BAB 12

Romance Completed 113574

PERTEMUAN pertama aku dengan Elman setelah aku kenalkan Elman dengan Abang Ben adalah sebulan selepas itu. Memang benar apa yang Elman kata. Dia semakin sibuk dengan projek akhirnya. Langsung tidak sempat mahu bersua muka. Kami hanya melepaskan rasa rindu antara satu sama lain melalui panggilan dan video saja.

Aku melambai tangan ke arah Elman yang baru sampai. Di bahunya tergantung arrow casing bag. Elman tersenyum ke arah aku dan terus berlari-lari anak menghampiri.

"Sorry, Sayang. Elman lambat." Air yang aku pesan buatnya dari Cafe di kantin disedut menghilangkan dahaga.

Aku menggeleng tanda tidak kisah. Lagipun, bukan jauh sangat kantin dengan hostel aku. Sebelah aje.

"Tadi Elman tolong seorang budak ni. Mulanya Elman rasa nak biar je since dah lambat. Tapi tak sampai hati pula." Elman bercerita mengenai kisah perjalanan dia sebelum datang menemui aku.

Dan aku pula mendengar dengan fokus walaupun cerita dia tidak menarik pun. Itulah, orang bercinta. Kalau Elman bernafas aje pun rasa menarik saja untuk didengar. Sah, aku sudah jadi tak betul.

Elman bertanya hal remeh-temeh mengenai diriku sepanjang kami tidak berjumpa. Tiada apa yang seronok mahu aku ceritakan padanya, lagi pula hari-hari aku bercerita pada Elman di dalam telefon. Habis sudah stok cerita dan gosip. Elman hanya menjadi pendengar setia semata....

"Abang Ben tu, err... Dah kahwin ke, sayang?"

Aku tergamam. Mata terkebil-kebil sebelum menjawab pertanyaannya.

Aku kira Elman tidak berminat mahu ambil tahu. Bukan aku tidak nampak perubahan sikapnya ketika makan dengan Abang Ben sebelum ini tetapi aku malas mahu bertanya. Elman lebih banyak mendiamkan diri ketika itu. Entah apa yang difikirannya.

"Belum," balasku ringkas.

"Oh, makin susahlah." Dia mengomel sendirian.

Aku yang dapat menangkap butir bicaranya terus saja bertanya. Bukan jenis akulah nak fikir sendiri begini.

"Susah apa?"

"Makin susahlah nak lawan Abang Ben. Dia serba serbi lagi hebat dari Elman."

Pecah ketawa mendengar jawapan dia. Mengarut!

Ingatkan perempuan saja suka bandingkan diri dengan perempuan lain, lelaki pun sama ke....

Tangan memukul perlahan lengan Elman.

"Mengarutlah Elman ni. Buat apa nak lawan Abang Ben pula."

Elman menayangkan giginya dan dia tolong habiskan sayur yang aku asingkan di tepi pinggan nasi goreng. Bagus, tak adalah membazir.

Aku boleh bayangkan kalau kami kahwin. Citarasa dan kegemaran aku dan Elman selalu bertentangan. Contohnya, aku tak suka sayur, dia suka sayur. Jadi bila aku tak makan sayur, dia yang tolong habiskan. Tak banyak songeh.

Selalunya kalau dengan abang, sah-sah aku dibebel kalau asing-asingkan sayur.

"Biasalah, Sayang. Elman rasa tercabar jugalah. Abang Ben tahu banyak pasal Za dari Elman sendiri," ujarnya dengan riak berjauh hati yang dibuat-buat.

Aku menjungkitkan bahu. Pada pandanganku, tiada beza apa pun antara Abang Ben dan Elman. Sama saja keduanya. Mungkin Abang Ben punya kelebihan tetapi Elman pun ada kelebihannya tersendiri di mata aku malah aku rasa tahap Elman tinggi sikit dari Abang Ben sejak akhir-akhir ini. Aku memang utamakan dia dari segalanya.

"Banyak lagi ke project final yang tak siap?" Aku menukar topik. Tidak mahu dia terlalu memikirkan perkara-perkara yang tidak penting untuk difikirkan.

Elman mengeluh kuat. Rambutnya yang kemas selalunya itu sudah sedikit panjang dan kelihatan berserabai.

Melihatkan keadaan Elman sekarang pun aku sudah dapat membayangkan betapa banyaknya kerja yang masih tidak siap. Kerja berkumpulan pula, pasti akan ada konflik. Dia sendiri pun berkongsi dengan aku masalah dalam kumpulannya dan malang sekali pensyarah yang menentukan ahli kumpulan mereka, bukan mereka tentukannya sendiri. Pastilah banyak ragam dan kerenah.

Tangan Elman aku sentuh lembut.

"I love you," ujarku tanpa mengeluarkan bunyi. Mahu dia bersemangat semula.

Elman menyeringai. Dia balas kembali padaku dengan cara yang sama. Siap lukis bentuk hati atas meja siap. Hati terbuai dengan layanan kasih sayang yang dia persembahkan.

Elman selalu begini, tidak segan silu mempamerkan rasa hatinya.

Entah apa yang Elman nampak pada diri aku ini. Lainlah dia ...hensem, baik, wakil pelajar, semualah. Aku ini? Freshie saja. Lawa itu ada lah sikit tapi aku rasa ada berlambak yang lagi lawa dari aku di luar sana.

"Kenapa Elman suka Za? Maksud Za... Kenapa? Kenapa? Kenapa? Ha, itulah maksud Za."

Kami ketawa terbahak-bahak. Elman membaling air batu dalam gelasnya kepada aku. Aku balas baliklah! Gila ke nak diam aje.

"Sebab Za... Hm, kenapa ek? Nanti malamlah Elman cuba fikir. Sekarang ini tak ada idea."

Ewah! Jawapan mudah, tapi tak selamat.

Tangan memberikan cubitan ke lengan Elman. Telinga menangkap bunyi dia mengaduh tapi aku rasa macam dia tengah menyanyi aje.

"Sakit gila, yang. Boleh bawa mati ni...."

Bahu aku jungkitkan. Pandai jawab, pandailah bertanggungjawab.

Keriangan kami hilang tiba-tiba apabila beberapa orang ahli jawatan kuasa perwakilan pelajar menegur kami berdua. Senyuman lelaki di depan ini pun hilang. Riak bertukar tegas. Dia menjawab pertanyaan mereka dengan begitu berkarisma sekali. Jelas dan ringkas. Ada nada-nada perintah juga.

Aku cuma memasang telinga. Mereka berborak pasal festival sukan rupanya. Dan juga pertandingan perancangan perniagaan anjuran jurusan perniagaan. Semua pun boleh melibatkan diri. Tapi bukan itu yang menarik perhatian aku untuk terus menelinga, suara Elman yang buat aku melekat.

Sambil-sambil memerhati pelajar lain di kantin, aku mendengar perbualan Elman. Melihatkan kesungguhan ahli-ahli wakil pelajar ini buat aku sedar bahawa tugas yang mereka galas bukanlah sekadar demi jumlah merit. Malah lebih lagi dari itu. Kagum. Tidak mudah untuk mengambil tanggungjawab sebesar itu.

"Apa-apa kau inform aku," tegas suara Elman. Riaknya nampak bengang.

"Sorry ganggu, Za. Urgent." Abang Is meminta maaf kepada aku walaupun aku kurang jelas tentang maksudnya sebelum pipi bertukar merah.

"Dah lah. Shuh! Kacau aje."

Kata-kata Elman buat aku mahu sorok muka. Nampak seperti aku yang mengada-ngada di sini, sedangkan Elman yang sibuk sangat mahu jumpa.

Abang Is senyum mengusik memandang kami berdua. Kepala aku geleng menafikan apa sahaja yang sedang terdetik di dalam fikiran Abang Is.

"Dah ada bau dah...." Seorang lagi kawan Elman mencelah. Mereka ketawa sama-sama.

"Bau apa?"

Abang Is memang sengaja, walhal dia sudah tahu benar lawak kawan tu.

Aku berpaling dari terus memandang wajah mereka semua. Lagi lama mereka tatap wajah aku, lagi banyak idea mahu mengenakan kami.

"Nasi minyak. Man, aku nak duduk meja depan pelamin." Bahu Elman mereka tepuk berkali-kali.

Elman senyum. Tidak mengiyakan juga menidakkan. Namun, dari senyumannya sahaja sudah buat kawan-kawan yang lain teruja.

"Dahlah! Blah! Kau orang ni menganggulah. Tak boleh beri aku peluang langsung." Pipi Elman juga bertukar merah jambu. Matanya memandang aku penuh makna.

Makna yang sama seperti yang terdetik di fikiran aku ini. Tersenyum simpul aku dibuatnya.

"Elman ini kalau dengan kami, garang dia macam singa. Cuba kalau dengan Za, pijak semut tak mati. Suara pun lembut aje." Abang Is masih belum puas mengusik.

"Betul! Za ada tips tak nak buat Elman lembutkan sikit volume suara dia kalau dengan kita orang? Asyik kena marah aje."

Kaki Elman naik ke punggung Abang Is dan disepaknya. Suruh pergi baik-baik, mereka buat tidak tahu saja. Bila Elman sudah guna kekerasan, baru semua mencicit lari.

"Elman tak jawab pun soalan Za tadi...." Aku menyambung rajuk apabila Abang Is dan kawan-kawan sudah berlalu pergi.

Suasana kembali romantis. Elman menongkat dagu memandang aku tidak berkerdip. Jantung aku pula jadi tidak keruan direnung begitu. Dengan pandangan seromantis itu.

Tenang. Tenang. Elman baru tenung, aku dah gelabah macam ni.

"Za nak tahu kenapa Elman suka Za?"

Aku mengangguk kecil dan memberanikan diri merenung kembali ke dalam mata Elman. Rasa ingin tahu menebal.

"Sebab Za adalah Za. Elman suka segalanya tentang Za. Apa sahaja! Za makan comot ke, Za selekeh ke, Za selalu pakai selipar lain-lain pun, Elman suka. Setiap inci diri Za dan apa sahaja mengenai Za, Elman suka. I don't know. It feels like, we are meant to be with each other from the beginning."

Terpegun. Belum pernah ada sesiapa berkata seperti itu kepada aku. Seperti dalam kisah dongeng saja.

Dan aku tidak sangka aku dapat mengalaminya di alam realiti, bukan fantasi.

Sudahlah, Izza! Apa yang kau tidak habis-habis mahukan bukti dan sebab. Bukankah cinta tulus itu hadir tanpa dipaksa dan tanpa bersebab! Hatiku menjerit mengingatkan diri sendiri.

"I can watch you like this, forever," ucap Elman, lembut. Matanya terus menentang anak mataku.

Kata-katanya meresap masuk ke dalam hati.

Kalau boleh aku ucapkan yang sama padanya, sudah aku ucapkan. Tetapi, ego menghalang. Walaupun aku sayang juga pada Elman tetapi perkara biasalah kalau aku punya walau sedikit keraguan, kan?

'And I can watch you watch me, forever.' Aku mengucapnya hanya di dalam hati.

Aku percaya Elman, tetapi tidak seharusnya kami terlalu yakin diri. Sebelum waktunya tiba, aku akan simpan kata-kata indah itu untuk diri sendiri buat masa sekarang.

Kami terus saling merenung, menghantar rasa hati masing-masing hanya dengan lirikan mata.

•••

AKU menapak ke bilik Hanis di blok A dan kami bersama-sama ke dewan serbaguna universiti untuk menghadiri sesi latihan tarian kebudayaan untuk festival sukan dan juga karnival keusahawanan minggu hadapan. Kedua-duanya akan dijalankan serentak bermakna akan ramailah pengunjung luar yang akan hadir pada hari itu.

Hanis yang mengajak aku menyertai tarian kebudayaan untuk hari karnival nanti. Mulanya aku berat hati juga tetapi kerana mahukan merit, aku sertai sajalah. Masa sekolah dulu, selalu juga aku berzapin masa hari guru. Rasanya tak ada lah susah mana kan.

"Nah! Kau ambil yang ini." Set pakaian tarian diletakkan di dalam tangan aku.

Pakaian kebudayaan itu aku pandang kosong.

"Woi, Maulana! Kau pun join juga, ya?" Hanis menjerit.

Maulana yang sedang rancak berborak dengan kawan-kawan lelakinya terkejut lalu berlari mendapatkan kami di tepi pentas. Maulana nampak semakin kacak pula berbanding ketika di orientasi dulu. Sudah pandai bergaya dan kemas.

"Kau orang pun join juga?" Maulana seperti tidak percaya. Mana tidak nya, kami sudah lama tidak bersua muka. Dia jurusan lain, memang terpisah jauh dari kami semua.

Aku dengan Hanis mengangguk.

Maulana memanggil kawan-kawannya untuk berkenalan dengan kami. Kami berlima duduk berborak bertukar-tukar cerita. Macam-macam masalah Maulana ini buat. Ini pun dia terpaksa masuk tarian kebudayaan sebab pensyarah yang masukkan nama dia. Aku dan Hanis gelak saja. Kenal sangat dengan perangai Maulana. Masa orientasi dulu, dia paling bising. Dan Hanis yang duduk di kumpulan sebelah kami memang jadi lawannya.

"All right! Semua! Mari berkumpul sini!" panggil Sir Shah. Pensyarah muda yang lemah gemalai itu.

Dia membelek wajah kami seorang demi seorang.

"Jumlah semua 14 orang... Saya rasa sesuai sangatlah kalau kita main tarian canggung aje. Apa pendapat awak semua? Jumlah lelaki dan perempuan sama tak?"

Semua bersetuju. Ikut saja cadangan Sir Shah dan aku pasti semua muka tak rela saja ke sini. Ikut saja apa yang akan jadi.

"Tarian canggung dari negeri Perlis. Awak semua pernah tengok tak? Siapa pernah?" soal Sir Shah.

Maulana mengangkat tangan. Aku, Hanis dan beberapa kawan lelaki lain bertepuk tangan untuknya. Tak sangka dia tahu.

Sir Shah berpuas hati. Mungkin dia sudah cukup bersyukur walaupun hanya seorang dari kami yang tahu tarian yang dia sedang maksudkan sekarang. Kalau aku, aku tahu tarian zapin aje. Tiap tahun aku menari tarian yang sama ketika masih sekolah dulu.

Sir Shah membuka komputer riba miliknya dan menyuruh kami mengerumuninya. Video klip berdurasi 3 minit itu dimainkan. Semua leka menonton pasangan-pasangan yang sedang menari di dalam video.

"Kita akan menari macam ini nanti ke, Sir?" Maulana bersoal pula.

Sir Shah angguk. Dia mula mengagihkan kami lelaki dan perempuan secara berpasangan.

Hanis berpasang dengan Maulana. Mahu pecah juga kotak ketawa aku melihat mereka berdua yang macam anjing dengan kucing. Aku pula dipasangkan dengan Khazin, lelaki kacukan melayu dan arab.

Kami diminta berdiri bertentangan untuk menyesuaikan diri dengan kehadiran pasangan tarian masing-masing sebelum melangkah ke fasa seterusnya. Aku menatap wajah Khazin. Dia juga begitu.

"Panjang bulu mata awak," pujiku yang dari tadi tidak boleh mengalih mata dari melihat bulu matanya yang lentik.

Wajah Khazin memerah. Dia mengalih mata ke arah lain.

"Awak pun, Izza."

"Ehem!"

Kepala kami berpusing ke arah belakang.

'Elman!' Hati aku menjerit teruja. Gembira kerana dia datang menjenguk aku di sini.

Elman menghampiri kumpulan kami, bibir tersenyum ke arah Sir Shah dan bersalaman dengan lelaki itu. Abang Is berbual-bual sesuatu dengan Sir Shah.

Aku menelan air liur bila mata Elman tajam ke arah kami.

"Why are you flirting with her?" soal Elman sebaik sahaja dia hanya selangkah dekat dengan aku dan Khazin.

"Do not touch her with your filthy hands."

Wajah Khazin berubah pucat. Teragak-agak mahu menjawab.

"Kita orang tengah practice lah." Aku membantu. Tidak patut rasanya Elman serang Khazin tiba-tiba begitu. Nampak kurang adab!

Mata aku mengarah Elman untuk tidak menimbulkan apa-apa masalah. Erti kata lain, aku halau dia. Senang.

Bukan sengaja mahu halau, tapi terpaksa. Elman buat kami semua jadi tak selesa.

Elman duduk di kerusi berdekatan. Langsung tidak mahu berganjak dari situ. Wajahnya masam mencuka memandang aku dan Khazin.

Sir Shah pula duduk di sebelahnya.

"Sorry tau," bisikku kepada Khazin.

"Tak apa. I faham. Izza okay kan kita menari berdua?" Khazin meminta izin.

Bibir tersenyum senang. Apa yang tak okaynya. Aku okay saja. Lagipun, tarian ini bukan perlu bersentuh-sentuh pun.

"Okay aje. Kenapa?"

"Izza memanglah okay. Yang tak okay... Tu!" Bibirnya terjuih ke arah Elman yang sedang leka berbincang dengan Sir Shah.

Aku buat tidak tahu. Cakap lebih-lebih nanti, Khazin tersalah faham dan tersalah tafsir pula. Tak apalah. Nanti saja aku bincang dengan Elman. Sikap Elman yang satu ini buat aku tidak senang duduk kadang-kadang. Dia agak posesif. Tetapi aku faham dan akan cuba untuk faham tindakannya.

Sir Shah menyusun kedudukan kami dan kami mula meniru tarian di dalam video. Kerana muka kacukan Khazin yang terlebih kacak, kami berdua di tempatkan di tengah.

Aku mengeluh panjang.

"Sorry sebab I hensem sangat, Izza." Khazin cuba bergurau.

Gurauan yang pada aku tak kelakar langsung. Sudahlah atas pentas, menari yang paling depan sekali pula. Ini kalau terlupa langkah ni, malu 7 keturunan.

"Pastikan you tak malukan I, tau." Aku memberi amaran kepada Khazin. Mata menjeling. Dia sekadar menjungkitkan bahu.

"Pastikan you tak buat I malu." Khazin pula ingatkan aku. Amboi!

"Ehem!"

Elman berdehem lagi. Ada-ada sajalah mamat ni!

•••

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience