BAB 13

Romance Completed 113574

KURUNG Kedah berwarna merah sudah siap tersarung ke tubuh. Hiasan bunga di atas tudung Hanis kemaskan untuk aku sementara aku pula tolong kemaskan rambut Zalikha.

"Orang perempuan... Tch! Tch!" Maulana muncul dari belakang.

Hanis mencebik dan menghadiahkan jelingan kepada Maulana. Aku senyum saja. Memanglah kita orang perempuan, takkan lelaki pula.

"Alamak, aku rasa nak pitamlah pula!" Khazin menyampuk.

Wajah kami paling ke belakang cepat-cepat. Risau kalau benar Khazin mahu pitam. Aku nak menari dengan siapa nanti!

Maulana menyambut bahu Khazin yang sudah mahu tumbang. Aku tinggalkan Zalikha dan terus mendapatkan Khazin di dalam dakapan Maulana.

"Zin! Janganlah macam ini. Habis itu aku nak menari dengan siapa nanti?" Tangan menggoncang-goncang lengan Khazin.

Lelaki itu mengenyitkan mata sambil menjelir lidah.

"Aku nak pitam sebab kau orang semua cantik sangat."

"Boo!" Maulana mengejek. Terus dia tolak tubuh Khazin jatuh dari dakapannya.

Hanis buat wajah mahu muntah. Zalikha tersipu malu. Aku, rasa nak terajang muka Khazin. Kalau betul dia pengsan tadi, haru jadinya aku menari sendirian dekat depan sekali.

"Kalau kau cakap Zalikha dengan Izza lawa, aku faham. Yang Hanis, aku tak boleh terima. Jauh!" Maulana mengejek.

Hanis sudah mengepal penumbuk.

"Kau jangan sampai penumbuk aku jadi makanan tengahari kau," garang nada Hanis.

Maulana buat muka selamba.

"Tengahari nanti aku nak makan nasi ayam." Maulana membalas.

Khazin cepat-cepat bangun dan menjadi penghalang antara Maulana dan Hanis. Silap sikit, Maulana dan Hanis tak jadi menari nanti. Sia-sia saja hasil latihan 2 minggu berturut-turut.

Tangan Khazin depa luas-luas menyorokkan Maulana di belakangnya. Maulana pula masih tak puas mengusik, dia jengah kepalanya di atas bahu Khazin sambil mengejek-ejek Hanis.

"Aku rasa dia memang dah lama tak makan buku lima lah!" dengus Hanis apabila Khazin sudah menarik Maulana keluar dari bilik solek perempuan.

Zalikha menenangkan Hanis. Aku sudah tidak tahu mahu beri respons apa lagi. Hanis dan Maulana memang tak boleh jumpa. Sekejap baik, sekejap tidak.

"Ei... Aku tengok dia tu dah macam punching bag! Tinggal nak lepas geram aje!" Hanis tak puas lagi.

Aku dan Zalikha biarkan saja Hanis melepaskan geram. Nanti kejap lagi berbaik semulalah mereka. Maulana sengaja aje nak ambil mood pagi, cari gaduh dengan Hanis.

Bip.

Bibir aku ternaik melihat kerlipan dari telefon pintar. Mesti Abang Ben dan Laila sudah sampai!

'Za... Kami dekat parking. Nak kemana ni? - Laila'

Mata membulat.

Panggilan masuk dari Laila juga ada dalam 5 panggilan. Aku tak perasan.

Aku memberi isyarat mata pada Zalikha. Memaklumkan padanya yang aku perlu keluar sebentar dan meminta dia menemankan Hanis sementara aku pergi sekejap. Setelah mendapat keizinan, aku terus berlari keluar mencari Abang Ben dan Laila.

Buk!

"Aduh! Oi! Tak nampak ke!" jerkah orang di depan.

Tubuh tertolak ke belakang. Nasib kaki sempat menahan tubuh dari hilang keseimbangan.

Gadis bernama Bella yang aku kenal itu mengaduh sakit. Matanya menjeling aku tajam. Seramnya!

"Sorry, Kak Bella," pintaku sambil menunduk. Kak Bella ini memang garang. Lawa pula tu. Kulit putih kemerahannya buat aku iri. Rambut ikal mayang dia terletak cantik saja alunannya.

"Ada mata, guna. Ini bukan tempat nak berlari-lari," balas Kak Bella sinis dan berlalu meninggalkan kami.

Aku memandang Zalikha yang turut sama memandang aku. Bahu terjungkit.

"Kau jangan layan. Dia memang panas satu badan tak sudah-sudah." Zalikha bercakap dalam nada perlahan.

"Siapa?" Hanis bertanya. Baru tersedar yang ada insiden panas tadi.

Zalikha berbisik ke telinga Hanis. Automatik muka Hanis berubah menyampah.

"Hek eleh! Tak payah nak over sangatlah. Tahulah Elman tak nak dia!" Hanis bercakap kuat.

Mata aku terbeliak. Cepat-cepat aku tampar perlahan bibir mungil si Hanis itu. Jelingan Hanis aku balas dengan jegilan mata.

"Memang betul pun! Za, aku dengar gosiplah. Dia memang dah lama syok dekat Elman tapi Elman tak pernah layan dia. Dah lama tau aku perhati, dia tak habis-habis menjeling kau aje." Hanis memperlahankan volume suaranya.

Walaupun aku sedikit bersetuju dengan kata-katanya tapi tak baik cakap depan-depan begini.

Ekor mata kami terhala ke arah Kak Bella dan pasangan menarinya yang sedang berlatih.

"Lawa macam itu pun Elman tak mahu. Eh, musykillah aku. Kalau dia nak sangat Elman, pergilah mengorat." Yakin saja aku bercakap.

Mentang-mentanglah aku tahu yang Elman tak akan duakan aku. Mulut aku ini sukahati aje menutur kata.

Hanis melongo memandang aku. Mungkin di fikirannya sudah cop aku ini gila. Ha'ah, gilakan Elman dan Elman gilakan aku.

"Okay lah! Aku nak pergi jemput keluarga aku kejap tau!" Aku meminta izin sekali lagi.

Hanis dan Zalikha mengangguk serentak. Tangan mereka berdua bergerak-gerak menghalau aku pergi.

Aku menjerit apabila ternampak kelibat Abang Ben dan Laila di depan dewan serbaguna. Mereka sudah selamat menjamu selera dibawah gerai kecil berdepan dengan dewan menari kami. Santai saja berdua. Laila dengan baju stail parkour dan seluar jeans separa betis. Abang Ben pula dengan T-shirt BOSS dia, tidak lupa juga cermin mata gelap. Dileher tergantung kamera profesional.

"Izza... Nak makan sekali?" pelawa Abang Ben sambil menyuap rojak di dalam mangkuk ke dalam mulut. Mata meliar memerhati sekeliling.

Aku duduk di sebelah Laila.

"Ha! Abang pandang perempuan eh?" Laila menyergah Abang Ben yang sedang leka mencuci mata. Terperanjat lelaki itu kerana tertangkap walaupun bercermin mata gelap.

Terjungkit-jungkit bahunya ketawa.

Bentuk tubuh Abang Ben yang lebar itu saja menampakkan seperti tubuhnya tegap. Boleh kata Abang Ben antara orang yang dikurniakan jisim tubuh sempurna. Dia makan banyak tapi mudah untuk turunkan semula berat badannya. Bukan macam aku, kalau berat dah naik ... nak turun sekilo pun susah!

"Pandai-pandai aje! Perempuan tu yang tengok abang. Abang tengok balik je...." Sebelah keningnya terangkat beberapa kali. Senyum menyenget.

Dia tidak buka cermin mata pun aku dan Laila sudah dapat mengagak pandangan penuh bangga Ben Azir itu. Huh!

Malas mahu berlawan kata, aku dan Laila habiskan rojak di dalam pinggan Abang Ben. Abang Ben tunggu rojak next trip!

"Abang yang punya, dia pula yang habiskan," rungut Abang Ben. Kami buat tidak dengar.

Abang Ben membersihkan kanta kameranya yang sedikit berhabuk. Sesekali dia meniup kuat supaya habuk yang melekat akan terbang pergi dari celahan kanta. Air ribena yang masih berbaki lebih dari separuh itu diletakkan dekat padaku.

"Nanti Za yang paling depan, ya?" Laila bertanya. Dia sudah berhenti menyuap. Tangan gatal menyentuh hiasan bunga di kepala.

Aku mengiyakan. Mata tumpu kepada makanan di dalam pinggan.

"Abang nak duduk depan sekali. Abang nak rakam Za menari canggung." Abang Ben mengangkat kameranya dan kantanya terarah kepada aku yang sedang makan.

Klik!

Ketawa Abang Ben dan Laila bersatu. Mereka sama-sama melihat gambar aku yang sedang mengunyah makanan dengan lahapnya.

"Abang!" Aku mengerut dahi melihat gambar di dalam kamera.

"Lah... Cantiklah ni. Semula jadi. Za bukan faham pun seni bergambar ni."

Eh! Eh! Dia ingat aku ini duduk dalam hutan ke sampai tak tahu gambar mana cantik, gambar mana tidak.

Aku bercekak pinggang. Sekali lagi ketawa mereka pecah.

"Za dengan baju begitu, dah macam janda kampung sebelah. Yang selalu pakai baju kebaya."

Aku mencebik.

"Ha, yalah! Abang kan suka pergi minum kopi dekat kedai janda tu. Baik abang pergi masuk meminang cepat sebelum dia kena kebas." Aku mengusik dia pula.

Macam aku tak tahu. Kopi dekat kedai janda lawa itu memang kegemaran Abang Ben dan rakan-rakannya. Tah apa yang sedap entah. Sedap lagi kopi aku buat. Cakap sajalah dia suka tengok orang yang buat kopi tu.

"Dah lawa... Takkanlah abang nak nafikan."

Aku buat gaya mahu mencekiknya. Geram dengan orang lelaki begini. Habis itu yang tak lawa macam aku ini macam mana? Semua lelaki asyik nak yang lawa saja. Ha, pergilah kahwin dengan patung!

Laila memaut lengan aku dan mengajak aku meninggalkan abangnya sendirian di belakang. Memang itu pun yang aku mahu buat.

Abang Ben terkial-kial mengeluarkan dompet di poket belakang apabila kami berdua laju meninggalkan dia seorang diri di gerai makan kecil itu. Melihat Abang Ben sudah berlari mengejar kami, aku dan Laila buka langkah seribu. Tinggalkan Abang Ben lebih jauh di belakang.

•••

WAJAH berona kemerahan disertai peluh sudah mula berkumpul di dahi. Tepukan gemuruh yang kami dapat dari penonton buat aku merasa puas. Tetapi bukan itu yang buat pipiku berona merah, tapi sebab abang yang sedang berdiri di baris ketiga itu.

Abang Ben siap berdiri memberi tepukan tanpa segan silu. Kedua ibu jarinya diangkat memberi tanda bagus kepada aku. Aku gembira tetapi segan pada masa yang sama. Macam budak tadika yang ayahnya datang menyokong pula gaya Abang Ben. Laila di sebelah sudah sorok muka.

Kami beredar masuk semula ke belakang pentas.

Kakiku terhenti sebaik sahaja sejambak bunga mawar berwarna putih disuakan ke hadapan muka.

"Elman...." Aku bernada geram.

Segan dengan semua kawan-kawan di belakang tabir ini. Elman menayang gigi. Bunga yang dihulur oleh Elman, aku sambut. Jambakan beberapa belas bunga mawar putih itu aku cium baunya.

"Saja nak bagi sebab Elman tak datang jumpa Za dah berapa hari. Sorry." Tapak tangan disatukan.

Aku menggeleng. Langsung tidak kisah malah faham akan kesibukannya.

Kak Bella di belakang Elman memerhati kami. Apabila mata aku dan matanya bertembung, dia menjeling.

Elman memuji persembahan kami semua dan dia berjanji akan belanja kami semua makan kerana kami sudah sanggup mengambil bahagian untuk menghiburkan pengunjung di sini. Semua bersorak keriangan mengucap terima kasih kepada Elman. Padahal, bukan duit dia yang keluar pun. Dana dari universiti lah!

Tidak sampai beberapa minit di situ, Elman sudah perlu meminta diri. Katanya dia hanya curi masa datang menonton persembahan aku tadi. Ikutkan dia langsung tidak sempat mahu datang dan duduk, ini pun dia datang sebab berjaya larikan diri daripada Abang Is. Tergelak kecil kami mendengar ceritanya.

"Bye, sayang. Nanti kita keluar makan," janjinya.

Ah, janji Elman memang boleh pakai. Tetapi masa dia yang belum tentu mengizinkan. Malas mahu berharap.

Tangan melambai menghantar dia pergi. Bunga di tangan aku letak di atas meja solek lalu pergi mencuci solekan di wajah.

"Mengada aje," komen sinis daripada Kak Bella.

Aku lakar riak tidak faham dan memandangnya. Terkebil-kebil. Biar dia perasan sendiri.

"Sekurangnya Elman suka dia." Seperti biasa, mulut Hanis memang tak boleh kawal.

Kak Bella mengorak langkah maju mendekati Hanis. Matanya tajam. Hanis buat riak selamba, langsung tidak gerun.

"Eh... Kejap! Kejap!" Maulana laju bangun dari kerusi dan berdiri di depan Hanis. Tapak tangannya menahan Kak Bella dari terus mendekat.

Sayang juga Maulana pada kami. Atau sebenarnya pada Hanis?

Matanya menjeling Hanis di belakang. Memang tiada langsung tanda-tanda Hanis menyesal dengan kata-katanya.

Aku membatu. Sebagai orang yang langsung tiada pengalaman mencari pasal dengan orang, aku putuskan untuk menyerahkan saja segalanya kepada Maulana.

"Hanis cakap pasal Zalikha lah, Kak Bell." Maulana mereka cerita.

Matanya meminta Zalikha membantu.

"Ha'ah! Tadi Hanis dengan Ika ... cakap pasal Elman." Semakin lama semakin perlahan pula suara Zalikha. 'Ha'ah' dia aje yang kuat. Lain semua ke laut....

Khazin berdiri di belakang sambil mengunyah popcorn. Aku memandang dia pelik. Sempat lagi dia makan popcorn sekarang? Kepala tergeleng.

"Apa? Cerita best ni!" Khazin hulur popcorn. Menjemput aku menonton drama percuma ini sekali.

Mulut mahu tergelak tetapi senyuman berjaya aku tahan. Sakit juga bibir aku gigit sendiri. Teruklah Khazin ni! Orang tengah serius, dia buat aku mahu ketawa pula.

Kak Bella akhirnya mengalah apabila Maulana dan Zalikha sudah masuk campur. Aku menghembus nafas lega. Tidak dapat aku bayangkan kalau ada adegan tarik rambut dekat sini. Pasti makin galak si Khazin bersorak nanti.

Khazin mengeluh kecewa.

"Aiseh... Pendek betul cerita." Dia letak semula popcorn di atas meja solek. Sampin yang terlilit di pinggang dilonggarkan.

Selesai membersihkan wajah, aku tukar tudung kepada tudung bawal saja yang hujungnya aku campak bersilang ke bahu. Tangan mencapai beg silang di kerusi.

Bahu aku terhinjut sedikit sebaik sahaja menutup pintu belakang dewan. Tempat kami keluar masuk.

"Abang! Buat terkejut Za aje!"

Abang Ben sedang berdiri di tepi pintu keluar. Bibirnya tersenyum lebar melihat aku terkejut. Mata memerhati penampilan aku dari atas ke bawah. Tangan pula menyentuh dagu.

"Alah... Izza dah tukar baju ke? Abang baru nak ajak bergambar kenang-kenangan," luah Abang Ben sedikit bernada kecewa.

Tangan kasar itu menyentuh atas kepala aku, dan diusap lembut.

"You did great just now. I am so proud of you!" katanya lagi. Renungan mata jelas menggambarkan keikhlasan hatinya ketika menuturkan kata-kata tersebut.

Bibirku menyimpul senyum. Ucapan yang pada aku tersangat bermakna. Kata-kata yang aku tak akan dengar daripada sesiapa kecuali seorang ayah. Cuma, ayah gantiku adalah Ben Azir bin Kamil.

Kami berjalan beriringan berdua ke tempat Laila berada. Entah kenapa terasa masa berlalu terlalu lambat. Setiap derapan kaki kami berdua terasa jelas bunyinya di pendengaran. Dan suasana di antara kami sunyi dan tenang walaupun sebenarnya keriuhan di merata tempat.

Dan aku suka. Aku suka keadaan sekarang.

"Za boleh outing tak, esok?" soal Abang Ben. Menghilangkan suasana sunyi antara kami.

Aku cuba mengingat kembali jadual outing pada minggu ini.

"Boleh!"

"Esok abang jemput Za. Laila ikut sekali. Bawa baju lebih tau."

Kaki mahu melompat keriangan. Kalau keluar dengan abang, pasti dia akan bawa kami ke tempat yang menyeronokkan!

"Pergi mana?"

Abang Ben meletak jarinya di bibir.

"Rahsia."

Alah!

•••

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience