BAB 15

Romance Completed 113574

PELIPIS ku urut perlahan. Mata berpinar-pinar menyiapkan lukisan yang baru separuh selesai. Segala macam perincian harus dilukis dengan sempurna. Ini baru melukis agak-agak sahaja, tetapi bercelaru macam kena lukis gaya yang Elman selalu lukis saja.

Tadi aku mengadu pada Abang Ben, alih-alih aku yang kena ceramah. Dikata manja sangat.

Ah! Kalau dengan Elman, mesti Elman dah tolong aku dah. Abang ni....

Apa boleh buat. Ada benarnya juga kata-kata abang. Sampai bila nak manja, kena kerah sedikit dah merungut begini. Baru belajar, bukan kerja.

"Za.... Kau tak tidur lagi?" Auni menggosok mata. Bantal di kaki disepak jatuh ke lantai.

Aku menggeleng dan tersenyum. Kalendar di atas meja dipandang. Hanya berbaki beberapa minggu lagi sebelum peperiksaan akhir.

Mesej dari Elman membuat aku kembali bersemangat. Gambar yang Elman hantar menerusi aplikasi WhatsApp it aku buka. Sebuah replika bangunan yang cantik di belakang kepala Elman menarik perhatianku.

Elman menghantar satu lagi gambar. Aku terpaku.

Gambar sebuah replika rumah yang unik. Taman kecil yang dihias dengan kolam dan juga pondok tempat beristirahat. Rumah tiga tingkat yang berkonsep modern dan klasik pada masa yang sama terlihat begitu indah. Aku dapat membayangkan betapa gahnya rumah tersebut jika sudah didirikan di atas tanah sebenar.

'Rumah kita. - Elman'

Jantungku berdegup kencang. Rumah yang cantik ini adalah rumah yang Elman impikan selama ini? Inikah replika yang dia sibuk sangat mahu siapkan.

'I won't submit this one. This is ours. -Elman'

Semangat yang hilang tadi kembali. Elman sedang bersungguh-sungguh, aku pun perlu usaha keras juga. Tak mahu harapkan Elman seorang yang gigih sendirian untuk merealisasikan impian kami.

Simbol hati aku hantar padanya.

Elman balas dengan simbol hati dua kali.

Aku balas tiga kali pula.

Lepas itu, dia balas empat hati.

Bila nak habis ni!

Aku minta dia berhenti dan pergi menyambung kerjanya dari melayan aku. Tapi, dia tak mahu. Dia lebih suka berbalas mesej denganku dari baca buku.

Ceh! Saja aje nak buat aku berangan sorang-sorang.

"Ha! Seronoknya ada teman lelaki. Belajar malam-malam pun ada orang temankan." Auni mengikat rambutnya yang panjang ke atas. Dia sudah bersiap-siap mahu bangun dan belajar. Masa tidurnya sudah tamat.

Aku tersengih. Mata Auni nampak saja apa aku buat. Sengaja mahu dijadikan bahangosipnya dengan kawan-kawan nanti.

"Aku suruh kau mengorat abang aku, kau tak mahu...."

Auni masam.

"Bukan aku tak mahu, tapi aku malulah. Kalau bukan abang kau, dah lama aku mengorat."

Eh... Ada kena mengena pula ya. Ngorat sajalah! Bukan aku nak kacau pun.

"Mengarut aje. Ngorat sajalah. Dia itu bujang lagi tau." Sekali lagi aku ingatkan Auni bahawasanya Abang Ben masih tidak berpunya.

Kalau pun dia sudah berpunya, masih ada peluang lagi. Belum kahwin pun!

Auni menggeleng laju. Dia menarik kerusi.

"Aku ini ada kuasa psikik tau. Aku dapat rasalah yang dia itu sudah ada yang punya. Tak beranilah."

Oho! Sekarang Auni sudah ada kuasa psikik. Selepas ini apa pula Auni oi....

Kepala Auni aku tolak. Dia punya melalut, sampai jepun sudah. Sekalipun betullah agaknya tekaan Auni ini tapi seperti yang aku katalah, tak kahwin lagi kan....

"Tak berani, melepaslah kau. Tak dapat suami hensem." Tangan kembali melakar di atas kertas.

Auni menjungkit bahu.

"Tak apa. Banyak lagi stok-stok bujang dekat sini." Auni menyeringai sambil gelak seorang diri.

Auni... Auni....

•••

ELMAN berdiri di depan pintu utama blok hostelku dengan senyuman lebar. Di tangannya terdapat slip peperiksaan yang sudah mula lunyai. Kakiku berlari mendapatkan Elman. Buat penat saja aku menunggu dia di luar dewan peperiksaan tadi, sedangkan dia sudah di sini menunggu aku.

Tangan kami bertaut.

"Macam mana exam, Sayang?"

Ibu jari naik sebagai jawapan pada persoalannya.

Tiba-tiba hatiku diusik rasa hiba. Selepas ini Elman akan memulakan latihan industri. Hanya tinggal aku sendirian di sini. Tiada lagi Elman yang akan teman aku belajar di perpustakaan.

"Elman selalu jenguk Za nanti. Okay?" Elman memujuk.

Aku sedapkan hati sendiri. Entah sempat atau tidak Elman mahu menjenguk aku di sini.

Elman bergambar dengan beberapa orang pelajar junior yang ingin merakam kenangan terakhir dengannya. Aku membiarkan. Bukan hak aku untuk menghalang.

"Selepas ini, Izza sertai JPP juga ke?" Soal salah seorang dari pelajar yang bergambar dengan Elman.

Aku rasa mahu tercekik. JPP? Alamak... Tugasan pun tidak terkejar, ini pula mahu ambil tanggungjawab menjadi ahli wakil pelajar. Tak pernah terfikir langsung.

Tangan aku bergerak ke kiri ke kanan tanda aku tidak akan menyertain Jabatan Perwakilan Pelajar mahupun mana-mana kelab persatuan. Gila ke... Diri sendiri pun tak selamat, nak wakili para pelajar pula.

Elman ketawa melihat aku yang sudah serba salah dengan jawapan sendiri.

"Sayang jangan kisah sangatlah. Dia orang saja aje nak tarik sayang sertai dia orang." Bahu aku digosok-gosok. Elman menolak aku dari belakang menuju ke arah kantin.

Aku menurut saja mengenangkan perut yang memang sedang lapar. Dari pagi aku tidak sempat menjamah apa-apa lagi disebabkan perasaan gemuruh mahu jawab kertas paling susah semester ini.

Elman pergi mendapatkan apa yang patut dan aku pula leka bermain permainan di telefon. Telinga terdengar juga perlian kakak-kakak senior mengenai aku dan Elman di belakang ini. Jangan sampai aku mengadu pada Elman, padan muka kau orang semua nanti.

Wajah ku maniskan apabila Elman datang dengan makanan dan minuman untukku.

"Elman tak makan ke?"

Elman menggeleng.

"Tengok sayang makan pun dah kenyang."

Eleh! Dia punya ayat nak manis aje. Aku sumbat sudu ini dalam lubang hidung dia nanti.

"Senanglah nanti dah kahwin. Tengok muka kita ajelah, tak payah masak."

Ketawa kami meledak. Aku ketawa sebab gembira kerana tak perlu masak, Elman ketawa mungkin sebab aku ketawa sebab menyangka yang aku tak perlu memasak untuknya selepas kahwin nanti. Peningnya....

"Kalau macam itu, nanti Elman bawa Sayang jumpa keluarga Elman. Cepat sikit kita kahwin. Hari-hari dapat tenung muka sayang."

Mahu saja aku cubit dia sekuat hati. Tak malu!

"Elman tak ada dekat sini nanti, Sayang jaga diri tau. Kalau ada lelaki tegur ke, cuwit-cuwit ke... Sayang jeling! Biar nampak garang gila macam sayang jeling Elman masa orientasi dulu."

Ketawa aku pecah. Dia masih ingat jelingan maut aku padanya.

"Ei... Ingat lagi?"

"Mestilah ingat. Jelingan itu yang buat kita jatuh cinta tu. Tak tidur malam abang dibuatnya." Elman kenyit mata.

Sikit hari aku pula yang tak boleh tidur malam kerana teringat-ingatkan dia. Ya Tuhan!

"Elman dekat luar jangan buat perangai. Za nampak tau." Aku memberinya amaran.

Dia senyum mengejek.

"Cakap I love you dulu baru Elman janji."

"Tak nak. Pergilah! Pergi," halauku.

"Alaa... Cakaplah I love you."

"Nak buat apa cakap?" Sengaja mahu jual mahal pula.

"Sebab Elman nak cakap I love you too."

Sah, Elman tak betul! Mengada bukan main.

Bunyi ketawa dari belakang buat kami berpaling. Abang Is dan kawan-kawannya mendekati.

"Orang bercinta memang gini ek? Terutamanya Elman. Dari singa terus bertukar jadi anak kucing. I love you, I love you too. Wow!" usik Abang Is.

Aku ikut gelak sekali kerana bukan aku yang tak betul, tapi Elman. Wajah Elman bertukar garang sebaik saja mata mennetang mata Abang Is. Elman yang mengada tadi tiba-tiba hilang.

Abang Is tiada tanda-tanda mahu takut. Lagi galak dia mengusik.

"Kau tau, Elman ini kalau malam-malam bergayut dengan Za sampai tersengih-sengih!" Abang Is pecah rahsia!

Kaki Elman memulakan tugas. Menyepak kaki Abang Is tak berhenti-henti. Aku pula yang terasa sakitnya.

"Dah lah. Kacaulah dia orang ni, Sayang." Elman mengadu pada aku pula.

Macam manalah lelaki yang garang dan beku ini boleh berubah jadi manja begini.

Abang Is duduk di sebelah Elman. Kak Linda yang tiba-tiba datang pula duduk di sebelah aku. Makin kelatlah wajah Elman bila meja kami semakin penuh siap Abang Is ajak sekali kawan-kawan yang lain.

Aku cuma memberi isyarat mata kepada Elman supaya bersabar. Lagipun ini hari terakhir mereka di sini. Memanglah riuh sedikit berbanding yang selalunya.

"Elman." Abang Is menyiku lengan Elman sambil memuncungkan bibirnya ke arah belakang aku. Kepala aku terus berpaling kebelakang.

Elman mengeluh malas.

"Kejap tau, Za," ujarnya dan berlalu ke arah gadis yang sedang berdiri menunggu dia di depan kantin.

"Za jangan fikir bukan-bukan. Itu peminat rahsia Elman. Bukan sesiapa pun." Macam tahu-tahu saja aku memang sedang menggelegak, Kak Linda memberi penjelasan bagi pihak Elman.

Bibir tersenyum tapi hati memang sedang memaki Elman berbakul-bakul. Kenapa dia tidak abaikan saja?

"Itu namanya Nadia. Dia psiko sikit. Sebab itu Elman terpaksa layan juga."

Mata membuntang memandang Abang Is.

"Psiko?"

Kak Linda mengangguk.

"Dia pernah ugut kami semata-mata sebab Elman tak layan dia. Mahu tak mahu, terpaksa juga kami bertolak ansur. Emak dia yang minta sebab anak dia ada masalah mental sikit. Tak dapat kawal emosi."

Aku sudah seram sejuk.

"Tapi Za jangan risaulah. Dia pun senior. Last lah ni.... Lepas ini pandai-pandailah mak dia nak kawal psiko dia. Kita orang pun tak larat dah asyik nak jaga dia aje."

Keterangan Kak Linda sedikit sebanyak buat aku lega. Tidak boleh dku bayangkan kalau minah psiko ini serang aku di sini semata hanya kerana aku dan Elman bercinta. Moga dijauhkan.

Elman kembali dengan kotak hadiah di tangan. Dia menyerahkannya kepada Linda.

"Kau ambillah. Aku seramlah nak simpan." Elman buat muka tidak selesa.

Kak Linda sambut pemberian Elman. Tangannya lincah membuka bungkusan kecil itu.

Kami semua ternganga serentak.

"Man... Dia nak guna-guna kau ke apa ni?" Abang Is sedikit menjauh.

Kak Linda memusing-musingkan patung keychain berupa Annabelle itu di depan kami. Siap tertulis nama Elman di bajunya.

"Alah! Tak ada apa pun ni. Keychain aje." Kak Linda cuba bersangka baik.

Aku pun mencuba mahu bersangka baik tetapi... Err... Makin banyak pula sangka buruk yang datang tanpa diundang.

"Sangka baik? Tak berani aku." Abang Is dengan mulut lancangnya.

Entah-entah Nadia ikhlas beri Elman hadiah ini. Siapa tahu, kan?

"Elman. Kau betul tak nak?" Kak Linda tanya lagi.

Elman menggeleng laju. Dia pun takut.

"Aku bukan tak sudi tapi minah itu mencurigakanlah. Naik bulu roma aku ni...." Lengan digosok-gosok menunjukkan bulu romanya yang semakin menegak.

Kak Linda menyelitkan keychain tersebut ke beg galasnya. Semua lelaki di situ menjerit ketakutan. Aku jadi tergelak besar melihat telatah mereka.

"Kau ni Lin, lain macamlah taste." Elman peluk Abang Is di sebelah.

"Alah... Dia dah bagi kan."

"Masalahnya bukan dia bagi ke tak bagi ke... Ikhlas ke tak ikhlas... Tapi perangai dia sejak mula lagi memang buat orang tak percaya." Abang Is tetap mahu menegakkan kenyataannya.

"Betul tu! Perut aku ini masih terasa lagi tau penangan makanan dia bagi tahun lepas. Nasib tak mati aje." Elman turut menyokong kenyataan Abang Is.

"Apa jadi tahun lepas? Soalku.

"Elman terima makanan dari Nadia. Terus warded abang ni. Puncanya isi makanan Nadia beri itu ada bahan terlarang. Jadi kes polis jugalah. Tapi Nadia terlepas sebab rekod kesihatan dia. Dari situlah kami tahu dia tak betul sikit."

Berdebar jantung aku mendengar cerita Kak Linda. Biar betul?

Anggukan Elman membenarkan segalanya.

"Sebenarnya selalu aje kami terima benda bukan-bukan dari dia tapi tak pernah ambil. Buat bodoh aje sejak kejadian Elman warded. Dengan kami-kami sekali seram sejuk. Takut kena dekat batang hidung sendiri." Abang Is menekan hujung hidung sendiri dengan jari telunjuk.

"Sebab itu juga kami tak bagi izin dah pelajar sesukahati masuk bilik JPP. Takut perkara begitu jadi lagi."

Aku mengangguk faham.

"Nasib Elman tak mati. Kalau tak, melepaslah awek lawa." Senyum gatal terbit di bibir Elman sekaligus cuba menukar topik ke arah lain. Aku membulatkan mata. Yang lain memang sudah berlagak mahu termuntah dengar ayat mengorat Elman.

Masa begini aku harap Elman jadi Elman yang garang semula. Tebal mukanya memang tak ada siapa boleh kalahkan. Tak tahu malu!

•••

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience