BAB 25

Romance Completed 113574

AKU tidak berhenti tersenyum melihat gelagat Elman di tepi kereta. Dari tadi tidak sudah-sudah membetulkan baju dan rambutnya. Usai mencari Umi di dapur, aku keluar semula bagi mendapatkan Elman.

"Dah cukup segak dah...," pujiku dengan senyuman.

Memang Elman segak pun! Bagi aku, dia paling segak sekali.

Elman senyum menampakkan barisan gigi putih dan tersusun cantik itu. Malulah tu tertangkap sedang berdandan depan cermin kereta.

"Umi sayang ada rumah ke?"

Kepala mengangguk.

Makin jadi serba tidak kenalah Elman bila aku mengangguk. Dia berpaling semula menghadap cermin kereta. Aku tolong tepuk-tepuk baju Elman.

Dia yang hanya berT-shirt kolar entah jenama apa aku pun tak tahu. Seluar jeans warna hitam, rambut pula dia dandan kemas tidak seperti rambutnya yang selalu aku lihat.

Aku menjemput Elman masuk ke rumah tak seberapa aku ini. Umi tak mahu pindah bila abi usulkan cadangan kami pindah ke rumah besar abi di bandar sana. Dia sayang rumah peninggalan arwah ayah ini dan rumah ini juga hasil titik peluh umi dan arwah ayah. Abi ikutkan saja kehendak umi.

Aku lihat dua laki bini itu sudah macam orang muda yang baru kahwin saja. Umi kaki merajuk dan abi pula kaki memujuk.

Umi dan abi muncul di muka pintu. Elman tersenyum manis mengambil hati.

Tangan abi disalam penuh hormat. Aku pun jadi tersengih juga bila anak mata kami bertembung.

Sementara Elman dan abi berbual di ruang tamu, aku membantu umi di dapur sambil menelinga sedaya upaya perbualan mereka. Abi cakap pasal cuaca hari ini, berita pagi tadi. Elman aku lihat semakin buntu sebab dia tak layan berita sangat.

"Elman nama penuh, apa?" Abi mula bersoal.

Setakat nama, aku tidak kisah sangat. Belum mampu mendebarkan hati aku ini. Lainlah kalau abi tanya pasal duit hantaran. Baru takut sikit.

"Elman Harith... bin Khairul Bakhtiar." Nama ayahnya disebut perlahan.

Aku duduk bersimpuh di depan abi dan menuang air ke dalam cawan mereka berdua. Ini kalau Abang Ben ada, sah pecah rumah aku dengan ketawanya bila melihat gaya aku sudah macam perempuan melayu terakhir.

Elman simpan senyum. Dia pun nak gelakkan aku!

Abi sibuk menonton berita di televisyen sebelum Umi mematikannya.

Mata umi menjegil beri amaran pada abi.

"Tapi... Muka Elman macam pak cik pernah nampak."

Erk! Abi pernah nampak Elman dekat mana pula ni....

Kelab malam? Aku sudah resah.

Aku pandang wajah Elman. Terkebil-kebil mata.

Elman mengangkat sedikit keningnya, mungkin cuba ingat wajah abi juga.

"Elman... Pernah dengar nama kilang BumiHerbs sebelum ni?" soal abi lagi. Abi betulkan duduknya.

Bumiherbs? Kilang abi? Kenapa?

Elman berfikir-fikir sejenak. Senyuman terlakar di wajah. Anggukan kepalanya yakin.

"Bumiherbs. Pernah, pak cik. Ayah saya..."

"Yang bertanggungjawab renovate kilang pak cik. He's one of my friends. Navara Construction, kan?" Abi tolong sambung kata-kata Elman.

Elman angguk membenarkan apa yang abi kata tadi.

Aku melopong. Mata memandang Elman. Dari senyumannya saja aku tahu apa yang abi kata itu semuanya benar.

"Tapi... Bukan ke Tan Sri Kee Yong Wan tak ada anak?" Soalan Abi yang seterusnya buat aku terkejut.

Kee Yong Wan? Cina?

Elman mengangguk lagi.

"Betul. Saya anak tiri papa. Kami selalu panggil, Papa Khalid." Elman membetulkan nama ayahnya.

Abi mengangguk lalu ketawa. Tangan memegang kepala.

"Oh, lupa... Pak Cik selalu panggil dia Yowan aje. Tak teringat pula nama Islamnya. Tak sangka dia ada anak sebab perkahwinan sebelum ini pun memang dia tiada waris. Yang pak cik tahu, dia kahwin perempuan melayu tapi tak ada buat majlis macam sebelum ini."

Wah... Satu lagi mengenai Elman yang aku baru tahu. Ayah tirinya berbangsa cina rupanya.

"Itu sebab pak cik macam pernah lihat saja Elman. Elman budak lelaki yang selalu ikut Khalid itu, ya?"

Elman senyum lebar sambil mengiyakan kata-kata abi. Aku jadi senang hati melihat penerimaan abi pada Elman. Nampaknya peluang kami cerah.

"Saya memang suka bangunan. Jadi, saya selalu ikut papa dan tengok cara papa kerja."

"Kecil betul dunia. Beberapa tahun lepas pak cik nampak Elman di kilang, hari ini... Elman datang rumah pakcik 'cuba nasib' pula."

Ketawa mereka bersatu. Aku jadi malu bila abi kata Elman sedang 'mencuba nasib'.

Umi dari tadi hanya diam dan memberi ruang pada abi sahaja. Langsung tidak mencelah. Sesekali saja matanya bertembung dengan mataku.

Umi mempelawa Elman makan malam sekali memandangkan umi sudah masak banyak. Rancak sebentar rumah kami dengan bermacam cerita dan banyaknya abi yang bercerita. Dari pada masalah politik ke masalah isu semasa dia buka. Elman menjadi penyokong dan pembangkang pada masa yang sama.

"Assalamualaikum!"

Salam dari luar rumah menghentikan perbualan rancak kami seketika. Abi memandang umi.

"Ha, pergilah. Anak kesayangan awak datang," izin abi.

Tersenyum-senyum umi bangun dan berlalu ke luar rumah. Aku sudah dapat agak siapa di luar sana dan bertambah yakin bila umi masuk kembali dengan membawa bekas makanan.

Abang Ben sengaja nak curi kasih sayang umi dari aku! Sampai umi sudah berani mengaku Abang Ben anak kesayangannya.

Umi berlalu ke dapur untuk memindah lauk ke dalam bekas lain. Abang Ben pula masuk dan bersalaman dengan abi dan Elman.

"Ben ganggu ke? Maaf, pak cik...." Tapak tangannya bersatu. Muka penuh rasa serba salah.

Seperti biasa. Kalau dia sudah datang, wajib kena menjamah secawan air kopi. Terus aku ambil cawan di dapur dan menuang secawan kopi untuknya. Abang Ben teragak-agak.

"Jangan malu-malu, abang. Macam tak biasa," pelawaku sambil menarik kerusi di meja makan untuknya.

Terus terlupa pada Elman. Sudah terbiasa melayan Ben Azir yang selalu bertandang menumpang makan di rumah.

Lambat-lambat Abang Ben duduk. Tangan mahu menyenduk nasi pula untuknya tetapi dihalang oleh tangan Abang Ben.

"Tak apa lah, Za. Abang pun nak balik dah ni. Abang minum secawan aje."

"Lah... Makanlah dulu. Elman pun ada ni. Meriah sikit." Umi pula mempelawa. Umi kalau pasal Abang Ben, lautan api dia sanggup redah agaknya.

Elman ikut mempelawa Abang Ben. Abang Ben apa lagi... Kalau sudah semua orang pelawa, dia sambutlah sepinggan nasi yang aku hulur dari tadi. Senyum melebar.

Tergeleng kepala melihat perangai anak teruna Mak Cik Rahayu ini. Manalah datang perangai tak tahu malu abang Ben ini. Dari Pak Cik Kamil agaknya.

Kalau tadi hanya abi seorang jadi penemu duga, sekarang ini tambah lagi seorang penemu duga tak bergaji. Ben Azir.

Macam-macam dia tanya dan cerita. Habis segala isu politik dia dan abi buka. Siapa Elman sokong pun dia tanya juga.

Mata melirik kepada Elman, memberi dia sedikit semangat. Sabar sajalah dengan perangai orang lelaki di dalam rumah ini.

•••

SETELAH Abang Ben pulang ke rumahnya, barulah abi dan umi kembali serius semula. Abi beri kata putus di mana dia akan menyokong saja apa keputusan aku dan umi pula lebih bertegas. Dia terima Elman dengan hati terbuka tapi umi mahu kami habiskan belajar dan ada kerjaya sendiri terlebih dahulu baru memikirkan hal kahwin.

Elman ada juga menyuarakan keinginannya mahu mengikat tali pertunangan tetapi umi membantah kerana tidak berani mahu berjanji. Akhirnya, kami terpaksa terima saja keputusan umi.

Aku menghantar Elman sehingga ke keretanya. Sebal.

"Kenapa ni?" Suara Elman lembut.

Bibirku memuncung sedikit. Tidak faham kenapa umi tak mahu berjanji lama-lama. Bagi aku, tiada salahnya pun kalau kami bertunang.

"Sayang tak suka ke apa umi kata tadi?"

Aku mengangguk. Bukan tak suka, tak faham!

"Ada betul juga tu. Apa umi maksudkan, Umi tak berani nak janji dengan ikatan pertunangan. Lagipun kita tak boleh jangka apa akan jadi. Mungkin sayang belum ada kerjaya tetap dalam masa dua tiga tahun. Jadi, kita pun nanti bertunang dua tiga tahunlah. Itu maksud umi... Umi takut termungkir janji pula." Tangan aku dibawa ke dalam genggaman.

Elman menyandar tubuh ke keretanya sambil merenung ke dalam anak mataku.

"Sayang percaya dekat Elman, kan?" Soalannya buat mata aku membuntang.

Mestilah aku percaya Elman!

Elman senyum.

"As long as you believe in me. Satu hari nanti, andai jodoh kita... Elman akan datang ke rumah ini dengan cara terhormat untuk minta sayang dari Umi dengan cara terhormat juga. Elman akan pastikan tiada sedikit pun keraguan di hati Umi untuk terima Elman."

Ketenangan terus meresap masuk ke dalam diri setelah mendengar kata-kata Elman. Aku yakin Elman adalah yang sudah tercipta untuk aku. Dan aku akan setia menunggunya.

"Datanglah walau sejuta gadis lain, hanya Izza dalam hati Elman." Hidung comel aku dicuitnya.

Terkekeh aku ketawa dan kembali menatap anak mata Elman.

"Dan datanglah walau seratus lelaki lain, Elman saja yang Izza akan tunggu."

Elman tersenyum lebar.

Hati masing-masing berbunga cinta. Tangan aku digenggam kuat.

"Dan satu hari nanti, Izza akan jadi suri hati Elman. Insya-Allah," ujarnya lagi.

Aku mahu melompat terbang dah ni!

Tangan melambai kereta Elman sehingga dia sudah menjauh. Barulah aku kembali masuk ke dalam rumah semula. Hati bernyanyi riang mengalunkan lagu cinta kami sendiri.

"Za," panggilan umi yang sedang duduk di sofa kayu di ruang tamu itu menghentikan langkah kaki yang mahu berlalu masuk ke bilik tadi.

Terkebil-kebil mata bulatku memandang umi di kerusi lalu terus duduk memeluk umi. Abi sudah keluar entah ke mana. Kedai agaknya. Abang Zafril mestilah tidak duduk sekali dengan kami. Dia ada rumah dia sendiri. Lagipun tidak manis jika Abang Zafril duduk bawah satu bumbung dengan aku yang juga sudah berstatus anak dara ini.

"Za suka Elman?" Pertanyaan umi buat aku mengangkat wajah. Lambat-lambat mengangguk.

"Umi tak suka Elman?" Aku pula bertanya.

Umi menggeleng.

Umi... Paling pun umi fikirlah dua tiga saat dulu.

"Sebab Elman dan Za sama-sama masih muda," ujar umi.

"Apa salahnya, umi? Bukan ke lagi bagus. Sama-sama majukan diri. Susah dan senang bersama."

Aku tak mahu berbangkang-bangkang dengan umi. Macam Elman kata tadi. Mungkin ada maksud disebalik kata-kata umi. Mungkin umi terlebih risau.

Rambut aku diusap lembut oleh tangan berjari runcing milik umi.

"Sebab Za manja. Elman pula tegas orangnya. Mampu ke Elman sabar dengan Za yang manja begini? Lepas kahwin nanti, 24 jam bersama tau. Tenung muka masing-masing. Duduk satu rumah, tidur satu katil. Marah macam mana sekalipun, kena sabar. Umi tak mahu Za dan Elman berkahwin tergesa-gesa, bila ada masalah ... jadikan penceraian sebagai penyelesaian."

Aku tak sangka umi akan dapat mengesan masalah hubungan kami yang satu ini walaupun sudah sebaik mungkin aku cuba buktikan dengan perlakuan tadi bahawasanya aku dan Elman boleh bertoleransi.

Betul cakap umi. Memang kadang-kadang kami bergaduh sebab Elman selalu tegas dan aku pula selalu mengada-ngada dan manja.

Tapi, satu ini aje masalah kami. Lain-lain itu cuma masalah remeh-temeh.

"Izza boleh belajar jadi lebih matang." Aku cuba beri penyelesaian untuk meyakinkan Umi.

Umi tersenyum tapi masih menggeleng.

"Izza belum faham lagi. Dalam hubungan perkahwinan, apa lah gunanya kalau hanya salah seorang saja yang berubah jadi lebih baik."

"Umi sudah ada pilihan untuk Za ke?" Aku bertanya.

Cara umi membantah hubungan aku dan Elman ini macam dia sudah ada pilihannya untuk aku saja. Malaslah mahu berkias-kias. Terus saja lagi mudah. Kalau umi sudah berkenan dekat anak teruna siapa-siapa, bagi tahu aje. Boleh juga aku lawan semula nanti.

Umi tergelak kecil lepas itu umi angguk sekali.

Mata terbeliak. Terlopong aku untuk sesaat. Dan aku angkat kepala sedikit minta umi beritahu siapa.

Biar betul umi ni? Aku main-main aje.

"Abang? Za tak suka?" ujar umi dengan senyuman.

"Ha? Abang mana?"

Muncung umi terhala ke arah rumah di atas bukit. Walaupun memang jauh sangat rumah Pak Cik Kamil dari rumah kami ini, melihat arah muncung umi pun aku sudah dapat jangka gerangan lelaki yang umi pilih untuk aku.

"Umi! Abang Ben itu macam abang Za ajelah. Tak sesuai langsung nak buat jadi suami. Apa entah yang umi nampak dekat abang tu..." Bibir aku juihkan tanda protes.

Pelukan di pinggang umi aku lepaskan. Dan berpeluk tubuh memandang televisyen di depan mata.

Umi menarik dan menocang rambut yang sudah panjang melepasi bahu ini.

"Mestilah banyak yang umi nampak."

"Bukan sebab abang selalu rasuah umi dengan lauk-pauk ke?" Mata menjeling Umi tajam.

Terus bahu aku kena penampar sulung umi. Hah!

"Tak ada maknanya. Sebab abang seorang lelaki yang bersifat tenang. Mudah dibawa berbincang dan berbual. Matang. Serba-serbi kenal Izza dan umi pun tahu hati budinya. Tak kuat menipu... Tak kuat melenting... Rajin bekerja. Baik hati. Seorang yang penyabar. Abang boleh jaga Izza dengan baik." Tenang dan bersahaja nada suara Umi.

Punya panjang berjela umi puji Abang Ben. Tapi, tak! Aku tetap tidak boleh bayang Ben Azir dan aku di pelaminan! No!

"Elman?" Aku tanya umi.

Umi jungkit bahu.

"Elman lelaki yang baik. Sayang pada Za. Baik dengan umi dan abi. Dari keturunan yang baik juga. Cuma... Elman terlalu muda untuk memimpin keluarga."

Aku murung. Umur bukan penentu kehebatan sikap kepimpinan seorang lelaki kan, umi?

"Izza yakin dengan Elman." Masih cuba meyakinkan Umi.

Umi masih tetap dengan jawapannya. Dia tidak suka Elman. Dengan kata lain, dia rasa kami berdua belum cukup matang untuk fikir tentang kahwin. Apalagi, nak kahwin.

"Ada banyak lagi dugaan dan rintangan hidup Izza dan Elman tidak rasa lagi. Kalau Izza mahu kahwin dalam umur yang muda, umi boleh izinkan. Tapi, bukan dengan Elman. Kalau Izza nak kahwin dengan Elman juga, Izza tunggulah umur Izza dah cecah 30-an."

Umi sudah beri keputusan muktamadnya. Aku buntu.

Kalau bukan dengan Elman... Err... Umi mahu aku kahwin dengan Ben Azir ke?

Umi ni... Tak dengar ke apa yang kami semua bualkan semasa menjemput umi dan abi di airport dulu. Aku dan Abang Ben memang macam anjing dan kucing. Tak serasi. Kalau bergaduh hari-hari, lintang-pukang rumahtangga nanti macam mana? Semua orang pun setuju dengan ketidakserasian kami berdua.

Umi bangun dari kerusi. Mahu menutup api air di dapur dan meninggalkan aku terpinga-pinga sendiri di sini. Apa kesudahan kisah cinta kami?

Mungkin kami patut tunggu lagi sepuluh tahun baru bincang pasal kahwin mungkin.

Keningku berkerut seribu.

•••

Kita nak try function baru NP ni. Ha Ha! Kalau korang nak berborak-borak dengan kita, meh follow chryst dekat ig @chrystnoob :))

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience