BAB 24

Romance Completed 113574

HARI ini umi dan abi akan pulang dari tanah suci setelah hampir sebulan mereka berpergian ke sana. Aku hanya menghabiskan masa di hostel. Pergi dan balik ke pustaka.

Hanya kadang-kadang Abang Ben menjenguk. Elman pula sibuk dengan kerja. Hanya sempat berhubung menerusi telefon, itu pun tidak lama. Dari suaranya saja aku sudah tahu dia penat jadi aku tidak mahu menganggu rehatnya.

"Khazin!"

Khazin beristighfar. Terkejut dia dengan terjahan aku yang tiba-tiba. Sah tadi dia tengah termenung.

"Kau termenung ingat awek ya...."

Bibir Khazin mencebir.

"Awek? Hm... Inilah awek aku." Dia tunjuk skrin komputer ribanya.

Hadoi... Kenapa ya lelaki sekarang pelik-pelik. Seorang bercinta dengan ular, seorang bercinta dengan laptop. Apa? Dah tak ada perempuan ke atas dunia?

"Aku kacau kau dating ke?" Layan saja si Khazin ini.

Khazin mengangguk.

"Tak apa. Dia tak kisah. Duduklah." Kerusi ditarik untuk aku.

Aku menggeleng. Hasrat ke sini hanya mahu pinjam buku. Ini pun aku datang menegur dia alang-alang sudah nampak kelibat Khazin di sini. Aku mahu siap-siap pergi menjemput umi di lapangan.

"Aku nak pergi jemput umi aku baru balik dari umrah. Sekejap aje datang pustaka ni."

"Kau pergi naik apa?" soal Khazin.

Mulut menyengih. Kunci kereta Axia yang Abang Zafril hadiahkan pada aku selepas aku berjaya mendapatkan lesen memandu hari itu, aku tayang di depan muka Khazin. Melopong mulutnya.

Dia meminta mahu ikut juga. Mengekek aku ketawa di dalam hati lihat muka Khazin.

"Nanti-nanti ya. Esok aku bawa kau jalan-jalan. Kalau aku bawa kau, nanti kecoh satu kampung ingat kau kekasih aku pula." Aku beri 'flying kiss' sambil kenyit mata dekat Khazin.

Tak berani mahu bawa Khazin sekali sebab Makcik Rahayu kaki gosip ada jemput Abi dan Umi nanti. Tambahan lagi, Elman pun belum jumpa Umi. Takkanlah aku mahu bawa orang lain pula.

Khazin mencebik.

"Kau ingat kau lawa ke buat muka comel gitu?"

Laju tangan aku menampar kepala Khazin. Ada saja dia mahu sakitkan hati aku.

"Kau lawa tapi taklah selawa Fazura." Dia tayang gambar skrin telefon. Gambar Fazura, isteri Fattah Amin!

Ya Tuhan! Bini orang tu hoi!

Aku tinggalkan pustaka terburu-buru. Sebenarnya hadiah kereta ini dari Abi dan Abang Zafril yang mahu sangat aku ambil lesen. Aku jujurnya tidak merasa ada keperluan untuk berkereta tapi Abi buat muka seposen. Katanya dia mahu beri sesuatu sebagai seorang ayah setelah 20 tahun lamanya dia menahan diri dari beri aku apa-apa. Abang Zafril pun sama. Sebab Abang Zafril kerjanya jual kereta, jadi dia belikan aku satu kereta kecil ini untuk memudahkan aku mahu kemana-mana.

Tangan menekan aplikasi Waze dalam telefon dan memandu kereta mengikut saja arah yang Waze tunjuk. Pemanduan aku ini di tahap lembap. Bawa slow-slow saja di peringkat permulaan ini.

Mesej dari Elman masuk.

'Hati-hati, sayang. Elman minta maaf tak dapat hantar. *gambar dia dan meja yang bersepah dengan kerja* -Elman'

Aku ketawa kecil. Sebenarnya, rutin hantar-hantar gambar ini wujud sejak aku berperang dengan dia sebelum ini sebab dia tak call aku sehari suntuk. Lumrahlah, aku perempuan. Mestilah buruk sangka kalau dia tiba-tiba hilang tanpa jejak. Akhirnya dia ikutkan kehendak aku mahu dia bergambar setiap kali dia bekerja. Baru aku percaya.

Mesej dari Abang Ben pula masuk.

'Za bawa kereta macam kura-kura. Penat abang follow. -Ben Azir'

Terus mataku melihat ke cermin pandang belakang.

Ya Tuhan! Aku langsung tak perasan kereta Abang Ben yang dari tadi mengekor belakang kereta aku.

Dia buat video-call pula. Orang tengah memandu ni!

Tapi, jari aku gesek juga ke tepi skrin. Kami berdua ini memang bukan pemandu contoh. Masa memandu sibuk bertelefon bagai.

Wajah Abang Ben dengan rambut berserabainya itu terpampang depan skrin. Terhambur keluar ketawa di mulut. Serabut sangat!

"Oh... Gelakkan abang ek?" Tangan membetulkan rambut.

Aku menggeleng tak mengaku tapi mulut melebar senyum.

"Abang sudah macam kerja buruh paksa aje. Rambut semua serabai. Pergi potong rambutlah abang."

"Alah... Abang sibuk. Stress dengan kerja. Tak ada masa nak tengok muka dalam cermin pun," rungutnya. Wajah dimasamkan persis budak kecil merajuk.

Dia minta aku laju sedikit. Aku menggeleng. Tak berani mahu laju-laju sangat. Ini pun aku sudah ketar ni.

"Apa lah yang abang fikir bila abang izinkan Za pergi sendiri. Ini umi dan abi dah sampai kampung pun kita tak sampai airport lagi ni. Nasib abang datang tengok Za. Kalau tak, berjanggut semua orang tunggu Za di airport."

Geram saja aku mendengar Abang Ben mengutuk aku. Jangan sampai aku merajuk ek! Nanti terus berhenti kereta ini tepi jalan.

Abang Ben aku tengok dah sampai lepas tangan dari stereng dah gara-gara ikut aku dari belakang. Betapa perlahannya pemanduanku.

"Za... Berhenti dekat masjid tepi tu."

Stereng aku pusingkan masuk ke pekarangan masjid dan memarkir kereta di salah satu kotak parking yang kosong. Abang Ben mengunci keretanya dan membuka pintu kereta aku.

"Baik, Za ke tepi. Biar abang yang pandu."

Cepat-cepat punggung ku alih ke tempat penumpang di sebelah. Abang Ben masuk ke tempat pemandu.

"Lepas ini kalau Izza nak memandu, pastikan abang di sebelah. Sampai abang kata Za dah boleh memandu sendiri, baru Za dibenarkan memandu seorang diri, okay?" Tergeleng-geleng kepala Abang Ben.

Aku berpeluk tubuh. Bengang. Bukannya nak puji keberanian aku, lagi dia perli pula.

Laju sungguh pemanduan Abang Ben. Sampai aku sendiri tidak sangka yang kereta aku boleh laju begini.

"Teruja? Kalau Izza bawa perlahan macam tadi, nanti kena hon tau. Paling pun, dekat atas jalan raya jangan bawa slow sangat." Abang Ben membebel.

Aku dengar saja. Dah memang betul pun apa dia cakap. Takkanlah aku mahu bantah. Dia bawa kereta dah lebih 10 tahun. Sia-sia aku membantah.

Lebih 45 minit juga kami mengharungi kesesakan jalanraya. Walaupun sudah guna laluan pintas. Memang bukan kaleng-kaleng kesesakan di Kuala Lumpur ini.

Abang Zafril dan Laila pun sudah 3 kali telefon. Benar lagi kata Abang Ben tadi. Kalau tunggu aku bawa kereta, bukan setakat umi dan abi dah sampai kampung. Tahun depan pun belum tentu aku sampai airport agaknya. Aku lagi sanggup patah balik dan matikan saja niat menjemput umi.

•••

SENYUMAN terukir di wajah apabila mata menangkap sosok abi yang sedang menolak troli yang penuh dengan bagasi. Umi pula terhegeh-hegeh di belakang.

Tangan Abang Zafril tinggi melambai ke udara. Moga-moga umi dan abi perasan.

Tangan umi aku salam dan pipinya aku cium. Abi pun sama. Abang Zafril lakukan persis aku. Keluarga Azir pun begitu. Laila dan Kak Maisarah cium tangan umi, Abang Ben dan Haimeen cium tangan abi. Bahagianya!

Aku rasa aku orang paling gembira dan berlagak dekat airport ini sebab keluarga aku besar!

Ben Azir mengambil alih tugas menolak troli. Memberi peluang pada aku dan Abang Zafril untuk bermanja dengan umi dan abi.

Terima kasih, abang!

Mataku melirik padanya. Dia menjuihkan bibir sambil mengejek aku dari belakang.

"Budak manja!" ujarnya tanpa mengeluarkan suara.

Aku melambatkan langkah dan memijak kaki Abang Ben.

Dia mengaduh sakit.

"Ainul Izza."

Ha, sudah. Geng dia dah menjegil pada aku.

Mata dilarikan ke arah lain, selain dari ke arah mata umi yang membulat itu.

Abi pula ketawa saja. Tergeleng kepala dia melihat gelagat kami yang serupa anak kecil.

"Abang yang kacau Za dulu," jelasku dengan muka monyok. Tapi aku tahu, kalau bergaduh dengan Abang Ben, mesti umi akan berpihak dengan abang punya.

"Ben gurau aje kan...."

Kan aku dah cakap! Umi mesti pihak dengan Abang Ben.

Mata menjeling Ben Azir tajam. Senyuman nakalnya pada aku masih belum hilang.

Semua sambung jalan semula sambil berbincang restoran mana mereka mahu makan sebentar lagi. Aku memasang telinga sambil berjalan beriringan dengan abang di belakang.

"Sorry la...." Bahu Abang Ben melanggar perlahan bahu aku.

"Sebab abang lagi tua, jadi Za maafkan," tuturku penuh amaran.

Dia tersengih.

"Ben okay, kan? Kita makan jauh sikit dari sini?" Abi berpaling dan bertanya.

Abang Ben angkat ibu jari. Dia okay saja. Aku lagilah okay sebab bukan aku yang memandu.

Abang Zafril kongsi lokasi kedai makan menerusi Whatsapp. Kami berpecah mengikut tempat parking masing-masing. Janji jumpa dekat restoran nanti.

Aku mestilah ikut Abang Ben. Sudah dia yang bawa kereta aku dan kereta dia pula tinggal di masjid.

"Bila Za nak kenalkan Elman dengan umi dan abi? Dah nak 2 tahun Za dengan Elman. Tak elok lama-lama."

Aku pun tidak tahu. Bila saja kami tak sibuk. Elman memang ada bertanya hal yang sama, tapi masa selalu menjadi penghalang kami. Bila aku terluang, dia tidak. Bila dia terluang, aku pula banyak hal lain.

Kalau kahwin semudah macam petik jari, sekarang juga kami kahwin. Ujian bercinta ini parah. Aku dan Elman asyik merindu tapi nak bersua muka bagaikan Elman duduk di Johor, dan aku di Perlis pula susahnya.

"Abi Za dah tanya abang. Abang pun tak berani nak jawab. Ini hal peribadi Za."

Aiyak! Sampai abi pun dah tahu. Ini mesti umi gatal mulut ni. Kalau abi dah tanya, kenalah ambil serius. Abi tak suka aku keluar merayau dengan lelaki yang dia tak kenal.

"Sorry abang. Terlibatkan abang pula. Nanti Za cakap dengan Elman."

Kali ini memang aku kena sungguh-sungguh bawa Elman jumpa umi dan abi.

Abang Ben senyum mengangguk. Lega mungkin kerana aku akan memulakan langkah.

Serba salah aku rasa kerana asyik libatkan abang saja dengan masalah sendiri.

Kereta kami melencong masuk ke dalam kawasan lapang. Di tengahnya ada restoran makanan Thailand. Lampu-lampu di luar kedai bercahaya warna warni. Meriah sungguh.

Abang Zafril menunggu di luar kereta. Memanggil kami untuk parking di sebelah keretanya.

Abang Zafril bermuka lelaki melayu sungguh. Dengan kulit kecoklatannya. Cuma dia tidak berkumis. Tak macam Abang Ben, suka sangat biar kumisnya berserabut. Hormon agaknya.

Ada lelaki berbulu lebat, ada lelaki tidak. Macam abi, pun tak terlalu lebat juga janggutnya. Selalu kemas dan licin saja wajah mereka dua beranak. Nak nampak jambang pun payah.

Abang Ben dan Pak Cik Kamil pula berjambang. Haimeen tak begitu. Muka macam mamat korea pula. Betul agaknya kerana hormon.

Kami menyambung meja dan duduk beramai-ramai satu meja. Meriah!

Abi dan umi sibuk berkongsi pengalaman mereka dengan kami semua. Aku tumpang gembira kerana akhirnya Umi dapat juga menjejakkan kaki ke tanah suci. Kalau tidak kerana abi, sukar untuk umi merealisasikan impian yang satu itu. Abi orang ada-ada. Malah, kilang tempat umi bekerja itu milik abi dan keluarga abi juga.

Tapi Abang Zafril tak mahu mewarisi kilang ayahnya. Dia buka kedai jual kereta baru dan terpakai. Dia sendiri mengurusnya.

Abang Ben memasukkan sayur kailan ikan masin ke dalam pinggan aku. Membulat mata menentang matanya, mengarahkan dia untuk mengambil sayur itu semula.

Abang geleng kepala. Dia paksa aku makan juga.

Aku geleng. Aku suruh dia ambil balik.

Dia geleng.

Aku geleng.

Dia geleng balik.

Aku geleng balik bila dia geleng balik!

Bunyi sudu aku dan Abang Ben berlawan-lawan.

"Ya Tuhan! Apa lagi dua orang ni?" Suara umi membuatkan semua orang diam, menoleh kepada kami berdua.

Umi dan jegilan matanya. Aduh.

"Abang ni!" rungutku.

"Eh... Abang pula. Abang tolong sudukan lauk aje." Abang Ben membela diri.

Ish!

"Za tak makan sayur kan?" Aku menahan geram.

"Belajarlah makan sayur. Elok untuk kesihatan." Umi menyokong.

Macam biasa!

Abang Ben sudah tersenyum kemenangan. Bertambah geram aku rasa.

Tangan memeluk tubuh. Kenapa umi tak pernah sokong Za. Semuanya Ben saja yang betul.

"Jangan terkahwin sudahlah dua orang ni... Boleh runtuh rumah." Mak Cik Rahayu mencelah.

Membuntang mata aku. Aku pandang Abang Ben di sebelah. Dia sama, membulatkan mata.

Ha, sama-samalah terperanjat.

"Memang tak akan kahwin punya. Ben dengan perangai menyakat dia tu...." Pak Cik Kamil bersuara.

Aku sudah ketawa. Memanglah! Gila ke nak kahwin dengan Ben Azir. Bukan sebab dia tak baik, tapi dia terlalu baik untuk saya. Uhuhu....

"Betul! Meen pun tak setuju. Sebab Za dengan abang, hm... Bukan tak sepadan, tapi... Tak sesuailah. Dah biasa tengok Za dan abang bercakaran. Bayangkan kalau tiba-tiba dia orang jadi romantik? Meen rasa macam dunia nak terbalik."

Bagus Haimeen. Benar apa Haimeen kata.

Aku pun tidak dapat membayangkan aku dan Ben Azir beromantika... Yek! Abang Ben yang dari kecil aku tekup muka dia pakai bantal busuk ini nak romantis-romantis dengan aku? Minta simpang!

"Laila pun!" Laila sokong juga.

"Mai apa lagi. Mai rasa something wrong somewhere kalau tiba-tiba Ben dan Za baik macam orang bercinta. Boleh keluar isi perut ni."

Aku ketawa dalam hati. Kak Maisarah ni over lah!

Umi dan abi tolong gelakkan juga. Abang Ben melopong.

"Tapi... Ril rasa mereka sesuai aje. Maksud abang, kalau asyik sama... Kan bosan nanti." Abang Zafril memandang ke arah aku dan Abang Ben.

Ketawa kami semua berhenti. Mungkin semua pun sedang memikirkan kata-kata Abang Zafril.

Eh! Kejap. Kenapa kena fikir benda begini pula. Aku kan sudah ada Elman!

Mata mengerling Abang Ben.

Gulp!

Anak mata kami bertembung. Dia pun sedang pandang aku. Jantungku mula tak tentu arah.

Pandangan matanya yang begitu kelihatan romantis pula. Macam tengah tenung pelakon dalam drama cinta.

"Za kena cepat-cepat bawa Elman jumpa umi dan abi," bisiknya ke telinga aku.

Aku mengangguk bersetuju!

•••

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience