BAB 1

Romance Completed 113574

KAYUHAN basikal buruk ku lajukan lagi. Kaki naik lenguh mendaki jalanraya berbukit-bukit. Nyaman udara pagi yang berbau tenang itu cukup untuk membuat aku gembira.

Namaku Izza. Mahu lagi panjang, Ainul Izza. Aku lebih suka orang panggil Izza dari Ainul. Sebab? Nama Ainul tidak berapa sesuai untuk aku.

Tangan melepaskan tempat pemegang basikal dan melompat turun dari tempat duduk. Belum sampai lagi di depan muka pintu rumah 3 tingkat itu, aku melaung nama teman baikku, Laila. Bukan Laila Isabella, ya? Ini Laila Azir binti Kamil.

Kalau mahu tahu, nama adik-beradik Laila ini unik belaka. Abang sulung Laila bernama Ben Azir. Kak Ngah Laila namanya Maisara Azir, adik bongsu pula namanya Haimeen Azir. Kalau panggil Azir saja, ke empat-empat beradik ini akan keluar serentak.

"Laila oh Laila!"

Kepala Laila terpacul keluar dari salah satu tingkap bilik di tingkat 2. Kepalanya diangkat sedikit bertanyakan sebab kedatanganku. Terus aku lebarkan kertas di tangan.

"Izza tunggu Laila turun. Masuklah dulu!" Rambut yang serabai itu Laila sikat dan ikat sanggul sebelum memasukkan kembali kepala ke dalam.

Kaki ku hayun masuk ke dalam rumah Pak Cik Kamil.

Aku memang sudah biasa dengan keluarga Laila. Mak Cik Rahayu yang menjaga aku dari kecil kerana umi begitu sibuk mencari duit untuk menampung kehidupan kami berdua.

Kata umi, ayah sudah pergi buat selamanya ketika aku masih bayi, kerana itu umi tiada pilihan lain selain meminta bantuan keluarga Azir.

Balang kuih di dapur ku buka.

"Za, bila sampai?" sapa Mak Cik Rahayu, ibu Laila.

Tanganku segera membantu Mak Cik Rahayu mengemas barang-barang beliannya masuk ke dalam almari dan peti sejuk.

"Baru tadi. Za ada kejutan untuk semua orang," ujarku seraya tersengih-sengih membayangkan riak mereka nanti.

"Wah! Kejutan betul nampaknya ini. Sampai rela menapak ke rumah pak cik pagi-pagi lagi. Selalunya kalau matahari tak tegak atas kepala, Za tak bangun tidur lagi dekat rumah." Pak Cik Kamil menyampuk dan meletak lagi 3 beg plastik di atas meja.

Aku dan Laila memang sama. Anak dara pemalas.

Bunyi derapan kaki Laila yang sedang turun dari tingkat atas menghentikan keinginan untuk meneruskan perbualan. Mataku sudah teralih ke arah tangga mewah itu. Laila muncul dengan rambut merah menyala.

"Ini bila masa pula warna rambut?" ujar Pak Cik Kamil bernada tegas. Kedua kening lelaki tua itu naik tinggi.

Aku mengerling ke arah Laila. Hari itu warna kuning, sekarang merah pula.

"Chill, Ayahnda. Anaknda warna rambut aje. Bukan masuk kelab." Selamba Laila menjawab.

"Kau mahu cuba tak, Za? Aku beli lebih."

"Ha! Jangan mahu ajar anak orang buat macam-macam. Za jangan ikut sangat perangai tak senonoh Laila. Malu pak cik dengan umi kalau Za pun terikut-ikut," bantah Pak Cik Kamil.

Kepalaku menunduk. Nampaknya keinginan mahu mewarna rambut seperti Laila harus dibatalkan sahaja. Laila faham dengan pandanganku padanya.

"Nanti kita warna sikit aje dekat bahagian yang tak nampak," bisik Laila.

Suasana ruang makan kembali tenang.

"Oh! Za terlupa. Kejutan yang Za mahu beritahu tadi adalah ... ta-dah! Za dah dapat tawaran ke universiti!" Kertas yang sudah berkeronyok itu aku tinggikan separas kepala.

Memang sudah menjadi impianku ingin menyambung pelajaran. Impian mahu menyambung pelajaran ke luar negara, namun aku sedar akan keupayaan kewangan keluarga kami. Umi tidak akan mampu untuk menampung perbelanjaan aku di luar negara, jadi ada baiknya impian yang satu itu dilupakan saja. Downgrade sikit aje. Sambung belajar dalam negara pun bagus juga.

Pak Cik Kamil dan Mak Cik Rahayu mengucapkan syukur berkali-kali. Sebelum ini nasibku tidak begitu baik apabila tidak diterima masuk ke universiti tetapi tidak sangka rayuan yang aku mohon memberi hasil yang positif kali ini.

"Tapi tak sama universiti dengan Laila." Laila muncung.

Mata kami bertembung.

"Ala, kita boleh jumpa setiap kali balik kampung, kan?" Aku cuba memujuk walaupun aku juga berasa sedikit kecewa tetapi lumrah kehidupan, ada datang dan pergi.

"Alang-alang Izza sudah dapat tawaran dan Laila pun sudah masuk belajar. Kita buat kenduri kesyukuran sedikit untuk mereka berdua," saran Mak Cik Rahayu.

Haimeen, adik bongsu Laila yang berumur muda 2 tahun muda dari kami itu muncul dengan ular Green-Tree Phyton melilit di lengannya. Sangat bersahaja.

"Apa? Za dapat tawaran? Semua orang dah keluar dari rumah ini. Abang Ben, Kak Mai, Laila... Sekarang ini Za pula. Tinggal Meen aje seorang di rumah. Kenapalah Meen tak terima saja tawaran Diploma dulu. Aduhai...." Jari mengusap-usap kepala ular Phyton-nya.

Haimeen Azir ini nampak saja maskulin. Hari-hari pergi joging dan ber-gym sakan pula di malam hari. Tetapi percayalah, muka kacak begini teman wanita pun tak ada. Sebabnya, dia bercinta dengan ular. Ular betina yang diberi nama Amanda itulah teman wanitanya sejak setahun yang lalu. Hujung bulan ini hari ulang tahun percintaan mereka. Haimeen sudah siap fikir lagi hadiah apa dia mahu beri pada Amanda.

"Jangan nak mengada. Habiskan belajar! Dulu, ibu suruh masuk matrikulasi setahun, tak mahu. Nak duduk bawah ketiak ibu. Sekarang merungut pula. Kalau tidak, dah masuk ijazah sekali agaknya dengan Za." Mak Cik Rahayu mengingatkan.

Haimeen mencium kepala Amanda pula sambil memimik-mimik bebelan ibunya. Memang cari pasal.

Buk!

"Auch! Sakitlah, ibu...," rungut Haimeen Azir. Kepalanya digosok. Tangan melindungi Amanda dari terkena pukulan si ibu.

"Ular tu pergilah masukkan dalam cage. Tak selera ibu nak makan. Dia tenung aje ibu dari tadi." Mak Cik Rahayu menurunkan semula sudunya. Tak jadi mahu makan apabila direnung oleh Phyton Haimeen, si Amanda.

"Itu sebab ibu pukul Meen. Dia marahlah. Berani-berani ibu pukul boyfriend dia." Haimeen ketawa jahat.

Aku menggeleng kepala. Sebentar lagi sah kena pekik. Tangan sudah siap sedia menutup telinga. Pak Cik Kamil dan Laila juga melakukan hal yang sama.

"Haimeen Azir!"

•••

MAJLIS kesyukuran yang serba sederhana itu diziarahi ramai orang. Mahu sekampung juga yang bertandang ke rumah tiga tingkat Pakcik Kamil ini.

Pak Cik Kamil memang dikenali dalam kalangan orang kampung kerana dia adalah orang yang bertanggungjawab menaiktaraf juga membangunkan tanah-tanah di kampung ini yang dahulunya hanya semak samun. Sekarang sudah banyak projek perumahan dan kedai-kedai. Kebanyakan dari projek-projek tersebut di bawah kendalian Pak Cik Kamil sendiri.

"Za...," panggil umi. Aku terus berdiri mendapatkan umi. Semua kerja-kerja tadi aku tinggalkan sebentar.

"Za dah ucap terima kasih pada pak cik dan mak cik, kan?" soal Umi.

Kepala mengangguk. Kalau mahu cakap pasal terima kasih, hari-hari aku mengulang ayat yang sama pada pak cik dan mak cik. Seharusnya umi tidak perlu risau. Dia sudah mendidikku dengan baik untuk selalu berterima kasih dan membalas baik jasa orang lain kepada kami. Kami cuma berdua. Tiada siapa lagi yang kami boleh harapkan untuk membantu dan membela kami melainkan jiran tetangga. Hubungan yang baik harus kami jaga.

"Umi pergilah berehat. Dari tadi umi asyik berdiri saja. Biar Izza yang buat semua ni," halangku apabila umi sudah menyingsing lengan baju, mahu duduk mencuci pinggan mangkuk.

Bukan aku tidak mahu umi membantu, tetapi hari ini saja peluang untuk umi berehat sepuasnya dan aku tidak mahu dia berpenat lelah di hari cutinya.

Tanganku menolak tubuh umi supaya berlalu masuk ke dalam dan pergi menyertai Mak Cik Rahayu di ruang tamu. Umi akur. Setelah yakin yang umi sudah duduk di sebelah Mak Cik Rahayu, barulah aku kembali menyambung kerja yang tertangguh tadi.

"Za!" Tanganku berhenti lagi. Kali ini Laila pula yang datang.

Kepala ku angkat dari memandang air sabun di dalam besen. Tangan terus menggosok pinggan kotor dengan span.

"Nah! Sebab Abang Ben tak dapat balik... Dia kirim surat aje pada kita berdua. Yang ini untuk Za," beritahu Laila.

"Laila bacakanlah. Tangan Izza bersabun."

Laila menggeleng laju. Tangan menyilang.

"Tak mahulah. Nanti Abang marah. Kalau dia kata dia bagi pada Za, Za saja yang kena baca. Lagipun, Laila punya Laila dah baca dah."

Eleh! Macamlah Abang Ben tahu.

"Laila pegangkan dulu, boleh?"

Laila angguk.

"Abang Ben makin peliklah. Ada telefon, mesej sajalah. Nak bagi surat macam orang zaman dulu dah kenapa. Agaknya berapa lama sudah dia pos surat ini dari UK sana?" Laila berseloroh.

Aku juga terfikir hal yang sama tetapi malas mahu menyerabutkan fikiran. Itu hak Ben Azir. Tangan dia yang sakit dan penat menulis surat. Bukan tangan aku pun. Jadi, tiada kena-mengena dengan aku langsung. Tugas aku, baca surat darinya saja.

Fikiran melayang kepada Ben Azir yang sedang menuntut di luar negara. Abang yang jauh lebih tua dari aku dan Laila itu sememangnya idola bagi anak-anak kampung. Abang Ben pelajar pintar. Kerana itu jugalah lelaki itu berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Jariku mengira-ngira.

"Sudah 10 tahun juga abang duduk di sana? 4 tahun belajar Ijazah, 4 tahun abang kerja, dan 2 tahun lagi abang sambung Master." Kronologi sejarah penghijrahan Abang Ben ke UK aku ulas.

Walaupun sudah 10 tahun berlalu, tapi tidak terasa seperti Abang Ben sudah duduk di sana 10 tahun. Kerana setiap 3 bulan, Abang Ben akan pulang ke kampung. Selalu sangat aku lihat wajah itu. Kepergiannya ke UK pun tidak lagi terkesan di hati.

Laila mengiyakan. Dia merendamkan tangan juga ke dalam besen. Membantu mana yang patut.

"Tapi abang kata dia nak balik Malaysia. Cari kerja di sini. Tak tahulah lagi sama ada abang mahu jadi arkitek atau pensyarah. Pengalaman kerja abang dulu pun dah cukup kuat untuk dia."

Giliran aku mengangguk faham. Abang Ben yang lebih tua sepuluh tahun dari mereka itu memang sudah patut pulang pun. Umur Abang bukannya semakin muda. Lagi lama dia di sana, nanti pulang bawa calon isteri minah salleh pula.

Ada kemungkinan juga.

"Eh, macam mana kalau abang tiba-tiba pulang bawa minah salleh?" Aku menyuarakan persoalan yang bermain di fikiran. Entah-entah Abang Ben mahu pulang Malaysia sebab nak bawa teman wanita jumpa Mak Cik Rahayu dan Pak Cik Kamil. Awek minah salleh....

Mata Laila terbeliak.

"Berani ke abang nak bawa minah salleh balik rumah ini? Nak kena pelangkung dengan ibu lah tu."

Jeritan orang ramai di bawah khemah membuatkan kami berdua berpaling serentak. Haimeen keluar tergopoh-gopoh menyarung seliparnya.

"Meen! Kenapa tu?" soal Laila.

Haimeen tergelak. Kepalanya digaru.

"Amanda terlepas dari cage. Itu yang semua lintang-pukang. Meen nak pergi pujuk Amanda balik sekejap."

Kami menggeleng kepala.

Aduhai, Haimeen.... Pergaduhan laki bini janganlah bawa sampai ke luar. Amanda yang merajuk, semua jadi huru-hara. 

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience