BAB 5

Romance Completed 113574

"ABANG SUKAKAN IZZA."

Aku terpempan. Mata memandangnya tidak berkerdip. Wajah Elman yang kian memerah itu meyakinkan aku ternyata ini bukan mimpi.

"Abang betul-betul maknakan apa yang abang rasa dalam surat tu," ujar Elman lagi apabila aku tidak memberi sebarang reaksi. Belakang tengkuknya diusap.

Mata segera ku larikan ke arah air di dalam gelas. Tangan mengacau air menggunakan straw. Mahu menghilangkan perasaan tidak tentu arah ini. Inilah pertama kali aku menerima luahan cinta. Tidak pasti reaksi apa yang perlu kulakar bagi menyedapkan hatinya.

"Err... Abang Elman...."

Tapak tangan Elman meminta aku untuk tidak meneruskan kata-kata.

"Abang belum habis. Za kena dengar sampai habis dulu dan selepas itu baru Za fikirkan, boleh?" pintanya.

Aku akur dengan permintaannya. Sedar yang dia juga sedang tidak tentu arah sekarang ini kerana pipinya semakin merah padam. Malah pandangannya juga cuba dilarikan.

Elman ketawa kecil.

"Maaf. Abang dah cuba untuk tak pandang Za dalam keadaan sekarang, tapi mata abang tetap mahu pandang Za." Kata-katanya membuat pipiku turut memerah. Wajah ku tundukkan dari dipandang oleh dia.

Elman berdehem.

"Perasaan abang pada Za, ikhlas. Abang tak pernah luah perasaan pada sesiapa sebelum ini jadi ... abang kelam-kabut sikit." Air di dalam gelas diminum.

Aku hanya menunggu dengan sabar dan berdebar-debar untuk kata-kata seterusnya. Jangan cakap dia, aku pun sudah kelam-kabut memikirkan perkara ini.

Apa aku mahu jawab? Bagaimana aku mahu respons? Di saat begini, ketawa boleh membantu atau tidak?

"Abang tahu semua ini tiba-tiba, tapi abang tak tenang selagi abang tak luah pada Za. Abang selalu perhatikan Za. Setiap kali abang mahu alih mata abang, ada saja perkara tentang Za yang buat abang jadi tertarik. Segalanya tentang Za menarik hati abang. Tanpa sedar, bayang Za ada dimana-mana."

Kami saling bertatapan.

"Elman serius dengan perasaan ini, Za," tuturnya dengan riak yang lebih serius berbanding tadi.

Pandangan mata bertukar romantis. Aku menelan air liur untuk menghilangkan kegusaran yang bertandang.

"Izza, sudi tak Izza terima luahan cinta Elman?" Kali ini dia membahasakan dirinya Elman, bukan abang lagi.

"Tapi ... kita baru kenal." Aku cuba untuk menenangkan hati yang sudah mula mahu berpihak kepada Elman.

"Kalau macam itu ... Za tanyalah apa saja Za mahu tahu pasal Elman. Kita kenal-kenal sekarang," sarannya dengan senyuman di wajah.

Aku terhibur. Hilang sedikit perasaan gundah gulana tadi apabila Elman mula bernada gurauan begitu.

"Sekalipun kita kenal-kenal sekarang, belum tentu lagi perasaan kita boleh jadi sama kan? Za perlukan tempoh bukannya sesi suai kenal, Elman." Namanya aku sebut dengan nada geram. Saranan dia langsung tidak membantu aku untuk membuat keputusa..

Elman ketawa mengekek.

"Take all the time you need and take my heart too, please...."

Straw di dalam gelas yang sudah kosong aku campak ke arah Elman. Suasana janggal di antara kami sebentar tadi hilang serta merta dengan jenaka Elman. Aku akui chemistry di antara aku dan Elman memang sangat baik. Kerana dengan mudahnya kami boleh mengubah suasana.

•••

AUNI menggegar tubuh aku sekuat hati. Aku yang sedang lena dibuai mimpi terus mendengus marah. Mimpi indah lebur sekelip mata.

Tubuh ku bangunkan dari berbaring dan tangan menggesek-gesek mata. Auni yang sedang duduk di tepi katil itu aku pandang tajam. Siap bertudung bagai?

"Aku baru balik dari study-group," jawabnya seakan-akan faham maksud pandanganku.

Selimutku Auni tarik menjauh. Menggesa aku untuk cepat-cepat pergi membersihkan diri. Dengan malasnya tangan mencapai tuala di dalam almari dan bakul alatan mandi aku bawa sekali sambil mendengar Auni bercerita.

"Kau mandi cepat sikit tau! Aku nak tunjuk dekat kau mamat hensem yang aku nampak di kantin tadi. Uish! Lawa dia bukan main. Memang bukan seperti student sinilah lelaki tu wei...."

Kalau berangan pasal anak teruna orang, serah saja pada Auni. Dia dah lama berkecimpung di dalam bidang yang satu itu. Kerjaya sepenuh masa dia. Sepanjang aku kenal Auni ini, sudah tidak terkira banyaknya lelaki hensem yang dia jumpa. Nak-nak lagi di hujung minggu begini, memang lagi ramailah calon-calon yang bakal menjadi bahan cuci mata Auni.

Aku masuk ke bilik mandi yang terletak hanya beberapa langkah dari bilik kami. Auni turut menemani aku di bilik mandi. Alat soleknya dibawa sekali. Mulut tidak habis lagi berceloteh. Geli hati aku mendengar bebelan Auni yang tidak sudah-sudah.

"Daripada aku masuk bilik air sampai dah keluar, mulut kau tak berhenti lagi?" perliku sambil menggelengkan kepala.

Auni hanya tersenyum bangga. Langsung tidak terasa hati dengan perlian mengusikku padanya malah sudah biasa sangat dia mendengar aku memerlinya.

Tangan memilih baju T-shirt berlengan pendek warna hitam, seluar slack hitam dan sweater ber-hoodie untuk menutup mana-mana bahagian lengan yang terbuka. Shawl berwarna coklat pekat pula dililit ke kepala untuk menutup rambut. Siap! Tiada masa mahu bersolek cantik-cantik semata-mata hanya mahu makan di kantin.

Beg yang selalu aku bawa ke kelas itu aku bawa sekali sebelum mengunci pintu. Selepas makan, aku dan Auni mahu melepak di pustaka sahaja sehingga ke petang. Belajar di dalam bilik asyik teringat pada katil saja.

"Muka dia tu.... Masya-Allah! Indah bukan main. Tak macam lelaki-lelaki sekarang. Wajah dia berkelelakian sungguh. Nampak matang sangat. Tiba-tiba naluri keibuan aku ini keluar bila pandang wajah dia. Rasa nak kahwin, nak ada anak...," ujar Auni sepenuh perasaan. Aku tergeleng saja melihat dia tidak habis berangan lagi.

Lagipun, berapa lama aje anganan Auni ini akan bertahan? Sehari? Dua hari? Lepas jumpa lelaki lain yang lebih baik, dia bosanlah nanti.

Auni berlari anak sedikit laju daripada langkah aku. Dia sudah berada di hadapan dan memanggil aku supaya berjalan lebih laju sedikit. Matanya terpandang-pandang ke arah mamat yang dimaksudkan. Lelaki yang sedang duduk membelakangkan kami.

Semakin di layan perangai mengarut Auni, nampaknya tipislah harapan mahu mengisi perut. Aku berlalu untuk mengambil makanan. Auni pula setia duduk di meja, ingin menikmati saat-saat bersama dengan mamat hensemnya yang langsung tidak sedar akan kewujudan dia.

"Izza?"

Kepala berpaling memandang ke arah suara yang memanggil. Walaupun ramai orang bernama Izza juga di sini, akan tetapi entah kenapa aku rasa kenal dengan suara yang memanggil tadi.

Mataku membulat, hampir terjerit. Kalau boleh lompat, aku sudah melompat setinggi yang boleh.

"Abang Ben!"

Abang Ben tersenyum manis. Aku membalasnya dengan perasaan gembira yang terlakar di wajah.

Teruja kerana tidak menyangka Abang Ben akan datang ke sini menjenguk. Rasa lapar tadi sudah aku lupakan. Aku lebih berminat mahu duduk berbual dengan Abang Ben berbanding pergi mengisi perut.

Wajah Abang Ben tidak banyak yang berubah. Tetap kacak macam dulu juga.

Tangannya menepuk meja meminta aku duduk berhadapan dengannya. Cepat-cepat aku duduk. Auni di belakang memerhati seakan tidak percaya.

Aiseyman, Auni... Dalam banyak-banyak lelaki kau panggil hensem, Abang aku pun antara citarasa kau ya?

Sambil memandang Auni di belakang, aku ketawa jahat di dalam hati. Tangan memanggil Auni untuk bertukar meja. Auni yang kuat berceloteh tadi, automatik jadi bisu dan pemalu.

"Ini kawan sebilik Izza... Auni, ini abang aku, Ben Azir." Aku memperkenalkan pada masa yang sama mahu beri peluang kononnya.

Auni senyum simpul.

Malu-malu pula si Auni ini mahu menegur Ben Azir. Mana pergi entah naluri keibuan dan hati berdegup kencang dia semua itu....

"Kenapa abang call Izza tak dapat? Banyak kali dah abang telefon nak beritahu Izza yang abang ada dekat bawah," soal Abang Ben. Riak jelas prihatin. Mungkin dia risau kalau sebenarnya telefon aku rosak atau apa-apa.

Aku terkebil-kebil. Tidak faham. Mana ada telefon aku berdering sejak pagi tadi. Sunyi sepi sahaja, kesunyian itu jugalah yang membuatkan aku kembali lena.

Tangan mencari-cari telefon di dalam beg. Sejak pulang dari kelas semalam, aku langsung tidak menjengah skrin telefon. Memandangkan dia langsung tidak berbunyi, aku anggap tiada siapa yang menghubungi aku.

"Eh... Bateri habis rupanya. Sorry abang. Izza tak perasan. Balik dari kelas semalam, terus tidur," jawabku dalam ketawa. Mahu rasa bersalah, jauh sekali.

"Balik terus tidur? Solat ke tidak?" Soalan Abang Ben yang satu ini aku biar tidak berjawab. Mata menatap menu yang terpampang di dinding. Sengaja mahu menukar topik perbualan. Takkanlah semua pun kena beritahu, kan?

"Lah... Patutlah aku mesej kau, call kau tak berjawab." Auni akhirnya membuka mulut. Hilang sudah malunya.

Powerbank di dalam beg Auni keluarkan dan diberi kepadaku.

Mata Abang Ben hanya memerhati gelagat kami sambil menongkat dagu. Hujung bibirnya ternaik sedikit.

"Auni dengan Izza tak outing ke? Nak makan di sini aje?" Abang Ben mengosongkan gelas. Sudah 3 gelas cawan kosong yang bersusun di atas meja.

Niat mahu bangun memesan makanan, terhenti.

Mata merenung tepat ke wajah Ben Azir. Lelaki itu mengangguk. Macam biasa! Aku dan Ben Azir boleh bertelepati! Yes!

"Auni! Jom kita outing. Abang Ben nak belanja!" Aku membuat keputusan sesuka hati. Abang Ben melopong mendengar kata-kata aku yang tiba-tiba kata dia mahu belanja. Di dalam hati, aku sudah mengekek ketawa kerana berjaya mengenakannya.

Dia kan sudah bekerja, ada duit sendiri. Memang patutlah dia belanja. Takkanlah kami yang baru baby-step dalam mendaki ke menara gading ini pula yang nak kena belanja, makan angin ajelah namanya kalau kami yang belanja.

Selepas Auni bersetuju, Abang Ben meminta diri sebentar untuk pergi membayar air di kaunter. Auni pula sudah tersengih-sengih.

"Mana kau dapat abang hensem begini? Jauhnya dari muka kau...," komen Auni sambil membelek muka aku kiri kanan. Naik sakit pipi aku ditekannya.

Jari mencubit pipinya kuat-kuat. Auni mahu cakap muka aku ini tak lawa macam muka Ben Azir ke?

"Aish. Memanglah tak sama. Dia abang angkat aku. Dari kecil keluarga dia yang jaga aku sampailah aku besar gedabak begini." Kedua-dua tangan terarah kepada diri sendiri.

Memang aku akui, keturunan Azir-Azir ini semua lawa-lawa dan hensem-hensem. Ini belum jumpa Pakcik Kamil lagi. Kalau si Auni jumpa Pakcik Kamil, entah-entah dia mahu jadi anak tiri pula nanti. Gen hensem dan lawa ini datang dari Pakcik Kamil, ayah Abang Ben. Dalam kampung sana, janda mana yang tak syok dekat Pakcik Kamil? Semua janda ada hati pada dia, nasiblah pakcik setia pada yang satu.

Riak mengusik Auni muncul.

"Hm... Kalau aku jadi kau, aku tak perkenalkan dia sebagai abang dah. Aku panggil teman lelaki terus. Hensem gila! Mesti cemburu semua perempuan dalam dunia ini kalau aku dapat dia." Terkekeh-kekeh Auni ketawa.

Bibir terjuih mendengar kata-kata Auni. Pirah!

Auni dengan angan-angan, memang tidak dapat di selamatkan lagi. Aku suruh dia mengorat Abang Ben tadi, malu pula dia.

"Pergilah mengorat dia," cadangku. Kalau Auni sudah berkenan sangat, ngorat sajalah. Ada jodoh, ada... Tak ada jodoh, cari lain.

"Seganlah! Lagipun, selepas aku dengar apa kau cakap tadi pasal dia itu abang angkat kau. Aku rasa dia dengan kau lebih sepadan lagi," ujar Auni selamba.

Tanganku menepuk bahunya kuat. Tidak sangka sampai ke situ pula fikirannya. Aku dan Ben Azir ini bagai abang dan adik sahaja. Langsung tidak pernah terfikir akan kemungkinan yang difikirkan oleh Auni. Gila betul. Pasti tergelak sampai pecah usus Abang Ben kalau dengar pikiran si Auni ini. Memang diluar dugaan.

Getaran di dalam beg buat aku menghentikan perbualan dengan Auni. Telefon pintar aku gesek skrinnya. Berpusu-pusu notifikasi naik. Aku menyemak log panggilan. Hampir 50 miscalled dari Ben Azir, 20 dari Laila yang aku yakin disuruh oleh Ben Azir. Mesej masuk juga begitu. Dari ke Whatsapp, telegram sampailah peti masuk telefon sendiri. Banyak mesej dari Ben Azir. Alahai....

Mata tertancap pada teks daripada Elman. Bibir menyimpul senyum.

Setelah seminggu berfikir, aku merasakan Elman adalah lelaki yang sesuai untuk aku serahkan hati yang satu ini. Antara sebabnya, aku dan Elman memang masuk air kalau bersama. Jarang sekali aku tidak terhibur kalau kami bertemu. Ada masanya kami berbalah tetapi perbalahan itu tidak pernah serius. Pasti berakhir dengan gelak tawa juga. Itu membuatkan aku senang hati dengan kehadirannya di sisi. Tidak pernah aku sangka aku akan bertemu sebahagian lagi hati yang hilang di universiti.

Mesej teks dari Elman aku buka dan baca. Sama seperti Ben Azir. Panjang berjela mesej yang di beri. Setiap 5 minit dia mesej aku. Mesej terakhir darinya adalah 5 minit sebelum pukul 10. Itu pun dia sudah maklumkan pada aku semalam bahawa pukul 10 pagi hari ini dia punya mesyuarat JPP, jadi dia tidak boleh mahu main telefon sepanjang tempoh mesyuarat.

Bibir tersenyum nipis. Aku membalas ringkas teksnya dan memaklumkan pada dia awal-awal yang aku mahu keluar berjalan bersama Auni.

"Siapa tu?" Suara Abang Ben menampar telinga. Gigi aku tayang padanya.

Sudah semestinya aku akan tersenyum senang setiap kali berbalas mesej dengan Elman. Rasa hati yang satu ini sukar untuk disorokkan lagi. Setakat ini yang tahu mengenai hubungan kami cuma Auni dan Ben Azir saja. Auni tempat aku meluah rasa di universiti, dan Ben Azir pula tempat aku meluah masalah.

"Elman. Jomlah, bang! Orang dah lapar dah...." Perut ku usap. Tangan Abang Ben aku tarik keluar dari situ. Auni membuntuti kami dari belakang.

Abang Ben mengeluarkan telefon pintar dari poket seluar. Tiba-tiba salah satu kereta yang di parkir di depan kantin berbunyi.

"Wow! Sejak bila tukar? Bukan abang kata abang sayang kereta Toyota abang ke?" Aku berpusing mengelilingi kereta. Range Rover yang nampak mewah itu berjaya memukau mata.

Abang Ben apa lagi, banggalah aku pandang kereta dia tidak lepas-lepas. Poyolah! Mentang-mentang ada kereta mahal.

"Range Rover Evoque 2019. Walah!" Dia mendepakan tangan di depan kereta. Mempersembahkan kereta mahalnya kepada aku. Ceh.

"Apa barang Toyota, Izza. Ketinggalan zaman lah," sambungnya lagi. Aku rasa kalau tiada orang di sini, entah-entah Abang Ben cium kereta dia diam-diam.

Abang Ben membukakan pintu kereta buat kami berdua. Aku dan Auni sama-sama kagum melihat rekaan dalaman kereta Abang Ben. Memang patutlah abang cakap Toyota buruk dia ketinggalan zaman. Skrin sentuh pun ada!

"Kalau Izza nak tahu, dalam kereta ini ada 15 speaker tau. Bila pasang lagu, memang feeling teruk lah abang."

Mata aku terbeliak melihat fungsi-fungsi yang pelbagai dalam keretanya. Termasuklah fungsi cermin pandang belakangnya. Semua menggunakan kamera.

"Patutlah abang beli. Selalunya abang kedekut nak tukar baru." Aku pula menekan-nekan skrin. Aplikasi muzik yang sudah dimuat turun aku buka, dan mencari lagu kegemaran untuk dimainkan.

Siapa-siapa saja pasti akan meninggi hidung jika dapat beli kereta semewah ini. Di bawah kereta pun ada kamera. Ini belum lagi aku periksa semua aplikasi sedia ada untuk kereta ini.

Aduhai, lemah jantung melihat kecanggihan teknologi yang aku kira hanya mampu terealisasi di dalam anganan saja selama ini. Auni juga memberi reaksi yang sama seperti aku. Memanglah kami ini jakun tak pernah naik kereta mewah.

"Ish! Ish! Abang bukan kedekut, abang jimat. Lagipun memang dah lama abang usyar kereta ini sejak di UK lagi, Izza. Bila abang rancang mahu balik Malaysia, terus abang beli memandangkan kali ini abang nak duduk Malaysia terus. Duit boleh cari lagi. Kepuasan itu susah nak dicari. Masa tengah ada duitlah abang mahu memuaskan hati abang yang sudah mengabdikan diri pada kerja bertahun lamanya di UK sana dulu."

Aku faham apa yang di katanya. Melihatkan kesungguhan dia bekerja tanpa kenal erti penat dan rindu pada Malaysia dulu, aku kagum dan gembira jika dia dapat membeli apa yang dia mahu.

Kereta Range Rover Evoque itu meluncur laju di atas lebuh raya. Pemanduan Abang Ben agak laju tetapi aku langsung tidak kecut perut malah rasa tenang saja. Ini agaknya salah satu fungsi dan kelebihan kereta SUV, jalan tak rata pun tidak terasa sangat getarannya.

Aku betul-betul sudah jatuh cinta pada kereta ini. Luahku tanpa sedar.

"Pada kereta aje? Pemilik kereta?" usik Abang Ben apabila aku meluahkan rasa cintaku pada kereta SUVnya.

Malas mahu membalas memandangkan aku tahu dia hanya bergurau. Mata ditutup cuba menikmati udara segar dari salah satu fungsi kereta Abang Ben. Udara boleh di neutralizekan ya. Semua virus ke bakteria ke boleh dihapuskan. Agaknyalah, sebab itu yang Abang Ben beritahu tadi.

"Manalah dia nak jatuh cinta pada pemilik kereta, Abang Ben. Dia kan sudah ada Abang Elman...," sampuk Auni di belakang.

Abang Ben mengangguk bersetuju dengan Auni. Aku mencuit peha Abang Ben sekuat hati. Nasib baik Auni di belakang, kalau tidak dengan dia sekali aku cuit. Wajah merah padam.

"Ya tak ya, Izza dah beritahu Elman ke Izza keluar dengan abang?" Seperti biasa. Ben Azir yang prihatin.

Kepala menggeleng.

"Tak bolehlah macam itu. Apa pula Elman kata nanti kalau dia tahu Izza keluar dengan abang. Entah-entah Izza langsung tak beritahu pada Elman akan kewujudan abang, kan?" Mata Abang Ben menikam wajah apabila aku mengatakan yang aku hanya maklumkan pada Elman mengenai aku keluar bersama Auni.

Air liur ditelan. Cepat betul Abang Ben dapat membaca fikiran aku ini.

"Siapalah abang pada Izza. Hanya satu watak yang tidak penting untuk disebut-sebut,"

Bibirku ketap. Bukan kerana aku membenarkan kata-katanya tetapi aku tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan pada Abang Ben betapa besarnya pengaruh dia kepada aku. Tanpa dia, aku tidak akan membesar menjadi Izza yang sekarang dan tanpa dia juga, aku tidak akan berjaya menjejakkan kaki di sini.

"Bukanlah... Abang penting pada Izza. Cuma Izza belum bersedia mahu kenalkan keluarga Izza pada Elman. Kami pun baru lagi, kita tak tahu kan apa akan jadi kemudian hari." Mulut mula merangka jawapan paling bernas yang mampu kufikirkan sekarang.

Senyuman Abang Ben kembali terukir.

"Abang gurau je. Saja nak kenakan Izza."

Aku menjegilkan mata kepadanya. Mati-mati kena tipu. Geramnya!

Auni pun gelak juga melihat aku yang sudah terdiam tadi. Mereka berdua ni....

•••

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience