tahu tak yang aku berkecil hati dari tadi.

"Jeles kenapa? Mana ada Za buat Elman jeles."

"Ada lah... Jeles sebab Abang Ben selalu dapat perhatian Za, lebih banyak dari Elman."

Aku menampar kuat tangannya. Memang tak langsung!

"Itu abang Za lah! Ei... Nak jeles pun bertempatlah sikit." Geli hati melihat wajah Elman yang sudah mula masam.

"Za memanglah kata begitu. Tapi, Elman betul-betul serius dengan Za tau. Takut aje... Kalau kita terlepas pandang, ada pula yang bagi salam."

Dia berkias-kias pula dengan aku.

"Takkanlah Za nak jawab salam kalau dah tahu diri ini ada yang punya...." Aku cuba jawab dengan gaya yang sama. Tangan sudah bercekak pinggang memandang Elman.

Elman menyengih. Senang hati melihat aku cuba menyamakan rentak kata kami.

"Dalam laut tidak bisa diduga, dalam hati siapa tahu." Dia balas lagi. Ewah!

Sedap dia nak mengata aku ya. Nak cakap aku ini apa?

"Gajah ditelan ular lidi." Aku mengendurkan suara. Mata dilarikan ke dalam gelas berisi air limau ais itu.

"Za... Elman tak pernah fikir macam itu pun. Ada bezakah hidup Izza dengan Elman? Elman makan nasi, Izza pun makan nasi."

Aku tersenyum. Saja mahu mengenakan dia. Aku tahu Elman tidak akan fikir begitu walaupun taraf hidup kami berbeza macam langit dan bumi. Dia anak orang ada-ada, aku ini gadis kampung yang tak ada apa-apa. Tetapi, Elman selalu mengingatkan aku yang segala harta benda itu bukan kepunyaannya.

"Kepunyaan Elman hanyalah sekeping hati yang ikhlas untuk Izza."

Kata-katanya sebelum ini terbit di fikiran. Wajah Elman di depan aku perhati lama. Tidak sangka wujudnya seorang lelaki yang sebaik ini. Selalu merendah diri.

"Ada sama kita makan, tak ada sama kita tahan, okay?" Elman berkata lagi.

Senyuman aku memekar. Di dalam hati aku berdoa agar segala perancangannya akan menjadi kenyataan. Kepala mengangguk perlahan menghantar bicara hati yang sama dengannya.

•••

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience