BAB 18

Romance Completed 113574

TUBUH umi aku peluk erat. Tangan umi lincah menocang rambutku. Sudah lama tidak bermanja dengan umi sehinggakan sekejap saja rasanya cuaca sejuk di pagi hari sudah bertukar panas.

"Dah besar panjang pun peluk umi lagi." Bunyi motor buruk berhenti di luar rumah buatkan mulut serta-merta mendecit.

Abang mengeluarkan bekas lauk dari dalam bakul motornya. Lidah mengejek aku yang sedang berbaring di pangku umi.

Rambutku yang sepanjang bahu itu umi lepaskan. Terus kepala aku pun umi tolak supaya bangun dari pangkunya. Umi!

"Lauk apa pula hari ini? Rajin sangatlah Ibu Ben ni...."

Abang Ben tersengih saja. Kasut dibuka, lalu melangkah naik ke rumah kami.

Kain batik yang tersidai aku capai dan letak atas kepala. Menutup rambut, ala kadar.

"Ei... Tak malu. Orang tak jemput pun, dia dah masuk sendiri," ujarku sambil bersandar di depan muka pintu menghalang laluan.

Abang Ben memandang tidak berkerdip.

Serentak itu umi menampar bahuku. Tidak suka bila aku usik anak kesayangannya begitu. Za atau Abang anak sebenar umi!

"Ada abang kisah." Lidahnya mengejek bila umi sudah membelakangkan kami.

Aku mengepal penumbuk dan aku naikkan penumbukku ke depan mukanya. Sekali lagi, bahu aku umi tampar. Umi!

Lagi galaklah Abang Ben mentertawakan aku bila lihat aku asyik kena penampar umi saja.

Kaki menghentak lantai. Protes. Tapi malangnya umi dan Ben Azir buat tidak peduli.

Umi pelawa pula Abang Ben minum sekali. Halah! Umi tak payah jemput pun nanti dia mesti pergi dapur bancuh air sendirilah, umi....

"Jemputlah. Khas Za bancuh untuk abang," ucapku sepenuh perasaan setelah menuang air ke dalam cawannya.

Abang Ben tergelak kecil. Air Teh' O yang masih panas itu terus dihirup sedikit.

Abang Ben dan umi berbual-bual santai sementara aku pula dikerah untuk cuci pinggan di dapur.

Aselehey! Bila Abang Ben datang, terus umi lupa siapa anak sebenar dia.

"Ben sekarang kerja mana? Bilalah Ben nak kahwin... Asyik belajar dan kerja aje."

Ecewah! Umi punya prihatin dengan masa depan Abang Ben. Mak Cik Rahayu pun tak pernah kisah anak dia itu kahwin atau tidak.

"Abang ni isteri dia dekat rumah tu, umi. Kereta mewah dia itu isteri dia." Aku mencelah lah, apa lagi.

Kerja aku memang suka menyampuk orang tua berborak.

Jelingan umi buat aku tersengih. Bukan takut eh....

"Ala... Mentang-mentanglah dia ada calon, Auntie Lea. Kita pun dia nak perli." Abang Ben buat-buat sedih.

Kalau boleh cucuk mata dia itu, aku dah cucuk lama dah. Dia buka mulut pasal calon aku pula, padahal umi tanya calon dia.

"Ada calon saja tapi tak bawa pun jumpa auntie, nak buat apa Ben...."

Ha, umi pula menyambung. Layan sangat Abang Ben. Bagus!

Selesai mencuci pinggan, aku kembali ke meja makan. Mahu menyertai dua kawan baik itu minum sekali. Air di dalam teko dituang masuk ke dalam cawan. Tiba-tiba cawan Abang Ben ditolak ke sebelah cawan aku.

"Tuang untuk abang sekali," pintanya dengan muka selamba. Karipap yang aku goreng pagi tadi dia yang habiskan. Senang aje. Datang rumah orang, habiskan makanan lepas itu lari balik rumah sendiri.

Aku penuhkan cawan abang. Tangan mencapai seketul karipap pagi tadi.

"Bawalah Elman datang rumah jumpa Umi." Permintaan Umi yang satu ini buat aku rasa mahu tercekik.

Kunyahan terhenti sambil mata memandang wajah Umi dengan persoalan. Buat-buat tidak faham.

"Berangan! Kan Auntie Lea suruh Za bawa Elman datang tu...." Abang Ben melaga bahu kami perlahan. lelaki di sebelah ini tersenyum mengejek.

Terluah juga keluhan dibibir. Tidak tahu bagaimana harus aku jawab permintaan yang ini. Aku okay saja kalau mahu bawa Elman jumpa umi tetapi aku risau dengan penerimaan umi pada Elman.

"Nantilah Izza bawa ek, Umi."

Senyuman umi membuat hatiku semakin memberat. Akhirnya tiba juga saat-saat dimana aku perlu bawa calon pilihan datang ke rumah berjumpa umi. Saat yang dulu aku kira tidak penting. Baru aku tahu betapa pentingnya saat yang dulu aku perlekehkan ini.

•••

KAYUHAN basikalku terhenti sebaik saja ternampak kelibat Adilla di salah satu kolam ikan di tepi jalan. Terus tayar basikal bergerak masuk ke dalam kawasan kolam kecil milik keluarga Adilla.

"Ila!" Aku menjerit memanggilnya. Selepas menurunkan tongkat, kaki terjengket-jengket memijak rumput-rumput basah sebelum sampai ke tempat Adilla berada.

"Kau cuti ke?" soal Adilla.

Aku menggeleng.

"Tak. Abang Ben balik hujung minggu, aku ikut sekali. Esok nak balik KL semula." Fikiranku mula sarat dengan tugasan yang masih menimbun di hostel.

Ah! Tak mahu fikir! Ini hari cuti. Hari minggu!

Pancing di tangan Adilla bertukar ke tanganku. Bukan pandai sangat memancing, kalau setakat nak tolong tengok tu bolehlah.

"Abang Ben ada sini ek?"

Wajah Adilla aku pandang dengan senyuman mengejek. Nak mengorat Abang Ben ke tu?

"Pergilah! Dia ada cuci kereta dekat depan rumah." Sebagai kawan, mestilah ada aku yang menyokong penuh hasrat hati Adilla.

Wajahnya sudah memerah. Berkali-kali tangannya menampar peha gebu ini. Apa dia ingat peha aku ini bantal ke nak tampar-tampar. Sakitlah!

"Tak apa lah. Aku segan."

Adoi! Kalau segan, melepaslah kau Ila... Bukan seorang dua yang dah target abang aku tu tau!

"Kau segan, meloponglah nanti." Malas terus melayan Adilla, aku beri tumpuan ke dalam kolam ikan.

"Kau pasti ke kolam ni ada ikan, Ila?" Tiba-tiba terdetik pula di hati mahu bertanya.

Mata memandang wajah Adilla. Kepalanya menggeleng.

"Tak ada ikan pun, Za. Aku saja aje merenung nasib dekat sini."

Terus tali pancing itu aku tarik naik ke atas. Buang masa saja aku tunggu dengan penuh sabar.

"Ei! Buang masa. Jom pergi rumah Laila! Kita main PSP!" Tangan Adilla aku tarik supaya bangun. Kami berlalu ke basikal buruk aku.

"Okay, naik!" jemputku.

Adilla menarik sedikit kain baju kurungnya. Anak dara idaman malaya. Berbaju kurung bagai.

"Kau betul-betul boleh kayuh ke? Aku berat tau." Dia mengingatkan. Aku mengangguk pasti dengan ibu jari ternaik.

Dengan sepenuh kekuatan, kaki mengayuh. Perlahan-lahan putaran roda semakin laju. Setiap kali menuruni bukit, aku dan Adilla ketawa terbahak-bahak tetapi bila mendaki, aku paksa Adilla tolak basikal dari belakang.

Apalagi nak mendaki naik bukit rumah Laila ini. Boleh putus urat.

Aku membuka pagar rumah Laila sementara Adilla menolak masuk basikal buruk itu ke dalam. Basikal buruk inilah yang banyak berbakti dan berjasa sejak sekolah lagi.

"Hai, Za!" Haimeen yang sedang duduk di pangkin bawah pokok mangga, menyapa.

"Hai Amanda!" Tangan melambai-lambai ke arah Amanda yang berada di bahu Haimeen. Adilla sudah menggeliang-geliut di belakang. Takut ular juga!

Haimeen gelak mengekek melihat gaya Adilla.

"Laila ada dekat dalam. Pergilah masuk." Haimeen menjawab persoalan yang berada di minda kami. Dia kembali berbaring dengan Amanda di atas pangkin.

Tangan menarik Adilla yang sedang malu-malu itu untuk masuk ke dalam. Dia punya malu macam tengah nak masuk menghadap mak mertua aje gayanya.

Sebelum naik ke tingkat atas, sempat kami menyapa mak cik dan pak cik yang sedang leka menonton drama sinetron berdua.

Kaki kami berhenti di hadapan bilik Abang Ben. Mata memberi petunjuk pada Adilla.

"Inilah bilik abang," bisikku dengan nada paling perlahan.

Adilla mengangguk-angguk sambil tersenyum simpul.

Mestilah kena maklumkan informasi berguna ini pada. Mana tahu betul-betul berjodoh pula dia dengan Ben Azir.

Dalam aku sedang berbahasa isyarat dengan Adilla, daun pintu terkuak. Dua-dua membatu.

"Ha! Buat apa depan bilik abang ni?" Wajah Abang Ben yang baru bangun tidur itu langsung tidak terurus. Rambut kusut-masai, terpacak sana sini.

Tangan menepuk dahi. Teruklah abang ni... Peminat rahsia di depan mata sekarang ini, cubalah elok sikit muka tu.

Cepat-cepat jariku menyisir rambut Abang Ben yang kusut-masai itu. Nanti daripada Adilla berkenan nak buat jadi suami, terus batal!

"Mana ada buat apa-apa. Kita orang nak pergi bilik Laila tadi." Bibir menyengih menyembunyikan kegiatan tak bermoral kami di hadapan biliknya sebentar tadi.

Mata Abang Ben mencari jawapan di wajah Adilla pula. Gadis itu menunduk malu.

Aiyok! Macam mana nak mengorat abang kalau asyik malu saja.

"Abang tak percaya. Za nak skodeng abang, kan?"

Dia sudah bercekak pinggang di depan muka pintu.

"Ha'ah! Tengah nak skodeng. Abang buat apa tu?" Terus mata cekap melihat ke dalam biliknya yang bersepah. Setiap kali mata aku bergerak, tubuh dia pun bergerak juga menghalang aku dari terus melihat apa yang ada di dalam biliknya. Entah apa yang disembunyikannya.

Aku curiga. Kali ini tangan menolak tubuh Abang Ben supaya ketepi sedikit. Kaki cepat-cepat masuk ke dalam.

"Ha, inilah rupa bilik Abang Ben. Bersepah-sepah," ujarku sambil melihat sekeliling. Bermacam-macam makanan ringan dengan timbunan-timbunan lukisan yang sudah dikeronyokkan berterabur di atas lantai.

Rumah ke pusat pembuangan sampah ni? Menyesal pula pergi tunjuk pusat pembuangan sampah ini dekat Adilla. Nampaknya, jatuh merundumlah market Ben Azir.

Adilla menutup senyuman dengan tapak tangan.

Abang Ben menggaru kepala yang tidak gatal. Mata mencerlung memandang aku.

"Za rajin sangat buat bancian dekat bilik abang, kan? Tolong abang kemas sekali, jom!" Tangan kekar itu menghalang laluan keluar.

Sampah makanan ringan yang bersepah di depan TV kami pungut bersama-sama. Kenapalah tiba-tiba kami jadi tukang cuci tak bergaji pula ni.

Adilla turut sama membantu. Tidak sampai hati agaknya lihat kami berdua mengemas sendirian. Bilik bujang yang agak luas itu nampak sempit kerana kertas dan gulungan-gulungan kertas pelan berterabur di serata bilik. Atas meja jangan cakap lah.

"Abang nak buka kedai kotak terpakai ke apa?" Kaki menendang perlahan kotak kertas A4 yang bersusun di tepi dinding.

"Abang buat kerjalah, Za. Banyak kena print. Abang boronglah berkotak-kotak kertas tu."

Tergeleng kepala mendengar penjelasannya. Nasib kaulah abang kalau wanita idaman malaya ini batal nak buat kau jadi suami lepas tengok bilik begini. Zaman sekarang, bukan mudah nak cari jodoh. Sama susah macam nak cari kerja.

"Izza tengok bilik abang pun dah stress." Timbunan kertas yang dipungut tadi disumbat masuk ke dalam plastik hitam di tangan Abang Ben.

Adilla turun pergi mendapatkan lebih banyak plastik sampah.

Gigih aku dan Abang Ben membersihkan bilik. Makin lama makin leka pula. Nasiblah Abang Ben tak simpan makanan sampai basi.

Meja kopi kecil yang kotor dan melekit itu aku lap menggunakan tisu basah. Abang Ben pula bersihkan sofa bujangnya.

Mata kami bertembung apabila masing-masing memusingkan kepala.

Degup!

Beberapa saat juga kami saling bertatapan sebelum ketawa Abang Ben meledak. Aku mengetap bibir. Nak ketawa tetapi aku tidak rasa mahu ketawa, malah jantung aku rasa mahu meletup pula ketika bertembung empat mata dengannya tadi.

Ish! Tak pernah aku berperasaan begini padanya sebelum ini. Jantung jangan buat hal lah!

"Kenapa abang gelak?" Wajah memasam.

Abang Ben masih ketawa.

"Tak... Abang terpesona. Cantik mata Za... Sesuai dengan kening Za dan hidung Za dan pipi Za...."

Tangan menutup muka dari terus ditilik oleh Abang Ben.

"Sibuk aje tengok muka orang." Aku tutup kening, hidung, mata dan pipi.

Wajah ku paling dari dia. Supaya dia tidak dapat melihat terus ke muka aku. Dan serentak itu juga dia gerak-gerakkan kepala mahu tengok muka aku lagi.

"Kenapa pula? Kenalah tengok, dah depan mata. Takkan nak tutup mata pula. Tutup nanti, takut jalan berlanggar dengan Za pula." Dia masih mengusik.

Bahunya melanggar bahu aku. Membuat aku merasa lebih malu untuk menayang wajah.

Sebenarnya aku malu bila jantungku tiba-tiba sahaja berdebar apabila duduk berdua dengannya. Bayangkanlah, sudah 20 tahun menghadap muka Ben Azir, tiba-tiba jantung aku mahu berdebar-debar pula selepas 20 tahun. Gila ke!

Kalau mahu berdebar pun, kenapa baru sekarang? Sah! Jantung aku ini salah fungsi. Wahai jantung, ini Abang Ben lah... Bukan Elman.

Tisu basah ditangan aku ditarik oleh Abang Ben.

"Nak tutup muka pun, jangan pakai tisu kotor ni. Nanti rosak muka."

Laju tangan mencuit lengan Abang Ben. Ada saja cara dia mahu mengenakan aku. Riang betul dia hari ini nampaknya.

"Ehem!" Dehaman dari arah pintu buat kedua-duanya berpaling serentak.

Wajah Adilla yang sedang tersenyum penuh makna itu buat aku telan liur. Jangan Adilla salah faham pula.

"Nah, plastik abang minta tadi." Adilla menyerahkan plastik di tangan kepada Abang Ben.

Lelaki itu tersenyum manis seraya mengucapkan terima kasih. Hati sedikit pedih melihat senyumannya. Tiba-tiba hilang semua kegirangan yang dirasai tadi.

Tangan berhenti mengemas di kawasan meja dan berlalu pula mengemas sampah di bawah katil. Mahu memberi ruang kepada Adilla dan Abang Ben untuk saling mengenali dan juga melayan rasa pilu sendiri.

Ekor mata memerhati Abang Ben dan Adilla yang rancak berborak. Ada saja yang Adilla tanya pada abang dan abang pula tidak segan-segan menjawab.

Hatiku semakin rawan. Entahlah. Aku rasa Abang Ben dan aku semakin menjauh tatkala ada pihak lain mendekatinya.

Ish! Apa yang aku fikir ni? Adilla perempuan yang baik, dari keturunan yang baik juga. Sesuailah dengan Abang Ben. Kenapa aku perlu terasa hati pula? Sikit hari pasti akan ada seseorang yang menyinggah lalu menetap di dalam hatinya, dan ketika itu aku bukan lagi keutamaan Ben Azir.

Mulut terus membisu, fikiran pula sudah melayang membayangkan akan tibanya hari dimana aku perlu melepaskan Ben Azir pergi dengan kekasih hati. Dia akan ada isteri dan keluarganya sendiri. Sudi lagikah dia mengizinkan aku menumpang kasih seorang abang?

Tangan kasar Abang Ben menyentuh kepala, membuatkan aku tersentak.

"Izza dengar tak abang panggil tadi? Berangan aje kerjanya." Barisan gigi putih kelihatan.

Beg plastik ditanganku sudah diambil. Dia mengikatnya dan menyusun plastik sampah itu di satu tempat. Adilla sudah turun dahulu ke bawah dengan plastik sampah yang sudah penuh.

Tangan menarik hujung baju Abang Ben.

"Abang jangan kahwin awal sangat tau," ujarku sebaik sahaja dia memalingkan wajah.

Argh! Jahatnya mulut aku ini. Meminta yang bukan-bukan dan menghalang dia mencari kebahagiaannya.

Kening Abang Ben terangkat.

"Kenapa, Za?" Suaranya tenang. Langsung tidak kisah mahupun terasa dengan permintaanku yang bukan-bukan.

Matanya aku tatap. Wajah Abang Ben yang sentiasa bersama aku sejak kecil ini, mungkin satu hari nanti aku tidak akan dapat melihatnya lagi. Kami akan terpisah jauh, punya pasangan dan keluarga sendiri. Membayangkannya saja sudah seperti mimpi yang ngeri.

"Kalau abang kahwin dulu, mesti abang akan lupakan Za. Abang pun dah tak boleh keluar jalan-jalan, makan-makan dengan Za lagi. Abang kena selalu dengan isteri abang aje. Jadi, abang jangan kahwin cepat sangat tau," pintaku dengan muka seposen.

Aku pentingkan diri? Mungkin. Abang Ben sudah masuk fasa 30-an dan aku pula menghalang dia berkahwin. Banyak cantik muka aku! Aku faham sangat kalau dia marah atau tidak bersetuju.

Bibir merah cair itu melebar. Senyumannya yang paling menawan sekali!

"Okay. Abang tunggu Za kahwin dulu, baru abang kahwin," janjinya.

Bibir aku menguntum senyum. Beransur-ansur kerisauan yang menyinggah ke dalam hati, menghilang. Janji Abang Ben bukan janji politik. Kalau dia berjanji, dia akan tepati!

"Kalau abang pun minta Za jangan kahwin cepat sangat, boleh tak?" Hidungku dicuit. Ketawa kami bersatu.

Belum pun aku menjawab permintaannya, dia sudah berlalu pergi dengan plastik hitam di tangan. Nampak sangat dia main-main!

Kaki berlari-lari anak senyap-senyap mengejar abang dari belakang dan selepas itu aku tendang perlahan belakang lututnya sehingga dia terjelopok jatuh di depan tangga. Ketawa terbahak-bahak memenuhi ruang tersebut.

"Ainul Izza!"

Panggilan Abang Ben aku balas dengan kenyitan sebelah mata dan flying kiss!

Kami masih ada banyak masa lagi untuk dihabiskan bersama. Dan semestinya Abang Ben terpaksalah hidup dengan aku sebelum heroin sebenarnya datang.

•••

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience